Tuesday 20 November 2012

Faiq : Second Admission

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Entri ini adalah susulan dari entri ini :-



Please spot me!

Gambar apa tu? Haa, pikir! Pikir! Heee...Gambar ini jelas menunjukkan Faiq kini telah sihat dan pulih seperti sediakala setelah dimasukkan ke wad minggu lepas. Batuknya juga berkurangan. Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah swt.

Seperti mana yang telah readers lihat, Faiq gemar bermain dengan kertas, tertamanya suratkhabar. Habis hitam tangan dia. Takpe la, it's a learning process kan. Cuma sebagai parents/ penjaga, kita kena pastikan suratkhabar tu takkan membahayakan diri dia. Sebagai contoh, tidak dimasukkan ke dalam mulut, atau sebagainya. In Shaa Allah.

22 Oktober 2012
Hanya tinggal beberapa hari saja lagi umat Islam akan menyambut Aidiladha pada tanggal 26 Oktober 2012. Aku juga bercadang akan menyambutnya bersama-sama Faiq dan AB di Klang. Dalam hatiku terdetik rasa mujur kerana Faiq telahpun discharge dari wad 6B dua hari lepas. Kini tinggal tugas untuk menghabiskan antibiotiknya sahaja yang masih berbaki 3 hari.

Bercerita tentang Amoxicilin, antibiotik tersebut jelas memberi kesan cirit-birit berpanjangan pada Faiq. Adakalanya najisnya akan menjadi sungguh cair sehinggakan meleleh dari diapers yang dipakai. (Ok, agak detail penjelasan ini, harap jangan bayangkan terlalu mendalam, khuatir akan meloyakan readers. +_+).

Tapi benar, itu amat merisaukan aku. walaupun Faiq kelihatan aktif dan ceria, tetapi masalah cirit birit yang dihadapinya amat membimbangkan naluri keibuanku.

Jam telah menunjukkan pukul 11.00 malam. Faiq perlu diberi antibiotik Amoxicilin sekali lagi. Dan pada kali ini, selepas meminum ubat tersebut, Faiq mula muntahkan semula susu yang baru sahaja diberikan sejam yang lalu. Hatiku mula berdebar. Jangan, Faiq. Please, jangan sekali lagi.

Tanpa berlengah, aku terus Google dan taip AMOXICILIN dan Enter.

Ku buka halaman-halaman medical yang memperincikan sifat dan side effects Amoxicilin. Dan ya, aku jumpa apa yang aku cari!

At this time, there is only vague side effect information available for amoxicillin. Side effects of the medication may include diarrhea, tooth discoloration, insomnia, and dizziness, among others. While most problems with amoxicillin are mild and do not require medical attention in most cases, you should contact your healthcare provider immediately if you experience anxiety, have watery or bloody diarrhea, or develop jaundice (yellowing of the skin or eyes).
          source :  http://antibiotics.emedtv.com/amoxicillin/amoxicillin-side-effects.html
Yes, jelas sekarang Faiq mengalami alergi terhadap Amoxicilin. Dan ya, najisnya sangat cair. (Watery stool or diarrhea). Aku perlu segera berjumpa doktor!

23 Oktober 2012
Kebetulan pada hari ini, Faiq mempunyai appointment bersama doktor di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, HTAR. Appointment rutin yang perlu dijalani oleh Faiq, memandangkan beliau seorang bekas bayi pramatang.  Tambahan pula, pada appointment kali ini, Faiq perlu menjalani brain ultrasound untuk melihat sejauh mana perkembangan periventricular cyst nya yang disahkan wujud dalam otaknya pada awal kelahiran.

Tetapi kali ini, aku tidak mahu specify terhadap brain ultrasoundnya itu. Mungkin entri akan datang, akan ku kongsikan tentang isu tersebut. In Shaa Allah.

Seperti biasa, Faiq akan dibawa ke mesin penimbang untuk menimbang beratnya. Ku baca angka yang tertulis di mesin penimbang itu.

