Monday, 6 June 2016

Fefeeling Pillow Talk

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Tarik nafaaaaaaaaaas. Hembus.
Makan berbulan kot aku tak taip entri. Kenapa begitu malas wahai jari jemari? One thing is, aku rasa no big deal to share about. Malas aku ni, tahap malas nak buka laptop yang beberapa meter dari koordinat aku sekarang, sanggup install Blogger dalam HP dan taip. Haru!

Kadang-kadang tu rasa macam syok sendiri juga kalau post perkara yang tidak memberi kepentingan kepada warga masyarakat. Setakat membebel tentang diri sendiri je. Alih-alih orang pulak meluat kot. Hekhek. Ku baru sedar perkara ini setelah hari tua mula memanggil-manggil.

Today is the first day of Ramadhan. So far so good. Alhamdulillah everything went well. Food is good (because we bought from outside hahah). And for Ramadhan this year, I set up some resolutions :-

1. Not to miss Solat Tarawikh
2. Not to skip reciting the Holy Quran (minimum 5 pages per day)
3. Say no to over-eating! Makan sekadarnya sahaja.
4. Be good to everyone.

Insha Allah. Do pray for my 'istiqmahness'. May all of you achieve your target for this Ramadhan as well.

Oh yes. Do pray for my son's recovery. He is having mild fever. I hope it's not serious. Jangan macam tu, Faiq. Mama nak balik Terengganu dah ni. You always like that kan. The day I wanted to return to work and you make me worry.

Nothing special in this entry. Saje nak borak-borak dengan diri sendiri sebelum tido. Fefeeling pillow talk tapi aku tak peluk bantal pun. Nak tulis diary, I is malas. So yeah. Blog aja!

Sweet dreams!

Wednesday, 10 February 2016

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

"Farrah pernah baca Tenggelamnya Kapal Van der Wijck?"

Soalan abah petang itu ketika aku khusyuk membaca karya novel anak tempatan. Aku hanya menggeleng. Asing sekali tajuknya. Ada perkataan bukan bahasa serumpun Melayu. 

Van der Wijck. 
Bahasa Belanda!


"Belum, bah. Best ke?"

"Very nice story. You should read that. Tapi sekarang buku tu susah nak dapat."

Hampa. Benar-benar hampa. Biasanya kalau sesuatu buku itu disyorkan oleh abah sendiri, pasti bagus. Pasti seratus peratus. Ketika itu usiaku dalam lingkungan enam belas ke tujuh belas tahun. Masih terlalu muda. Internet masih belum meluas lagi. Di mana akan aku cari perihal buku tersebut, tidaklah jua aku tahu. Melainkan melewar-lewar di perusahaan buku bertanya-tanya kepada pekerjanya.

"Oh buku tu! Buku tu buku lama dik. Biasanya susah nak dapat kat sini."

Tenggelamnya Kapal Van der Wijck! Aneh sekali tajuknya. Keanehan itu membuatkan aku penasaran mahu mengetahui mengapa buku ini menjadi pilihan abah.

Bertahun-tahun aku mencari. Selama itu jua aku belum menemukan buku tersebut. Awal tahun lalu, aku mendapati salah seorang anak muridku mengemaskini status Facebooknya dengan memuat naik gambar buku tersebut. Edisi lama. Asli. Terus aku bertanya kepada beliau bagaimana untuk aku mendapatkannya.

"Online, cikgu. Cuba cikgu cari kat page ni - Jejak Tarbiah. Banyak jual buku HAMKA"

Setelah berurusan dengan penjual dari page tersebut, beliau memberi jawapan bahawa buku tersebut kehabisan stok. Perlu menunggu beberapa bulan untuk mendapatkannya. Tambahan pula, cetakan dilaksanakan di Indonesia. Mafhumlah aku akan tempoh masa yang perlu diambil.


Kulit buku Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck  edisi lama.
Sumber : Facebook Ainul Zakirah Humaira

Pertengahan tahun lalu, sedang aku mencari bahan-bahan untuk hiasan kelas di sekolah di sebuah kedai buku, mataku tertancap pada tulisan itu.

Sebuah Karya
HAMKA

TENGGELAMNYA KAPAL 
VAN DER WIJCK

Benarkah?

Lima belas tahun lamanya aku mencari. Lima belas tahun! Akhirnya. Alhamdulillah. 
Biarpun wang tunai yang ku bawa ketika itu hanya sekadar mencukupi untuk membeli barang yang telah kurancang, namun ku batalkan sahaja, Buku itu harus aku dapatkan!

Tenggelamnya Kapal Van der Wijck edisi terkini

Ku kira sudah terlalu lama aku meninggalkan dunia penulisan. Pembacaanku juga berkurangan dek kekangan masa yang melampaui batas senggangku. Permulaan pembacaan Tenggelamnya Kapa Van Der Wijck ku akui amat mencabar. Setelah bergelar pendidik, apatah lagi dengan kesibukanku menguruskan sekolah dan rumahtangga, pemahamanku terhadap mainan bahasa terasa begitu sulit. Sukar sekali memahami gaya bahasa penulisnya.

Hampir beberapa bulan aku tinggal lalu saja buku tersebut. Tidak menyentuhnya kerana aku tahu aku perlu masa yang sesuai untuk menghayati jalan ceritanya.

