Sunday 5 August 2012

Hawa, Peliharalah Pertuturanmu...

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani.

Pernah atau tidak, kita mengalami situasi sebegini?

A : Eh, aku dengar husband kau keje outstation lagi. Betul ke?
B : Hmm..betul..nape?
A : Bila dia pergi?
B : Semalam..
A : Ohhhh...eh, dia tak call kau ke, yelah, mana tahu nak belikan apa-apa buah tangan dari sana?
B : Ehmm... hari ni belum call lagi...Alah, tak kisah la.. Tak beli apa-apa pun takpe..
A : Betul ke dia pergi keje? Ntah-ntah, melencong ke tempat lain. Mana lah tahu. Kau kat sini bukan tau apa dia buat kat sana.
B : (diam dan berfikir)

Beberapa ketika kemudian :-

B : Tak la..Dia pergi keje..Aku tahu tu...
A : Eleh.. kau tu percaya sangat dengan lelaki. 
B : Kau ni, kenapa la berburuk sangka dengan dia? Kau pernah tengok ke dia curang dengan aku?
A : Tengok tu tak la.. Tapi mana lah tahu..Lelaki, takkan la nak tengok saje je kalau nampak perempuan cantik!
B : Astaghfirullah, kenapa dengan kau ni? Jangan la berburuk sangka dengan dia. Aku tak penah fikir bukan-bukan pada dia setakat ni..
A : Jangan la nak tunjuk baik sangat B oiii... Karang kau yang merana. Nyesal tak nak dengar cakap aku. Aku ni tolong peringatkan aje..

B terdiam seribu bahasa. Ligat berfikir sesuatu. Lantas menghubungi suaminya yang jauh beratus batu darinya. Saya namakan suami B ini sebagai B+. Hehehe. Unik skit. :D

B   : Abang, betul ke abang pegi outstation?
B+ : Eh, awak ni..Kan awak tau saya ada seminar kat sini.
B   : Ke abang ada dengan perempuan lain sekarang ni?
B+ : Merepek apa awak ni pagi-pagi macam ni? 
B   : Jawab je lah bang, saya tanya!
B+ : (menghela nafas panjang) Tak la, kenapa dengan awak ni? Awak ada nampak saya perempuan lain ke?
B   : Abang selalu sangat outstation! Mesti ada apa-apa! Saya tau la perempuan kat sana cantik-cantik, ntah-ntah abang dah pilih seorang untuk buah hati baru!
B+ : Astaghfirullahalazim..Apa kena dengan awak ni? Tak ada angin, tak ada ribut, salam pun tak bagi, terus smash saya dengan soalan-soalan macam tu. Dah la, seminar saya nak start dah ni. Melayan awak hilang fokus saya! Assalamualaikum.
B   : Abang!!!!! Abang!!! Dia letak telefon?? Memang sah lah dia ada perempuan lain!!



Apa perasaan anda setelah membaca petikan bait-bait kehidupan seharian kita di atas? Mungkin ada yang bersetuju dengan A. Mungkin ada yang menyokong tindakan B. Tak kurang juga ada yang bersimpati dengan B+. Anda menjurus kepada watak mana?

Pada saya, sebagai pandangan peribadi. Saya merasakan A telah melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan pergaduhan antara B dan B+. A telah mencetuskan perasaan curiga kepada B di mana perasaan itu kelak menjadi amarah dan cemburu yang disasarkan kepada B+. Mengapa perlu dituang minyak di atas api yang marak? Adakah seronok melihat perbalahan yang sedemikian? Boleh bertepuk tangan bersorak kegembiraan? Menandakan "aku telah berjaya"? Puas dengan prasangka yang diusulkan? Apa yang dicari sebenarnya? Atau bahasa lebih santai,"Pebenda motip nya beb?"

