Showing posts with label randomness. Show all posts
Showing posts with label randomness. Show all posts

Monday, 24 March 2014

Semakin Reserved

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Assalamualaikum readers. Subhanallah, lamanya saya tidak menitipkan apa-apa dalam blog ini. Walau bagaimanapun, saya masih mengikuti perkembangan rakan-rakan blogger jika ada khabar terbaru dalam entri mereka. Disebabkan lama sangat tak menulis, ayat saya juga mungkin kedengaran janggal. Serius, saya kekok!

Lama sudah saya berfikir. Selama 2 bulan 2014 menjengah rupa, banyak perkara yang berlaku. Subhanallah, ujian Allah itu luas dan variety! Memegang prinsip,

"Allah tidak akan menduga hambanya dengan ujian yang tidak mampu ditanganinya."

Saya pasrah dan redha. Sangat berharap diri saya mampu setabah srikandi-srikandi terdahulu dalam mengharungi ujian-ujian mendatang.

Cuma, apa yang bermain-main dalam fikiran saya sekarang, wajarkah saya paparkan kehidupan realiti saya di blog untuk bacaan umum? 

Semakin saya dewasa, saya menjadi semakin reserved. Saya semacam tidak selesa jika kehidupan saya dihebahkan. Mungkin dulu, pemikiran saya agak keanak-anakan. Kerana itu saya memuat naik segala apa cerita yang berlaku ke atas diri saya.

Sehinggalah saya terbaca sesuatu dari laman sosial :-


Macam ditumbuk-tumbuk batang hidung saya. Hehe. 

Agak sentap juga bila baca kan. Mungkin ada dalam kalangan readers yang terkesan dengan penulisan saya sehingga boleh menimbulkan rasa singgung di hati. 

Allah, saya mohon maaf. Mungkin saya tidak cakna perkara ini.

Mengambil iktibar dari quote tersebut, saya lantas berfikir.

"Adakah aku berblog untuk memberikan manfaat kepada orang lain? Atau aku berblog untuk mendapatkan perhatian orang lain?"

Saya rasa saya patut muhasabah dan mengkaji apa yang patut saya masukkan dalam blog saya.
Mungkin perihal Faiq mendapat perhatian ramai dalam blog ini, namun bagi menjaga privasi, saya rasa saya patut menghadkan apa yang boleh saya kongsi dan apa yang tidak. 

In shaa Allah, saya akan cuba memberikan seberapa banyak output yang bermanfaat untuk readers.

Dan susulan daripada perkembangan Faiq, apa yang saya boleh katakan di sini, alhamdulillah, Faiq telahpun menyambut hari lahirnya yang kedua.

Andai berkesempatan, saya akan mengarang entri selepas ini khusus untuk berkongsi perkembangannya. 

:)










Friday, 24 January 2014

Bila Lagi?

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Tahun ni, di sekolah aku je dah 5 orang kawan-kawan aku pregnant. Ada yang bakal menimang cahaya mata pertama, ada yang menyusul untuk yang kedua. Alhamdulillah, May Allah ease everything in their pregnancies.

Ada juga yang bertanya, aku bila lagi? Hahaha. Ni kalau diorang tanya aku sebelum aku dapat Faiq, confirm balik rumah aku akan nangis-nangis sebab emosi. Tapi memandangkan, what they actually meant was the second child, aku takde la rasa emosi mana. Jawapan aku :-

"Hold dulu"
(sambil buat tangan macam huruf T (time out))

Kalau ditanya pada diri sendiri, adakah aku bersedia? Adakah kami bersedia? Kami juga susah untuk menjawab. Kerana banyak faktor yang harus difikirkan. Hidupku bukanlah seperti orang lain. Hidup anakku bukan seperti anak-anak yang lain. 

Lain sangat. 
Jadi tidak wajarlah kami harus mengikut acuan hidup orang lain. 

Betul tak?

Secara jujur dan rendah hatinya, kami belum lagi bersedia kerana banyak lagi komitmen pada anakanda Faiq yang harus dibereskan. Faiq juga baru sahaja kami kenal pasti mempunyai masalah tulang belakang iaitu kyphoscoliosis yang telah aku perihalkan dalam entri yang lepas.


Lalu, hati kecilku berkata, mungkin inilah masanya kami harus beri perhatian pada Faiq. Sementara kami masih bertiga, bukan berempat atau berlima. Pada waktu inilah, kasih sayangku harus menjadi kepunyaan Faiq seorang kerana aku tahu, jika dia beradik, perhatian dan kasih sayang harus dibahagi dua. Walau sejauh mana aku cuba berlaku adil, aku hanya manusia biasa. Pasti yang tua perlu mengalah. Pasti Faiq perlu menerima keadaan itu. Pasti si adik menguasai perhatianku.

Kami berbincang, dan memutuskan bahawa mungkin buat masa sekarang, belum lagi. 

Kelihatan aku seolah-olah menafikan rezeki, namun apa yang boleh aku katakan, biarlah urusan itu hanya Allah yang mengaturkan. Aku hanya mampu berserah segalanya padaNya. 

Bagiku, biarlah kami membesarkan Faiq dengan kualiti (in shaa Allah) kerana jika kami terlalu mementingkan kuantiti, khuatir kami tidak mampu untuk memberikan yang terbaik buat mereka semua.

In shaa Allah, masanya pasti tiba jika rezeki itu sesuai dengan keadaan kami ketika itu.

Allahumma Ameen. 

:)







Tuesday, 31 December 2013

Ada Apa dengan 2013?

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Di hari terakhir 2013 ini, aku mahu menitipkan rasa syukur pada Allah swt kerana aku masih lagi bernafas di bumi pinjamannya.

