Saturday 19 November 2016

Seni itu Jiwaku

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Pernah tak readers mengalami konflik dalam diri? Konflik untuk menjadi diri sendiri tapi takut orang kata macam-macam kat kita? Kalau pernah boleh sep sikit dengan saya sebab saya pun sejenis dengan anda. Hehehehe.

Rasanya kalau kalian follow blog ni sejak dulu, kalian mesti tahu saya seorang guru. To be precise, seorang cikgu Matematik. Untuk lebih kejituan, MATEMATIK TAMBAHAN. Kalau saya sebut Matematik Tambahan, mesti orang akan respon :-

"Waaaa... mesti terer Addmath masa sekolah!"


"Fuiyooooo power.. Addmaths tu!"

Yang saya rasa saya tak patut pun dilambung2 puji sebegitu. Saya bukan seorang pelajar cemerlang Matematik Tambahan, kalau tak percaya boleh la risik2 kat kawan-kawan sekolah saya dulu. Tu pun kalau kalian rajin la. Hahaha.

Masa kat sekolah dulu, biasanya kaunselor akan buat satu ujian personaliti yang saya pun dah lupa apa nama ujian tu. Ujian untuk kenal diri sendiri ni lebih cenderung ke arah mana. Lepas kita buat ujian tu, kita akan tahu kita ni minat dan dominan dalam bidang apa. Kalau 10 kali buat ujian tu, 10 kali lah saya dapat keputusan :-

"Anda seorang yang Artistik"

Ya, readers. Minat saya bukan pada Matematik, tapi rezeki saya Tuhan letakkan di situ. Jiwa, hati dan personaliti saya memang terbukti menunjukkan saya memang orang seni.

Pada asalnya saya suka melukis, suka menyanyi (ok, confession yang sangat terang-terangan), suka bermain muzik (saya pernah belajar bermain piano sewaktu kecil) dan cabang seni yang paling serasi dengan diri saya ialah seni tari. Selama 31 tahun hidup, inilah kali pertama saya berani mengakui bahawa seni tari memang jiwa saya.

Walau bagaimanapun, saya diamkan hal ini dari pengetahuan orang sebab saya tahu batas-batas sebagai seorang perempuan Muslim. Dan penerimaan orang tidak selalunya positif sekiranya saya teruskan niat saya sebagai seorang penari.

Saya menerima pendedahan dalam bidang tarian seawal usia 4 tahun dalam seni tari ballet. Tujuan asal abah saya menghantar saya ke kelas tersebut kerana saya mempunyai struktur postur badan yang agak bongkok secara semulajadi. Ballet memamg menyeronokkan dan dari kelas tersebutlah saya belajar teknik postur badan sewaktu menari, teknik attitude (watak semasa menari), disiplin dalam sesuatu rutin tarian dan penjagaan diet. Pada ketika itu, tahun 90an, boleh dikatakan beberapa orang pelajar melayu sahaja yang ada dalam Royal Academy of Dancing itu. Kebanyakkannya berbangsa Tionghua dan India. Tapi saya tidak kekok kerana mereka sangat friendly.

Sewaktu di sekolah, saya tidak bercerita pada umum bahawa saya mengambil kelas tarian tersebut. Bimbang hati saya takut diketawakan atau dipulaukan memandangkan ballet bukan budaya melayu. Dan anak-anak melayu pada waktu itu tidak biasa menerima pendedahan secara terbuka tentang tarian yang berasal dari Barat ini.

Bertitik tolak dari situ, saya mula enjoy dengan kelas ballet dan saya menyambung pengajian saya sehingga berumur 15 tahun. Pada ketika itu, saya dalam pengajian Gred 7 dalam Akademi Seni Tari Ballet. Masih berbaki 1 gred lagi untuk saya menamatkan pembelajaran saya dalam ballet, namun saya terpaksa berhenti kerana tuntutan pembelajaran saya di sekolah yang semakin padat.