4.8 kg.

Ya, sejak admission minggu lepas, Faiq telah susut berat badan sehingga ke 4.8kg. Berat asalnya 5.2 kg. Aku tahu, bacaan itu tidak sepadan dengan umurnya yang telah menjangkau 8 bulan. Terdetik juga rasa cemburuku dengan teman-teman lain yang mempunyai anak-anak yang sihat dan semangat tubuh badannya. Mungkin ini salah satu ujian untukku, untuk Faiq. Dan untuk menguji sejauh mana kesabaranku. Dan kecekalan Faiq. Wallahu a'lam.

Setelah menceritakan sedikit perihal kesihatan Faiq berkenaan cirit biritnya, doktor menyarankan supaya pemberian Amoxicilin dihentikan dan Faiq perlu dimasukkan ke wad.

Sekali lagi?

Amarah mula menguasai diri. Bukan salahku Faiq cirit birit! Bukankah doktor yang mempreskripsi antibiotik tersebut? Mengapa Faiq yang perlu menanggungnya?? Seketika aku hilang sabar. Aku terasa seolah-olah Faiq dijadikan objek untuk dikaji itu dan ini. Masuk wad bererti Faiq akan dijadikan alat untuk di test serba serbi. Darahnya, najisnya, x-ray, dan sebagainya!

Gusar! Gusar! Gusar! Serta merta aku dapat melihat bayangan Faiq yang meraung-raung apabila dicucuk tangannya untuk mendapatkan vena. Tersedu-sedu menangis apabila darahnya diambil untuk dikaji. Benci aku memikirkannya.

Seketika kemudian, bayangan tersebut bertukar melihat Faiq di rumah sedang terlantar akibat dehidrasi susulan akibat dari cirit birit. Menangis dan tidak mahu menyusu. Muntah-muntah. Menangis lagi. Cirit birit semula.

Bingung.

Apa yang harusku lakukan? Admit sekali lagi bermakna Faiq perlu menjalani segala prosedur-prosedur yang akan menyakitkannya. Atau tinggal di rumah yang akan membahayakan nyawanya akibat dehidrasi cirit birit? Pilih.

Aku menghubungi AB dan bertanyakan pendapatnya. AB menyarankan Faiq dimasukkan semula ke wad untuk merawat cirit biritnya. Aku terdiam. Lantas aku menyesali amarahku. Aku cuba berfikir serasional mungkin, walaupun hatiku memang sedang mendidih. Aku perlu selamatkan Faiq. Cirit-birit bukanlah suatu perkara ringan kerana gejala ini boleh membawa maut. Pasti ada sebabnya Allah swt mahu Faiq dimasukkan ke wad. Pasti ada hikmahnya. Aku pegang itu.

Mungkin readers terfikir, mengapa tidak diberi ubat untuk cirit birit? Mengapa sehingga perlu dimasukkan ke wad? Polisi hospital telah menggariskan suapaya bayi yang mengalami cirit birit tidak boleh diberi sebarang ubat. Rawatannya hanya air garam, (Rehydration Oral Suspension (ROS)), dan menyusu dengan teratur. Biarkan sahaja bayi itu cirit birit kerana itu akan menyahkan kuman yang terdapat dalam ususnya. Tetapi dengan syarat, nutrien dan garam yang terdapat dalam badan perlu digantikan dengan memberi bayi minum susu, makan bubur, dan minum ROS. Begitulah rutinnya sehingga cirit biritnya beransur hilang.

Aku tarik nafas panjang. Aku bertanya pada mama dan abah. Abah mulanya agak keberatan membenarkan Faiq dimasukkan ke wad sekali lagi. Sementalah, Faiq merupakan cucu kesayangannya. Tak sanggup rasanya melihat Faiq dalam keadaan yang sakit begitu. Walau bagaimanapun, akhirnya abah membenarkan.