Lewat cuti baru-baru ini, nekad aku untuk mengkhatamnya. Dan aku harus kerana aku mahu tahu mengapa abah memilih buku ini untuk jadi bacaanku. Dan mengapa berjilid-jilid cetakan habis di pasaran. Sehingga pembaca perlu menunggu berbulan-bulan untuk mendapatkan cetakan terbaru khas dari Indonesia.

Tiga hari aku berjaya menghabiskan pembacaan.

Subhanallah!

Betapa kagumnya aku dengan kemampuan HAMKA bermain bahasa. Seolah-olah aku berada dalam era 1930-an dengan penceritaan yang begitu terperinci. Belum pernah aku ke Indonesia. Namun dengan Tenggelamnya Kapal Van der Wijck, aku dapati rohku terbang bersama-sama ke Makasar, terus ke Padang, Sumatra lalu ke Tanah Jawa. Sinematografinya walau tiada bervisual, namun aku mampu membayangkan keindahan dusun yang dipelopori bangsa Melayu Minangkabau dan nian pesisir pantai Sulawesi Selatan.

Dan begitu jua pemain perannya. Zainuddin, anak muda sederhana. Terbuang dalam jajahan sendiri dek keturunannya yang tidak tentu usul. Lalu apakan daya, kalau jiwanya dipaut oleh pesona Hayati, anak dara Minangkabau jati dari Kampung Batipuh, Padang. Cantik molek dan polos. Tipikal gadis melayu kampung lengkap berselendang berbaju kurung.

Pertemuan itu dalam kehujanan langit membasah bumi. Hayati dan temannya yang sabar menunggu di bawah teduhan kerana tiada berpayung. Lalu tatkala itu, Zainuddin dengan rasa tanggungjawab memberi pinjam payungnya kepada mereka berdua. Kerana tiada tega melihat kedua-duanya lewat pulang ke rumah usai pengajian di pondok.

Dari mata turun ke hati,

Suci cinta Zainuddin lalu diterima Hayati. Berkiriman surat beberapa lama lalu dihidu oleh orang-orang kampung. Terusir Zainuddin dari dusun tersebut bertatah nama adat Melayu pantang diusik. Lelaki dan perempuan tak bisa bergaul. Apatah lagi dia anak dagang. Bukan Minangkabau asli. Ada hati hendak menyunting Hayati, puteri golongan bangsawan.

Janji Hayati di hari pengusiran Zainuddin, bahawa dia akan menunggunya biarpun berapa tahun lamanya. Jika di dunia, Zainuddin tidak tertakdir menjadi suami, biarlah di alam sana mereka mematri janji. Lalu dikirim selendang dan beberapa helai rambutnya yang panjang buat kenangan sepeninggalan Zainuddin.

Hasutan orang. Dunia moden saduran kerajaan Belanda menjadikan hati Hayati mulai goyah. Masakan Zainuddin yang tidak punya apa mahu dijadikan suami? Tiada berharta dan rupa. Sedangkan dia sang gadis jelita. Seolah pipit dengan enggang. Seolah tembaga dan berlian perbandingannya.

Hayati termakan jua cakap-cakap orang. Temannya Khadijah, bahkan menuduh Zainuddin orang kurang siuman. Lantaran lagaknya yang pemenung dan pendiam. Penghulu penjaga Hayati juga begitu. Menjunjung adat Minangkabau, pantang kalau anak jatinya berkahwin dengan anak dagang. Tidak diketahui betul keturunannya. Bimbang jika mereka beranak pinak kelak, lalu di mana anak tersebut hendak dikelaskan keturunannya?

*     *     *     *     *

HAMKA, atau Haji Abdul Malik Karim Amrullah.
Kenalkah anak-anak muda sekarang dengan personalia ini? Seorang ulama dan novelis Indonesia yang termashyur dalam lingkungan tahun 1930-an. Karyanya selain dari Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck adalah Di Bawah Lindungan Kaabah, Tuan Direktur dan Merantau ke Deli. Selain novel-novel, HAMKA juga dikenali sebagai ulama yang banyak mengkaji mashaf-mashaf Islami.

Sebagai pembaca, aku sangat terkesan dengan bahasanya. Puitis dan meresap terus ke jiwa. Kebijaksanaannya membawa aku terus ke alam Zainuddin dan Hayati. Tenggelam dalam tulus cinta mereka.

Mahakarya HAMKA ini wajarlah dibeli sebagai koleksi. Dan para pencinta novel akan tahu betapa dangkalnya meterial novel sekarang yang ada di pasaran. Baik bahasanya. Isinya. Kepura-puraan dalam realitinya.

Ah! Kalau si kaya itu perlu tampan. Perlu sempurna sebagai hero.
Aku muak. Muak sekali dengan lambakan novel yang ada.
Jelak dengan bahasa yang cetek. Umpama percakapan harian. Lalu ditambah pula dengan perkataan urban. Kononnya!

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck adalah buat pembaca yang mahu menyingkap keindahan berbahasa Melayu.
Mengkaji kosa kata yang lama ditinggalkan.
Menyelusuri adat Melayu yang tiada diwar-warkan kini.
Meniti cinta suci antara dua jiwa yang tiada berkesampaian.
Memahami bahawa cinta itu tidak seharusnya memiliki.