Bertahun-tahun lamanya saya melupakan tarian. Saya lupakan apa yang paling saya minat sejak kecil kerana tuntutan pembelajaran. Perasaan malu juga menjadi semakin menebal sewaktu itu membuatkan saya berfikir, tarian bukan untuk saya. Saya juga semacam skeptikal seperti orang lain yang menganggap bidang tarian tidak membawa saya ke mana-mana. Sampai bila saya harus menari? Dan selepas saya berkeluarga, adakah relevan lagi kerjaya sebagai seorang penari? Lalu saya lenyapkan semua dari diri saya. Dan jadilah saya sepertimana yang kalian lihat sekarang.

Tapi.. bak kata orang, jika darah seni itu mengalir dalam diri, selamanya ia akan mengalir sebagai nadi pembentuk jiwa. Saya masih lagi mencintai seni tari sepertimana dahulu. Saya masih lagi minat untuk mengayun langkah di lantai tari. Cuma keadaan, situasi dan penerimaan orang sekeliling yang membuatkan saya teragak-agak untuk meneruskan.


Pada penghujung tahun lepas, sewaktu dalam mesyuarat di sekolah, Pengetua saya mengkehendaki setiap guru memilih suatu cabang untuk diketengahkan sebagai kebitaraan (niche area) bagi tahun 2016 (tahun ini). Setiap guru perlu memilih niche area masing-masing pada waktu itu juga. Berdebar-debar saya pada waktu itu. Lalu saya cuba meneliti senarai bidang yang boleh dipilih. Mata saya terus membaca setiap bidang...


Masakan..
Inovasi..
Puisi dan lagu..
Seni lukis
Pidato
Olympiad Matematik
Bahas
Tarian
Koir
Pantun..

dan senarai terus bersambung...


Jap.. jap.. Tarian? 

"Farrah.. apa awak nak bawa untuk tahun depan? Olympiad ke?"




Alamak.. dah sampai turn saya ke??



"Err.. saya nak lari jauh dari bidang saya, Puan.


"Aik? Ok.. dah awak nak cuba bawa bidang apa tahun depan?


"Erm.. tarian, puan."


Senyap sunyi rasanya bilik mesyuarat tu. Mungkin hampir tak percaya saya yang dikenali sebagai salah seorang yang pendiam, nak bawak tarian sebagai kebitaraan????

Jenaka apakah ini?

Rasanya dekat 40 pasang mata memandang saya pada waktu itu. Saya sendiri tak tahu mana datangnya kekuatan saya untuk memberi respon sedemikian. Pada waktu ini, saya sudah tidak sanggup lagi menyembunyikan jiwa sebenar saya. Saya fikir, lebih baik saya berpenat melakukan sesuatu yang saya suka daripada saya sekadar buat ala kadar bagi sesuatu bidang yang saya sendiri tidak mahir.

Lalu,

Untuk tahun 2016, saya dipilih sebagai Ketua Guru Penasihat Kelab Kebudayaan dengan pengkhususan Tarian sebagai cabang kebitaraan saya. 


Alhamdulillah, setelah setahun mengendalikan pasukan tarian sekolah saya, saya tidak pernah merasakan letih dan penat walaupun hakikatnya Tuhan saja yang tahu betapa banyaknya yang perlu saya korbankan. Namun saya puas kerana ini minat saya. Ini jiwa saya.

Insha Allah  saya akan mengabadikan suka duka saya mengendalikan pasukan tarian selama setahun ini. Doa-doakanlah supaya saya rajin menulis lagi. Haha.

So,

Siapa kata orang Matematik tak boleh berjiwa seni?


Multiple intelligence memang wujud.
Dan kita perlu ubah persepsi.

Seni itu bukan untuk budak-budak kelas belakang.

Seni itu sendiri suatu cabang intelligence.







