Tuesday 31 December 2013

Ada Apa dengan 2013?

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Di hari terakhir 2013 ini, aku mahu menitipkan rasa syukur pada Allah swt kerana aku masih lagi bernafas di bumi pinjamannya.

2013 memperlihatkan aku sebagai seorang yang mula bertatih setelah di uji dengan begitu hebat pada tahun sebelumnya, 2012. 2013 juga mula mengumpulkan semangatku untuk terus memberikan yang terbaik untuk anakanda Faiq. Tahun yang penuh liku untuk seorang ibu dan isteri yang perlu membahagikan masa antara anak yang jauh di mata dan suami yang berterusan memahami dilema isterinya. Tinggal berjauhan dengan anak sendiri bukanlah sesuatu yang menggembirakan. Tetapi Demi Allah, tidak pernah terlintas di fikiranku untuk mengabaikan tanggungjawabku sebagai ibu. Bahkan, inilah pengorbananku untuk Faiq, sebagai landasan tanggungjawab yang diamanahkan untuk membolehkan Faiq mendapat segala apa yang diperlukan- kasih sayang dan perhatian yang terbaik selepas kami ibu bapanya. Siapa lagi kalau bukan datuk dan neneknya?

2013 juga menjadikan aku lebih kuat dari segi mentaliti. Mungkin tidak ramai yang sanggup travel hampir setiap minggu sejarak 300km. Dibebani dengan kekangan wang ringgit, masa, tenaga, dan komitmen pada kerjaya yang setiap kali mahu kita memberikan yang terbaik untuk organisasinya, aku telah merasai semua itu. Dan benarlah kata orang, demi anak, mati juga aku sanggup.

Alhamdulillah.
Allah mempermudahkan segalanya. 
Sukar, namun manis sekali pengalaman itu.

Bila aku akan membawa Faiq tinggal bersamaku?
Ramai yang bertanya begitu.
Jawapanku, bila Allah merasakan waktu tersebut adalah yang terbaik, maka aku akan membawanya pulang ke pangkuanku.

Pasti.

Bila?
Ya, itu hanya Allah yang tahu. 
Aku tak pantas meletakkan jawapan.
Yang pastinya apabila Dia mengatakan Kun Fa Ya Kun, Faiq pasti akan ku bawa pulang.


2013 juga memperlihatkan aku sebagai seorang yang mahu mencari identiti sendiri. Sebagai manusia, aku tak lari dari melakukan kesilapan. Banyak sekali kesilapanku hanya Allah yang tahu. Insan yang paling mengerti dan sabar melayani kerenahku sudah tentulah zaujku yang tercinta.
Hakikat Allah menemukan jodoh kami takkan boleh disangkal lagi.
Sesungguhnya keputusan Allah itu adalah yang terbaik.
Kami jelas mempunyai banyak kekurangan, namun in shaa Allah, kami saling melengkapi.

2013 pasti akan kurindui.
Tahun yang mana menjadikan aku semakin matang dalam melayari bahtera kehidupan. Tahun yang menjadikan aku semakin rapat dengan ibu bapaku yang jauh di sana kerana seorang Faiq Aqwa. Faiq dijadikanNya sebagai satu 'penyambung' pada ikatan perhubunganku dengan ibu bapaku. 

Allahu Rabbi, sesungguhnya perancangan Allah itu adalah yang terindah.

2013 boleh ku ibaratkan sebagai suatu medan latihan untukku memperbaiki diri seperti mana yang telah aku perihalkan tentang diriku dan perubahan-perubahan yang ingin aku lakukan dalam entri yang sebelum ini. 
In shaa Allah, aku ingin 2014 menjadi medan kejayaan imanku dalam melawan nafsuku yang sentiasa berebut mahu merajai hati.

Aku percaya setiap manusia dilahirkan dengan fitrah yang baik-baik. Namun kerana hasutan syaitanirrajim ditambah dengan nafsu manusia yang tak pernah mahu mengalah, fitrah yang suci itu  sedikit sebanyak tergugat dek gangguan-gangguan sebegini. Memang kita tak mampu menolak hakikat tersebut, namun apa yang aku ingin katakan pada diriku sendiri untuk 2014 ini :-

"Berusahalah untuk menjadi baik. Lebih baik dari semalam. 
In shaa Allah, Allah akan menghitung keikhlasan dan kesungguhanmu dalam berusaha lebih dari hasil akhirnya."