*     *     *     *     *

Faiq dimasukkan ke wad 7D, Wad Asingan Kanak-Kanak, wad yang menempatkan bayi dan kanak-kanak yang mengalami cirit birit terutamanya. Wad ini mempunyai bilik-bilik khas bertujuan untuk mengasingkan bayi dan kanak-kanak yang menghidapi penyakit yang mudah berjangkit seperti cirit birit, denggi dan sebagainya. Setiap bilik menempatkan kanak-kanak yang menghidap penyakit yang sama.

Dan sekali lagi, aku dan Faiq, melalui hari-hari di wad dengan penuh kesuraman. 


25 Oktober 2012
Sudah semalaman Faiq ditahan di wad 7 D. Alhamdulillah, Faiq mula menunjukkan perubahan. Cirit-biritnya beransur hilang. Ku jangkakan esok pasti Faiq dibenarkan pulang. Berbunga-bunga hatiku menunggu esok tiba.

Malam itu, sewaktu aku menidurkannya, aku mendapati Faiq mula batuk-batuk. Batuknya seperti minggu yang lalu. Berpanjangan dan kehilangan nafas. Aku jadi tak keruan. Fikiranku mula berfikir yang tidak-tidak. Apakah mungkin kerana Faiq tidak menghabiskan antibiotiknya menyebabkan batuk mula menyerangnya kembali? Aku amat pasti itu adalah batuk. Bukan tersedak.


Faiq batuk-batuk sehingga ke subuh. Tidak lena tidurku memikirkan Faiq. Cirit biritnya mula berkurangan tetapi batuk pula menyinggah. Aduh, dugaanMu terlalu berat ku rasakan. Aku rasa aku patut memaklumkan pada doktor yang bertugas. 

Doktor tersebut mula memeriksa dada Faiq dengan menggunakan stetoskop. 

"Tak ada apa la puan, saya dah cek, paru-parunya ok.." 
"Betul ke doc? Saya takut dia dapat pneumonia semula sebab minggu lepas dia baru masuk wad," 
" Dia tak demam kan? Kalau tak demam, tu bukan pneumonia. Simptom pneumonia mesti dapat demam.." 
"Ohh, ok. Terima kasih doktor,"

Itu antara perbualan aku dengan doktor muda tersebut. Sungguh, walaupun ulasan doktor itu sememangnya positif, aku dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Perasaan ini sama seperti Faiq mula-mula batuk semasa di rumah dahulu, yang menyebabkan beliau dimasukkan ke wad minggu lepas.
Namun, aku cuba positif.

*     *     *     *     *

Batuk Faiq semakin membimbangkan. Setiap 10 saat, Faiq pasti batuk secara pola berterusan dan panjang. Faiq kehilangan nafasnya setiap kali batuk. Seleranya mula berkurangan walaupun cirit biritnya beransur pulih. Ah, bingung aku! Setiap kali Faiq batuk, setiap kali itulah sakit mula menyinggah dalam dadaku. Cuba menyelami apa yang Faiq rasa. Cuba bernafas bagaimana Faiq bernafas. Laju dan termengah-mengah. Lagak seperti baru sahaja menamatkan larian pecut 100 meter. Kalau readers ingin bayangkan, maka begitulah analoginya.

Aku tidak berpuas hati lalu aku usulkan semula kepada doktor pakar yang membuat rondaan pada pagi itu. Doktor pakar perempuan yang juga berbangsa Tiong Hua, menjelaskan Faiq perlu melakukan x-ray paru-paru memandangkan simptom batuknya semakin serius.

Tepat jam 2.00 petang, aku mendukung Faiq mengikuti jururawat yang menemaniku ke bilik radiologi yang terletak di tingkat bawah (Ground Floor). Aku perlu menaiki lif yang sesak dengan pelbagai orang. Tidak cukup dengan itu, aku juga mendapati ada penumpang lif yang batuk-batuk berdekatan dengan Faiq. Aku cuba menekup muka Faiq dengan harapan Faiq tidak terkesan dengan batuk penumpang lif tersebut. Keluar dari lif, aku berjalan laju sambil memeluk Faiq yang batuk tidak henti-henti ke bilik tersebut sambil menjauhkan diri dari kelompok-kelompok manusia yang ramai berlegar-legar di kawasan lobi. Sungguh aku rasakan kesabaranku mula hilang melihat Faiq. Cuba mengurut belakangnya dengan harapan tindakanku itu akan melegakan batuknya. Namun aku tahu, itu hanya sia-sia.