Monday 31 October 2016

Bila Mama Tak Sihat

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Memang jenis suka update tengah-tengah pagi buta gamaknya saya ni. Time orang lain tengah lena, maybe ada juga yang sedang frust menunggeng sebab Selangor tumpas di tangan Kedah dalam perlawanan sebentar tadi, tidak lah saya pasti. Namun yang tentu-tentunya jadi esok ialah saya perlu pulang ke Terengganu untuk meneruskan tugas seperti biasa. 

Barangkali ada yang tertanya-tanya, bagaimana status keberadaan Faiq sekarang. Ya, Faiq masih lagi di bawah jagaan ibu dan bapa saya di Klang. Kenyataan yang pahit untuk ditelan namun perlu ditahan kerana itulah yang difikirkan terbaik buat masa sekarang.

Saya hormati semua pandangan readers. Ada yang bersetuju dengan keputusan ini malah tak kurang yang mencemuh. Saya terima dengan berlapang dada. Sebab musabab dan buruk baik telah kami fikirkan sedalamnya dan insha Allah kami berpegang pada ketentuanNya kelak.

Saya boleh memberikan seribu satu justifikasi mengapa saya harus berjauhan dengan anak tunggal saya. Namun, saya tidak akan melakukan itu, kerana saya berpendapat itu merupakan sesuatu yang peribadi. Apa yang boleh saya simpulkan, Faiq akan mendapat kasih sayang dan perhatian yang sepenuhnya dari atuk dan neneknya. Mungkin terlebih manja, namun saya yakin itu semua hanyalah sesuatu yang sementara.

Kepulangan saya ke Klang pada kali ini agak mengecewakan kerana status kesihatan saya yang kurang baik. Selsema, sakit tekak dan batuk menyerang saya sehingga saya hanya mampu terbaring sahaja di katil. Bagi seorang ibu bekas seorang anak pramatang, keadaan ini amat mengganggu kerana kami perlu menjaga keberishan dan mengambil langkah-langkah pencegahan lebih dari biasa agar anak tidak terjangkit sama.

Jadi, antara langkah-langkah yang saya praktikkan :-

  • Bila tekak mula rasa semacam, terus telan 2 biji vitamin C tak kisah la jenama apa pun, janji Vitamin C. Biasanya cara ini menjadi bagi saya, tapi kena betul-betul pastikan sakit tekak itu adalah pada stage yang awal, Kalau yang dah perit sampai telan air liur pun dah sakit, memang tak boleh pakai dah cara ni.
  • Kalau previous step tak jalan, kita sebagai ibu perlu segera mengambil rawatan sama ada secara saintifik atau alami. Saintifik dari segi mendapatkan khidmat nasihat dari doktor perubatan dan mengambil ubat-ubatan yang dibekalkan. Alami pula mungkin lebih kepada menggunakan bahan-bahan yang lebih semulajadi dalam penghasilan ramuan perubatan. Mungkin ubat-ubatan homeopati dan pemakanan sunnah. Saya usahakan secara kedua-duanya sekali. Selain ke klinik dan mengambil ubat-ubatan yang dibekalkan, saya juga mengamalkan madu setiap malam. Madu tu madu kampung biasanya.
  • Setelah rawatan diambil, kita sebagai ibu sepatutnya lebih berhati-hati dalam kebersihan semasa berurusan dengan anak-anak. Pakai topeng pelindung untuk mengelakkan cairan dari hidung dan mulut merebak keluar sehingga boleh menyebabkan jangkitan kepada si kecil. Tangan perlu sentiasa bersih semasa menyentuh anak dan paling penting, jangan dicium-cium mereka. Saya mengerti perasaan itu, tapi demi kesihatan mereka hindarilah semua ini buat sementara waktu. 
  • Terakhir, bekalkan vitamin C juga kepada anak-anak supaya antibodinya cukup kuat untuk melawan virus dan bakteria. Selain itu, kita juga boleh mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengelakkan anak-anak mengambil sebarang minuman berais dan sejuk buat sementara waktu. Tekak mudah menjadi radang jika sering mengambil minuman berais. So, say no to iced drinks.