2013 memperlihatkan aku sebagai seorang yang mula bertatih setelah di uji dengan begitu hebat pada tahun sebelumnya, 2012. 2013 juga mula mengumpulkan semangatku untuk terus memberikan yang terbaik untuk anakanda Faiq. Tahun yang penuh liku untuk seorang ibu dan isteri yang perlu membahagikan masa antara anak yang jauh di mata dan suami yang berterusan memahami dilema isterinya. Tinggal berjauhan dengan anak sendiri bukanlah sesuatu yang menggembirakan. Tetapi Demi Allah, tidak pernah terlintas di fikiranku untuk mengabaikan tanggungjawabku sebagai ibu. Bahkan, inilah pengorbananku untuk Faiq, sebagai landasan tanggungjawab yang diamanahkan untuk membolehkan Faiq mendapat segala apa yang diperlukan- kasih sayang dan perhatian yang terbaik selepas kami ibu bapanya. Siapa lagi kalau bukan datuk dan neneknya?

2013 juga menjadikan aku lebih kuat dari segi mentaliti. Mungkin tidak ramai yang sanggup travel hampir setiap minggu sejarak 300km. Dibebani dengan kekangan wang ringgit, masa, tenaga, dan komitmen pada kerjaya yang setiap kali mahu kita memberikan yang terbaik untuk organisasinya, aku telah merasai semua itu. Dan benarlah kata orang, demi anak, mati juga aku sanggup.

Alhamdulillah.
Allah mempermudahkan segalanya. 
Sukar, namun manis sekali pengalaman itu.

Bila aku akan membawa Faiq tinggal bersamaku?
Ramai yang bertanya begitu.
Jawapanku, bila Allah merasakan waktu tersebut adalah yang terbaik, maka aku akan membawanya pulang ke pangkuanku.

Pasti.

Bila?
Ya, itu hanya Allah yang tahu. 
Aku tak pantas meletakkan jawapan.
Yang pastinya apabila Dia mengatakan Kun Fa Ya Kun, Faiq pasti akan ku bawa pulang.


2013 juga memperlihatkan aku sebagai seorang yang mahu mencari identiti sendiri. Sebagai manusia, aku tak lari dari melakukan kesilapan. Banyak sekali kesilapanku hanya Allah yang tahu. Insan yang paling mengerti dan sabar melayani kerenahku sudah tentulah zaujku yang tercinta.
Hakikat Allah menemukan jodoh kami takkan boleh disangkal lagi.
Sesungguhnya keputusan Allah itu adalah yang terbaik.
Kami jelas mempunyai banyak kekurangan, namun in shaa Allah, kami saling melengkapi.

2013 pasti akan kurindui.
Tahun yang mana menjadikan aku semakin matang dalam melayari bahtera kehidupan. Tahun yang menjadikan aku semakin rapat dengan ibu bapaku yang jauh di sana kerana seorang Faiq Aqwa. Faiq dijadikanNya sebagai satu 'penyambung' pada ikatan perhubunganku dengan ibu bapaku. 

Allahu Rabbi, sesungguhnya perancangan Allah itu adalah yang terindah.

2013 boleh ku ibaratkan sebagai suatu medan latihan untukku memperbaiki diri seperti mana yang telah aku perihalkan tentang diriku dan perubahan-perubahan yang ingin aku lakukan dalam entri yang sebelum ini. 
In shaa Allah, aku ingin 2014 menjadi medan kejayaan imanku dalam melawan nafsuku yang sentiasa berebut mahu merajai hati.

Aku percaya setiap manusia dilahirkan dengan fitrah yang baik-baik. Namun kerana hasutan syaitanirrajim ditambah dengan nafsu manusia yang tak pernah mahu mengalah, fitrah yang suci itu  sedikit sebanyak tergugat dek gangguan-gangguan sebegini. Memang kita tak mampu menolak hakikat tersebut, namun apa yang aku ingin katakan pada diriku sendiri untuk 2014 ini :-

"Berusahalah untuk menjadi baik. Lebih baik dari semalam. 
In shaa Allah, Allah akan menghitung keikhlasan dan kesungguhanmu dalam berusaha lebih dari hasil akhirnya."

Cuma satu yang aku mahu sentiasa ingatkan pada diriku.
Apa yang aku kecapi hari ini, rezekiku, insan-insan tersayangku, hartaku, bahkan nyawaku bukanlah milikku. Aku tak punya apa. Aku hanya seorang hamba yang tidak mempunyai hak atas apa sahaja yang berada di dunia ini. 
Dengan demikian, aku harus mempersiap diri untuk menerima segala apa yang mungkin berlaku kerana hidup ini adalah pinjaman. Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku seminit lagi. Maka dengan itu, aku harus sentiasa bersedia.

(Percayalah inilah yang paling sukar untukku lakukan. Namun hakikat tetap hakikat. Siapalah kita untuk menghalang?)

Malam ini, 2013 akan melabuhkan tirainya.
Terima kasih Tuhanku, kerana memberikan aku peluang untuk merasai nikmatmu sepanjang tahun yang penuh bermakna ini.
Semoga tahun 2014 yang bakal menjelma esok menjadikan aku terus istiqamah dalam mencari erti kehidupan. Terimalah amalanku sepanjang tahun ini, ampunkan diriku yang hina dan penuh dosa ini.
Berkatilah dan sinarilah hatiku dengan cahaya hidayahMu agar aku terus istiqamah dalam perubahan-perubahan yang aku azamkan.

Senangkan dan bahagiakan ibu bapaku, terimalah setiap amalan mereka dan berikanlah mereka segala apa yang diimpikan. Limpahilah mereka dengan rezeki yang berlimpah ruah, kesihatan yang terbaik dan kebahagiaan yang berterusan. Ampunkanlah dosa mereka (jika ada) dan sinarilah hati mereka dengan cahaya ketenanganMu. Berkatilah usaha mereka dalam mengasuh anakku, sungguh aku sangat berterima kasih pada mereka.

Begitu juga dengan ibu bapa mertuaku, semoga Kau kurniakan kesihatan yang terbaik buat mereka dan menerima segala amalan mereka. Ampunkanlah dosa mereka (jika ada) dan berikanlah segala apa yang diimpikan oleh mereka.

