Tuesday 31 December 2013

Ada Apa dengan 2013?

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Di hari terakhir 2013 ini, aku mahu menitipkan rasa syukur pada Allah swt kerana aku masih lagi bernafas di bumi pinjamannya.

2013 memperlihatkan aku sebagai seorang yang mula bertatih setelah di uji dengan begitu hebat pada tahun sebelumnya, 2012. 2013 juga mula mengumpulkan semangatku untuk terus memberikan yang terbaik untuk anakanda Faiq. Tahun yang penuh liku untuk seorang ibu dan isteri yang perlu membahagikan masa antara anak yang jauh di mata dan suami yang berterusan memahami dilema isterinya. Tinggal berjauhan dengan anak sendiri bukanlah sesuatu yang menggembirakan. Tetapi Demi Allah, tidak pernah terlintas di fikiranku untuk mengabaikan tanggungjawabku sebagai ibu. Bahkan, inilah pengorbananku untuk Faiq, sebagai landasan tanggungjawab yang diamanahkan untuk membolehkan Faiq mendapat segala apa yang diperlukan- kasih sayang dan perhatian yang terbaik selepas kami ibu bapanya. Siapa lagi kalau bukan datuk dan neneknya?

2013 juga menjadikan aku lebih kuat dari segi mentaliti. Mungkin tidak ramai yang sanggup travel hampir setiap minggu sejarak 300km. Dibebani dengan kekangan wang ringgit, masa, tenaga, dan komitmen pada kerjaya yang setiap kali mahu kita memberikan yang terbaik untuk organisasinya, aku telah merasai semua itu. Dan benarlah kata orang, demi anak, mati juga aku sanggup.

Alhamdulillah.
Allah mempermudahkan segalanya. 
Sukar, namun manis sekali pengalaman itu.

Bila aku akan membawa Faiq tinggal bersamaku?
Ramai yang bertanya begitu.
Jawapanku, bila Allah merasakan waktu tersebut adalah yang terbaik, maka aku akan membawanya pulang ke pangkuanku.

Pasti.

Bila?
Ya, itu hanya Allah yang tahu. 
Aku tak pantas meletakkan jawapan.
Yang pastinya apabila Dia mengatakan Kun Fa Ya Kun, Faiq pasti akan ku bawa pulang.


2013 juga memperlihatkan aku sebagai seorang yang mahu mencari identiti sendiri. Sebagai manusia, aku tak lari dari melakukan kesilapan. Banyak sekali kesilapanku hanya Allah yang tahu. Insan yang paling mengerti dan sabar melayani kerenahku sudah tentulah zaujku yang tercinta.
Hakikat Allah menemukan jodoh kami takkan boleh disangkal lagi.
Sesungguhnya keputusan Allah itu adalah yang terbaik.
Kami jelas mempunyai banyak kekurangan, namun in shaa Allah, kami saling melengkapi.

2013 pasti akan kurindui.
Tahun yang mana menjadikan aku semakin matang dalam melayari bahtera kehidupan. Tahun yang menjadikan aku semakin rapat dengan ibu bapaku yang jauh di sana kerana seorang Faiq Aqwa. Faiq dijadikanNya sebagai satu 'penyambung' pada ikatan perhubunganku dengan ibu bapaku. 

Allahu Rabbi, sesungguhnya perancangan Allah itu adalah yang terindah.

2013 boleh ku ibaratkan sebagai suatu medan latihan untukku memperbaiki diri seperti mana yang telah aku perihalkan tentang diriku dan perubahan-perubahan yang ingin aku lakukan dalam entri yang sebelum ini. 
In shaa Allah, aku ingin 2014 menjadi medan kejayaan imanku dalam melawan nafsuku yang sentiasa berebut mahu merajai hati.

Aku percaya setiap manusia dilahirkan dengan fitrah yang baik-baik. Namun kerana hasutan syaitanirrajim ditambah dengan nafsu manusia yang tak pernah mahu mengalah, fitrah yang suci itu  sedikit sebanyak tergugat dek gangguan-gangguan sebegini. Memang kita tak mampu menolak hakikat tersebut, namun apa yang aku ingin katakan pada diriku sendiri untuk 2014 ini :-

"Berusahalah untuk menjadi baik. Lebih baik dari semalam. 
In shaa Allah, Allah akan menghitung keikhlasan dan kesungguhanmu dalam berusaha lebih dari hasil akhirnya."

Cuma satu yang aku mahu sentiasa ingatkan pada diriku.
Apa yang aku kecapi hari ini, rezekiku, insan-insan tersayangku, hartaku, bahkan nyawaku bukanlah milikku. Aku tak punya apa. Aku hanya seorang hamba yang tidak mempunyai hak atas apa sahaja yang berada di dunia ini. 
Dengan demikian, aku harus mempersiap diri untuk menerima segala apa yang mungkin berlaku kerana hidup ini adalah pinjaman. Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku seminit lagi. Maka dengan itu, aku harus sentiasa bersedia.

(Percayalah inilah yang paling sukar untukku lakukan. Namun hakikat tetap hakikat. Siapalah kita untuk menghalang?)

Malam ini, 2013 akan melabuhkan tirainya.
Terima kasih Tuhanku, kerana memberikan aku peluang untuk merasai nikmatmu sepanjang tahun yang penuh bermakna ini.
Semoga tahun 2014 yang bakal menjelma esok menjadikan aku terus istiqamah dalam mencari erti kehidupan. Terimalah amalanku sepanjang tahun ini, ampunkan diriku yang hina dan penuh dosa ini.
Berkatilah dan sinarilah hatiku dengan cahaya hidayahMu agar aku terus istiqamah dalam perubahan-perubahan yang aku azamkan.

Senangkan dan bahagiakan ibu bapaku, terimalah setiap amalan mereka dan berikanlah mereka segala apa yang diimpikan. Limpahilah mereka dengan rezeki yang berlimpah ruah, kesihatan yang terbaik dan kebahagiaan yang berterusan. Ampunkanlah dosa mereka (jika ada) dan sinarilah hati mereka dengan cahaya ketenanganMu. Berkatilah usaha mereka dalam mengasuh anakku, sungguh aku sangat berterima kasih pada mereka.

Begitu juga dengan ibu bapa mertuaku, semoga Kau kurniakan kesihatan yang terbaik buat mereka dan menerima segala amalan mereka. Ampunkanlah dosa mereka (jika ada) dan berikanlah segala apa yang diimpikan oleh mereka.

Buat penemanku di dunia dan di akhirah (in shaa Allah),
Bahagiakanlah suamiku, ampunkanlah dosa-dosanya (jika ada), kurniakan segala hajatnya, halalkan setiap usahanya dalam mencari rezeki buat kami, semoga dirinya sentiasa dilindungi olehMu. Sebarkanlah cinta dan kasih sayangku padanya dan tetapkan hatinya untuk sentiasa berkhidmat dan menuruti perintahMu. 

Dan untuk anakandaku yang paling kusayangi,
Kurniakanlah kesihatan dan keselamatan yang terbaik untuknya, limpahilah kasih sayangku yang tak pernah bertepi untuknya, sematkan dalam dirinya cahaya nur dan hidayahMu agar Faiq Aqwaku menjadi anak yang soleh.
Sihatkan tubuh badannya dan jauhkanlah, jauhkanlah, jauhkanlah segala penyakit yang membahayakan daripadanya. 
Naikkanlah berat badannya, berilah kekuatan semangat kepadanya, berilah peluang untuknya supaya  dapat berjalan seperti anak-anak yang lain sebayanya, peliharalah tulang belakangnya, semoga kesihatannya bertambah baik dari sehari ke sehari. 
Jadikan anakku Faiq Aqwa seorang yang cekal dan sabar dalam menempuhi dugaanMu.
Bekalkanlah anakku dengan sifat-sifat mahmudah yang Kau redhai.
Semoga beliau menjadi seorang yang anak yang soleh, sihat walafiat dan bijak hendaknya.