Tekilan juga rasanya kerana saya perlu menghabiskan masa di bilik dan bukan bersama Faiq.Sayu juga rasa hati bila saya diminta bukakan pintu bilik dan menemani dia bermain bersama. Duhai anak, kalaulah kau mengerti ;')

Menjadi ibu yang sihat itu sangat penting walaupun terllihat sebagai suatu yang remeh. Bagaimana mungkin anak-anak terjaga jika ibu juga tidak sihat? 



Doakan kesihatan saya segera sembuh dan kembali seperti sediakala. 

:)

Sunday 30 October 2016

Fresh Start

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Deepavali Valtukal untuk semua yang menyambut Perayaan Cahaya pada hari ini. Kemeriahan memang terasa sangat-sangat di saat saya menaip ni tak putus-putus bunyi mercun berdentum dentam di luar sana. 

Kekoknya nak mula. Tak tahu nak mula dari mana, tapi disebabkan ada anak-anak murid yang request untuk saya teruskan blog ni, maka saya pun tunaikanlah walaupun sampai saat ni saya lagi masih lagi memikirkan apa yang bakal saya ceritakan dalam post kali ini.

Ada nampak perubahan tak dalam blog? Hihihi. Seiring dengan perubahan usia, maka saya pun terpanggil untuk mengubah template dan header blog yang sudah lapuk dek zaman. Usia sekarang ni rasanya saya perlu sesuatu yang fresh and simple yet presentable to all the readers.

Ramai mungkin tertanya-tanya, ada apa dengan musim luruh dalam kehidupan saya? Kalau diperhatikan, saya banyak menggunakan pemandangan musim luruh dalam facebook profile picture, cover photo, dan kali ini the latest dalam blog pun saya selit sekali.






Musim luruh saya ibaratkan sebagai suatu musim yang terpinggir dalam keindahannya. Ramai yang memuji musim bunga dek kerana warna-warninya bunga-bunga mekar yang tumbuh melata. Tapi musim luruh? Jarang sangat kita dengar orang memuji keindahan musim luruh. Klisenya musim luruh dikatakan dull, warna-warna yang kusam dan membosankan.



Bagi saya, musim luruh merupakan musim yang paling bermakna kerana disebalik kesunyian suasanaya, terselit suatu ketenangan yang sukar digambarkan. Di sebalik kusamnya warna-warna dedaun yang gugur, terpancar suatu keindahan eksotik yang sukar dimengertikan. 



Kalau diberi peluang untuk melawat ke negara empat musim, saya pasti akan memilih untuk melihat musim luruh biarlah itu hanya sekali dalam kehidupan saya. Saya ingin sekali duduk di bangku kayu di bawah pohon yang rendang, mungkin membaca sesuatu sambil menikmati layangan dedaun yang gugur dari atas sana. Subhanallah, itu sudah cukup membahagiakan.



Musim luruh, pesona misteri yang jarang-jarang dicanang orang.


Monday 6 June 2016

Fefeeling Pillow Talk

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

Tarik nafaaaaaaaaaas. Hembus.
Makan berbulan kot aku tak taip entri. Kenapa begitu malas wahai jari jemari? One thing is, aku rasa no big deal to share about. Malas aku ni, tahap malas nak buka laptop yang beberapa meter dari koordinat aku sekarang, sanggup install Blogger dalam HP dan taip. Haru!

Kadang-kadang tu rasa macam syok sendiri juga kalau post perkara yang tidak memberi kepentingan kepada warga masyarakat. Setakat membebel tentang diri sendiri je. Alih-alih orang pulak meluat kot. Hekhek. Ku baru sedar perkara ini setelah hari tua mula memanggil-manggil.

Today is the first day of Ramadhan. So far so good. Alhamdulillah everything went well. Food is good (because we bought from outside hahah). And for Ramadhan this year, I set up some resolutions :-

1. Not to miss Solat Tarawikh
2. Not to skip reciting the Holy Quran (minimum 5 pages per day)
3. Say no to over-eating! Makan sekadarnya sahaja.
4. Be good to everyone.