Faiq telah selesai menjalani x-ray di bilik radiologi dan filem x-ray tersebut akan dimasukkan ke dalam rekodnya.

Aku mohon Faiq dipindahkan ke wad 6B, wad yang Faiq diami minggu lepas. Bukan menidakkan kebolehan staf wad 7D memjaga Faiq, tetapi aku berpendapat suasana wad 7D lebih tertutup. Pengudaraannya tidak begitu sesuai dengan keadaan Faiq. Lalu aku memilih untuk memindahkan Faiq ke wad sebelum ini. Wad 6B. 

Bagiku, wad ini lebih elok pengudaraannya. Wad ini tidak hanya bergantung sepenuhnya pada kipas, malah pintu-pintu yang sengaja dibuka luas untuk menggalakkan pengudaraan yang lebih efisyen. Dan petang itu Faiq selesai dipindahkan ke wad tersebut.

*     *     *     *     *

Petang itu, Faiq mula diberikan nebulizer (sekali lagi) setiap 4 jam. Selain itu, Faiq juga diberikan antibiotik Cefuroxime memandangkan suhu badan Faiq mula meningkat ke 39.6 darjah celcius. Tinggi! Bahkan sangat tinggi bagiku. Sejak dilahirkan, Faiq belum pernah mendapat demam sepanas itu. Kudrat yang ada aku gagahkan walaupun hati ini terlalu hiba melihat Faiq yang lemah longlai di pembaringan. Tuala yang ku bawa, ku letakkan di atas kepala Faiq juga tubuh badannya ku lap dengan air suam supaya hilang sedikit panasnya. Amaun susu yang diminum juga mula berkurangan. Setiap bancuhan tidak pernah dihabiskan.

Solat ku dirikan tidak pernah jauh dari katil Faiq. Khuatir diriku tidak dapat menumpukan sepenuhnya pada solat sekiranya Faiq jauh dari pandangan mataku. Sungguh ku rasakan aku seorang insan yang benar-benar diuji keimanan dan kesabarannya. Ku amalkan jua ayat-ayat syifaa' dengan harapan Faiq akan terus kuat dalam menghadapi dugaan ini.

26 Oktober 2012


"Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar.
Laa Ilaa Ha Ilallahu Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Walillaahil Hamd.."


Hari ini, umat Islam seluruh Malaysia menyambut Aidiladha. Sayup-sayup kedengaran takbir dilaungkan dari masjid yang terletak tidak jauh dari hospital. Bahkan takbir tersebut telah kedengaran sejak waktu Maghrib malam semalam. Terasa Aidiladha kali ini penuh kelainan. Di saat seluruh umat Islam yang lain bergembira menyambut hari kemenangan, menunaikan solat sunat Aidiladha, dan menjalani ibadat Qurban, aku disini setia menemani Faiq yang masih belum pulih walaupun telah diberi antibiotik Cefuroxime semalaman.

Suasana hari ini agak meriah dengan kehadiran sanak saudara para pesakit yang datang berkunjung melawat anak-anak yang ada di sini. Faiq tidak dilawati oleh sesiapa memandangkan tiada siapa yang tahu perihal kemasukan Faiq ke wad kecuali majikanku. Bahkan aku langsung tidak mewar-warkan di dalam Facebook tentang keadaan Faiq. Khuatir akan menjadi isu yang lebih besar sehingga menganggu emosiku dan keluargaku.

