Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Aku dulu bukanlah seorang yang suka budak-budak. Seriously aku rasa budak-budak sangat annoying!!! Terutama yang tengah lasak dan cakap banyak. Kadang-kadang kalau aku kat public contoh macam kat klinik ke, aku sangat tidak selesa kalau orang yang duk sebelah aku ada ramai anak. Dah tu pulak, anak-anak dia lasak yang amat! Tak cukup dengan tu, boleh pulak muntah depan aku!!! Nak ubah tempat duduk rasa macam kurang adab pulak, aku pun biar je la dengan mempamerkan muka senyum Saya-Ok-Je-Kak kat mak dia. Padahal dalam hati aku? !@#$%!!!!!!! Marahnya!!!!!
Mak aku seorang housewife. Dan disebabkan aku anak tunggal, dulu masa aku sekolah menengah, mama pernah tolong jaga anak-anak kawan dia. Dan aku lah yang paling menentang profesion mama! Sebab aku rasa budak-budak ni super bising! Dah la bising, mengacau aku nak tengok tv, aku nak tengok drama, diorang sibuk nak tengok kartun. Time aku nak hafal nota sejarah sebab esok nak exam diorang melalak sebab berebut barang mainan! Lepas tu, masa mama masak, aku lah pulak kena jaga diorang takut jatuh, takut panjat kerusi, takut panjat meja, takut tarik alas meja, takut naik tangga, takut bla..bla..bla.. OMG! It was sooooo irritating! (intonasi kena kerek tak hengat).
Tapi sekarang...Hmmm.... sekarang.... lain. Lain sangat. Lain sangat-sangat. Lain sangat-sangat-sangat. Lain sa... dah-dah arr Fa, over benar kau. Ok, tapi serius sekarang sangat lain. Aku umpama bidadari kayangan yang sangat lemah lembut dengan budak-budak. Kalau la aku versi dulu tengok aku yang versi sekarang ni, confirm akan *tangan di bahu, mata ke atas* Hahahaha..
Mungkin ada sebab kenapa Allah turunkan ujian yang maha hebat bagi diriku. Supaya aku lebih bersifat penyayang, lebih bersikap lemah lembut, lebih bersabar, lebih bersifat mengasihani. Dan aku punya ciri-ciri itu sekarang. Ada suatu perkara yang patut readers tahu tentang diri aku. Aku takut untuk mempunyai anak dulu. Aku takut beranak. Aku takut rasa sakit. Dan aku takut aku tak dapat menyayangi anak itu seperti mana yang sewajarnya. Aku juga tak faham kenapa orang berkata,"Aku sanggup mati untuk menyelamatkan anakku." Serius, aku tak faham kenapa. Dulu aku rasa kenyataan tu kenyataan yang over-emosional. Dan aku rasa tak logik seseorang itu sanggup mati untuk orang lain. Aku rasa itu hanya wujud dalam cerita-cerita Hindustan je.
Tapi selepas menempuh pelbagai dugaan untuk menyelamatkan Faiq, saat aku pertama kali mendengar suaranya yang tersekat-sekat cuba untuk bernafas sejurus selepas dilahirkan di dewan bedah, suatu naluri halus menyelinap dalam diriku. Perasaan yang sukar untuk aku gambarkan di sini. Perasaan yang hanya seorang ibu yang dapat mentafsikannya. Ya, aku mula menyayangi suara itu. Dan aku juga mahu melihatnya sendiri dengan mataku.
Malang diriku tak dapat melihatnya pada waktu itu. Anak itu terpaksa dibawa ke unit rawatan rapi untuk diberi bantuan pernafasan. Menurut suamiku, Faiq ditolak dari dewan bedah menuju ke wad NICU (Neonatal Intensive Care Unit, suatu unit untuk merawat bayi pramatang dan bayi-bayi yang mempunyai masalah kritikal) menggunakan stretcher lengkap dengan inkubator dan melalui hidungnya, dia diberikan bantuan pernafasan. Terdapat sebuah tangki oksigen setinggi seorang kanak-kanak 8 tahun ditolak bersama dan pasukan doktor kanak-kanak bergegas berlari menolak stretcher tersebut menuju ke lif untuk ke tingkat 6, wad 6D, wad NICU untuk diberi rawatan segera.
Pengalaman selebihnya aku tinggalkan readers untuk membaca entri Sayang Mujahidku Sayang.
Mengalir airmata ini tanpa ditahan-tahan tatkala menatap sesusuk tubuh yang begitu kecil di dalam inkubatornya. Apa sudah jadi dengan Farrah Falina? Mana ego kau Fa? Mana sombong kau? Mana sikap pentingkan diri kau? Suara-suara itu bertalu-talu menerjah masuk dalam kotak fikiranku ketika itu. Dan ketika para doktor menyifatkan keadaan anakku sedang kritikal, aku rasakan dunia ini sungguh kejam terhadapku. Suara-suara itu muncul lagi mentertawakan aku kerana aku yang selama ini tidak punya simpati terhadap kesusahan orang lain sedang menangis untuk seorang bayi? Bukankah kau tak suka budak-budak? Bukankah kau benci dengan tangisan bayi? Lupa ke Fa?
Demi Tuhan, aku sungguh menyesal dengan perbuatanku. Betapa sebelum ini aku bersikap zalim terhadap kanak-kanak yang tidak berdosa. Aku bencikan mereka. Aku merasakan kehadiran mereka menyusahkan hidupku. Aku menyampah dengan gelagat mereka. Aku jijik melihat mama membersihkan najis mereka. Aku cemburu dengan mereka apabila mama melebihkan mereka daripada aku, anaknya sendiri. Aku malu dengan perbuatanku. Aku malu dengan Tuhanku!
Aneh sungguh bagaimana seorang bayi yang polos dan tidak mengerti apa-apa dapat menyedarkan jiwaku yang kaku suatu ketika dahulu. Dapat menyemai perasaan kasih dalam diri ini terhadap kanak-kanak dan bayi. Dapat mengubah diriku yang jahil dalam memahami perasaan orang lain kepada seseorang yang begitu tersentuh apabila bercerita tentang bayi dan kanak-kanak. Paparkan sahaja apa jua berita di suratkhabar mengenai bayi yang kritikal memohon sumbangan dan bantuan kewangan dari orang ramai. Airmata ini pasti gugur. Pasti.
Kenyataan "Aku sanggup mati demi menyelamatkan anakku" yang ku dengar suatu ketika dahulu kini telah aku fahami. Dan kini, ya, memang benar, dan dalam entri ini, aku akui dengan seikhlas hati, " Aku sanggup mati untuk menyelamatkan anakku. Andai nyawaku dapat jadi pertukaran untuk sebuah kehidupan yang sempurna untuk anakku, maka ambillah nyawaku." Terima kasih Faiq, kerana menyedarkan mama betapa sucinya seorang bayi dan betapa murninya kasih sayang seorang ibu. Terima kasih, sayang.
AmanahMu yang terindah. Syukur, Ya Allah. Ampuni dosa-dosaku. |
No comments:
Post a Comment