Insha Allah. Do pray for my 'istiqmahness'. May all of you achieve your target for this Ramadhan as well.

Oh yes. Do pray for my son's recovery. He is having mild fever. I hope it's not serious. Jangan macam tu, Faiq. Mama nak balik Terengganu dah ni. You always like that kan. The day I wanted to return to work and you make me worry.

Nothing special in this entry. Saje nak borak-borak dengan diri sendiri sebelum tido. Fefeeling pillow talk tapi aku tak peluk bantal pun. Nak tulis diary, I is malas. So yeah. Blog aja!

Sweet dreams!

Wednesday 10 February 2016

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

"Farrah pernah baca Tenggelamnya Kapal Van der Wijck?"

Soalan abah petang itu ketika aku khusyuk membaca karya novel anak tempatan. Aku hanya menggeleng. Asing sekali tajuknya. Ada perkataan bukan bahasa serumpun Melayu. 

Van der Wijck. 
Bahasa Belanda!


"Belum, bah. Best ke?"

"Very nice story. You should read that. Tapi sekarang buku tu susah nak dapat."

Hampa. Benar-benar hampa. Biasanya kalau sesuatu buku itu disyorkan oleh abah sendiri, pasti bagus. Pasti seratus peratus. Ketika itu usiaku dalam lingkungan enam belas ke tujuh belas tahun. Masih terlalu muda. Internet masih belum meluas lagi. Di mana akan aku cari perihal buku tersebut, tidaklah jua aku tahu. Melainkan melewar-lewar di perusahaan buku bertanya-tanya kepada pekerjanya.

"Oh buku tu! Buku tu buku lama dik. Biasanya susah nak dapat kat sini."

Tenggelamnya Kapal Van der Wijck! Aneh sekali tajuknya. Keanehan itu membuatkan aku penasaran mahu mengetahui mengapa buku ini menjadi pilihan abah.

Bertahun-tahun aku mencari. Selama itu jua aku belum menemukan buku tersebut. Awal tahun lalu, aku mendapati salah seorang anak muridku mengemaskini status Facebooknya dengan memuat naik gambar buku tersebut. Edisi lama. Asli. Terus aku bertanya kepada beliau bagaimana untuk aku mendapatkannya.

"Online, cikgu. Cuba cikgu cari kat page ni - Jejak Tarbiah. Banyak jual buku HAMKA"

Setelah berurusan dengan penjual dari page tersebut, beliau memberi jawapan bahawa buku tersebut kehabisan stok. Perlu menunggu beberapa bulan untuk mendapatkannya. Tambahan pula, cetakan dilaksanakan di Indonesia. Mafhumlah aku akan tempoh masa yang perlu diambil.


Kulit buku Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck  edisi lama.
Sumber : Facebook Ainul Zakirah Humaira

Pertengahan tahun lalu, sedang aku mencari bahan-bahan untuk hiasan kelas di sekolah di sebuah kedai buku, mataku tertancap pada tulisan itu.

Sebuah Karya
HAMKA

TENGGELAMNYA KAPAL 
VAN DER WIJCK

Benarkah?

Lima belas tahun lamanya aku mencari. Lima belas tahun! Akhirnya. Alhamdulillah. 
Biarpun wang tunai yang ku bawa ketika itu hanya sekadar mencukupi untuk membeli barang yang telah kurancang, namun ku batalkan sahaja, Buku itu harus aku dapatkan!

Tenggelamnya Kapal Van der Wijck edisi terkini

Ku kira sudah terlalu lama aku meninggalkan dunia penulisan. Pembacaanku juga berkurangan dek kekangan masa yang melampaui batas senggangku. Permulaan pembacaan Tenggelamnya Kapa Van Der Wijck ku akui amat mencabar. Setelah bergelar pendidik, apatah lagi dengan kesibukanku menguruskan sekolah dan rumahtangga, pemahamanku terhadap mainan bahasa terasa begitu sulit. Sukar sekali memahami gaya bahasa penulisnya.