Cuma satu yang aku mahu sentiasa ingatkan pada diriku.
Apa yang aku kecapi hari ini, rezekiku, insan-insan tersayangku, hartaku, bahkan nyawaku bukanlah milikku. Aku tak punya apa. Aku hanya seorang hamba yang tidak mempunyai hak atas apa sahaja yang berada di dunia ini. 
Dengan demikian, aku harus mempersiap diri untuk menerima segala apa yang mungkin berlaku kerana hidup ini adalah pinjaman. Kita tidak tahu apa yang bakal berlaku seminit lagi. Maka dengan itu, aku harus sentiasa bersedia.

(Percayalah inilah yang paling sukar untukku lakukan. Namun hakikat tetap hakikat. Siapalah kita untuk menghalang?)

Malam ini, 2013 akan melabuhkan tirainya.
Terima kasih Tuhanku, kerana memberikan aku peluang untuk merasai nikmatmu sepanjang tahun yang penuh bermakna ini.
Semoga tahun 2014 yang bakal menjelma esok menjadikan aku terus istiqamah dalam mencari erti kehidupan. Terimalah amalanku sepanjang tahun ini, ampunkan diriku yang hina dan penuh dosa ini.
Berkatilah dan sinarilah hatiku dengan cahaya hidayahMu agar aku terus istiqamah dalam perubahan-perubahan yang aku azamkan.

Senangkan dan bahagiakan ibu bapaku, terimalah setiap amalan mereka dan berikanlah mereka segala apa yang diimpikan. Limpahilah mereka dengan rezeki yang berlimpah ruah, kesihatan yang terbaik dan kebahagiaan yang berterusan. Ampunkanlah dosa mereka (jika ada) dan sinarilah hati mereka dengan cahaya ketenanganMu. Berkatilah usaha mereka dalam mengasuh anakku, sungguh aku sangat berterima kasih pada mereka.

Begitu juga dengan ibu bapa mertuaku, semoga Kau kurniakan kesihatan yang terbaik buat mereka dan menerima segala amalan mereka. Ampunkanlah dosa mereka (jika ada) dan berikanlah segala apa yang diimpikan oleh mereka.

Buat penemanku di dunia dan di akhirah (in shaa Allah),
Bahagiakanlah suamiku, ampunkanlah dosa-dosanya (jika ada), kurniakan segala hajatnya, halalkan setiap usahanya dalam mencari rezeki buat kami, semoga dirinya sentiasa dilindungi olehMu. Sebarkanlah cinta dan kasih sayangku padanya dan tetapkan hatinya untuk sentiasa berkhidmat dan menuruti perintahMu. 

Dan untuk anakandaku yang paling kusayangi,
Kurniakanlah kesihatan dan keselamatan yang terbaik untuknya, limpahilah kasih sayangku yang tak pernah bertepi untuknya, sematkan dalam dirinya cahaya nur dan hidayahMu agar Faiq Aqwaku menjadi anak yang soleh.
Sihatkan tubuh badannya dan jauhkanlah, jauhkanlah, jauhkanlah segala penyakit yang membahayakan daripadanya. 
Naikkanlah berat badannya, berilah kekuatan semangat kepadanya, berilah peluang untuknya supaya  dapat berjalan seperti anak-anak yang lain sebayanya, peliharalah tulang belakangnya, semoga kesihatannya bertambah baik dari sehari ke sehari. 
Jadikan anakku Faiq Aqwa seorang yang cekal dan sabar dalam menempuhi dugaanMu.
Bekalkanlah anakku dengan sifat-sifat mahmudah yang Kau redhai.
Semoga beliau menjadi seorang yang anak yang soleh, sihat walafiat dan bijak hendaknya.

DemiMu ya Allah, aku berdoa dengan penuh pengharapan. 
DemiMu Ya Allah, terimalah doaku.
DemiMu Ya Allah, terimalah taubatku, ampunkanlah dosa-dosaku dan perbaikilah amalanku.

Sesungguhnya Kau sentiasa menjadi Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang dan Maha Mengasihani.

Ameen, Ya Rabbal Alameen.


(source: Google Images)











1 comment:

  1. Ameen, Ya Rabbal Alameen.

    semoga 2014 akan menjadi lebih baik dari tahun lepas.. in shaa allah...

    ReplyDelete