DemiMu ya Allah, aku berdoa dengan penuh pengharapan. 
DemiMu Ya Allah, terimalah doaku.
DemiMu Ya Allah, terimalah taubatku, ampunkanlah dosa-dosaku dan perbaikilah amalanku.

Sesungguhnya Kau sentiasa menjadi Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Mengasihani.

Ameen, Ya Rabbal Alameen.


(source: Google Images)











Monday 30 December 2013

Sahabat Sejiwa

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Menarik nafas lega. Mungkin hari ini aku baru berpeluang untuk menaip entri ini. Banyak sekali yang ingin aku kongsikan namun masa tidak membenarkan aku terus leka di hadapan lappy. Terlalu banyak tugas yang perlu diselesaikan, di rumah dan di sekolah. Dan itu akan mengganggu fokus untuk aku menulis.

Sebagai anak tunggal, aku tidak mempunyai kawan baik. I mean, BFF yang mana rahsia kau semua dia tahu. Memang tak ada. Mungkin kerana aku ni pendiam dan pemalu. Wakakaka. Korang jangan bayangkan perempuan duk simpuh comey pakai kain batik, please. Pemalu in terms of nak mula perbualan. Faham kan, macam kalau aku jumpa seseorang mesti dalam otak aku duk fikir, nak cakap apa, lepas cakap pasal A nak cakap pasal apa pulak, kalau dia tak layan aku, aku nak respon macam mana in case orang sekeliling perasan dia buat muka derk je.

That kind of pemalu.

Tapi aku rasa, nak mula perbualan dalam dunia sekarang bukanlah sesuatu perkara yang sukar. Hujung jari je kan?

Sesuai la untuk yang introvert macam aku.


Dan di medan maya inilah aku bertemu dengan Nadia.


Aku tidak pernah kenal siapa Nadia. Cuma pada hari itu, sewaktu aku masih dalam tempoh bercuti tanpa gaji menjaga Faiq, ada rakanku berkongsi link di group Facebook di samping menulis status berdasarkan link yang diberi :-

"Lepas ni nak peluk cium Shafy puas-puas :'("

(Shafy tu anak lelaki rakanku itu. Bekas bayi pramatang seperti Faiq, Erm, statusnya lebih kurang la kot macam tu. Aku pun ingat-ingat lupa je ni)

Aku jadi tertarik. Lalu aku buka link yang diberi oleh rakanku itu. Dan dari situ, aku mengenali siapa Nadia.


Ini linknya.

Kisah Najla Batrisya

(Mohon readers baca dahulu link ini sebelum meneruskan pembacaan pada bait-bait seterusnya. In Shaa Allah, anda akan lebih mengerti mengapa saya rasa Nadia seorang yang sangat istimewa)


*




*




*



Setelah aku baca setiap baris kata pengalaman Nadia melalui blog tersebut (blog itu bukan miliknya), aku terus menangis. Setiap kata-katanya mengharukan dan sangat-sangat memilukan. Apatah lagi aku seorang ibu yang pernah meniti kepedihan itu.

Lalu sambil bercucuran airmata, aku cuba mencari siapa Nadia. Aku mula menaip nama Najla Batrisya untuk mengesan blognya.

Dan aku terus mengulang baca entri-entri dikarang olehnya. Bagaimana Nadia menceritakan hidupnya bersama puterinya, bagaimana beliau meniti hari-hari tanpa Najla, bagaimana beliau jatuh dan bangun semula untuk meneruskan kehidupan.

Allah. Aku kagum dengan wanita ini!

Lalu aku memberanikan diri untuk menulis di ruangan komen salah satu entrinya dan alhamdulillah beliau menyambut baik perkenalan ini.

Di sini permulaan ukhwah kami.

Ini komenku di blognya.

as-salam ummi najla.

terus terang saya katakan saya sangat menyukai cara ummi menulis. mungkin terdapat pelbagai kisah bayi pramatang dipaparkan dalam blog-blog ibu yang lain, tapi blog ummi meruntun jiwa saya kerana ummi menulis dengan hati, setiap bait kata hati ummi dilangsungkan dalam penulisan yg cukup sempurna. 

saya juga mempunyai baby pramatang. dan situasi saya tidak jauh beza dengan pengalaman ummi semasa bersama arwah. saya cukup faham dengan perasaan ummi, sakitnya menjadi seorang ibu yang kehilangan, saya cukup faham semua itu. tidak perlu saya ungkapkan dengan kata-kata, saya akui perasaan itu sukar untuk dirungkaikan kepada umum. hanya kita yang mengerti.

teruskan menulis, dan kuatkan semangat anda.



 Dan beliau membalas komenku :-

Waalaikumussalam falina. Terima kasih atas kesudian falina membaca blog saya yang tidak seberapa ini. Penulisan falina yang ringkas di comment ini juga buat saya rasa tertarik. Penulisan saya biasa je falina. Mungkin adakalanya terlebih dramatik sikit sebab saya teremosi :).

Falina, maaf bertanya. Maksud falina tentang bayi pramatang falina tu, adakah dia masih ada lagi? Maaf sekali lagi jika saya tersalah tanya.




Dan sekali lagi aku membalas :-

oh, takpe..baby saya, alhamdulillah setakat ini masih diberikan Allah kesempatan untuk bersama saya. Baby saya lahir 32 minggu, 1.42kg. Komplikasi PPROM sama seperti apa yang ummi alami. Bahkan saya lebih diuji. PPROM sejak kandungan 16 minggu. Bayangkan bagaimana setiap hari amniotic fluid keluar sedikit demi sedikit. Melemahkan semangat saya untu meneruskan kandungan. Selama itu juga saya seperti mayat bernyawa. Langsung tak dapat bergerak kerana takut pergerakan tersebut menyebabkan amniotic fluid saya semakin kurang. Sampaikan buang air pun perlu menggunakan beg pan. Bayangkan. Setiap hari. Doc juga tidak mempunyai keyakinan terhadap kandungan ini. Tetapi kuasa Allah, kita tak tau perancanganNya. 
Saya melahirkan melalui cara pembedahan. Saya langsung tidak dapat melihat, memegang anak saya. Tangisan bayi yang hanya saya dengar di sebalik tirai kain begitu lemah dan semacam tersedak-sedak untuk bernafas.Walaupun menerima suntikan Dexa (matangkan paru-paru) sebanyak 12 kali (3 courses), tak cukup untuk memamtangkan paru-paru anak saya. Anak saya diserang pneumonia dan seperti yang kita ketahui, kewujudan pneumonia dalam kalangan bayi pramatang memang sangat ditakuti. Begitu juga anak saya. Bergantung sepenuhnya dengan mesin ventilator yang diubah ke volume maksimum. Anak saya tak dapat bernafas sendiri di samping mempunyai pendarahan dalam otak dan anemia. Bayangkan perasaan saya sewaktu doktor mengulas kondisi anak saya. Saya seperti ummi, bukan senang untuk memperoleh seorang anak. Banyak juga cara yang saya praktikkan, dan apabila saya diberikan kesempatan untuk mengandung, inilah ujian yang saya harus tempuh. Dari saat mengandung, sehingga ke saat melahirkan, dan ke saat melihat si anak bertarung nyawa untuk terus hidup. saya cukup faham dengan apa yang ummi lalui.
Kini anak saya berada dalam jagaan saya, saya juga guru seperti anda. Saya terpaksa mengambil cuti tanpa gaji semata-mata untuk memastikan anak saya berada dalam keadaan yang baik. Anak saya perlu menghadiri satu siri appointment dengan doktor untuk melihat perkembangannya, susulan dari pendarahan otak yang pernah dialami olehnya. Alhamdulillah, pendarahan itu telah tiada, tapi meninggalkan kesan cyst dalam otak anak saya. Periventricular cyst. Sehingga kini saya sangat takut dengan pelbagai kemungkinan yang boleh terjadi. Saya jadi seorang yang paranoid pada semua perkara yang berlaku pada anak saya. Pasti ada fikiran negatif yang singgah dalam minda saya. Saya rasa ummi faham apa yang saya rasa. 
Orang sekeliling mengatakan saya kuat dan tabah, tapi hanya Allah yang tahu betapa lemahnya saya ketika itu dan sehingga kini saya masih lagi trauma. Trauma segala-galanya berkaitan dengan anak. Trauma mendengar bunyi ventilator, mesin CPAP, bunyi mesin pengesan oksigen spO2, trauma melihat inkubator, trauma melihat bayi pramatang dan bayi-bayi yang mempunyai masalah kesihatan yang lain.
Anyway, saya doakan ummi terus kuat dalam melayari hari-hari mendatang. Salam perkenalan dari saya :)