Saya seorang perempuan. Saya mengerti perasaan seorang perempuan. Seorang perempuan itu sangat mudah termakan kata-kata yang negatif. Lebih suka mendengar pendapat berbaur gosip lebih daripada pendapat berasaskan kalam Allah. Bahkan suka membuat tuduhan melulu terhadap sesiapa sahaja yang dirasakan salah di matanya. Persoalannya, mengapa perlu berburuk sangka?

B sebenarnya seorang yang sangat mempercayai suaminya. Bahkan apabila A menuduh suaminya buat pertama kali, B masih mempertahankan suaminya. Namun A tidak berputus asa. Dicubanya sekali lagi untuk memancing curiga di hati B. Yes!! Kali ini dia berjaya! Puas hatinya dapat menimbulkan kesangsian B terhadap suaminya. Dapat dilihat di sini, dengan hanya mengumpan beberapa ayat berbaur sensasi, B telah termakan kata-kata A yang tidak keterlaluan saya katakan mempunyai unsur fitnah halus yang diserapkan dalam minda B.

Tujuan saya menulis entri ini bukanlah untuk mengajar sesiapa, jauh sekali untuk menghukum. Apatah lagi untuk menunjuk baik. Bukan! Kerana saya juga termasuk dalam golongan insan seperti B, mudah, (terlalu mudah) untuk mempercayai perkara yang tidak tahu hujung pangkalnya. Oleh sebab itulah, saya memilih untuk menulis entri ini sebagai pedoman kepercayaan saya supaya saya tidak mudah lagi untuk melatah terhadap sebarang gosip/ khabar angin / sangkaan orang ramai / fitnah.

Di suatu sudut lain, saya juga ingin mengetahui mengapa golongan seperti A gemar menabur prasangka yang buruk terhadap orang lain. Mengapa? Mengapa? Adakah kepuasan yang di cari? Mungkinkah kerana dendam yang bernanah di hati? Atau saja tak de keje, suka melihat orang lain bertelingkah? Di sini, saya terfikir. Seandainya perbalahan antara B dan suaminya berlarutan dan membawa kepada penceraian (nauzu billahi min zalik, mohon dijauhkan), adakah A terpaksa menanggung bahana perbuatannya? Terpaksa memikul dosa meruntuhkan sebuah masjid? Wallahualam. Hanya Allah yang Maha Mengetahui.

 Dan bunuhlah mereka di mana saja kamu jumpai mereka, dan usirlah mereka dari tempat mereka telah mengusir kamu (Mekah); dan fitnah itu lebih besar bahayanya dari pembunuhan, dan janganlah kamu memerangi mereka di Masjidil Haram, kecuali jika mereka memerangi kamu di tempat itu. Jika mereka memerangi kamu (di tempat itu), maka bunuhlah mereka. Demikanlah balasan bagi orang-orang kafir. 
(Al-Baqarah, ayat 191)

Sayang... Wanita sebaik B, diperalatkan oleh insan-insan yang tidak bertanggungjawab sehingga beliau tega menuduh suaminya yang bukan-bukan. Oh, tidak, readers! Saya di sini bukan membela B+ , suami B! Bahkan saya juga tidak tahu bahawa B+ benar-benar jujur atau sebaliknya. Tetapi, di sini, itu bukanlah persoalannya. Apa yang ingin saya tegaskan di sini adalah kepercayaan dan keikhlasan dalam sesuatu perhubungan.

Pada pendapat saya, sekiranya B mempercayai suaminya, maka beliau haruslah berpegang kepada prinsip itu. Terus memberikan kepercayaan kepada B+ dalam melayari bahtera rumahtangga. Walaupun ada kemungkinan B+ boleh berlaku curang, tetapi B tidak seharusnya melatah dan melenting mendengar khabar-khabar angin yang disampaikan.