Buat penemanku di dunia dan di akhirah (in shaa Allah),
Bahagiakanlah suamiku, ampunkanlah dosa-dosanya (jika ada), kurniakan segala hajatnya, halalkan setiap usahanya dalam mencari rezeki buat kami, semoga dirinya sentiasa dilindungi olehMu. Sebarkanlah cinta dan kasih sayangku padanya dan tetapkan hatinya untuk sentiasa berkhidmat dan menuruti perintahMu. 

Dan untuk anakandaku yang paling kusayangi,
Kurniakanlah kesihatan dan keselamatan yang terbaik untuknya, limpahilah kasih sayangku yang tak pernah bertepi untuknya, sematkan dalam dirinya cahaya nur dan hidayahMu agar Faiq Aqwaku menjadi anak yang soleh.
Sihatkan tubuh badannya dan jauhkanlah, jauhkanlah, jauhkanlah segala penyakit yang membahayakan daripadanya. 
Naikkanlah berat badannya, berilah kekuatan semangat kepadanya, berilah peluang untuknya supaya  dapat berjalan seperti anak-anak yang lain sebayanya, peliharalah tulang belakangnya, semoga kesihatannya bertambah baik dari sehari ke sehari. 
Jadikan anakku Faiq Aqwa seorang yang cekal dan sabar dalam menempuhi dugaanMu.
Bekalkanlah anakku dengan sifat-sifat mahmudah yang Kau redhai.
Semoga beliau menjadi seorang yang anak yang soleh, sihat walafiat dan bijak hendaknya.

DemiMu ya Allah, aku berdoa dengan penuh pengharapan. 
DemiMu Ya Allah, terimalah doaku.
DemiMu Ya Allah, terimalah taubatku, ampunkanlah dosa-dosaku dan perbaikilah amalanku.

Sesungguhnya Kau sentiasa menjadi Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Mengasihani.

Ameen, Ya Rabbal Alameen.


(source: Google Images)











Thursday, 5 December 2013

Akal vs Nafsu

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Cuti sekolah ni bebas dari segala hiruk pikuk dalam sekolah. Menghirup udara segar dari laman dan menikmati hidangan sarapan tanpa diganggu oleh mesej-mesej seperti,

Assalamualaikum dan salam mesra.
Semua guru diminta hadir ke bilik mesyuarat jam 2.00 petang ini untuk Mesyuarat Penyelarasan Kokurikulum. 

atau

Bagi guru-guru yang belum lagi mengemaskini data E-Operasi, silalah berbuat demikian selewat-lewatnya pada pukul 4.00 petang hari ini. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada guru data. Harap maklum.


Tapi aku juga kadang-kadang rindu jugak dengan mesej seperti,

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Dijemput para guru dan staf untuk menikmati juadah makan tengahari di kantin bermula pada pukul 12.00 tengahari. 

Gila tak nak makan free?
Hehe.

Memang cikgu-cikgu kat sekolah aku ni murah hati semuanya. Kalau ada rezeki lebih, macam tu la. Buat belanja kawan-kawan sekerja makan tengahari. Alhamdulillah, semoga rezeki kalian sentiasa dimurahkan Allah swt.

Jadi cuti sekolah ini aku habiskan sepenuhnya bersama Faiq di rumah, selain daripada menghadiri temu janji doktor seperti yang telah dijadualkan. Kadang-kadang aku bawak juga Faiq pergi Giant memandangkan si kecik tu dah addicted sangat dengan logo Giant. 



 Pantang nampak logo ni di mana-mana barang dalam rumah, mesti dia tunjuk dan sebut :-

Ayen.. Ayen.. 

Lepas tu tarik nafas dan sebut :-

Aaaakkkk.....Ggggiiiiiiiiiiiii!

(Giant..Giant... Nak pergi!!!!!)

Bawak la dia pergi mana sekalipun tempat yang classy sikit, huh takde emosi langsung dia.

Tapi bila lalu Giant...
amboi siap melompat dalam kereta duk Aaaaakkk Giiiiii! Aaaakkkkk Giiiiiii!

Huhu. Takpe la Iq, Jimat duit minyak mama, tak payah travel jauh-jauh dan tak payah nak bersiap hijabista sangat. 
Giant je pun.
Plus, tak payah bawak stroller bagai sebab Iq lagi suka naik troli free dari stroller yang mama terpaksa angkut dengan gigih masuk dalam kereta.

Bagus anak mama. 
Memahami.
 ;)


Tapi 2 hari lepas, memandangkan aku memang nak beli barang-barang sekolah
(kata azam baru.. semangat tau jauh-jauh beli barang kat Klang nak bawak balik Terengganu)
aku tidaklah bawa Faiq bersama-sama dengan aku masa tu. Kalau bawak dia, memang tak boleh pilih barang. Duk sibuk Aaaakkk Niiiiiiii... Aaaaaak Niiiiiii je nanti si kecik tu.

(Aaaakkkkk Niiii - Nak yang ini)

Kalau dah jalan sorang-sorang, memang la gatal je tangan nak habiskan duit. Bila aku jalan-jalan dekat Giant lepas dah siap beli barang di Jusco, aku pun lalu la depan kedai jual spek.

Eh, tengok la kejap.
(Nafsu yang pertama memainkan peranan)

Yes miss?
(Staf kedai cuba menghulurkan bantuan a.k.a memasang perangkap untuk aku beli barang dalam kedai dia).

Takpe, I tengok dulu je.
(Akal mula mengingatkan aku)

You nak cari spek macam mana?
(Ayat pancing..Ayat pancing!)

Errr... Spek plastic frame yang besar sikit ada tak?
(Amboi, tadi kau kata nak tengok aje???)

Ada.. Ada.. Kejap aaarr..
(Yes, mangsa dah masuk jerat!)

Staf tu pun tunjuk la spek jenis yang aku request tu.