Balasan beliau :-

Ya Allah, tergamam saya baca reply falina. Ye betul, falina memang kuat dan tabah. Dari ayat pertama hingga ayat terakhir, hati saya asyik berkata kuatnya falina. Sampaikan bila saya cerita pada suami, dia juga bilang falina sangat kuat. Kerana kesabaran dan pengorbanan falina, bayi falina semakin pulih. Syukur alhamdulillah bayi falina sihat membesar. InsyaAllah falina. Sentiasa berdoa untuk kesihatan dan kebaikan bayi falina. Allah SWT sudah mengira setiap pengorbanan falina. Pasti Allah akan memberi ganjaran yang terbaik untuk falina terutama dalam kesihatan bayi falina, InsyaAllah. Saya akan mendoakan kesihatan bayi falina selalu dan saya berharap falina terus kuat dan berfikiran positif kerana aura positif falina dapat dirasai bayi falina. InsyaAllah bayi falina akan kuat seperti ibunya untuk terus membesar menjadi anak yang soleh/solehah dan menjadi penyejuk mata buat falina dan suami. InsyaAllah falina :)

Dan aku mengakhirinya dengan :-

InsyaAllah, terima kasih banyak ummi. Saya juga yakin ummi pasti diberi kesempatan sekali lagi untk merasai nikmat untuk mengandung dan melahirkan. InsyaAllah, kali ini pasti rezeki milik ummi. Saya tak sekuat ummi. Saya cuba belajar untuk menerima keadaan yang telah ditentukanNya. Itu membuatkan saya terus meniti hari-hari seterusnya. :) teruskan menulis.saya suka baca hasil tulisan ummi.


Ada lagi perbualan-perbualan kami selepas itu di ruangan komen entrinya. Namun aku rasa cukup sampai di situ sebagai sedikit gambaran bagaimana aku mengenali Nadia.
Singkat. Tanpa bersua muka dan mengenali antara satu sama lain, Allah telah menerbitkan rasa kasih sayangku pada seorang sahabat.

Sungguh, Nadia sangat istimewa.

Nadia, seorang ibu kepada Najla Batrisya, mengalami masalah yang sama denganku sewaktu aku mengandungkan Faiq 2 tahun lalu. Preterm Premature Rupture of Membrane (PPROM) atau bahasa hariannya, pecah air ketuban sebelum waktunya.

Allah Maha Besar.
Dia ambil Najla Batrisya ketika ibu bapanya meniti hari-hari gembira untuk pulang ke rumah dari hospital.
Dia ambil Najla Batrisya sewaktu harapan ibu bapanya menggunung tinggi untuk melihat permata hati mereka membesar dengan sihat setelah keluar dari wad.

Namun, siapa sangka?
Harapan tersebut tidak diizinkan untuk menjadi nyata.

Dan Nadia adalah salah seorang daripada berjuta manusia di dunia yang terpilih untuk melalui dan merasai sakitnya sebuah kehilangan.

Itu istimewanya Nadia.


Blog ini bernadi kerananya.

Mengambil inspirasi dari semangatnya membuatkan aku terus mencari kekuatan diri untuk berkongsi kisah kehidupan aku dan Faiq untuk semua ibu di luar sana. Lahirlah aku di medan penulisan sehingga kini. Alhamdulillah.


Kejutan terindah buatku apabila persahabatan maya ini akan diakhiri dengan sebuah pertemuan.
Nadia memaklumkan beliau akan ke rumahku untuk bersua muka pada Aidilfitri yang lalu.
Allahu akbar! Betapa tulusnya hati Nadia sudi dan sanggup menemuiku walaupun beliau langsung tidak kenal siapa aku.

Dan ini membuatkan aku lebih dan lebih menyayanginya.

:')

Aku tidak pernah merasakan kasih seorang sahabat yang begitu akrab. Walaupun kami tidak pernah mengenali, namun hatiku secara jujurnya berkata,

"Dialah sahabat di dunia dan di akhiratku"




Nad, Fa sayang Nad. Terima kasih kerana memberikan Fa peluang untuk mengenali Nad, merasai semangat Nad menerusi kisah arwah Najla. Fa takkan sekuat ini tanpa sokongan Nad. Fa takkan mampu membina blog ini tanpa inspirasi dari Nad. Terima kasih kerana membantu Fa mencari erti hidup ini. Fa mahu persahabatan kita kekal hingga ke Jannah. Fa doakan Nad dan Edy akan menerima pengganti Najla secepat yang mungkin. Dan jika belum diizinkanNya, Fa sentiasa doakan Nad dan Edy bahagia dan terus bahagia sehingga ke Jannah kelak.
Ameen.


Nadia, bersama aku, mama dan Faiq. And of course the bantal busuk as the signature.


Anda pasti tersentuh dengan tulisannya yang sangat damai dan menginsafkan.







Wednesday 11 December 2013

Faiq : Mendidik Bukan Mengherdik

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


"Faiq, jangan main tu!"

"Jangan main air, Faiq. No!"

"Faiq.... kenapa susah sangat nak dengar cakap mama..?"


Haih. Aku rasa kalau macam ni la keadaan aku cuti 3 minggu di rumah, mau kena serangan darah tinggi kot. Allah, Faiq sangat lasak dan kadang-kadang tu sangat mencabar kesabaranku.

Tak, aku tak menyalahkan dia. Bahkan aku suka dan happy sangat dengan perkembangannya. Namun, kadang kala aku tewas dengan angin kuskus yang memang jadi label diriku ini. 

Erm. Tau tak angin kuskus tu apa? 

Hehe. 

Selama ini, aku menggunakan cara mengarah JANGAN pada Faiq. Jangan main tu, tak boleh main ni, jangan pegang tu, jangan pergi sana. Jangan tu. Jangan ni.

Jangan.

Dan aku rasa kaedah itu tak berkesan mana untuk si lasak Faiq yang juga mewarisi angin kuskus dari diriku. 

Lagi dikata JANGAN, lagi dibuat. 

Lagi dimarah, lagi galak dia ligat.

Situasi yang cukup sukar ini membuatkan aku rasa aku gagal sebagai seorang ibu. Apatah lagi aku bukanlah menjaga Faiq sepenuh masa. Manalah nak cari waktu nak didik Faiq kalau bukan waktu cuti macam ni.

Lalu, fikir punya fikir, aku cuba meletakkan diriku pada situasi Faiq.

Bayangkan.

Mama marah aku dan berkata,

"Jangan main tu, Farah! Kenapa degil sangat ni?"

Apa perasaan aku waktu itu? Berbekalkan angin kuskus aku ni, wajiblah aku melawan. Ya, aku memang degil dan tak peliklah anakku Faiq juga mewarisi sikapku.

Huhu.. Kenapalah aku degil dulu?


Jenis aku kalau orang marah, lagi aku buat. 
Lagi aku saja nak sakitkan hatinya. 
(Please jangan judge aku, aku hanyalah manusia yang lemah. Hehe)

Memang takkan nye la aku nak dengar kalau orang yang marah aku tu jerit-jerit kat aku. 