"Sudikah engkau menjadi sahabatku, Hayati? Saya tahu saya orang dagang melarat dan anak orang terbuang yang datang dari negeri jauh, yatim dan piatu. Saya akui kerendahan saya, itu agaknya akan mennagguhkan hatimu bersahabat dengan daku, Tetapi Hayati, meskipun bagaimana, percayalah bahawa hatiku baik. Sukar engkau akan bertemu dengan hati yang begini, yang bersih lantaran senantiasa dibasuh dengan air kemalangan sejak lahirnya ke dunia!" - Zainuddin


"Kalau demikian, hari inilah saya terangkan di hadapanmu, di hadapan cahaya matahari yang baru naik, di hadapan roh ibu bapa yang sudah sama-sama berkalang tanah, saya katakan : Bahawa jiwaku telah diisi sepenuh-penuhnya oleh cinta kepadamu. Cintaku kepadamu telah memenuhi hatiku, telah terjadi sebagai nyawa dan badan adanya. Dan selalu saya berkata, biar Tuhan mendengarkan, bahawa engkaulah yang akan menjadi suamiku kelak, jika tidak sampai di dunia, biarlah di akhirat. Dan saya tiadakan khianat kepada janjiku, tidak akan berdusta di hadapan Tuhan, dan di hadapan arwah nenek moyangku"- Hayati


"Demikianlah perempuan, dia hanya ingat kekejaman orang kepada dirinya, walaupun kecil, dan dia lupa kekejamannya sendiri kepada orang lain walau bagaimana besarnya"- Zainuddin


"Di dalam jiwaku ada suatu kekayaan besar yang engkau sangat perlu kepadanya, dan kekayaan itu belum pernah kuberikan kepada orang lain, walaupun kepada Aziz, iaitu kekayaan cinta."- Hayati


Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck adalah buat pencinta bahasa.
Maaf sekiranya anda mahu pembacaan yang galak mempamerkan cinta sebagai suatu cabang nafsu, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck bukan untukmu.

Kerana sepasang Zainuddin dan Hayati mengajar bahawa cinta itu terdorong dengan keikhlasan berpaksikan ajaran Tuhan.
Biarpun bukan di dunia akad dan persandingannya.







Tuesday, 9 February 2016

Perang Jiwa

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.



Pernah suatu ketika, ketika umurku barang sembilan atau sepuluh tahun, sahabat mama berkunjung ke rumah dan secara tidak sengaja membaca buku karanganku yang ku letak bersepah di atas meja makan. Sedang waktu itu, aku menyelesaikan tugasan-tugasan yang diarahkan oleh guru.

"Bagus penulisannya! Tak meleret dan bersahaja."

Ku kira pada ketika itu, aku belum benar-benar mengerti apa yang dimaksudkan oleh beliau. Kata-kata tersebut diunjukkan kepada mama yang baru selesai menuangkan air minuman dan sedikit makanan ringan buat kudapan para tetamu tersebut.

Setelah beberapa tahun berselang, aku dapati karangan-karanganku kerap mendapat pujian dan komentar positif dari guru-guru. Maka ramai jugalah kawan-kawan berbangsa Tionghua dan India mendekatiku dan ingin meminta pandangan bagaimana menghasilkan sebuah karangan yang baik.

Kaget barangkali kerana bukan kepandaianku dalam mengajar orang lain bagaimana untuk menulis dengan baik. Kalau ditanya diriku bagaimana aku dapat mencoret catatan yang berjiwa, aku sendiri pun tidak punya jawapan. 

Aku menulis dengan apa yang aku rasa. Apa yang aku gambarkan dalam benakku, itulah yang aku lahirkan dalam susunan huruf-huruf membentuk perkataan-perkataan. Aku suka menggunakan analogi yang logik mengaitkan ciptaan Tuhan dengan kehidupan seharian. Ku kira dengan perbandingan itu, mampu menyentap jiwa pembaca dengan maksud yang ingin ku utarakan.

Syukur aku ke hadrat Ilahi kerana meminjamkan kemahiran ini kepadaku. Lantaran itulah penyebab blog ini bernadi. Manakan aku mampu meneruskan jika jiwa penulis tidak wujud dalam diri ini. 

Sejak bertatih, abah suka memperdengarkan aku lagu-lagu lama. Dewasa sedikit, aku suka menonton cerita melayu klasik  hitam putih terbitan Shaw Brothers dan Cathay Keris. Setelah ku mengenal huruf-huruf dan mampu membaca, minatku berkembang ke arah bahasa dan kesusasteraan. Usiaku ketika itu sekitar 12 tahun, dan abah telahpun mendedahkan aku dengan karya Shahnon Ahmad, Abdullah Hussain dan Arenawati.

Aku ternyata menghayati karya-karya mereka. Banyak sekali buku-buku di rumah yang kebanyakkannya bergenre berat, bahasa yang puitis dan penuh kiasan. Mungkin dari situlah, kemahiran mengarangku diasah dan membawa aku kepada siapa aku sekarang.


"Kenapa kau tak pilih bidang bahasa je? Jadi cikgu BM? Atau pengarang?"

