Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Aku cukup sensitif kalau berbicara tentang ibu bapa. Bahkan sifat sayangkan ibu bapalah yang sentiasa aku terapkan kepada pelajar-pelajarku. Supaya tidak mensia-siakan mereka, hargai mereka, menggembirakan mereka serta mendoakan kesejahteraan mereka.
Aku belajar dan bercakap dari pengalaman. Sesungguhnya aku bukanlah dilahirkan dalam keluarga yang kaya raya. Abah bekerja di sektor swasta dan mama tidak bekerja. Aku anak tunggal. Hidupku sederhana. Tidak terlalu susah dan tak juga terlalu senang.
Abah sukakan muzik. Pernah beliau bercerita kepadaku yang dahulunya semasa kecil, beliau sangat mengagumi anak orang-orang kaya yang boleh belajar muzik, belajar biola, belajar piano dan sebagainya. Sebagai anak yang hidup dalam serba kekurangan, Abah hanya mampu mengintai harapan itu dari jauh. Lalu disebabkan itu, abah tekad menghantar aku ke kelas piano supaya aku dapat meneruskan impiannya untuk belajar muzik. Sanggup memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk aku belajar sesuatu yang unik kerana pada ketika itu tak ramai anak Melayu mahu menghantar anak mereka ke kelas-kelas sebegitu.
Aku menurut sahaja. Ya, usiaku hanya 4-5 tahun. Apalah yang aku tahu ketika itu? Abah suruh belajar, belajarlah aku.
Setiap kali kelas, guruku akan berleter memandangkan aku langsung tidak lancar bermain piano. Lalu sudah berapa kali dia menyatakan bahawa setiap pelajar piano harus mempunyai sebuah piano di rumah! Dan sudah berapa kali juga telah ku usulkan itu pada abah. Harga piano ketika itu bukanlah calang-calang. RM6000 ke RM 7000 untuk sebuah piano baru! Dan aku tahu, pada waktu itu, keluargaku tidak mampu. Hanya selepas 4 tahun kemudian, abah mampu membelikan sebuah piano terpakai yang berharga RM1000+ yang dijual di sebuah kedai alat muzik berhampiran rumahku. Hanya selepas 4 tahun. Bayangkan betapa susahnya abah mengumpul wang untukku.
Namun lama-kelamaan, aku mula malas. Tahun berganti tahun, aku merasakan piano sangat membosankan! Hari-hari kena practise! Hari-hari kena main lagu! Aku malas practise. Aku lebih suka tengok tv, bermalas-malasan dalam bilik, tidur. Ini menyebabkan aku selalu dimarahi oleh guru pianoku. Aku juga malas menyiapkan homework teori muzik yang diberikan olehnya. Hati aku mula memberontak.
"Kenapalah aku kena belajar semua ni?"
"Kenapa? Aku tak minat semua ni!!"
"Kenapa? Aku tak minat semua ni!!"
Lalu aku usulkan pada abah, aku mahu berhenti belajar piano. Abah mulanya agak keberatan. Lama juga beliau berfikir, dan berusaha memujukku untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi. Namun aku tetap dengan keputusanku, aku mahu berhenti! Darah muda. Usiaku pada waktu itu hanya 15 tahun. Ku lihat abah berfikir panjang. Diam di situ. Lalu abah pun menurut dan mengalah. Yes, tak payah belajar muzik dah! Bosan! Hati ku bersorak.
Pernah suatu ketika, sewaktu umurku mencecah 23 tahun. Abah usulkan supaya aku meneruskan pengajian ke peringkat Master. Pada waktu itu, aku telahpun menamatkan First Degree ku dengan Kepujian Kelas Kedua Tinggi. Aku mengabaikan usul abah kerana aku mahu bekerja dan mahu berkeluarga. Pada waktu itu, aku telahpun berkenalan dengan suamiku dan serius tentang hubungan kami.