Takkan.


Mengambil iktibar dari sifat mazmumah aku yang satu ni, aku rasa cara mendidik Faiq dengan menjerit atau memarahi bukanlah sesuatu yang berkesan. 
Dah la tak berkesan, kau pulak yang stress sebab marah dia. Dah stress lepas tu mula la emosi nak nangis pulak sebab menyesal marah anak. 

Dah berganda-ganda masalah kan.

Jadi apa yang aku buat untuk mendidik Faiq, ialah dengan menggunakan cara reversed psychology.

Contoh 

Faiq dengan selambanya membaling barang-barang toiletries dari storage box ke arah tangga. Seronok dia tengok losyen badan dan minyak Bayini Mestika dia bergolek-golek atas tangga. 
Mujur tak pecah. Lepas satu, satu dibalingnya. Lepas dah habis barang dalam storage box, dengan box-box tu jugak dicampaknya.

Tindakan yang berkesan:

"Mama sayang Aiq.. Aiq good boy... Good boy tak buat macam ni kan. 
Jom kita ambil semula barang tu kat bawah, Aiq kan dah pandai turun tangga sendiri? 
Nak tak?

Lepas ajak dia ambil semula barang tu, aku pun pancing lagi.

"Aiq, jom tolong mama susun semula barang-barang ni dalam bekas ni, nak tak? Aiq pandai susun barang kan? Cantiknya Aiq susun barang...."

Lepas tu puji lagi. 

"Aiq ni pandai la.."
"Pandai sangat anak mama ni...."

Nak dramatik sikit tepukla tangan bagi semangat dan dorongan. Tak pun peluk dia atau sayang pipi dia atau cium dahi dia.

Confirm cair punya!

Nah, kan dah selesai masalah? Anak pun ok, tak meragam dan buat perangai.
Diri sendiri pun tak rasa sakit hati sebab marah dan jerit-jerit.

Win-win situation.

Pujian sangat penting bagi seorang anak.
Aku ada mendengar petikan ceramah dari seorang ahli agama yang mengatakan bahawa setiap kata-kata ibu merupakan suatu doa. 

Masya Allah, kelebihan seorang ibu!

Puji dan berikanlah semangat tersebut pada mereka.
Tiupkan aura positif dalam diri mereka agar mereka dapat merasakan keyakinan dan kasih sayang kita pada mereka. 


Bila difikirkan semula, Faiq adalah anak kecil yang tak mengerti apa-apa.
Pada peringkat ini, anak-anak masih dalam proses belajar.

Tak sepatutnya wujud situasi :

"Jemah, aku tengok anak kau baik je, tak macam anak aku, degil. Ikut perangai bapak dia la tu!"

Amboi, sedap pulak dia salahkan bapak. Lepas tu si bapak pun sama naik menyalahkan si mak.

"Awak la ni, dulu masa mengandung suka sangat menjerit-jerit. Kan dah turun kat anak! Ni sume salah awak!"

Hah, jadi masalah rumah tangga la sudahnya.

Kalau dah tiap-tiap hari mak dan ayah sendiri cakap anak degil, kat mana anak nak dapat aura positifnya? Kita kena yakin bahawa anak itu asalnya bersih. Hatinya polos dan jujur. Kita yang harus percaya pada kelebihannya. 

Percaya. 

Percayalah, walaupun anak itu serba kekurangan. 
Pasti ada di mana-mana.


Sebenarnya, nak control marah ni bukan mudah.
Memang kita mudah marah (aku je kot).
 Lagi-lagi kalau kerja kat sekolah melambak-lambak, dengan PBS tak siap key in (yes, I am one of them), lepas tu anak pulak buat perangai yang kurang comel dipandang. 

Ini boleh menaikkan darah!

Tapi, cuba kita lihat dari sudut postif.

Aku berpegang pada frasa "Sekurang-kurangnya" (At Least)

Bila aku fikir semula, kenapa aku perlu marah? 

Walaupun Faiq adakalanya nakal, namun sekurang-kurangnya dia masih bersamaku sehingga ke saat entri ini dikarang.

Walaupun Faiq keras kepala, namun sekurang-kurangnya dia mampu untuk bersikap sedemikian. Ada anak-anak lain tak mampu menjadi nakal, tak mampu menjadi keras kepala kerana mereka tidak berupaya.

Walaupun Faiq dilahirkan dengan kekurangan dan penuh dugaan, namun sekurang-kurangnya aku berpeluang untuk memegang title seorang ibu.


Sekurang-kurangnya.


Bila aku fikirkan semua ini, tak ada sebab untuk aku melontarkan kemarahan.

Faiq Aqwa adalah anugerah.

Anugerah teragung ini diamanahkan untuk dididik, bukan untuk diherdik. 
(inspirasi dari mutiara kata Prof Dr Muhaya)

Wallahu'alam.

*angin kuskus- perumpamaan tak rasmi bagi seseorang yang mudah naik angin

Faiq Aqwa, 9 Disember 2013, 1 tahun 10 bulan.





















Thursday 5 December 2013

Akal vs Nafsu

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Cuti sekolah ni bebas dari segala hiruk pikuk dalam sekolah. Menghirup udara segar dari laman dan menikmati hidangan sarapan tanpa diganggu oleh mesej-mesej seperti,

Assalamualaikum dan salam mesra.
Semua guru diminta hadir ke bilik mesyuarat jam 2.00 petang ini untuk Mesyuarat Penyelarasan Kokurikulum. 

atau

Bagi guru-guru yang belum lagi mengemaskini data E-Operasi, silalah berbuat demikian selewat-lewatnya pada pukul 4.00 petang hari ini. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada guru data. Harap maklum.


Tapi aku juga kadang-kadang rindu jugak dengan mesej seperti,

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Dijemput para guru dan staf untuk menikmati juadah makan tengahari di kantin bermula pada pukul 12.00 tengahari. 

Gila tak nak makan free?
Hehe.

Memang cikgu-cikgu kat sekolah aku ni murah hati semuanya. Kalau ada rezeki lebih, macam tu la. Buat belanja kawan-kawan sekerja makan tengahari. Alhamdulillah, semoga rezeki kalian sentiasa dimurahkan Allah swt.

Jadi cuti sekolah ini aku habiskan sepenuhnya bersama Faiq di rumah, selain daripada menghadiri temu janji doktor seperti yang telah dijadualkan. Kadang-kadang aku bawak juga Faiq pergi Giant memandangkan si kecik tu dah addicted sangat dengan logo Giant. 



 Pantang nampak logo ni di mana-mana barang dalam rumah, mesti dia tunjuk dan sebut :-

Ayen.. Ayen.. 

Lepas tu tarik nafas dan sebut :-

Aaaakkkk.....Ggggiiiiiiiiiiiii!

(Giant..Giant... Nak pergi!!!!!)

Bawak la dia pergi mana sekalipun tempat yang classy sikit, huh takde emosi langsung dia.

Tapi bila lalu Giant...
amboi siap melompat dalam kereta duk Aaaaakkk Giiiiii! Aaaakkkkk Giiiiiii!

Huhu. Takpe la Iq, Jimat duit minyak mama, tak payah travel jauh-jauh dan tak payah nak bersiap hijabista sangat. 
Giant je pun.
Plus, tak payah bawak stroller bagai sebab Iq lagi suka naik troli free dari stroller yang mama terpaksa angkut dengan gigih masuk dalam kereta.

Bagus anak mama. 
Memahami.
 ;)


Tapi 2 hari lepas, memandangkan aku memang nak beli barang-barang sekolah
(kata azam baru.. semangat tau jauh-jauh beli barang kat Klang nak bawak balik Terengganu)
aku tidaklah bawa Faiq bersama-sama dengan aku masa tu. Kalau bawak dia, memang tak boleh pilih barang. Duk sibuk Aaaakkk Niiiiiiii... Aaaaaak Niiiiiii je nanti si kecik tu.