Tahun 2002, setelah aku tamat SPM, bingung rasanya berdepan dengan pilihan-pilihan yang ada. Apatah lagi isu lambakan graduan sebagai penganggur menjadi sensasi pada waktu itu.  Menjadi penulis ternyata bukan suatu pilihan yang baik jika aku mahu suatu kedudukan yang kukuh dan stabil. Guru bidang Bahasa Melayu juga. Pada waktu itu, kerajaan mahu melonjakkan nama Malaysia lebih ke arah global dan saintifik. Tak hairanlah tawaran sebagai pendidik berlatar bidang sains dan matematik berpusu-pusu masuk secara besar-besaran. Apa kiranya aku masih mahu mengambil kira minat sebagai suatu cabang kerjaya?

Hingga itulah aku tertakdir sebagaimana sekarang. Mencari rezeki dalam bidang perangkaan walhal bahasa dan penulisan adalah pergantungan jiwaku.

31 tahun berperang jiwa. Hairan mungkin rakan-rakan sekerja yang berpeluang berkunjung ke ruang blog ini melihat bagaimana aku menzahirkan perasaan melalui butir kata.

Simpan sahaja perasaan itu. Aku tidak perlu dikagumi. Kerana ini ternyata diriku. Seorang karyawan seni yang terpinggir di balik figura.



Saturday, 28 November 2015

Setahun Berlalu

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Sudah lama aku diam menyepikan diri. Terus terang aku kekok untuk memulakan. Apa betul tatabahasaku? Apa bagus lenggok ayatku? Entah. Canggung benar rasanya! 

Sudah terlalu lama tidak meninggalkan coretan dalam blog ini.

Namun,

Aku kembali keranamu, readers. 

Melihat harapan kalian untuk mendengar susulan kisah Faiq, membuatkan aku rasa aku perlu bangkit menulis. Walaupun begitu, entri kali ini ringkas. Berikan aku sedikit waktu untuk menyesuaikan semula penulisanku agar betul duduknya dan rapi susunannya. 

:)

Faiq Aqwa, anakku. 3 tahun 9 bulan.

Anak yang periang dan aktif, alhamdulillah.

Walau masih dikategorikan sebagai kanak-kanak kurang berat badan, aku menerima beliau seadanya.




Banyak yang telah kami lalui dalam setahun ini. Insha Allah akan ku perihalkan dalam entri yang akan datang.


Anggaplah ini sebagai mukadimah. 

Permulaan bagi diriku yang baru bangkit dari lena yang panjang.




Monday, 24 November 2014

Kekuatan

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Langit di luar kelihatan mendung. Barangkali hujan masih belum mahu meninggalkan bumi Pantai Timur. Aku masih lagi di sini menghabiskan sisa-sisa tugas yang masih berbaki. Majlis Sireh Pulang ke Gagang akan berlangsung esok, meraikan para pelajar Tingkatan Lima yang telah berjaya melengkapkan semua kertas-kertas Sijil Pelajaran Malaysia 2014.

Masih lagi belum pulang ke pangkuan anakanda tercinta, aku harus akur dengan tugas-tugas guru yang masih lagi belum selesai. Jarak yang jauh menyukarkan aku untuk berulang-alik menyebabkan aku mengambil keputusan untuk menunggu sehingga semua urusan kerja selesai.

Selepas menyiapkan entri tentang perkembangan terbaru Faiq beberapa hari lepas, ramai kawan-kawan, sahabat handai sama ada aku kenali secara peribadi mahupun melalui laman sosial menyapaku dan memberikan aku kata-kata semangat. Kebanyakkan dari mereka menyatakan aku
seorang yang kuat. 

Insan yang kuat. 
Ibu yang kuat. 

Allahu, kuatkah aku?

SubhanAllah, sekiranya hatiku ini dapat berbicara, 

Kekuatan itu bukan datang secara azali. Aku bukan wanita yang kuat. 13 tahun yang lalu, aku pernah ditawarkan ke sebuah sekolah berasrama penuh namun dengan sikap cengengku yang masih menebal ini, aku nekad untuk kembali ke sekolah lama.

Sesampainya di sekolah lama, aku pula diejek dan digelar anak manja oleh anak-anak sekolah itu. Pulang ke rumah dari sekolah, pasti aku akan mencari katil dan menangis semahunya kerana diperlakukan sebegitu di sekolah.

Tidak cukup dengan kawan-kawan sekolah, guru-guru di sekolah lama juga semakin galak menyakat aku dengan kata-kata nakal kerana tidak tahan di sekolah berasrama penuh. 

Sekali lagi aku kalah dengan permainan dunia.

Baru sedikit sahaja Allah menjentik perasaanku, berderai-derai airmata dibazirkan kerana perkara-perkara remeh. 

Cantiknya perancangan Allah, di mana si cengeng inilah yang dipilih olehNya untuk melalui kehidupan yang cukup sukar dan mencabar. 

Allahu. 

Diuji dengan lewat hamil setelah 2 tahun berkahwin.
Diuji dengan komplikasi sepanjang kehamilan.
Diuji dikurniakan anak pramatang.
Diuji dengan kesihatan anak yang masih belum stabil.
Diuji terpaksa berjauhan dengan anak.

Apakah aku mampu untuk melaluinya sekiranya aku masih lagi bersikap cengeng dan manja?

Tidak, readers. Aku takkan mampu.