Lebih kurang macam ni la frame dia
(Google Images)

Aku pun dengan confident try.
(Nafsu kedua- "Takpe kau try je bukannya kau beli pun")

Eh, cantik jugak ye!
(Nafsu ketiga - "Haah la cantik pulak kau pakai spek ni, tak kembang sangat tudung. Pakai shawl pun takde masalah. Sesuai dengan kau")

Buat kira-kira sikit dalam otak...
Lepas tu tanya staf tu :-

Berapa ye harga sekali dengan lens?
(Nafsu keempat- "Takpe, kau tanya harga je pun. Bukannya nak beli. Bukannya kena bayar kalau just tanya")

Kalau tengok power you tinggi macam ni, kena pakai Hoya Lens baru nipis sikit. Kalau cermin biasa nanti nampak tebal.. 
(Ayat pancing yang lebih kaw)

I tak mau Hoya lens. I nak cermin biasa je..
(Memandangkan aku baru je buat spek 4-5 bulan lepas, pakai lens Hoya, maka aku tahu harga cermin Hoya memang melambung-lambung. Kononnya kali ni aku nak buat spek harga biasa-biasa je)

Aiyoo kak.. Kalau you ambil cermin biasa tebal sangat la.. You pakai pun tak cantik.. Ambil Hoya lens la, berbaloi. You pakai pun puas hati.
(Memang betul pun cakap staf tu. Aku pun jenis kalau nak beli barang, memang nak yang bagus dan puas hati kalau pakai. Daripada membazir beli barang kualiti kurang, mesti aku tak guna nye. Membazir jugak)

Erm.. Berapa arr? You total tengok..
(Nafsu kelima- Tak pe Fa, duit simpanan kau kan ada lagi.. Pakai yang tu la dulu. Lagipun bulan depan kan kau dapat bonus. Boleh la ganti semula.)

Staf tu pun tekan-tekan calculator dan tunjuk kat aku skrin calculator tu

RM800

Hoi! Mahalnya!
(Akal mula sound aku)

Ni kualiti baik punya. You pakai pun cantik maa.. Cermin pun tahan calar dan tak tebal. Puas hati la.
(Staf tu mula bagi reason-reason yang bernas dan berisi)

Aku dari tadi tak tanggalkan lagi spek contoh tu. Duk telek muka aku dalam cermin dengan frame spek tu.

Akal dan nafsu mula memasang pedang nak berlawan.

Cantik tu memang cantik spek ni. Tapi, aku mampu ke? Perlu ke aku spek ni memandangkan aku baru je buat spek baru-baru ni?
(Rasional cuba memancing aku pulak)

Rasanya macam aku ni watak yang biasa keluar tv tu yang ada angel kat sebelah kanan dan setan kat sebelah kiri. Duk bertelagah nak mempengaruhi aku.

Adoi, macam mana ni??

Staf tu siap dah buka buku resit lagi sebab gaya aku memang betul-betul nak beli.

Lalu, aku ketepikan sekejap diri aku dan cuba fikir semula dalam-dalam.

Duit aku memang ada, tapi banyak lagi perkara lain yang aku boleh buat.
(Akal)

Tapi frame tu cantik Fa! Spek kau yang sebelum ni tak cantik. Muka kau lebar pakai spek sebelum ni. Dengan spek ni muka kau nampak panjang sikit. Kau pakai shawl pun tak jejas tudung. Senang la lepas ni tak payah pakai contact lens dah.
(Nafsu)

Mahal sangat la RM800!! Membazir pulak.
(Akal)

Ala, takpe.. Duit boleh cari. Lepas ni kau susah dah nak jumpa spek yang betul-betul sesuai. Tu la kau, dulu kau taknak pikir habis-habis masa buat spek sebelum ni. Spek tu buat muka kau nampak lagi bulat la.
(Nafsu)

Kejap, kejap. Faiq macam mana? Cukup ke barang-barang keperluan dia? Vitamin dia yang kau kata nak beli tu, dah beli belum? Spek mama yang patah kat rumah tu, kau tergamak ke nengok je?
(Akal)


Terdiam.
Rasanya, ramai lagi insan-insan di sekelilingku lebih memerlukan RM800 tu berbanding aku sendiri.

Lalu, dengan penuh rasa yakinnya, aku berkata:-

Takpe la, saya fikir dulu macam mana. Kalau jadi saya datang semula.
(Ayat penyedap supaya aku tak rasa bersalah sangat nak menolak. Padahal aku memang dah sedar diri dan taknak beli dah)

You sekarang cerita la masalah you, masalah bajet ke apa ke. Nanti kita boleh tolong you. Ada masalah kita bincang la.
(Staf tu memang gigih betul pujuk aku beli spek dia. Adoi, boleh dapat Anugerah Staf Terbaik la macam ni)

Err.. Takpe, takpe. Nanti kalau apa-apa I datang semula. Thank you so much aaarr..

Adat berniaga. Macam tu la. Customer comes, customer goes. 
Staf tu kena la terima keputusan aku. 

Kini, aku rasa lega dan bersyukur sangat aku dapat menepis godaan nafsu yang betul-betul mempesonakan.

Sebab instead of beli spek harga RM800, aku boleh beli ini :-

  • Spek membaca mama yang dah berkurun tak tukar sampai patah dikerjakan si Faiq - RM168
  • Vitamin Faiq untuk meningkatkan sistem imunnya - RM174
  • Vitamin aku sendiri untuk general health aku - RM148

RM168 + RM174 + RM148 = RM490

RM800 - RM490 = RM310

RM310 tu boleh lah aku simpan untuk kegunaan emergency atau masuk dalam saving account.

Sebenarnya, lepas dah kahwin dan ada anak ini, keperluan diri jatuh nombor dua. Atau nombor tiga atau nombor berapa pun tapi bukan nombor satu.

Aku merasainya. 