(Aaaakkkkk Niiii - Nak yang ini)

Kalau dah jalan sorang-sorang, memang la gatal je tangan nak habiskan duit. Bila aku jalan-jalan dekat Giant lepas dah siap beli barang di Jusco, aku pun lalu la depan kedai jual spek.

Eh, tengok la kejap.
(Nafsu yang pertama memainkan peranan)

Yes miss?
(Staf kedai cuba menghulurkan bantuan a.k.a memasang perangkap untuk aku beli barang dalam kedai dia).

Takpe, I tengok dulu je.
(Akal mula mengingatkan aku)

You nak cari spek macam mana?
(Ayat pancing..Ayat pancing!)

Errr... Spek plastic frame yang besar sikit ada tak?
(Amboi, tadi kau kata nak tengok aje???)

Ada.. Ada.. Kejap aaarr..
(Yes, mangsa dah masuk jerat!)

Staf tu pun tunjuk la spek jenis yang aku request tu.

Lebih kurang macam ni la frame dia
(Google Images)

Aku pun dengan confident try.
(Nafsu kedua- "Takpe kau try je bukannya kau beli pun")

Eh, cantik jugak ye!
(Nafsu ketiga - "Haah la cantik pulak kau pakai spek ni, tak kembang sangat tudung. Pakai shawl pun takde masalah. Sesuai dengan kau")

Buat kira-kira sikit dalam otak...
Lepas tu tanya staf tu :-

Berapa ye harga sekali dengan lens?
(Nafsu keempat- "Takpe, kau tanya harga je pun. Bukannya nak beli. Bukannya kena bayar kalau just tanya")

Kalau tengok power you tinggi macam ni, kena pakai Hoya Lens baru nipis sikit. Kalau cermin biasa nanti nampak tebal.. 
(Ayat pancing yang lebih kaw)

I tak mau Hoya lens. I nak cermin biasa je..
(Memandangkan aku baru je buat spek 4-5 bulan lepas, pakai lens Hoya, maka aku tahu harga cermin Hoya memang melambung-lambung. Kononnya kali ni aku nak buat spek harga biasa-biasa je)

Aiyoo kak.. Kalau you ambil cermin biasa tebal sangat la.. You pakai pun tak cantik.. Ambil Hoya lens la, berbaloi. You pakai pun puas hati.
(Memang betul pun cakap staf tu. Aku pun jenis kalau nak beli barang, memang nak yang bagus dan puas hati kalau pakai. Daripada membazir beli barang kualiti kurang, mesti aku tak guna nye. Membazir jugak)

Erm.. Berapa arr? You total tengok..
(Nafsu kelima- Tak pe Fa, duit simpanan kau kan ada lagi.. Pakai yang tu la dulu. Lagipun bulan depan kan kau dapat bonus. Boleh la ganti semula.)

Staf tu pun tekan-tekan calculator dan tunjuk kat aku skrin calculator tu

RM800

Hoi! Mahalnya!
(Akal mula sound aku)

Ni kualiti baik punya. You pakai pun cantik maa.. Cermin pun tahan calar dan tak tebal. Puas hati la.
(Staf tu mula bagi reason-reason yang bernas dan berisi)

Aku dari tadi tak tanggalkan lagi spek contoh tu. Duk telek muka aku dalam cermin dengan frame spek tu.

Akal dan nafsu mula memasang pedang nak berlawan.

Cantik tu memang cantik spek ni. Tapi, aku mampu ke? Perlu ke aku spek ni memandangkan aku baru je buat spek baru-baru ni?
(Rasional cuba memancing aku pulak)

Rasanya macam aku ni watak yang biasa keluar tv tu yang ada angel kat sebelah kanan dan setan kat sebelah kiri. Duk bertelagah nak mempengaruhi aku.

Adoi, macam mana ni??

Staf tu siap dah buka buku resit lagi sebab gaya aku memang betul-betul nak beli.

Lalu, aku ketepikan sekejap diri aku dan cuba fikir semula dalam-dalam.

Duit aku memang ada, tapi banyak lagi perkara lain yang aku boleh buat.
(Akal)

Tapi frame tu cantik Fa! Spek kau yang sebelum ni tak cantik. Muka kau lebar pakai spek sebelum ni. Dengan spek ni muka kau nampak panjang sikit. Kau pakai shawl pun tak jejas tudung. Senang la lepas ni tak payah pakai contact lens dah.
(Nafsu)

Mahal sangat la RM800!! Membazir pulak.
(Akal)

Ala, takpe.. Duit boleh cari. Lepas ni kau susah dah nak jumpa spek yang betul-betul sesuai. Tu la kau, dulu kau taknak pikir habis-habis masa buat spek sebelum ni. Spek tu buat muka kau nampak lagi bulat la.
(Nafsu)

Kejap, kejap. Faiq macam mana? Cukup ke barang-barang keperluan dia? Vitamin dia yang kau kata nak beli tu, dah beli belum? Spek mama yang patah kat rumah tu, kau tergamak ke nengok je?
(Akal)


Terdiam.
Rasanya, ramai lagi insan-insan di sekelilingku lebih memerlukan RM800 tu berbanding aku sendiri.

Lalu, dengan penuh rasa yakinnya, aku berkata:-

Takpe la, saya fikir dulu macam mana. Kalau jadi saya datang semula.
(Ayat penyedap supaya aku tak rasa bersalah sangat nak menolak. Padahal aku memang dah sedar diri dan taknak beli dah)

You sekarang cerita la masalah you, masalah bajet ke apa ke. Nanti kita boleh tolong you. Ada masalah kita bincang la.
(Staf tu memang gigih betul pujuk aku beli spek dia. Adoi, boleh dapat Anugerah Staf Terbaik la macam ni)

Err.. Takpe, takpe. Nanti kalau apa-apa I datang semula. Thank you so much aaarr..

Adat berniaga. Macam tu la. Customer comes, customer goes. 
Staf tu kena la terima keputusan aku. 

Kini, aku rasa lega dan bersyukur sangat aku dapat menepis godaan nafsu yang betul-betul mempesonakan.

Sebab instead of beli spek harga RM800, aku boleh beli ini :-

  • Spek membaca mama yang dah berkurun tak tukar sampai patah dikerjakan si Faiq - RM168
  • Vitamin Faiq untuk meningkatkan sistem imunnya - RM174
  • Vitamin aku sendiri untuk general health aku - RM148

RM168 + RM174 + RM148 = RM490

RM800 - RM490 = RM310

RM310 tu boleh lah aku simpan untuk kegunaan emergency atau masuk dalam saving account.

Sebenarnya, lepas dah kahwin dan ada anak ini, keperluan diri jatuh nombor dua. Atau nombor tiga atau nombor berapa pun tapi bukan nombor satu.

Aku merasainya. 

Memang ada juga rasa terkilan sebab aku memang nak sangat spek tu, tapi aku rasa tak adil untuk ahli keluarga yang lain.

Apalah sangat spek harga RM168 kalau nak dibandingkan dengan pengorbanan mama selama ni?
Apalah sangat harga vitamin tu kalau tu boleh membantu meningkatkan kesihatan Faiq?

Family first.


Inilah kepuasan aku yang sebenar.

Terima kasih, cik Akal.

And Nafsu, maybe next time.
Perhaps.

:)















Monday 2 December 2013

Faiq: Updates for November 2013

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Mempunyai anak adalah impian semua (hampir semua kot) pasangan yang berkahwin.
Mempunyai anak yang sempurna dan sihat adalah harapan semua ibu bapa.

Kami juga.

Faiq Aqwa.
Dilahirkan awal 2 bulan.
Kisah ini telah aku ceritakan pada anda semua dalam entri-entri yang lalu.