Dari situlah, aku mula berubah dan mula mengutip dan mengumpul setiap kata-kata sinis yang dilemparkan padaku untuk dijadikan tenaga bagi kekuatan emosiku. Aku tidak boleh lemah, walaupun aku masih lagi Farrah Falina yang penyedih, namun kerana Faiq, aku harus kuat dan aku tidak boleh lemah di hadapannya.

Jujur aku katakan, setiap hari aku takut. Aku takut dengan segala kemungkinan. Apa sahaja boleh berlaku jika Dia berkehendak. Tapi aku harus belajar untuk akur dan redha, setiap apa yang berlaku bukan dalam kekuasaanku. Kalau boleh, memang aku mahu warnakan sendiri kehidupanku dengan warna-warna pelangi. Namun jika iradahNya mengarahkan rona hidupku hanya ada hitam, lalu apalah pilihanku selain pasrah dan menerima?

Namun, suatu yang aku tahu,.
Pasti. 
Warna hitam yang menjadi rona hidupku itu akan aku jadikannya seindah malam yang nian. 
Dihiasi bintang-bintang dan kedinginan angin yang sepoi-sepoi yang mampu melenakan sekalian penghuni bumi dengan nyaman dan tenang.

Terima kasih kepada semua yang mendoakan Faiq Aqwa, semoga kalian dilimpahi kurnia, rezeki dan rahmahNya yang tidak berpenghujung.

*     *     *     *     *

Buat Faiq anak mama, ingatlah anakku.

Hidup ini suatu perjuangan yang dipandu oleh Tuhan.
Kita tidak diberi ruang untuk memilih irama kehidupan, namun setiap irama yang diberi olehNya, jadikanlah irama itu suatu lagu yang indah dan bermakna.

Mama sentiasa menyayangimu, wahai anak Syurga.








Saturday, 22 November 2014

Faiq Aqwa : A Love Story

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.





"Aku janji, akan aku namakan anak ini dengan sebaris nama yang membawa erti kekuatan sekiranya anak ini selamat dilahirkan"

Masih segar terpapar dalam memori kira-kira hampir 3 tahun yang lalu, aku yang terdesak memikirkan nasib puteraku yang ku kandung hanya 8 bulan bakal berdepan dengan kesudahan yang masih berteka-teki. Dalam keadaan yang lemah dan tidak mampu bergerak, aku gagahi jua perjuangan ini untuk melahirkan sang khalifah ini walaupun aku tahu risiko yang bakal dihadapi olehnya.


"Congratulations, you've got a lovely boy!"

Masih terngiang-ngiang suara doktor yang menyambut kelahiran bayiku. Bait itu tidak pernah mungkin akan ku lupa. Intonasi dan nada suaranya masih jelas kedengaran di cuping telingaku. 


Suara itu. Ya, suara itu. Suara pertama yang aku dengar dari tubuh kecil itu. Tersekat-sekat dan lemah sekali. Tersedak-sedak menagih nafas yang tercungap-cungap. Meski wajahnya terselindung di balik tabir yang memisahkan aku dengannya, aku cukup kenal itulah janin yang menjadi penghuni rahimku selama 8 bulan. 

32 minggu. 
Tanpa amniotic fluid. 

What can we expect from this little boy?


FAIQ AQWA
(Keutamaan yang Perkasa)

Kami pilih sebagai panggilan. Semoga berbekalkan kekuatan, anak ini mampu berjuang sebagai mana beliau berjaya melengkapi alam rahimnya walau dirinya tidak sesempurna anak-anak lain.


*     *     *     *     *

Kira-kira 4 tahun lalu, sewaktu aku belum disahkan hamil, pernah aku menatap helaian akhbar yang memaparkan sebuah kisah yang menyayat hati :-

"IBU SANGGUP DERMAKAN SUMSUM TULANG UNTUK ANAK"

Hati ini mula bermonolog sendirian.

"Bahagianya ibu itu. Walaupun anaknya tidak sesihat anak-anak lain, dia masih punya anak. Dia masih punya zuriat. Sekurang-kurangnya dia punya seseorang untuk dicurahkan kasih sayangnya"

Aku tahu ibu itu bahagia. 
Anak itulah kebahagiaannya meski kesihatan dirinya menjadi korban.
Apalah sangat pengorbanan itu jika itu bisa membahagiakan?

*     *     *     *     *

Aku tahu, terlalu lama aku meninggalkan dunia blog ini tanpa mengkhabarkan sekelumit berita tentang anakku, Faiq.

Ramai yang prihatin bertanyakan tentang Faiq, bagaimana dia sekarang? 
Sudah boleh berjalankah? 
Sudah mampu bercakapkah? 

Terima kasih kerana masih mahu mendengar khabarnya. 
Sungguh, aku sangat terharu.

:)


Alhamdulillah Faiq Aqwa sudah mampu berjalan sendiri pada usia 2 tahun dan mampu berkata-kata sejak usianya 1 tahun 6 bulan.

Bahagia sekali diri ini. Syukur padaMu Ya Rabb.

Faiq Aqwa, 
Ketika entri ini dikarang, dia telah berusia 2 tahun 9 bulan. 
Bermakna, sudah 9 bulan dia dapat berjalan dan kini telah mampu berlari. 
Sudah mampu berbual dan kepetahannya semakin terserlah apabila diajak berbicara. 
Sudah mengenal dan mampu menyebut A sehingga Z, nombor 1 sehingga 20, dan paling cekap dalam mengenal warna.