Memang ada juga rasa terkilan sebab aku memang nak sangat spek tu, tapi aku rasa tak adil untuk ahli keluarga yang lain.

Apalah sangat spek harga RM168 kalau nak dibandingkan dengan pengorbanan mama selama ni?
Apalah sangat harga vitamin tu kalau tu boleh membantu meningkatkan kesihatan Faiq?

Family first.


Inilah kepuasan aku yang sebenar.

Terima kasih, cik Akal.

And Nafsu, maybe next time.
Perhaps.

:)















Tuesday, 22 October 2013

Working Wife : Pheewww!

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Ya Allah.... banyaknya kerja!
Aku tidaklah bermaksud untuk merungut sama sekali tidak menyesali kerjayaku yang menuntut pelbagai komitmen terbaik dariku.

Cuma, kadangkala, aku rasa stress. Stress memang biasa la kan? Siapa yang tak pernah stress tu maknanya dia la yang sebenarnya sedang mengalami sindrom kecelaruan emosi. Hehe.

Pada ketika ini, aku dituntut untuk menyiapkan :

  • Teks ucapan Pengetua dan Perasmi bagi Majlis Graduasi yang bakal berlangsung hari Sabtu ni. (Serius, aku juga tak pasti kenapa Cikgu Matematik Tambahan/ Sains yang diamanahkan untuk melaksanakan tugas ini. Apa pun, terimalah sebagai suatu cabaran, In shaa Allah boleh. Allah kan ada?
  • Pelan strategik TIMSS dan PISA yang telah bertangguh hampir 3 minggu. (Not a good example ye readers. Harap jangan ikut, please.) Mungkin kerana cuti Hari Raya Haji yang agak lama (5 hari) menyebabkan aku alpa seketika? Hmm.. Boleh jadi. Main dengan Faiq yang hanya ku ketemu 2 minggu sekali. What more can you expect? Haha.
  • Marking exam papers! Yang ni memang lemah sungguh. Setakat ni aku ada 2 kelas Sains Tingkatan 2, 1 kelas Matematik Tingkatan 1, 1 kelas Matematik Tambahan Tingkatan 4 dan 1 kelas Matematik Tambahan Tingkatan 5. Masing-masing ada 2 paper. Haaaa. Cuba darab sendiri.
  • Persediaan untuk menghadiri Kursus Latihan Pembangunan Profesionalisme Berterusan (Continuous Professionalism Development - CPD) selama 5 hari di Kuantan. Bunyi macam best kan. Dan itu bermakna aku perlu menggosok pakaian pejabat husband untuk bekalan selama seminggu! *pengsan*
  • Basuh baju yang bertingkek-tingkek 2 bakul penuh. Satu machine wash, satu hand wash. Tu tak kira proses menjemur dan melipatnya. 
  • Vacuum rumah. Oh, yes. Rumah memang sangat berhabuk ditambah dengan buku sana sini. Maklumlah cikgu. Haha. Takde kaitan.
  • Cuci tandas! Yang ni pun satu hal jugak. Tandas pun dah agak-agak berlumut dah. Errrghh. Mungkin husband sudi menolong. Harap beliau baca entri ni dan menunjukkan wajah kasihan dan menyebarkan simpati sepotong dua. Hikhik.
Siapa kata working wife hanya sibuk di pejabat?
Working wife is made up of two single words - Working and wife.




Working : In my case, it should be teaching and other clerical paper works. Teachers are also known as all-round profession. You can be everything. Even the parking conductor or the cleaner as well.

Wife : A person who manage her family in all ways, including doing laundry, cooking, feeding babies, ironing shirts, cleaning the house, housechores! Housechores everywhere! (unless one is being helped by someone else, for example the... well... pembantu rumah. (I couldn't find other English word that sounds polite for them. I think it's quite harsh to address them as the maid)

Anyway, nampak tak kat situ? There are two major professions for a working wife. (If you are a mother, than it makes THREE major professions. THREE is not just a number. It means a lot. 

A LOT OF WORK, ladies!

Tapi, kita semua akan buat jugak kan no matter how much we babble about it.

Kenapa?


Simple.


It's all about LOVE.

When you love someone, you will sacrifice everything for their happiness. 

Happiness means :-
  • to see your husband is wearing a proper ironed outfit to the office
  • to see your husband and child being fed by home-cooked meal (and yes, definitely it's you who should prepare the dishes)
  • to see the house clean, neat and tidy
  • to see the bathroom in proper condition, at it best cleanliness if I may add! 
  • And.. well.. many more. I just couldn't list them out here. 
Pada masa yang sama, tugas di sekolah /pejabat juga tidak wajar diabaikan. Aku kurang setuju jika ada yang memberi pandangan bahawa kerja di pejabat tidak wajar dibuat sehabis baik. 

"Bukan bawak ke mana pun...."
"Asal dapat gaji sudah..."

Entahlah. Mungkin ada benarnya. Tapi bagiku, apa jua yang aku lakukan adalah atas dasar niat Lillahi Taala.

Bermakna tugas yang diamanahkan kepadaku wajar aku siapkan dengan sesempurna mungkin. Kerana itu mata pencarianku yang akan ku salurkan kepada anakku dan keluargaku. 

Di mana keberkatan itu jika niat kita telah terpesong?

Wallahualam.
Hanya Allah yang tahu.
Hanya Allah yang berhak mengadili.

Ok, dah. Jom sambung kerja. 

:)






Thursday, 19 September 2013

Integriti

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Readers yang disayangi. Apa khabar? Harap anda sihat. 

*

*

*

*

Mukadimah yang membosankan?
Ahah. Memang pun. 

I was not really in the mood to write today but since I have something to share about, so I think I should voice this issue out.

Readers tau tak apa itu integriti?