Part 1 : Istimewa Sebuah Pengorbanan
Part 2 : Sayang Mujahidku Sayang

Menyelusuri hampir 2 tahun bersamanya, aku akui Faiq seorang anak yang sangat membahagiakan jiwa keibuanku.

Anak yang petah berkata-kata.
Anak yang pintar.
Anak yang sensitif dan lembut.
Anak yang keras hati.
Anak yang sempurna di mata kami.

Alhamdulillah.

Aku abaikan sahaja kata-kata sinis menyatakan anakku itu dan ini.
Tidak boleh berjalan walau hampir 2 tahun, kecil dan kurus, dan pelbagai lagi. Ada juga yang menggelarkan Faiq OKU (Orang Kelainan Upaya).

Kalau benar, kenapa?

Aku tak punya masalah tentang itu.

Memang anakku tidak dapat berjalan apatah lagi berlari setakat entri ini dikarang. Faiq pada hari ini hanya mampu berdiri dan bertatih dengan sokongan.

Ya, aku bangga dengan kemajuannya.

Tiada sebab untuk mereka-mereka menkonklusikan perkara itu.

Kun Fa Ya Kun.

Apa yang akan jadi, aku terima.
Apa yang aku terima, akan aku redha.

Bukankah aku seorang hamba?  Lalu, berlagaklah seperti hamba.
Usahlah mendabik dada seperti tuan.

Kalau itu yang diberi, maka aku terima.
Aku sudah lama menerima Faiq.

Bagaimanapun dia, akan aku sayang kerana dia sebahagian dari diriku.


Untuk pengetahuan readers, Faiq Aqwa anakku disahkan mempunyai struktur tulang belakang yang tidak seperti yang sepatutnya.

Digelar "kypho scoliosis".

Memang sebelum ini, aku perasan tulangnya agak bengkok. Namun aku fikir itu disebabkan oleh faktor badannya yang kurus.

Setelah aku ajukan kepada pakar tentang perkara ini, dan melalui imbasan sinar -X, didapati memang benar, tulang belakang Faiq tidak lurus.

Kyphoscoliosis ialah suatu keadaan di mana struktur tulang belakangnya yang membengkok ke sisi dan membongkok ke depan. Simptom ini adalah gabungan daripada dua jenis keabnormalan tulang belakang, iaitu kyphosis -tulang yang membongkok ke depan dan scoliosis- tulang yang membengkok ke sisi membentuk huruf S.

Aku tidak menjumpai gambar yang sesuai untuk aku muatkan dalam entri ini berkenaan dengan kyphoscoliosis. Plus, aku tidak berdaya untuk melihat gambar tersebut setiap kali entri ini dibaca olehku. Ya, kerana aku seorang ibu. Maaf, aku belum bersedia. Tambahan pula, hati-hati insan sekelilingku harus dijaga.

Aku harap bagi sesiapa yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan masalah ini, bolehlah search di Google.

Kini, Faiq sedang dipantau oleh doktor pakar tulang belakang berkaitan masalah ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di mana Faiq harus menghadiri temujanji setiap 6 bulan sekali untuk melihat perkembangan tulang belakangnya.

Entri kali ini pendek dan ringkas.

Aku tidak mahu bercerita panjang.
Mungkin juga emosiku tidak begitu stabil dengan ujian ini.

Kuatkah aku untuk menerima?
Aku tidak tahu.

Tetapi melihat senyuman di wajahnya yang ceria, adilkah aku membazir waktu untuk bersedih tatkala bersamanya?

Allah ada.

Kun Fa Ya Kun.

Aku terima Faiq seadanya.





















Sunday 24 November 2013

Perubahan

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Actually, I thought of updating about Faiq. Tapi kalau nak cerita tentang Faiq, aku memerlukan masa dan emosi yang tidak boleh diganggu oleh anasir-anasir luar. Maknanya fokus memang kena 100% terhadap post tersebut supaya tak tersasar ayat dan susunannya. 

Ada beberapa perkara yang tentang Faiq yang aku ingin kongsikan. Here and there. In Shaa Allah, aku cuba untuk mencari masa tersebut.

Topik yang terdetik dalam fikiranku sekarang ialah aku sendiri. Gila selfie haha. Tak la. Tapi betul, aku ingin bercerita tentang aku dan perubahan yang aku ingin lakukan terhadap diriku. 

Kalian kenal siapa aku dulu? Memang tak la kan? Aku bukanlah selebriti yang punya gambar posing-posing maut dalam majalah atau blog-blog hiburan. Aku juga bukan pelajar bijak pandai yang mampu menarik perhatian dunia dengan 10-11A+ di dada-dada akhbar. Aku juga setakat ini (alhamdulillah) tidak pernah dikaitkan dengan berita-berita jenayah yang menjadi suspek paling dikehendaki polis. 

Aku hanya seorang perempuan biasa. Seorang anak lalu menjadi isteri dan kini alhamdulillah diberi peluang menjadi ibu. Selama mana? Wallahu'alam. RahsiaNya hanya Allah yang tahu.

Aku asalnya tidak berhijab. Sejak dari tadika sehingga aku tingkatan 1, aku memang bukan seorang hijabis. Cewah. Term orang sekarang hehe. Aku siap pakai pinafore masa Tingkatan 1. Bangga betul pakai skirt pergi sekolah. Lagi pula sekolah aku sekolah perempuan. Memang bertudung itu tidak diwajibkan di sekolah kami. 

Sehingga aku ditegur oleh ustazah yang mengajar di sekolah, bila nak pakai tudung? Bila nak pakai tudung? Naik malu aku dengan ustazah.

Di sekolah aku, keperluan bertudung hanya diwajibkan semasa kelas agama sahaja. Jadi kami yang freehair ni memang kena bawa tudung la pergi sekolah sekiranya hari tersebut ada kelas PAI (Pendidikan Agama Islam). And of course la, pada hari-hari tu kami kena pakai baju kurung. Melainkan kalau kau suka kena denda pakai telekung masa kelas PAI. Mampu? Haha.

Aku jadi bosan setiap kali ustazah perli-perli aku apabila aku cabut tudung aku setelah sampai ke kelas dari surau.

"Tudung dah terbang ke Farrah?"

Sentap tau tak??

Lalu lama aku berfikir. Akhirnya aku pun buat keputusan nak pakai tudung pergi sekolah. Masa tu pertengahan penggal Tingkatan 1. Aku siap ajak member aku yang freehair join sekali. Tapi janganlah readers terpesona dengan kewarakan aku masa ni. Aku pakai tudung bukan sebab aku memang nak pakai sangat. Cuma aku boring dengar ustazah duk bising pasal tudung ni. Untuk memuaskan hati guru-guru di sekolah, aku pun tekad nak pakai tudung. Mama dan abah pulak jenis open masa tu. Tidaklah memaksa aku untuk mengenakan tudung lantaran pada pendapat mereka, biarlah aku benar-benar bersedia untuk berhijab, buka kerana dipaksa mereka.

Lalu, first daya aku pakai tudung rasa..

"Wow! Excitednya!"

Boleh rasa pengalaman lipat-lipat tudung, tiup-tiup tudung supaya tak penyek macam kawan-kawan bertudung aku buat. Aku siap potong plastik cover folio Sejarah untuk dijadikan pengeras tudung. Ala.. kalau sekarang tu macam ala-ala awning tu la. Hehe.

Hoi, penting tau tak kemenjadian tudung tu!

Kalau tudung tak jadi, memang siap la tangan duk meraba-raba tudung sampai jadi! Lambat pergi sekolah pun lambat la.

Kalau kawan tanya,


"Kenapa ko lambat?"

"Tudung buat hal la"



Hah. Tu memang tipikal ayat budak sekolah jaman dulu-dulu.

Ermm..Maybe sekolah aku je kot?

Atau mungkin aku je kot?