Paling meminati kereta. 
Segala jenis automobil dia kenal hanya dengan melihat logonya. 
Tanyakan sahaja kereta apa di jalan raya, pasti dia akan menjawab dengan betul. 
Jika di pasaraya, department mainan kereta lah yang akan ditujunya dahulu. 
Replika model kereta mewah yang kecil-kecil itu yang suka dibeleknya. 
Sekecil-kecil logo itu juga dia boleh mengenalpasti jenama kereta tersebut.

 Kini, dia juga kenal jenis modelnya.

BMW 5 Series
BMW 3 Series
BMW X5
BMW X6

Ini antara model kereta yang dikenal olehnya.

Allahu Rabbi..
Aku menulis bukan kerana aku berbangga dengan anakku. 
Demi Allah, bukan maksudku begitu.
Aku hanya mengagumi kekuasaanNya.

Benarlah Tuhan itu Maha Mampu Menjadikan Segalanya.

Aku juga hairan bagaimana anak sekecil itu, yang belum sampai 3 tahun usianya mampu mengingat dan mempunyai minat yang agak matang dan dewasa. 

Beliau kurang gemar kartun.
Tidak meminati superhero seperti anak-anak lain. 
Tidak suka berlawan dan tidak menyukai permainan lawan-lawan.

Faiq sangat berbeza.
Pemalu tetapi suka berkawan.
Bila berhadapan dengan anak-anak lain di taman permainan, beliau suka menyertai mereka.
Namun, seringkali diherdik oleh anak-anak lain kerana beranggapan dia hanya mengganggu kumpulan mereka.
Apatah lagi saiznya yang kecil dan kurus. 
Manalah mungkin diterima masuk dalam geng mereka.

:')

Tapi Faiq tidak pernah menangis. Dan tidak juga mencari peluang untuk membalas herdikan mereka. Tidak mahu mencari perbalahan dalam situasi itu, Faiq sekadar mengundur diri dari mereka dan cuba mencari permainan lain untuk dimain di sana. 
Sendiri. 


Ah, anakku! 
Kau membuatkan mama sangat terharu..


*     *     *     *     *


Namun, Tuhan itu Maha Adil.

Faiq sebenarnya menyimpan suatu rahsia yang tidak pernah aku war-warkan pada sesiapa pun di alam maya.

Sebelum ini, aku tidak kuat untuk menceritakan. 
Berbulan-bulan lamanya entri tentang Faiq aku simpan buat diriku dan juga keluarga. 
Aku tidak mampu untuk berkongsi di saat aku belum benar-benar dapat menerima kenyataan itu. 
Aku berdiam sebelum ini kerana aku tidak mahu kisah ini menjadi viral dan menjadi perbualan kosong di luar sana. 

Sungguh, aku lemah.

Namun, kini, perlahan-lahan aku raih kekuatan dariNya untuk terus menulis tentang resam kehidupan yang silih berganti warna. Tidak selamanya kita berada di puncak. Adakala kita perlu jatuh untuk menyedarkan diri yang kita bukan Tuhan. 
Kita tidak mampu mencipta sendiri kehidupan ini.

Semua telah tertulis dan ditakdirkan. 
Lalu, dengan kekuatan itulah aku akan memperihalkan segala apa yang tersimpan dalam lipatan memoriku.

*      *      *      *      * 
Bismillahirrahmanirrahim.
Semoga Allah merahmati anakku.

Faiq Aqwa disahkan mempunyai beberapa komplikasi setelah 2 tahun dilahirkan ke dunia. :-

  • Kypho-Scoliosis - tulang belakang bengkok ke kanan dan bongkok ke hadapan.
  • Syringomyelia - kelainan pada saraf tulang belakang di mana air sumsum tulang  (Cerebrospinal Fluid (CSF)) yang berkumpul setempat pada satu bahagian di tulang belakang. Dalam kes Faiq, air sumsum tulang belakang Faiq banyak berkumpul di bahagian atas tulang punggung, di bahagian belakang pinggang.
  • Cross Fused Renal Ectopia - keadaan di mana ginjal (buah pinggang) berada dalam kedudukan abnormal. Dalam kes Faiq, ginjalnya bertindih antara ginjal kiri dan ginjal kanan.

Subhanallah, 
Walhamdulillah, 
Walaa ilaa ha illallah, 
Wallahuakbar.

Demi Tuhan yang Maha Mengetahui.
Maha Adil dan Saksama.

Dia telah mengurniakan seorang anak yang cukup sempurna akal dan akhlaknya. 
Namun, siapa menyangka, anakku yang kelihatan normal pada luarannya menanggung beban yang aku sendiri tidak mampu untuk menggalas.

Sewaktu didiagnos semua komplikasi ini, aku terdiam sebentar.
Terduduk aku setelah membaca laporan MRI yang telah disahkan oleh pakar radiologi Januari yang lepas.

Oh, Faiq anakku.