Hampir beberapa bulan aku tinggal lalu saja buku tersebut. Tidak menyentuhnya kerana aku tahu aku perlu masa yang sesuai untuk menghayati jalan ceritanya.

Lewat cuti baru-baru ini, nekad aku untuk mengkhatamnya. Dan aku harus kerana aku mahu tahu mengapa abah memilih buku ini untuk jadi bacaanku. Dan mengapa berjilid-jilid cetakan habis di pasaran. Sehingga pembaca perlu menunggu berbulan-bulan untuk mendapatkan cetakan terbaru khas dari Indonesia.

Tiga hari aku berjaya menghabiskan pembacaan.

Subhanallah!

Betapa kagumnya aku dengan kemampuan HAMKA bermain bahasa. Seolah-olah aku berada dalam era 1930-an dengan penceritaan yang begitu terperinci. Belum pernah aku ke Indonesia. Namun dengan Tenggelamnya Kapal Van der Wijck, aku dapati rohku terbang bersama-sama ke Makasar, terus ke Padang, Sumatra lalu ke Tanah Jawa. Sinematografinya walau tiada bervisual, namun aku mampu membayangkan keindahan dusun yang dipelopori bangsa Melayu Minangkabau dan nian pesisir pantai Sulawesi Selatan.

Dan begitu jua pemain perannya. Zainuddin, anak muda sederhana. Terbuang dalam jajahan sendiri dek keturunannya yang tidak tentu usul. Lalu apakan daya, kalau jiwanya dipaut oleh pesona Hayati, anak dara Minangkabau jati dari Kampung Batipuh, Padang. Cantik molek dan polos. Tipikal gadis melayu kampung lengkap berselendang berbaju kurung.

Pertemuan itu dalam kehujanan langit membasah bumi. Hayati dan temannya yang sabar menunggu di bawah teduhan kerana tiada berpayung. Lalu tatkala itu, Zainuddin dengan rasa tanggungjawab memberi pinjam payungnya kepada mereka berdua. Kerana tiada tega melihat kedua-duanya lewat pulang ke rumah usai pengajian di pondok.

Dari mata turun ke hati,

Suci cinta Zainuddin lalu diterima Hayati. Berkiriman surat beberapa lama lalu dihidu oleh orang-orang kampung. Terusir Zainuddin dari dusun tersebut bertatah nama adat Melayu pantang diusik. Lelaki dan perempuan tak bisa bergaul. Apatah lagi dia anak dagang. Bukan Minangkabau asli. Ada hati hendak menyunting Hayati, puteri golongan bangsawan.

Janji Hayati di hari pengusiran Zainuddin, bahawa dia akan menunggunya biarpun berapa tahun lamanya. Jika di dunia, Zainuddin tidak tertakdir menjadi suami, biarlah di alam sana mereka mematri janji. Lalu dikirim selendang dan beberapa helai rambutnya yang panjang buat kenangan sepeninggalan Zainuddin.

Hasutan orang. Dunia moden saduran kerajaan Belanda menjadikan hati Hayati mulai goyah. Masakan Zainuddin yang tidak punya apa mahu dijadikan suami? Tiada berharta dan rupa. Sedangkan dia sang gadis jelita. Seolah pipit dengan enggang. Seolah tembaga dan berlian perbandingannya.

Hayati termakan jua cakap-cakap orang. Temannya Khadijah, bahkan menuduh Zainuddin orang kurang siuman. Lantaran lagaknya yang pemenung dan pendiam. Penghulu penjaga Hayati juga begitu. Menjunjung adat Minangkabau, pantang kalau anak jatinya berkahwin dengan anak dagang. Tidak diketahui betul keturunannya. Bimbang jika mereka beranak pinak kelak, lalu di mana anak tersebut hendak dikelaskan keturunannya?