Entah. Hehe.


Adakah readers rasa aku telah sepenuhnya berubah?

Anda silap!

Aku masih sayangkan gaya dan fesyen terkini. Mana boleh bergaya kalau pakai tudung. Lalu aku mengambil prinsip memakai tudung hanya di sekolah. Di luar, memang terbang tinggi-tinggi la tudung aku bak kata ustazah.

Selama 4 tahun aku begitu. Memakai tudung di sekolah sahaja. Kadang-kadang aku jadi malu bila ada kawan-kawan yang baru mengenali aku di sekolah mendapat tahu aku masih freehair di luar. Alasannya tipikal - belum sampai seru, belum bersedia, belum macam-macam la!
Kalau hati memang tak nak tu kan..

Selepas melewati fasa persekolahan, barulah aku belajar memakai tudung sepenuh masa. Tapi masih lagi, aku tidak mengerti mengapa aku bertudung. Ya, memang benar, dari dulu lagi aku belajar dan tahu bahawa setiap Muslimah itu wajib menutup aurat. Tapi pada masa ini, aku seakan-akan bertudung tapi hanya kerana mengikut kawan-kawan.

Kawan pakai tudung, aku pakai. Kawan pakai baju lengan panjang, aku pakai. Tapi aku tidaklah ikhlas sepenuhnya dalam mematuhi syariat ini. Aku mungkin memakai tudung, namun kebiasaannya aku selempang ke belakang. Mungkin aku berbaju lengan panjang, tetapi lengan bajuku hanyalah three quarter daripada panjang tanganku. Aku berseluar panjang namun tidak berstokin. Hanya berselipar ringkas.

Budak U la katakan.

Hello, tak rock ok pakai stokin bagai.

Kalian fahamkan maksud ku? Perilaku aku ketika itu adalah gambaran sebahagian besar muslimah remaja masa kini. Tidak begitu prihatin dengan lengan yang terdedah, dada yang terdedah dan sepasang kaki yang terdedah. Malah bangga kot punya kaki yang bebas dari parut atau kudis. Lantas terus menyarungkan kasut tumit tinggi yang menyerlahkan keseksian kaki tersebut.

Astaghfirullah.

Jahilnya aku.

Sehingga aku berkahwin dan melahirkan Faiq, aku masih lagi begitu. Auratku tidak ditutup sempurna. Masih tersasar di sini sana.

Sehinggalah pada suatu hari, aku membaca tentang kisah seorang pegawai bank yang maut ditembak seorang pengawal keselamatan warganegara Indonesia.
(Alhamdulillah, kes tersebut telah selesai dan penjenayah tersebut dikhabarkan telah dihukum gantung sampai mati. Harap betulkan jika ini adalah khabar angin, aku pun dapat tahu updates ini dari blog-blog lain. Al-fatihah untuk Allahyarhamah)


Aku membayangkan aku yang ditembak. Tanpa ada amaran, tanpa ada peluang untuk bertaubat, tanpa ada peringatan untuk aku menunaikan solat Asar dahulu sebelum nyawaku diambil. Allah, sungguh aku tidak punya pilihan.

Aku tidak tahu bila nyawaku bakal diambil. Namun itu bukan persoalannya. Persoalannya, dengan bekalan yang aku bawa sekarang, cukupkah untukku membela diriku di akhirat kelak?
Bersediakah aku menjawab soalan-soalan yang bakal ditanya oleh Tuhanku?

Solatku.

Auratku.

Amalku.

Dosaku.

Bagaimana?
Aku tidak tahu.

Demi Allah, tiada siapa yang tahu bagaimana keadaan kita di sana nanti. Baikkah? Atau sebaliknya?

Bila nyawaku aku melayang?
Bagaimana?

Semasa aku lengkap berpakaiankah?
Atau mungkin dalam keadaan yang mengaibkankah ?

Nauzubillahiminzalik.

Tak sanggup aku membayangkan.

Tak perlu rasanya aku mentarbiyahkan anda semua terhadap syariat dalam berpakaian. Umumnya masing-masing sudah mengetahui dan memahami. Cuma kita tersepit antara kesediaan mungkin. Aku tak mahu komen tentang itu.

Dan kini, aku cuba memperbaiki diri dari segenap segi. Solat, ibadah, pakaian, aurat, akhlak dan perlakuan. Kalau anda kenal aku yang dulu, mungkin akan perasan terhadap sedikit sebanyak perubahan yang aku cuba (in shaa Allah) terapkan dalam diri.

Tamparan paling hebat pernah aku terima semasa aku hampir kehilangan Faiq. Dan apabila aku mengimbas kembali saat-saat itu, hatiku terdetik, mengapa aku terlalu ego dalam mematuhi perintahNya? Sedangkan Dia telah menolongku di saat orang-orang lain tak mampu berbuat apa-apa.

Sombongnya aku.

Lalu aku tekad, inilah masanya untuk aku berubah.

Berubah dalam ertikata mencari keredhaan Allah, biarpun mungkin kelihatan 'kolot dan kampung' pada pandangan manusia.

Namun padaNya, in shaa Allah, perubahan ini adalah yang terbaik.

Semoga Allah memberikan pendirian yang istiqamah dalam hijrahku.

Semoga aku istiqamah.
(Google Images)



Buat readers di luar sana, aku ucapkan terima kasih kerana terus menyokong aku dan minatku dalam bidang penulisan ini. Semoga kita semua dilindungi Allah dan dilimpahi rahmah dan barakah dalam menyelusuri liku-liku kehidupan yang tak pernah jemu menyinggah untuk menguji ketaqwaan seseorang hambaNya.








Wednesday 6 November 2013

Kerang Bakar

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
  

Pakar motivasi ada menyatakan fakta bahawa semakin lama sebuah perkahwinan itu dilayari, maka semakin banyaklah usaha yang perlu diterapkan demi mengembalikan kemanisan berkasih sayang. Dan aku akui itu. Setelah lebih 3 tahun melayari bahtera perkahwinan, sedikit demi sedikit aku mula merasai betapa hidup kami penuh dengan rutin kerja yang tak pernah bertepi.

Suamiku yang sibuk dengan tugasan di pejabat dan aku pula sibuk dengan urusan sekolah. Balik rumah pun begitu. Masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing tambahan pula Faiq berjauhan dengan kami.

Hingga pada suatu ketika, aku merasakan suatu perasaan yang aneh hadir dalam hatiku. Perasaan yang hiba, sedih dan rasa terpinggir. Sunyi dan sepi walaupun aku tidak keseorangan. 
Aku merasakan hidup ini tidak ada apa yang istimewa selain daripada pergi kerja balik kerja. 

Bangun, kerja, balik, tidur.

Oh, boringnya.


Bagi sesiapa yang belum mengenali suamiku, beliau seorang yang agak pendiam walaupun kadang kala boleh tahan juga sengalnya. Hehe. Dan yang paling utama beliau sangat bijak menyembunyikan perasaan. Aku yang hidup dengannya 3 tahun lebih ni pun tak tahu apa yang sedang dialaminya. Masalahnya, kedukaannya. Sungguh, aku memang tidak tahu, kerana beliau tidak pernah meluahkan.

Apa yang keluar dari mulutnya hanya perkara-perkara cetek dan santai sekadar berbahasa memecah sunyi. Untuk digali perasaannya, aku tahu itu tidak mungkin kerana beliau amat sukar berbicara tentang itu. 

Sikapnya yang satu ini kadangkala menyebabkan aku sering memikirkan yang tidak-tidak terhadapnya. (Astaghfirullah al azim). 

Dia sayang aku lagi tak?

Aku pakai macam ni dia suka tak?

Aku ni cantik tak di mata dia?

Model tu cantik, tinggi lampai. Excited la dia tu.

Dia ni senyaaaaap je, entah dengar ke tak apa aku cakap tadi.