Faiq hanya dilawati oleh mama dan abah, serta AB. Keluarga mentuaku juga ada menjenguk Faiq pada admission yang pertama. Batuk Faiq tidak menunjukkan perubahan yang ketara. Masih berpanjangan dan kerap. Faiq selalu menahan batuknya menyebabkan keadaannya seolah-olah seperti mengerang kesakitan. Aku tidak dapat menggambarkan bagaimana keadaannya pada ketika itu, cukuplah sekadar menyatakan yang aku cukup terseksa melihatnya sedemikian.

Petang itu, nafasnya makin laju. Aku mengusulkan ini pada doktor dan setelah diperiksa, doktor menyatakan Faiq perlu diberi bantuan pernafasan, nasal prong sepertimana dia pernah gunakan pada admission yang lepas. Nebulizer terus diberikan untuk mencairkan kahak pada setiap 4 jam. Dan aku merasakan terlalu lelah memujuk Faiq kerana beliau sangat bencikan prosedur itu. Setiap kali ku mulakan, dia akan menangis dan menjerit-jerit kerimasan. Benci dengan wap ubat yang dipaksa masuk ke dalam hidungnya.

Nafas ku hela sepanjang mungkin. Melihat Faiq tertidur keletihan selepas menangis menyebakkan perasaanku.

Sampai bila Faiq akan terus begini, sayang?


*     *     *     *     *

Ku kira perjuangan Faiq masih panjang. Menjalani sebuah kehidupan bagi seorang Faiq serasa terlalu berat untuk dipikul untuk bayi seusianya. 

Aku perlu sedikit waktu untuk berkongsi kesudahan kisah Faiq kerana penceritaan ini sedikit sebanyak menganggu emosiku setiap kali mengingatkannya. Dalam entri yang akan datang, In Shaa Allah aku akan berkongsi pengakhiran episod tentang keadaan Faiq. In Shaa Allah. 


Entri sambungan :  Part 3










Sunday 18 November 2012

Faiq : First Admission

Bismillahirrahmnirrahim.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani.


Ujian Allah itu hadir dalam pelbagai rupa.

Dan buat diri ini, Allah telah sediakan satu tugasan jiwa yang aku perlu hadapi secekalnya.

13 Oktober 2012
Seperti biasa, aku akan melawat Faiq apabila berkesempatan di rumah abah dan mama. Dan kunjungan aku pada kali itu, memperlihatkan Faiq tidak sesihat seperti sediakala. Faiq mengalami selsema dan batuk. Mungkin pada pendapat kalian, batuk dan selsema adalah perkara biasa bagi seorang bayi. Ya, aku juga berfikir sedemikian. Bahkan aku dulu memang selalu diserang virus itu. "Alah, pergi klinik, amik ubat, baik lah dia..." Mungkin ada juga yang berpendapat sedemikian. Ya, batuk dan selsema memang penyakit yang biasa dialami oleh kita semua.

Faiq telahpun dibawa ke klinik swasta pakar kanak-kanak untuk diberikan rawatan. Seperti biasa, Faiq akan diberi ubat-ubatan untuk menyembuhkannya. Namun, keadaan Faiq belum juga berubah. Dan aku juga dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

Untuk Faiq, ini bukan sesuatu yang biasa.


14 Oktober 2012
Aku telahpun pulang ke Terengganu meninggalkan Faiq yang masih belum pulih sepenuhnya dari serangan batuk dan selsema. Namun, petang itu, aku mendapat panggilan dari abah mengatakan Faiq bernafas laju dan abah bercadang untuk membawa Faiq ke hospital. Serasa guruh berdentum dalam hatiku.

Ya Allah....Faiq...

Aku bercadang untuk pulang segera setelah mendapat kelulusan dari Pengetua. Aku harus melihat Faiq! Cuti tu belakang kira. Yang penting, aku mahu pulang ke pangkuan Faiq. Aku pulang bersama AB ke Klang malam itu juga dan kami tiba di Hospital Tengku Ampuan Rahimah kira-kira jam 10 malam. Faiq ditempatkan di wad 6B, Wad Kanak-Kanak.