Siasat dan selidik. Berbincang dengan suaminya supaya suaminya dapat berterus terang menceritakan situasi sebenar. Dan yang paling penting (dan paling sukar untuk dilakukan, termasuk saya sendiri) ialah JANGAN MARAH! Jangan menghamburkan kemarahan anda setelah anda mengetahui kebenarannya (sekiranya itu menyakitkan). Saya mengerti tiada wanita yang mahu diduakan, ditigakan, diempatkan atau di'berapa'kan sekalipun. Tetapi, cubalah. Cuba. Cuba untuk berSABAR. (Peringatan untuk diri saya sendiri juga). Insha Allah, dengan bersabar, kita dapat berfikir secara rasional dan dapat membuat keputusan yang terbaik untuk kepentingan semua.

Berbalik kepada topik, begitulah asam garam kehidupan kita sehari-hari. Manusia kini sangat suka menjaja cerita dan menyemai prasangka buruk terhadap orang lain walaupun mangsa tersebut tidak menimbulkan sebarang masalah terhadap beliau. Mungkin seseorang itu pernah menyakitkan hati kita, pernah merobek kepercayaan kita, tetapi, layakkah kita menjaja cerita beliau? Lebih buruk lagi, menimbulkan fitnah terhadap beliau? Layakkah kita? Siapa kita untuk menilai? Siapa kita untuk menghukum?

Mengapa perlu berdendam? Dendam itu umpama nanah. Makin dibiarkan, makin parah. Sehingga suatu tahap, nanah tersebut akan membusukkan luka yang sedia ada. Begitu juga hati kita. Dimulakan dengan luka. Lalu dituai menjadi dendam. Dendam yang mekar bersama nafsu amarah lalu membangkitkan rasa benci. Benci itulah yang ditunggu-tunggu oleh para penghasut tegar-syaitan laknatullah. Supaya kita memfitnah. Supaya kita berbalah. Supaya kita saling menindas antara satu sama lain.

Ayuhlah, golongan hawa. Berfikirlah secara rasional sebelum bertindak. Nasihat saya (untuk diri saya juga), sekiranya fikiran kita mula merangkakan sesuatu agenda yang kurang baik, maka beristighfarlah. Sekiranya masih mahu meneruskan, maka berwuduklah. Sekiranya hati masih degil, maka tunaikanlah solat sunat memohon petunjuk dari Allah, supaya diberikan pedoman.

Apakah langkah yang akanku ambil ini benar dan diredhaiMu, Ya Allah? 


 Mohonlah daripadaNya. Mohon petunjukNya. Sesungguhnya hanya Dia yang Maha Mengetahui.
 Wallahua'lam.
 (sumber : Google Images)


P/S :
Sekali lagi saya ingatkan, saya bukanlah seorang ustazah, atau cuba untuk menjadi seorang ustazah. Ini hanyalah pendapat peribadi saya. Saya juga manusia yag berkali-kali melakukan kesilapan dan masih lagi belajar dan mahu terus belajar untuk menjadi hambaNya yang lebih baik. Insha Allah. :)








2 comments:

  1. Suami saya selalu kata,prasangka itu umpama satu doa. Adakalanya perkara sebegini memang tak pernah berlaku, tapi kerana isteri yang mengasak dengan pertanyaan sama setiap hari,boleh membuat perkara tu benar-benar berlaku. Saya pun macam si B tu juga, Kadang-kadang jadi ragu walhal suami saya bukanlah jenis itu. Nauzubillah. Moga Allah lindungi perkahwinan kami dan dijauhkan dari semua tu. Thanks Fa atas cerita ni.

    ReplyDelete
  2. betul tu ummi...saya setuju dengan pendapat tu. cuma kita sebagai perempuan suka berfikir bukan-bukan dan juga menyangka yang belum pasti terhadap orang lain. di mana yang palin ditakuti kita boleh terjebak dalam unsur fitnah. Nauzu billahi min zalik. Mohon dijauhkan. Semoga selepas ini kita lebih berhati-hati tatkala berbicara. :) Ameen.

    ReplyDelete