 Soalan-soalan yang macam tu seringkali berlegar-legar dalam fikiranku. Aku khuatir dengan kualiti kasih sayangnya. Masih wujudkah cinta itu? Masih hangat lagikah seperti 3 tahun yang lalu? Aku tak pasti kerana beliau tidak pernah meluahkan. 

Nak menyebut I LOVE YOU pun lepas aku jenuh bertanya, barulah beliau mahu menjawab. 

Haih.

Aku rasa kebanyakan wanita di luar sana akan bersetuju jika aku katakan wanita lebih teruja apabila suami meluahkan perasaannya dengan rela hati dan penuh ikhlas dan bukan kerana faktor 'menjawab sebuah pertanyaan'.

Maka itulah yang aku rasakan dan aku perlu menerima kenyataan bahawa suamiku tak romantik! Aku perlu terima itu dan belajar untuk hidup dengan situasi tersebut. Aku cuba berfikiran positif. 

"Lebih baik dia tak romantik. Kalau lebih-lebih kang orang tangkap cintan pulak dengan dia"

"Baguslah dia tak reti mengayat. Tu tandanya dia bukan jenis yang sebegitu. (In shaa Allah)"


Pulangannya, aku harus akur. Aku tahu suamiku bukan seorang yang bijak bermadah. Suamiku seorang yang praktikal dan ringkas. Tolong belajar menerima, wahai Farrah. 


*    *    *    *    *

Pada suatu hari, sewaktu kami duduk menunggu pesanan makanan kami tiba di sebuah restoran, tiba-tiba seorang pelayan menghampiri kami,

"Bang, ada order kerang bakar tak?"

"Aaa.. ye..ye.. ada"

Lantas pelayan tersebut meletakkan sepinggan kerang bakar di atas meja.

Terpinga-pinga aku dibuatnya. 


"Bila pulak kita order kerang bakar?"

"Kan Fa nak makan dulu. Ingat tak?"


Aku cuba mengingat. Ya, aku pernah menyuarakan aku teringin sangat nak makan kerang bakar. Seingat aku selepas aku melahirkan. Namun kerana sewaktu itu kami sedang sibuk menguruskan perihal Faiq, nampaknya hasrat itu hanya tinggal kenangan. 

Suamiku ingat perkara itu.

Perkara yang aku anggap remeh dan kecil itulah yang beliau tunaikan untukku pada hari itu. 

Di meja itu juga aku menangis kerana sepinggan kerang bakar.

Dan perasaan bersalah dan berdosa bertuju-tuju membedil jiwaku. 

Aku buruk sangka terhadapnya. Aku memikirkan beliau yang bukan-bukan. 
Allah, ampuni aku.


Romantik suamiku bukan pada sejambak bunga ros.
Jiwang suamiku bukan pada kad bermadah berpanjang jela.


Tapi pada keprihatinannya.
Yang mana aku tidak pernah menyedari.
Setiap baris kata-kataku selama ini rupanya ada seseorang yang sentiasa meneliti.

Kerang bakar menjadi saksi.

:)





















Tuesday 22 October 2013

Working Wife : Pheewww!

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Ya Allah.... banyaknya kerja!
Aku tidaklah bermaksud untuk merungut sama sekali tidak menyesali kerjayaku yang menuntut pelbagai komitmen terbaik dariku.

Cuma, kadangkala, aku rasa stress. Stress memang biasa la kan? Siapa yang tak pernah stress tu maknanya dia la yang sebenarnya sedang mengalami sindrom kecelaruan emosi. Hehe.

Pada ketika ini, aku dituntut untuk menyiapkan :

  • Teks ucapan Pengetua dan Perasmi bagi Majlis Graduasi yang bakal berlangsung hari Sabtu ni. (Serius, aku juga tak pasti kenapa Cikgu Matematik Tambahan/ Sains yang diamanahkan untuk melaksanakan tugas ini. Apa pun, terimalah sebagai suatu cabaran, In shaa Allah boleh. Allah kan ada?
  • Pelan strategik TIMSS dan PISA yang telah bertangguh hampir 3 minggu. (Not a good example ye readers. Harap jangan ikut, please.) Mungkin kerana cuti Hari Raya Haji yang agak lama (5 hari) menyebabkan aku alpa seketika? Hmm.. Boleh jadi. Main dengan Faiq yang hanya ku ketemu 2 minggu sekali. What more can you expect? Haha.
  • Marking exam papers! Yang ni memang lemah sungguh. Setakat ni aku ada 2 kelas Sains Tingkatan 2, 1 kelas Matematik Tingkatan 1, 1 kelas Matematik Tambahan Tingkatan 4 dan 1 kelas Matematik Tambahan Tingkatan 5. Masing-masing ada 2 paper. Haaaa. Cuba darab sendiri.
  • Persediaan untuk menghadiri Kursus Latihan Pembangunan Profesionalisme Berterusan (Continuous Professionalism Development - CPD) selama 5 hari di Kuantan. Bunyi macam best kan. Dan itu bermakna aku perlu menggosok pakaian pejabat husband untuk bekalan selama seminggu! *pengsan*
  • Basuh baju yang bertingkek-tingkek 2 bakul penuh. Satu machine wash, satu hand wash. Tu tak kira proses menjemur dan melipatnya. 
  • Vacuum rumah. Oh, yes. Rumah memang sangat berhabuk ditambah dengan buku sana sini. Maklumlah cikgu. Haha. Takde kaitan.
  • Cuci tandas! Yang ni pun satu hal jugak. Tandas pun dah agak-agak berlumut dah. Errrghh. Mungkin husband sudi menolong. Harap beliau baca entri ni dan menunjukkan wajah kasihan dan menyebarkan simpati sepotong dua. Hikhik.
Siapa kata working wife hanya sibuk di pejabat?
Working wife is made up of two single words - Working and wife.




Working : In my case, it should be teaching and other clerical paper works. Teachers are also known as all-round profession. You can be everything. Even the parking conductor or the cleaner as well.

Wife : A person who manage her family in all ways, including doing laundry, cooking, feeding babies, ironing shirts, cleaning the house, housechores! Housechores everywhere! (unless one is being helped by someone else, for example the... well... pembantu rumah. (I couldn't find other English word that sounds polite for them. I think it's quite harsh to address them as the maid)

Anyway, nampak tak kat situ? There are two major professions for a working wife. (If you are a mother, than it makes THREE major professions. THREE is not just a number. It means a lot. 

A LOT OF WORK, ladies!

Tapi, kita semua akan buat jugak kan no matter how much we babble about it.

Kenapa?


Simple.


It's all about LOVE.

When you love someone, you will sacrifice everything for their happiness. 

Happiness means :-
  • to see your husband is wearing a proper ironed outfit to the office
  • to see your husband and child being fed by home-cooked meal (and yes, definitely it's you who should prepare the dishes)
  • to see the house clean, neat and tidy
  • to see the bathroom in proper condition, at it best cleanliness if I may add! 
  • And.. well.. many more. I just couldn't list them out here. 
Pada masa yang sama, tugas di sekolah /pejabat juga tidak wajar diabaikan. Aku kurang setuju jika ada yang memberi pandangan bahawa kerja di pejabat tidak wajar dibuat sehabis baik. 

"Bukan bawak ke mana pun...."
"Asal dapat gaji sudah..."

Entahlah. Mungkin ada benarnya. Tapi bagiku, apa jua yang aku lakukan adalah atas dasar niat Lillahi Taala.

Bermakna tugas yang diamanahkan kepadaku wajar aku siapkan dengan sesempurna mungkin. Kerana itu mata pencarianku yang akan ku salurkan kepada anakku dan keluargaku. 

Di mana keberkatan itu jika niat kita telah terpesong?

Wallahualam.
Hanya Allah yang tahu.
Hanya Allah yang berhak mengadili.

Ok, dah. Jom sambung kerja. 

:)