Berdasarkan pembacaanku dan pemahaman oleh doktor yang merawat Faiq, komplikasi-komplikasi tersebut mungkin akan menyebabkan :-

  • Tulang belakang terus membengkok dan membongkok sekiranya tidak dirawat akibat Kyphoscoliosis.
  • Paralyse atau lumpuh (nauzubillahiminzaalik) akibat Syringomyelia.
  • Jangkitan kuman dalam urin yang akan menyebabkan kerosakan ginjal akibat Cross-Fused Renal Ectopia.
*menghela nafas panjang*

Aku tahu, aku mungkin akan merasai sebuah kehilangan sekiranya Tuhan berkehendakkan begitu.
Aku perlu bersedia untuk sebarang kemungkinan.

Tapi satu yang pasti,
Aku tidak akan pernah berhenti berusaha untuk membahagiakan anak syurga ini.
Tidak pernah terlintas di fikiran ini bahawa anak ini menyusahkanku, walaupun aku perlu berulang-alik hampir 300 kilometer pergi dan balik dari Klang ke Kuala Terengganu berikutan Faiq masih di bawah jagaan datuk dan neneknya.

Faiq perlu rawatan terbaik dari pakar-pakar yang terbaik, in shaa Allah. Buat masa ini, Faiq sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah , Klang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya.

Dan ketahuilah pada semua yang membaca entri ini, tiada sekelumit perasaan 'sengaja' untuk meninggalkan Faiq berbatu-batu jauhnya. 
Tiada sedikitpun perasaan mahu menyusahkan ibu bapaku untuk menjaga Faiq selama ini.
Bukan niatku untuk sengaja tidak mahu mencari pengasuh terbaik untuk anakku.
Bukan juga kerana paksaan ibu bapaku untuk merampas kasih sayang kami.

Bukan!

Luluh hatiku bila yang lain berkata semacam apa yang kurang enak didengar.

Seolah-olah aku bersenang lenang di sini tanpa perlu menjaga anakku seperti ibu bapa lain.

Subhanallah, terlalu berat tuduhan itu.


Faiq bukan seperti anak-anak normal yang lain.

Lantaran itulah, aku mengorbankan kebahagiaan aku untuk berjauhan dengannya.
Faiq perlu diberi rawatan.
Usaha memberi rawatan yang terbaik, itulah tanggungjawab dan amanahku.

SubhanAllah.
Hanya Allah sahaja yang mengerti perasaan ini tatkala mendengar anak-anak jiran bermain dan bercanda di luar rumah. 

Rindu pada Faiq semakin mencengkam jiwa.


video
Faiq belajar bertatih
2 November 2013, 1 tahun 9 bulan



video
Faiq belajar berdiri sendiri
14 Januari 2014, 1 tahun 11 bulan



video
Langkah-langkah pertama Faiq
29 Januari 2014, 1 tahun 11 bulan



video
Faiq Aqwa, terkini dengan Tarian Tiptoe.
2 tahun 8 bulan, 5 Oktober 2014



Setelah satu pengorbanan yang telah aku lalui ketika beliau berada dalam rahimku, kini tiba pula pergorbanan yang seterusnya untuk mencari penawar komplikasinya.

Jangan pernah simpati untukku.
Kerana aku sedang berbahagia dalam mengorbankan.

Aku tidak akan pernah berhenti berusaha.
Kerana Faiq adalah kebahagiaanku.

































































Thursday, 30 October 2014

An Introvert Perfectionist

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Tak kira apa pun, aku tetap nak habiskan post ni hari ini. Full stop.

Dari dulu, tahun 90an masa tahun pertama aku bersekolah, mama pernah cakap,

"Farrah kalau balik sekolah, dengan baju tak salin, stokin tak bukak, terus duduk menonong kat kerusi siapkan homework. Selagi tak siap, memang tak berganjak. Makan pun tak sentuh."

Entahlah, mungkin Tuhan dah jadikan aku dengan pemikiran begini. Mungkin juga didikan mama dan abah jugak menyebabkan aku begini. Kerja dapat hari ni, mesti siap hari ni, 
Siap bermaksud tulisan kemas dan semua jawapan mesti betul.
Selagi tak siap, selagi tu la aku akan buat.
 Mesti buat.
Mesti siap.
Mesti tulisan kemas.
Mesti betul semua.

Tahun 1995, darjah empat. Masa tu nak tidur dah. Kebiasaanya aku kalau nak tidur, mesti tangan abah yang kena ulik. Tangan orang lain alamatnya memang tak tidur la aku sampai ke pagi. Hehe. Masa nak dekat-dekat lena tu, aku baru teringat  Pn. Siti Murni, cikgu matematik sekolah aku ada bagi homework.

Alamak??? Macam mana ni? 
 Buat dalam buku mana?  Buku Matematik 1 ke Matematik 2?

Dan-dan tu jugak aku dail nombor bestfriend aku masa tu, Ayu untuk tanya dia kemusykilan aku yang bersarang atas batu jemala ni. Masa tu dah pukul 10 ke 11 malam, tapi aku buat muka tak malu jugak call Ayu.

"Hello, assalamualaikum.. Boleh cakap dengan Ayu?"

Ayah Ayu kot yang angkat masa tu.

"Ayu dah tidur la..."

"Err.. Pakcik, boleh tak kejutkan dia sekejap? Saya ada hal mustahak nak cakap dengan Ayu.

Umur 10 tahun. 
Soal homework bab darab bahagi tu kira 'mustahak' sangat la berbanding masalah Palestin dan Zionis.