Ku katakan pada abah, aku mahu bekerja. Aku mahu berkeluarga. Master tu boleh ambil lepas kawin, bah. Masihku ingat kata-kataku itu padanya. Benar kata orang-orang lama, hati kalau dah kemaruk bercinta, cakap la apa pun, ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.
Masihku ingat riak muka abah sewaktu aku bersungguh-sungguh mahu berkahwin. Mahu membina kehidupan sendiri. Ada kesuraman di wajahnya. Riak kesayuan yang jelas terpancar. Entah mengapa, wajah kesedihan itu langsung tidak meninggalkan bekas di hatiku. Masih pentingkan diri dan degil mahu kehendakku diturut. Lama abah berjeda. Panjang beliau berfikir. Namun tiada kata yang diluahkan. Lama juga aku menunggu sehingga aku merajuk memencilkan diri. Lalu, abah turutkan juga kemahuanku dalam keterpaksaan. Bimbang aku hilang pertimbangan diri andai hajatku tidak ditunaikan. Dengan berat, abah melepaskan aku untuk aku berkahwin dengan pilihan hati. Sesungguhnya, pada waktu itu, aku rasakan dunia ini hanyalah milik aku.
* * * * *
"Faiq....Faiq buat apa hari ni...."
"Sayang Faiq...Sayang Faiq...."
"Ok...ok...meh kat Tok Abah meh..Nape nangis ni?"
"Ok..ok..Faiq...Faiq... nape ni..ok..ok..jangan nangis ye..."
"Ok...nanti Faiq tido dalam cot Faiq ye...Tok Abah ulik Faiq ok...Faiq nak tido, sebab tu Faiq nangis..."
"Fa, hari ni Faiq nangis lagi tak? Perut dia macam mana, kembung lagi tak?"
"Pampers Faiq ada lagi tak? Abah beli spare ye?"
"Nah, tadi abah singgah kedai, ingat Faiq abah beli ni..."
(mainan muzik baby)
"Takpe la, Fa gi tido..biar abah ulik Faiq...."
Readers, itu adalah sebahagian dari dialog-dialog harian abah sewaktu aku masih tinggal dengan mereka menjaga Faiq sewaktu awal kelahirannya. Sedia maklum, aku mengambil cuti panjang selama 6 bulan menjaga Faiq yang dilahirkan pramatang 32 minggu.
Ku rasa hidup ini mentertawakan aku yang mula sedar dari bayang angan-angan keseronokan sehingga mengabaikan perasaan abah suatu ketika dahulu. Dan kini lihatlah! Lihat lah Farrah!
Siapa yang membantumu menjaga Faiq pada malam hari?
Siapa yang membantumu mendodoikan Faiq sewaktu kau terlelap dek keletihan menjaga Faiq siang hari?
Siapa yang menghadiahkan Faiq bermacam barang untuk keperluannya?
Siapa yang terus memberikanmu semangat untuk meneruskan kehidupan yang penuh dugaan sewaktu kau hiba apabila mengetahui Faiq bakal dilahirkan pramatang?
Siapa Farrah? Siapa??????
Ya, aku tahu.. Aku tahu siapa. Aku benar-benar kenal siapa. Malu hatiku tidak terkira kepada seseorang yang sangat menyayangiku walaupun aku acapkali meruntun hatinya. Mengabaikan perasaannya. Tidak mengendahkan impiannya. Hancurkan harapannya. Aku lah anak yang pentingkan diri sendiri itu. Ya, aku.
Andai dapatku ulang semula putaran dunia ini, sungguh, akanku bahagiakan abah sepertimana yang sepatutnya. Namun, apakan daya? Apa pilihanku? Sesalan yang aku rasai adakah berbaloi?