*     *     *     *     *

HAMKA, atau Haji Abdul Malik Karim Amrullah.
Kenalkah anak-anak muda sekarang dengan personalia ini? Seorang ulama dan novelis Indonesia yang termashyur dalam lingkungan tahun 1930-an. Karyanya selain dari Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck adalah Di Bawah Lindungan Kaabah, Tuan Direktur dan Merantau ke Deli. Selain novel-novel, HAMKA juga dikenali sebagai ulama yang banyak mengkaji mashaf-mashaf Islami.

Sebagai pembaca, aku sangat terkesan dengan bahasanya. Puitis dan meresap terus ke jiwa. Kebijaksanaannya membawa aku terus ke alam Zainuddin dan Hayati. Tenggelam dalam tulus cinta mereka.

Mahakarya HAMKA ini wajarlah dibeli sebagai koleksi. Dan para pencinta novel akan tahu betapa dangkalnya meterial novel sekarang yang ada di pasaran. Baik bahasanya. Isinya. Kepura-puraan dalam realitinya.

Ah! Kalau si kaya itu perlu tampan. Perlu sempurna sebagai hero.
Aku muak. Muak sekali dengan lambakan novel yang ada.
Jelak dengan bahasa yang cetek. Umpama percakapan harian. Lalu ditambah pula dengan perkataan urban. Kononnya!

Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck adalah buat pembaca yang mahu menyingkap keindahan berbahasa Melayu.
Mengkaji kosa kata yang lama ditinggalkan.
Menyelusuri adat Melayu yang tiada diwar-warkan kini.
Meniti cinta suci antara dua jiwa yang tiada berkesampaian.
Memahami bahawa cinta itu tidak seharusnya memiliki.


"Sudikah engkau menjadi sahabatku, Hayati? Saya tahu saya orang dagang melarat dan anak orang terbuang yang datang dari negeri jauh, yatim dan piatu. Saya akui kerendahan saya, itu agaknya akan mennagguhkan hatimu bersahabat dengan daku, Tetapi Hayati, meskipun bagaimana, percayalah bahawa hatiku baik. Sukar engkau akan bertemu dengan hati yang begini, yang bersih lantaran senantiasa dibasuh dengan air kemalangan sejak lahirnya ke dunia!" - Zainuddin


"Kalau demikian, hari inilah saya terangkan di hadapanmu, di hadapan cahaya matahari yang baru naik, di hadapan roh ibu bapa yang sudah sama-sama berkalang tanah, saya katakan : Bahawa jiwaku telah diisi sepenuh-penuhnya oleh cinta kepadamu. Cintaku kepadamu telah memenuhi hatiku, telah terjadi sebagai nyawa dan badan adanya. Dan selalu saya berkata, biar Tuhan mendengarkan, bahawa engkaulah yang akan menjadi suamiku kelak, jika tidak sampai di dunia, biarlah di akhirat. Dan saya tiadakan khianat kepada janjiku, tidak akan berdusta di hadapan Tuhan, dan di hadapan arwah nenek moyangku"- Hayati


"Demikianlah perempuan, dia hanya ingat kekejaman orang kepada dirinya, walaupun kecil, dan dia lupa kekejamannya sendiri kepada orang lain walau bagaimana besarnya"- Zainuddin


"Di dalam jiwaku ada suatu kekayaan besar yang engkau sangat perlu kepadanya, dan kekayaan itu belum pernah kuberikan kepada orang lain, walaupun kepada Aziz, iaitu kekayaan cinta."- Hayati


Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck adalah buat pencinta bahasa.
Maaf sekiranya anda mahu pembacaan yang galak mempamerkan cinta sebagai suatu cabang nafsu, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck bukan untukmu.

Kerana sepasang Zainuddin dan Hayati mengajar bahawa cinta itu terdorong dengan keikhlasan berpaksikan ajaran Tuhan.
Biarpun bukan di dunia akad dan persandingannya.







Tuesday 9 February 2016

Perang Jiwa

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.



Pernah suatu ketika, ketika umurku barang sembilan atau sepuluh tahun, sahabat mama berkunjung ke rumah dan secara tidak sengaja membaca buku karanganku yang ku letak bersepah di atas meja makan. Sedang waktu itu, aku menyelesaikan tugasan-tugasan yang diarahkan oleh guru.