Menurut Kamus Dewan DwiBahasa keluaran 1985, integriti bermaksud kejujuran dan ketulusan, kesempurnaan dan keutuhan. (Adakah korang membayangkan aku sedang membelek kamus sekarang? Korang salah kerana dalam rumah ini satu jenis kamus pun tak ada. Buat malu kaum je kan. Haha. Jadi blogger harus ada sensasi pengetahuan tinggi sikit walaupun kau hanya Google je)

Al-kisahnya aku pergi balai polis petang tadi untuk tuntut laporan penyiasatan kemalangan. 
Haa.. Tu fikir la tu siapa pulak yang accident kan.. Yes, it was me indeed who involved in an accident in about 3 weeks ago. Malas je aku nak update kat blog. Bertemu, berpisah, berlanggar sesama sendiri, biasalah. Lumrah kehidupan. Kami dan pihak yang terlibat dah pun bersetuju untuk selesaikan di balai polis memandangkan aku nak claim insuran atas kerosakan kereta aku. Hoi, banyak jugak tau yang rosak. Menangis aku kat situ lepas accident tu, dah la kena marah sebab bawak laju ditambah pula apabila melihat keretaku yang cedera parah.

But whatever it was, aku rasa aku berada di pihak yang benar sebab mereka-mereka tak sepatutnya memotong di jalanraya yang mempunyai simbol double line. Basically jalan ceritanya aku simplify dalam bentuk gambar rajah supaya senang korang nak view dan tafsirkan.


I was on my way back home when a vehicle crossed and blocked my way. And, BANG!
( Ignore the labels. I wrote it when I was furious and annoyed.)

 

Selepas berbincang dan berurusan di balai, menghantar kereta ke bengkel, pihak bengkel meminta aku menyertakan sekali dokumen laporan penyiasatan untuk urusan claim insurance. Laporan tu tak siap on the spot, so aku kena tuntut semula on the next few days.

Laporan penyiasatan tersebut bukan free tau. So kerani tu maklum aku kena bayar RM12.00 untuk laporan tersebut. Seriously aku tak sangka kena bayar. Masa dia cakap kena bayar tu, muka aku macam confident je angguk dan selak handbag cari purse. Padahal otak tu pikir cukup ke tak duit aku nak bayar. Berpeluh jugak lah. Mau tak malu kalau dia tau aku tak cukup duit. Cikgu ni pakai smartphone gedabak tapi 12 ringgit pun tak mampu. Terus kena cop aku ni golongan biar papa asal bergaya. Uhuk.

Selak purse Sembonia yang dah seasoned, aku cari jugak duit-duit kertas kot-kot ada terselit di sebalik resit-resit bank yang melambak-lambak. Paham-paham je la orang tak de kereta ni, nak pergi bank cocok duit pun susah. Ya Allah, merah kot muka masa tu cari duit kertas. Yang aku confirm ada duit syiling sebab aku dengar bunyi dia. 

Gali punya gali, jumpa la duit 10 ringgit. Alhamdulillah, ada pun! Haha. Aku masih kayo! (Tak sedar diri lagi tu, tadi je insap kejap).

Aku pun menghulurkan duit RM10 kat kerani perempuan tu, diikuti dengan duit kertas RM1 seterusnya duit syiling 50sen, 20 sen 2 keping, 10sen sekeping. Cukup-cukup RM12. Alhamdulillah. Mujur!

Sekali tiba-tiba ada seorang pegawai ini melontarkan suara,

" Amboi berkiranya! Hulur la 30 ringgit ke..."

Pada masa tu aku tak pasti ayat yang aku dengar ini ditujukan pada aku ke pada kerani perempuan tu. Atau aku yang salah dengar. Maklumlah akak ni  tak de la tajam sangat pendengaran. Tapi bila aku fikir dan kaji dalam-dalam ayat dia (buat kajian teks KOMSAS pun tak camni), terutamanya ayat terakhir, aku pasti ayat tersebut ditujukan pada aku.

Aku hanya sengih dan ucap terima kasih. Dan berlalu dari situ.

RM 12.00 tetap RM12.00 
Takkan jadi RM30.00

Dan aku hanya akan bayar dengan harga yang telah ditetapkan. Tak lebih dan tak kurang.

Maaf, aku lebih mengutamakan integriti dalam profesionalisme.
Lebih penting lagi, mengharapkan barakah dariNya terhadap apa yang aku usahakan.

Sungguh, ketika ini aku masih lagi memikirkan hal tersebut dan bertanya pada diri sendiri, 

Di tahap mana integriti kita?





Tuesday, 20 August 2013

Dugaan Sebuah Kehidupan

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Aku mulakan dengan lafaz syukur ke hadratNya. Dalam entry kali ini, aku titipkan sebuah kisah yang benar-benar meruntun hatiku. Naluri keibuanku.

Sudahkah kalian mendapatkan naskhah terbaru dari majalah Seri Dewi dan Keluarga edisi September?

Cover hadapan ialah selebriti Nurul Syuhada, Syura dan Eja.

Sudah terlalu lama diri ini tidak membaca. Seingat aku sejak aku mengandungkan Faiq aku hilang keseronokan membaca kerana terlalu memikirkan keadaan kandunganku ketika itu. Kalau dulu, buku, majalah, novel, cerpen, bagi lah apa saja bahan bacaan pasti akan ku belek berjam-jam lamanya.

Naskhah terbitan Karangkraf ini aku dapatkan petang tadi setelah selesai membeli sedikit barang keperluan di pasar. Entah mengapa, hari ini aku ingin membaca. Aku ingin tahu perkembangan semasa. Mungkin juga untuk meredakan tekanan kerja yang aku alami hampir setiap hari di sekolah. Membaca merupakan terapi yang terbaik untuk diriku. 

Setelah selesai membersihkan diri, aku duduk di sofa sambil mengunyah biskut raya yang masih bersisa. Majalah tadi ku ambil dan ku belek satu persatu. Segmen hadapan. 

Fesyen tudung. 
Fesyen jubah.
Fesyen lilitan tudung.

Typical.
Perkara-perkara biasa yang harus ada dalam majalah kewanitaan.
Tidak menarik minatku kali ini.