Sewaktu kakiku melangkah masuk ke dalam wad, aku amati suara halus yang sayup-sayup menyapa gegendang telingaku. Faiq! Aku melangkah laju mengikuti suara itu sehingga aku berada di hadapan katil bernombor 22. Aku melihat mama sedang memujuk Faiq yang sedang merengek-rengek keletihan. Ku lihat Faiq dipakaikan nasal prong pada hidungnya. Enggan minum susu, enggan tidur, enggan segalanya. Aku lantas mendakap Faiq dalam pelukanku. Faiq, Ya Allah, kenapa jadi macam ni sayang?

Malam itu, aku bermalam di wad. Aku belum tahu apa punca Faiq berkeadaan sedemikian rupa kerana doktor pakar hanya akan bertugas pada esok pagi. Aku perlu menunggu sehingga esok untuk mengetahui status keadaan Faiq. Malam itu juga, aku benar-benar dapat menjalankan tanggungjawabku sebagai seorang ibu dengan sempurna. Tugas yang selama ini telah aku pinjamkan pada ibu bapaku. Tugas-tugas asas seperti membancuh susu, mendodoikan Faiq, menukar diapers, menenangkan Faiq, mengusap belakangnya apabila dia mula batuk-batuk. Dan ya, batuknya bukan sekali, bukan dua kali. Tetapi acapkali. Dan setiap kali batuk, dia akan kehilangan rentak nafasnya. Dan setiap kali itulah, nafasnya mula laju dan tercungap-cungap.

Penguin nasal mask. Nurse yang bagi Faiq pakai. Cute kan. 



Ok, ni SpO2 machine. Yang 98 tu ialah peratus oksigen dalam badan Faiq, dan yang 161 tu heart rate dia. Faiq dah kenal mesin ni sejak dia lahir. :)

Faiq perlu guna nebulizer untuk cairkan kahak, seterusnya perlu disedut keluar kahak tu (suction method).

 15 Oktober 2012 - 19 Oktober 2012
Maka bermulalah hari-hari aku dan Faiq menghabiskan masa berdua di hospital yang penuh sesak dengan kanak-kanak dan bayi yang tidak sihat. Bukan aku enggan ke hospital swasta, bahkan, mama dan abah telah pun membawa Faiq ke salah sebuah hospital swasta, tetapi ditolak dengan alasan Faiq bayi pramatang, dan adalah lebih baik jika dia dibawa ke tempat dia dilahirkan kerana di sana terdapat rekod-rekod Faiq sejak dilahirkan. Ataupun mungkin mereka enggan menanggung risiko dalam merawat bayi pramatang? Wallahua'lam.

Doktor pakar membuat rondaan pada sekitar pukul 10 pagi. Doktor pakar yang bertugas di wad 6B itu seorang doktor perempuan berbangsa Tiong Hua, bercermin mata dan berambut separas bahu. Baik orangnya. Setelah meneliti x-ray Faiq yang telah dijalani olehnya semalam, Faiq disahkan menghidap pneumonia. Sejenis penyakit radang paru-paru.

Allahu Akbar. Berat sekali jantungku menerima berita ini. Pneumonia, penyakit yang pernah hampir meragut nyawanya sewaktu awal kelahirkan. Dan ya, Faiq mendapatnya sekali lagi, pada usia 8 bulan.

Susulan daripada penyakit itu, Faiq dibekalkan dengan antibiotik yang bernama Ampicilin dibantu juga dengan nebulizer setiap 2 jam sekali. Dan ya, Faiq amat bencikan nebulizer!

Faiq bencikan nasal prong juga. Habis ditenyeh-tenyeh hidung bila pakai benda ni. So, aku ambil inisiatif untuk mengubah kedudukan nasal prongnya untuk beberapa ketika. Hikhik.