"Bagus penulisannya! Tak meleret dan bersahaja."

Ku kira pada ketika itu, aku belum benar-benar mengerti apa yang dimaksudkan oleh beliau. Kata-kata tersebut diunjukkan kepada mama yang baru selesai menuangkan air minuman dan sedikit makanan ringan buat kudapan para tetamu tersebut.

Setelah beberapa tahun berselang, aku dapati karangan-karanganku kerap mendapat pujian dan komentar positif dari guru-guru. Maka ramai jugalah kawan-kawan berbangsa Tionghua dan India mendekatiku dan ingin meminta pandangan bagaimana menghasilkan sebuah karangan yang baik.

Kaget barangkali kerana bukan kepandaianku dalam mengajar orang lain bagaimana untuk menulis dengan baik. Kalau ditanya diriku bagaimana aku dapat mencoret catatan yang berjiwa, aku sendiri pun tidak punya jawapan. 

Aku menulis dengan apa yang aku rasa. Apa yang aku gambarkan dalam benakku, itulah yang aku lahirkan dalam susunan huruf-huruf membentuk perkataan-perkataan. Aku suka menggunakan analogi yang logik mengaitkan ciptaan Tuhan dengan kehidupan seharian. Ku kira dengan perbandingan itu, mampu menyentap jiwa pembaca dengan maksud yang ingin ku utarakan.

Syukur aku ke hadrat Ilahi kerana meminjamkan kemahiran ini kepadaku. Lantaran itulah penyebab blog ini bernadi. Manakan aku mampu meneruskan jika jiwa penulis tidak wujud dalam diri ini. 

Sejak bertatih, abah suka memperdengarkan aku lagu-lagu lama. Dewasa sedikit, aku suka menonton cerita melayu klasik  hitam putih terbitan Shaw Brothers dan Cathay Keris. Setelah ku mengenal huruf-huruf dan mampu membaca, minatku berkembang ke arah bahasa dan kesusasteraan. Usiaku ketika itu sekitar 12 tahun, dan abah telahpun mendedahkan aku dengan karya Shahnon Ahmad, Abdullah Hussain dan Arenawati.

Aku ternyata menghayati karya-karya mereka. Banyak sekali buku-buku di rumah yang kebanyakkannya bergenre berat, bahasa yang puitis dan penuh kiasan. Mungkin dari situlah, kemahiran mengarangku diasah dan membawa aku kepada siapa aku sekarang.


"Kenapa kau tak pilih bidang bahasa je? Jadi cikgu BM? Atau pengarang?"

Tahun 2002, setelah aku tamat SPM, bingung rasanya berdepan dengan pilihan-pilihan yang ada. Apatah lagi isu lambakan graduan sebagai penganggur menjadi sensasi pada waktu itu.  Menjadi penulis ternyata bukan suatu pilihan yang baik jika aku mahu suatu kedudukan yang kukuh dan stabil. Guru bidang Bahasa Melayu juga. Pada waktu itu, kerajaan mahu melonjakkan nama Malaysia lebih ke arah global dan saintifik. Tak hairanlah tawaran sebagai pendidik berlatar bidang sains dan matematik berpusu-pusu masuk secara besar-besaran. Apa kiranya aku masih mahu mengambil kira minat sebagai suatu cabang kerjaya?

Hingga itulah aku tertakdir sebagaimana sekarang. Mencari rezeki dalam bidang perangkaan walhal bahasa dan penulisan adalah pergantungan jiwaku.

31 tahun berperang jiwa. Hairan mungkin rakan-rakan sekerja yang berpeluang berkunjung ke ruang blog ini melihat bagaimana aku menzahirkan perasaan melalui butir kata.

Simpan sahaja perasaan itu. Aku tidak perlu dikagumi. Kerana ini ternyata diriku. Seorang karyawan seni yang terpinggir di balik figura.