Lalu aku belek helaian demi helaian. Aku mencari sesuatu yang menarik untuk dibaca sehingga mataku tertancap pada artikel ini.

 " Irfan Derma Diri Selamatkan Adik"


Okay, ini menarik. 
Lalu aku membaca dengan teliti sambil menatap gambar-gambar yang dipaparkan.

Keluarga yang mempunyai 3 orang anak lelaki yang pada awalnya dilahirkan normal. Anak sulung mereka, Muhammad Nur Aiman kelihatan normal seperti  bayi lain dan sangat aktif sehingga pada umurnya 3 tahun, didapati perkembangannya lambat. Sendinya juga mengeras secara tiba-tiba. Pada mulanya doktor tidak mengesyaki sebarang keabnormalan, sehingga pada suatu hari seorang pakar kanak-kanak di sebuah hospital mengesyaki Aiman menghidap penyakit Hunter Syndrome.


Kita mungkin biasa dengan kes Down Syndrome. Tetapi Hunter Syndrome ini penyakit yang bagaimana?

Hunter Syndrome merupakan sejenis penyakit keabnormalan genetik yang serius. Kebiasaannya ibu merupaka pembawa genetik ini dan akan menurunkan kepada anak lelaki yang dilahirkan. Sindrom ini secara khususnya adalah disebabkan oleh kehilangan atau kegagalan fungsi enzim yang diperlukan untuk memecahkan molekul  Glycosaminoglycansa (GAG).

Readers boleh baca lebih lanjut tentang Hunter Syndrome di sini.

Apa yang telah ku baca, Hunter Syndrome ini menyerang kanak-kanak lelaki. Simptomnya tidak akan kelihatan pada awal kelahiran namun ciri-ciri tersebut akan lebih ketara apabila si manja meningkat usia 2 ke 3 tahun. Simptom awal penyakit ini seperti selsema dan jangkitan telinga juga tidak begitu ketara kerana simptom ini juga kerap dialami oleh kanak-kanak normal. Ketiadaan enzim untuk memecahkan molekul GAG ini juga memungkinkan fungsi kardiak dan pernafasan terjejas memandangkan kebanyakkan molekul GAG yang tidak dapat dipecahkan ini akan berkumpul di injap jantung.

Di samping itu, seperti Down Syndrome, Hunter Syndrome juga mempunyai suatu ciri fizikal khas yang mudah dikenali kerana golongan istimewa ini mempunyai wajah dan rupa yang seakan-akan sama. Mereka disifatkan mempunyai dahi yang luas dan jendul (prominent forehead), batang hidung yang rendah (flattened bridge nose), dan lidah yang lebar (enlarged tougue).



Di sini aku kongsikan beberapa gambar kanak-kanak Hunter Sundrome untuk pengetahuan bersama.




Tiga orang kanak-kanak yang tidak mempunyai pertalian darah yang mengalami Hunter Syndrome. Readers perasan tak wajah mereka seakan-akan sama?


Berbalik pada artikel yang telah aku kongsikan tadi, Aiman yang kini berusia 9 tahun tidak dapat menguruskan dirinya sendiri kerana kelainan upaya yang dialaminya. Lebih memilukan, adik bongsu Aiman, Muhammad Nur  Aqmal (1 tahun 2 bulan) juga disahkan menghidap penyakit ini. 

Allahu Allah.

2 orang cahaya mata dengan kelainan upaya yang dimiliki semestinya meluluhkan mana-mana hati seorang ibu. Termasuk diri ini.

Ibunya, Puan Mardzita, pasti merupakan wanita yang sangat cekal dalam menghadapi ujian Allah yang maha hebat ini. Berbekalkan semangat dan usaha yang tidak putus-putus, Pn. Mardzita dan suami bersepakat untuk merawat Aqmal sebelum keadaan menjadi terlalu lewat seperti abangnya. 

Menurut doktor, rawatan Hunter Syndrome ini adalah melalui pemindahan sum-sum tulang. Memandangkan sum-sum tulang Pn. Mardzita tidak sepadan dengan Aqmal, anak kedua beliau, Muhammad Nur Irfan (6 tahun), yang disahkan normal dan bebas dari penyakit ini tampil menawarkan diri untuk memberi bantuan sum-sum tulangnya.

Tulus kasih seorang abang dizahirkan apabila anak kecil berjiwa besar ini sanggup menjalani pembedahan pemindahan sum-sum tulang demi kesihatan adiknya. Pembedahan perlu dijalankan segera sebelum usia Aqmal menjangkau 2 tahun atau sebelum otaknya mengecut. 

Ralat hati seorang ibu melihat ujian yang dihadapi oleh anak-anaknya. Aiman cekal menjalani hidup dengan keadannya. Irfan berkorban nyawa untuk kesihatan adiknya dan Aqmal pula terus kuat melawan penyakitnya berbekalkan sum-sum tulang abangnya. 

Aku dapat merasakan apa yang dialami oleh ibu yang tabah ini. Mungkin ada sedikit kekesalan di hati beliau kerana tidak mengetahui keadaan Aiman lebih awal. Mungkin Aiman dapat dirawat sebagaimana Aqmal dirawat jika keadaannya dikesan sebelum itu. 

Ya, itu semua mungkin.

Aku lebih sensitif apabila didedahkan dengan coretan-coretan sebegini. Benar-benar mengusik perasaanku memandangkan aku juga punya anak lelaki. Semoga Allah merahmati anak-anak kita, diberikan kesihatan yang terbaik dan sentiasa berada dalam redhaNya.

Sungguh, ketika ini aku sangat merindukan Faiq yang berada jauh di mata. Membaca artikel seperti ini juga mengembalikan paranoidku yang selama ini telah lama aku hapuskan dari kotak fikiran.

Coretan kali ini menyingkap salah satu sisipan kehidupan duniawi.
Misterinya tiada siapa yang tahu. 