Mujur ayah Ayu baik. Beliau kejutkan jugak Ayu. Kalaulah aku jadi ayah dia dah lama aku sound. Sampai sekarang  bila ingat balik memang aku malu gila dengan ayah si Ayu. Sorry pakcik!

Ayu pun mula bersuara di gagang.

"Hello..."

"Hello Ayu, Ayu, Farrah ni.."

"Hmm..."

"Ayu, ingat tak Cikgu Siti ada bagi homework pagi tadi? Farrah lupa la nak buat. Ada kan cikgu bagi?

"Hmm..."

"Buku mana eh Ayu? Buku 1 ke buku 2?"

"Hmm..."

"Buku 1 ke?"

"Hmm..."

"Err.. ok la Ayu, sorry ye Farrah ganggu ni. Sorry sangat. Assalamualaikum.."

"Hmm..."


Ok. Rasanya Ayu tak dengar pun apa yang aku cakap tadi. Mamai-mamai tengah sedap tidur, orang cakap pasal homework, kejadahnya la nak ingat masa tu.

Dan sudahnya aku tidur pukul 2 pagi sebab siapkan homework ditambah pula dengan tak boleh tidur disebabkan oleh masih lagi keliru buku mana nak guna untuk homework tu. Apa-apa hal pun, aku tetap kena siapkan on time.

Itu prinsip aku.

Pernah juga berlaku masa zaman belajar di U, aku tidur pukul 6.00 pagi sebab nak siapkan folio kajian Falsafah Sains. Pagi tu, pukul 8.00 pagi kena submit. Kenapa aku lewat siapkan, sedangkan orang lain semua dah siap awal? 

Sebab isi-isi yang aku kena olah perlu aku teliti habis-habis agar tak tersilap maksudnya. Setiap olahan itu, ayatnya kena cantik dan mudah difahami. Perlu betul tatabahasanya. Perlu mantap pengolahannya. 

Mungkin bagi orang lain akan fikir, 
"Hello? Falsafah Sains je kot?"

Tapi aku tak boleh!!!! 
Aku memang tak boleh fikir macam tu.
Aku memang tak boleh, dan tak reti nak buat kerja yang ala kadar.

Sikap tu berlarutan sampai la aku dah tua-tua ni. Pantang orang bagi kerja mesti nak kena buat sebaik mungkin. Mesti kena tip top dan perfect.

Kalau aku ditugaskan untuk mengetuai ahli jawatankuasa sesebuah program, biasanya aku yang akan selesaikan sebahagian besar tugas-tugas berkaitan. Bukan bermaksud anak-anak buahku tak buat kerja, tetapi sebab aku mahu beri yang terbaik. So, aku la yang kena bertungkus lumus untuk selesaikan sehabis baik. Kalau nak arah-arah orang suruh buat kerja ikut selera aku, tu bukan jenisku. 

Aku rela buat sendiri, rela korban masa dan tenaga sendiri untuk settlekan perkara-perkara yang sepatutnya mengikut spesifikasi yang terbaik.

Janji aku puas hati dan aku boleh tidur lena malam itu tanpa nightmares yang menghantui aku sebab aku gagal dalam memberikan yang terbaik.


Sampai satu ketika, aku fikir. 

Kenapa aku ni? Kenapa perlu nak detailed sangat? 

Perfectionism is good, but sometimes, it hurts you. 

Menjadi seorang perfectionist memang sangat meletihkan bagi aku. 
Kerana aku seorang perfectionist yang introvert.

Aku nak beri yang terbaik dan pada masa yang sama aku tidak mahu menyusahkan orang lain.

Yang mana pada aku, ia sangat meletihkan.
 Letih kerana aku tidak suka akan hasil yang ala kadar.
Dan letih juga kerana aku tidak mahu membebankan orang lain.

Letih juga kerana ada insan-insan yang gemar mengambil kesempatan atas sikapku ini.
Melambakkan tugas-tugas yang mana ku kira sangat berat untukku tanggung sendiri.
Namun, aku juga tidak tega untuk meminta bantuan.
Bukan kerana ego, namun, aku memang begitu. 

Sandar seketika dan mula berfikir.
Biarlah apa yang orang kata, gila kerja, workaholic atau apa jua.
Aku bukan taksub.

Sambil memujuk hati, aku mula bina prinsip sendiri :-

Melakukan sesuatu yang diamanahkan itu bererti Allah percaya pada kemampuanmu. 
Berhenti merungut dan persembahkan yang terbaik.
Jika ada pihak yang mengambil kesempatan ke atas sikap perfectionistmu, anggaplah itu ganjaran dari Allah mungkin. 

Allah mahu beri pahala. 
Allah mahu gugurkan dosa.
Allah mahu gantikan kudrat dan keringatmu dengan sesuatu yang benar-benar kau inginkan.

Perfectionist untuk Allah.
Kerana Allah itu perfect. 
Mempersembah padaNya hasil kerja yang perfect membuktikan hanya Dia yang layak menerima hasil ibadah yang sempurna.

Sempurnakan ibadahmu,


Kini, aku benar-benar pasti satu perkara.

Aku enjoy menjadi perfectionist.
Sebagai hasil terbaik ibadahku.
Untuk Tuhanku.