Tuesday 18 September 2012

Inilah KeajaibanNya


Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Ramai yang berkata, aku seorang yang kuat. Aku seorang yang tabah. Yang cekal. Yang sabar mengharungi dugaan-dugaan Allah s.w.t.

Benarkah?

Aku ingin tegaskan di sini, aku bukanlah seperti yang kalian sangka. Aku tidak kuat. Aku bukan seorang yang sabar. Aku bukan manusia yang tabah. Aku bukan insan yang cekal. Bukan.

Ramai juga yang bertanya, bagaimana aku boleh bertahan selama 4 bulan lamanya semenjak aku disahkan mengalami PPROM sewaktu usia kandunganku 4 bulan @ 16 minggu. Walhal kajian menunjukkan seseorang yang mengalami PPROM tidak dapat mempertahankan kandungannya lebih lama dan berisiko tinggi untuk bersalin serta merta. Lalu aku ditanya tentang kaedah yang digunakan oleh doktor untuk menyelamatkan kandunganku semasa itu.

Aku juga kerap ditanya tentang bagaimana Faiq dapat mengharungi segala kepayahan dan kesukaran sewaktu pertama kali melihat dunia ini. Bagaimana paru-parunya yang sangat tidak matang pada waktu itu boleh pulih dan membolehkan beliau bernafas sendiri walhal aku sedia maklum kes sebegini mempunyai peluang yang amat tipis yang telah diakui oleh para doktor dan para pakar perubatan kanak-kanak. Bagaimana pedihnya hatiku perlu melihat Faiq setiap hari diberikan bantuan pernafasan maksimum menggunakan ventilator untuk menyambung nyawanya.

Aku tahu, di kala itu, tiada siapa yang dapat membantu. Bukan diriku, bukan suamiku, bukan ibu bapaku, bukan para doktor, bukan sesiapa.

Jawapan pada pertanyaan-pertanyaan yang diajukan kepadaku itu adalah satu.

Allah.

Keajaiban Allah.

Allah yang menyelamatkan kandunganku selama 8 bulan lamanya walaupun semacam tidak logik apabila ditafsirkan dari segi perubatan.
Allah yang menyelamatkan Faiq yang  sedang kritikal walaupun pasukan perubatan terhebat di hospital menyatakan sebaliknya.

Sesungguhnya aku hanya mampu bergantung padaNya pada waktu itu. Dan doa-doaku kurasakan sungguh ikhlas ku lafazkan, menandakan aku benar-benar berada dalam keadaan terdesak. Menandakan aku benar-benar memerlukan bantuanNya.

Benarlah Allah yang Maha Berkuasa. Dialah yang Maha Berkehendak. Dan kehendakNya mahukan Faiq terus bersamaku. Dan kerana KehendakNya doa-doa ku yang hina ini ditunaikan
Pengalaman mengajarku supaya merendah diri seterusnya menepis egoku supaya terus memperhambakan diri kepadaNya. Memohon dariNya dengan seikhlas mungkin terhadap sesuatu yang benar-benar ku perlukan. Bergantung sepenuhnya pada Allah terhadap apa saja yang tertulis dalam takdirku. Berharap pada keajaibanNya.  Dan ya, keajaiban ternyata wujud.  Padaku, inilah keajaibanNya. Diturunkan dalam bentuk yang sesuai dengan keadaanku. Berdoalah, mohonlah dariNya. Insya Allah, keajaiban juga pasti menjadi milik hamba-hambaNya yang terpilih.

The knot that remains till Jannah, Insha Allah.



2 comments:

  1. Keajaiban Allah SWT mmg susah nak dijangka kan fa.. Bila saya berputus harap, saya juga selalu berharap pada keajaibanNya. Alhamdulillah dan syukur untuk kebahagiaan fa..

    ReplyDelete
  2. Alhamdulillah, tapi kita pun tak tahu apa akan jadi esok ummi...Mungkin boleh jadi esok nasib Ummi lebih baik dari Fa. Kita tak tahu kan. Dan kita tak berkuasa untuk menolak takdir. Apa yang boleh kita buat cuma berdoa mohon pada Allah supaya kita akan terus dilimpahkan rahmat dan keajaiban yang kita tunggu-tunggu. :)

    ReplyDelete