Perjalanan yang panjang dan sentiasa berliku.

Rahsianya hanya digenggam Allahu Rabbi.


Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim,
Kau berikanlah yang terbaik untuk keluarga ini,
Berikan kekuatan untuk ibu bapanya,
Berilah kesihatan yang terbaik untuk anak-anaknya.

Ameen.















Borak Kosong #1

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Lama sudah aku tidak mengasah skill menulis. Sebabnya tidak pula aku cuba memikirkan. Sibuk barangkali. Dengan hal sekolah,  hal rumah, Faiq, puasa, raya, peperiksaan. Aduh bikin bingung sih!

Untuk pengetahuan semua, Bluetooth aku masih lagi merajuk denganku. Namun aku ada cara baru untuk upload gambar. Muahahaha. Gi main jauh-jauh Bluetooh, aku tidak perlukan kamu lagi. *ketawa jahat*.  Caranya dengan upload gambar-gambar yang aku inginkan itu ke dalam Facebook Messenger melalui Android ke akaun aku sendiri. Lepas tu buka Facebook di laptop, klik pada Message icon, cari conversation antara aku dan aku sendiri (forever alone sangat kan), and tadaaa! 

Siap! Gambar-gambar tersebut selamat dipindahkan ke dalam laptop.

 *kibas-kibas tangan tanda dah selesai* 

Heh. 


Aku bukanlah seorang yang pro dalam menaip laju pada skrin Android sebab itu post entri melalui handphone bukan pilihanku. Rimas kalau setiap kali taip mesti salah eja lalu digelakkan oleh kawan-kawan dalam WhatsApp. Gelak itu pula bukanlah sekejap malah turut dijadikan topik hangat pada hari itu. Sangat annoying. 

Oleh sebab itulah aku gemar menaip entri menggunakan lappy. Best main tekan-tekan. Memandangkan dulu cita-cita aku pada usia 5 tahun ialah untuk menjadi cashier yang berwibawa kerana minatku yang mendalam dalam seni tekan-tekan button, maka haruslah entri-entri aku dizahirkan dengan keypad laptop yang turut menggunakan prinsip tersebut. . Mehehehe. Bolehlah dari tak ada langsung.

Entri hari ini juga entri yang agak merapu sebab tak ada motif. Nak taip entri yang telah aku rancang perlu masa yang sesuai sebab aku bukan jenis yang boleh taip entri bila-bila masa. Tak ada feel. Menggedik.

Aku taip entri ni pun sebab kebetulan aku buka lappy untuk selesaikan kemasukkan markah pelajar. Mestilah sambil menyelam minum air. Manfaatkan peluang yang ada sementara laptop berada di meja. Maaflah kalau korang rasa wasting time baca entri ini. Hehe. Raya ada lagi ni, aku ambil peluang minta maaflah sebab buang masa korang.


Salam Aidilfitri readers! 
Maaf zahir dan batin.









Tuesday, 16 July 2013

Bluetooth, Don't Leave Me!

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Kenapa aku lama sangat tak update blog? 
Sebab utamanya ialah BLUETOOTH.

Bluetooth aku rosak entah macam mana, sebenarnya tak rosak pun, cuma aku yang terlebih pandai ni gatal tangan pergi adjust bluetooh folder dekat tempat lain, KONONNYE (tangan di bahu, mata ke atas) tak nak gambar-gambar yang aku transfer tu hilang bersama belaian virus-virus benci yang membusukkan. 

Kalau dah namanya pendrive, pastilah pakej dengan virus yang melambak-lambak. Dan lappy kesayangan aku ni pun tak terkecuali menjadi sasaran parasitisme virus ini.  So, sebagai mengambil langkah berjaga-jaga, aku dengan lagak Like-A-Boss terus menghantar ('send to' cakap omputih) Bluetooh Folder aku ke storage D. 

Dan dengan muka Like-A-Boss lagi aku dengan confident terus mengupload gambar masuk lappy namun tiada sebarang balasan di skrin. Oh, mungkin kita perlu cuba sekali lagi. Bukankah practise make perfect? 

Cuba sekali lagi. 

Fail.

Cuba lagi.

Fail.


Oh tidak.

Di saat itulah aku terus menelefon talian hayatm AB untuk segera memberikan bantuan kecemasan kepada lappy. Namun, AB sampai sekarang belum menemui puncanya kenapa gambar aku tak dapat diupload dalam bluetooth.

Mesti readers tertanya-tanya.

Apa kaitan bluetooh dengan blog? Apa benda ko cuba nak sampaikan ni Fa oii?

Aku ni jenis suka kalau buat entri nak letak gambar banyak-banyak supaya readers faham dan jelas apa yang nak aku gambarkan. Gambar tu penting tahu? Cuba kau buka Dictionary dengan Buku Sejarah yang terpampang gambar Mat Kilau pahlawan Pahang tu? Semestinya la muka Mat Kilau tu la yang akan korang tatap kan berbanding dictionary yang penuh huruf-huruf tu.

Ha, that is the point.

Maka aku pun perlu letakkan satu gambar untuk entri ni untuk menegakkan prinsip aku. 

Tak tau la sesuai ke tak gambar ni. Hentam saje la Labu...

In Sha Allah, aku cuba godek-godek lagi la apa yang tak kena dengan bluetooth aku ni. 

Kalau tak boleh jugak, perlukah aku membeli laptop baru?

Exaggerate okay.


So readers, harap anda semua bersabar dengan dugaan bulan Ramadhan ini. 

Selamat Menunaikan Ibadah. 

:)




Saturday, 16 February 2013

Welcome Esprit!

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Blog ini telah berwajah baru sesuai dengan usia saya yang dah nak menginjak 30 tahun lagi 2 tahun. 

So, kita matangkan sikit imej blog dan saya telah buat sedikit perubahan nama blog :-

ESPRIT


Harapan baru.

Thanks for supporting.

Enjoy.

:)