Abah, Fa tak dapat putarkan masa kembali untuk menunaikan harapan abah yang selama ini Fa dah leburkan. Fa juga malu dengan diri Fa, malu dengan abah sebab Fa dah banyak menyusahkan Abah. Abah tak pernah berkira dengan Fa, walaupun Fa banyak kali menyakitkan hati Abah. Hanya dengan lafaz terima kasih tidak mampu untuk membalas budi abah pada Fa sekeluarga. Fa mohon ampun dan maaf bah, sebab Fa seorang anak yang degil. Tak mendengar kata. Tak mahu mengikut kemahuan Abah. Fa pentingkan diri. Fa tak fikirkan perasaan Abah. Fa minta maaf, abah. Fa janji akan menebus segala kesalahan Fa yang dulu.
* * * * *
Suatu hari, sewaktu aku berehat di rumah bersama abah.
"Abah ada satu cerita untuk Fa, nak dengar tak?"
Aku mengangguk dan tersenyum.
Begini cerita abah :-
Pada zaman dahulu, ada seorang budak lelaki yang mempunyai sikap panas baran. Ayahnya telah memberikan dia sebungkus beg berisi paku dan berkata,
"Wahai anakku, setiap kali kamu berasa marah terhadap seseorang, maka hendaklah kamu memaku sebatang paku dari uncang ini di pagar kayu itu," kata ayahnya sambil menunjukkan sebuah pagar kayu di luar rumah mereka.
Lalu, pada hari pertama, budak lelaki itu memaku 37 paku pada pagar kayu itu menandakan dia telah menyakiti hati orang lain sebanyak 37 kali. Minggu berganti minggu, akhirnya budak lelaki itu berjaya mengawal kemarahannya dan jumlah paku yang dipaku pada pagar tersebut semakin berkurangan dari sehari ke sehari. Dia merasakan adalah lebih mudah untuk mengawal kemarahannya berbanding memaku paku pada pagar yang sangat keras itu.
Akhirnya pada suatu hari, budak lelaki ini berjaya mengawal kemarahannya sepenuhnya dan langsung tidak perlu memaku paku pada hari itu. Lalu, budak lelaki ini mengkhabarkan pada ayahnya berita tersebut. Ayahnya hanya tersenyum dan berkata,
"Kalau benar katamu, maka dengarkanlah nasihat ayah. Bagi setiap hari kamu berjaya mengawal kemarahan, hendaklah kamu mencabut semula satu paku yang telah kamu paku dahulu dari pagar itu."
Hari berganti hari, lama kelamaan, budak tersebut berjaya mencabut kesemua paku-paku yang pernah dipakunya pada pagar kayu itu. Dan dia mengkhabarkan semula berita itu pada ayahnya.
Ayahnya membuka bicara,
"Wahai anakku, sesungguhnya kamu telah lakukan hasil yang menakjubkan!"
Lalu menarik tangan anakknya menghampiri pagar kayu yang dipenuhi dengan lubang bekasan paku yang dicabut.
"Lihatlah, anakku, lihatlah pagar ini. Pagar ini tidak lagi kelihatan sama seperti mula-mula kamu melihatnya. Pagar ini penuh dengan bekas lubang paku yang telah kamu cabut. Begitu juga dengan hati manusia. Sekiranya kamu memarahi dan menyakiti hati orang lain, hatinya akan meninggalkan bekas luka dek perbuatan kamu. Tak kiralah betapa banyak maaf yang kamu lafazkan, tetapi luka itu masih ada. Seperti juga bekas lubang paku ini. Ia tidak akan hilang."
Anak itu tertunduk malu.
*
*
*
Dan begitu juga diriku.
Terima kasih abah untuk segalanya, untuk menyedarkan anakmu yang seringkali alpa dalam meniti arus kehidupan... Fa sayang abah. |
Touching :")
ReplyDeletethanks ummi.. Kasih sayang seorang ayah dan ibu takkan luntur sampai bila2 walaupun sebesar mana kesalahan kita. Bagi mereka, kita tetap anak manja mereka. :)
ReplyDelete