Snap gambar untuk meredakan perasaannya.  :)


Ada suatu ketika Faiq langsung tidak dapat menyusu kerana tekaknya penuh kahak. Lalu Faiq terpaksa menyusu melalui tiub. Tiub yang halus itu dipasang melalui lubang hidungnya sehingga mencecah perut. Susu akan dimasukkan ke dalam tiub itu dan akan menuju terus ke perutnya. Aku tak punya gambar Faiq ketika ini. Malah tak sanggup mengambilnya untuk tontonan.

Faiq juga perlu menjalani suction untuk menyedut keluar kahaknya dari kerongkong dan hidung. Untuk prosedur ini, para jururawat yang akan menjalankannya. Dan aku tidak dibenarkan masuk ke bilik rawatan tersebut. Mungkin khuatir dengan keberadaanku di sana, akan mengganggu konsentrasi mereka (dan juga perasaan keibuanku.) Readers pernah melihat bagaimana suction dilakukan pada bayi? Jika pernah, readers akan tahu apa yang saya rasa.

Antibiotik Faiq perlu diberikan melalui jarum yang telah disetkan di tangannya. D an apa yang aku nak kongsikan disini, jarum Faiq perlu disetkan 5 kali sepanjang berada di wad hanya kerana tangannya yang suka mencabut tiub jarum tersebut berulang kali. +_+  Bermaksud Faiq perlu disuntik sekurang-kurangnya 5 kali untuk mendapatkan venanya yang halus. Bukan senang nak dapat urat hijau dia tu!

Setelah 7 hari mendapat antibiotik, suction, dan nebulizer, alhamdulillah, Faiq beransur pulih. Tetapi ada sesuatu yang merisaukan aku, Faiq mula mengalami cirit birit. Mengapa ye? Aku perasan tentang perkara ini sewaktu Faiq diberikan antibiotik Amoxycilin.  Ya, sebelum ini dia dibekalkan dengan antibiotik Ampicilin. Tetapi, setelah 4 hari, doktor telah menukarkan antibiotiknya kepada Amoxycilin dalam bentuk syrup (ubat minum) kerana Faiq sudah mula berselera untuk menyusu. Atau mungkin juga para doktor juga sudah letih untuk set jarum di tangan Faiq kerap tercabut angkara tangannya yang satu lagi tu? Huhu.

Berbalik pada isu cirit birit, aku telah mengusulkan pada doktor pakar. Dan ulasannya melegakanku.

"Effect antibiotic itu mungkin akan menyebabkan anak you cirit-birit. It's normal. The phlegm will be flush out from the lungs through the bowel."

Aku pun mengiyakan sahaja. Mestilah doktor lebih tahu, kan?


20 Oktober 2012
Hari ini hari Sabtu. Faiq telahpun diperiksa oleh doktor pakar. Menurut doktor, Faiq dibenarkan pulang hari ini berbekalkan antibiotik Amoxycilin yang perlu dihabiskan di rumah untuk 5 hari.

Just in case. Saje je letak towel atas kepala, so that nanti masa nurse datang cek demam, insyaAllah, suhu tak tinggi. And it works.

Baru lepas poopoo untuk kesekian kalinya. Haih, penatnya mama asik kena basuh poopoo Aaiq je.. +_+

Garu kepala yang bobo. ;)


Sejujurnya, aku sangat happy bila Faiq dapat juga pulang ke rumah setelah 7 hari di hospital. Pneumonia, hadir sekali lagi dalam hidup Faiq walaupun telah mendapat suntikan Pneumococcal. Sila ambil maklum, Pneumococcal vaccine hanya mencegah pneumonia yang diakibatkan oleh kuman jenis Streptococcus pneumoniae. Mungkin pneumonia yang dialami oleh Faiq adalah kuman dari jenis yang lain, di mana tidak dapat dicegah melalui vaksin ini. Wallahua'lam.

Pose sebelum discharge. 


Kisah Faiq tidak terhenti di sini. Akan ku kongsikan perkembangannya dalam entri seterusnya.

Faiq, perjuanganmu belum selesai, sayang.


Entri sambungan : Part 2