Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Apakah berita paling hot semalam di Malaysia? Ya, sudah tentulah perihal Olimpik 2012 yang sedang rancak berlansung di London! Kita sudah sedia maklum, Malaysia telahpun menghantar sekumpulan atlit yang berwibawa ke London untuk merealisasikan impian Malaysia mengenggam pingat emas pertama untuk negara dalam kejohanan Olimpik pada tahun ini. Dan salah seorang dari wira kita semestinya Dato' Lee Chong Wei (DLCW), hero Malaysia dalam arena sukan badminton.
Dato' Lee Chong Wei, wira badminton Malaysia
(sumber: Google Images)
Walau bagaimanapun, impiannya bergelar Juara Olimpik pada kali ini tidak kesampaian memandangkan beliau tewas dalam pertarungan yang sungguh-sungguh mendebarkan menentang Lin Dan, pesaing tradisinya dari China. Rubber game 21-15, 10-21, 19-21.
Saya percaya, seluruh rakyat Malaysia (termasuk saya) bersorak keriangan sewaktu beliau menang bergaya dalam set yang pertama. Saya dapat melihat keyakinan dan semangat berkobar-kobar beliau dalam niatnya untuk membawa pulang pingat emas Olimpik khusus untuk rakyat Malaysia. Set pertama ternyata membuka mata seluruh negara untuk mengharapkan beliau membuat kejutan yang lebih mengujakan dalam set yang kedua.
Namun, bagai hilang rentak, DLCW tewas agak mudah di set yang kedua. 10-21. Apakah ini menandakan DLCW mula gentar dengan corak permainan Lin Dan? Saya juga tak punya jawapan. Namun, bagi saya, saya dapat melihat DLCW mula terusik emosinya ketika ketinggalan beberapa mata di belakang. Dan ini merupakan peluang terbaik Lin Dan untuk melunaskan tanggungjawabnya dalam menyudahkan set tersebut dengan penuh yakin.
Penonton diasak untuk mengikuti game sehingga ke set yang ketiga. Kini, DLCW menang satu set, dan Lin Dan juga memenangi satu set. Seri. Set yang ketiga ternyata sangat mendebarkan. Masing-masing saling mengejar untuk merapatkan kedudukan. Saat yang paling genting adalah sewaktu kedudukan DLCW dan Lin Dan seri 19 sama. Aduh, serasa mahu sahaja gugur jantung menonton perlawanan tersebut. Tidak sanggup rasanya untuk terus menyaksikan.
DLCW sedaya upaya cuba untuk bertenang menjinakkan Lin Dan yang sememangnya dikenali dengan corak permainan yang agresif dan mengelirukan. Namun, kesilapan demi kesilapan pula yang ditonjolkan pada saat-saat akhir. Dan akhirnya Lin Dan semakin menghampiri gelaran kejuaraan. Match point bagi Lin Dan, iaitu pada kedudukan 20-19, DLCW menghantar balas shuttlecock agak terlalu kencang di situ menyebabkan bola keluar gelanggang, dan dibiarkan sahaja oleh Lin Dan. Mengesahkan satu lagi mata buatnya, mata akhir, mata ke-21. Nah, Emas Olimpik kini dalam genggamannya.
Lin Dan lantas meraikan kejuaraannya yang ke-21 menentang DLCW. Berlari-lari mengelilingi gelanggang membawa bendera negaranya. Meninggalkan DLCW terduduk seketika dalam gelanggang cuba mencari kekutan dalam diri. Menutup wajah pilunya di sebalik tapak tangan dan cuba menyembunyikan air mata kekecewaannya. Saya percaya, sewaktu momen ini dirakamkan di televisyen, satu Malaysia menangis bersamanya. Menangis dalam erti kata sama-sama merasakan peritnya mendapatkan sebuah kejayaan.
Saya juga tidak dapat menahan airmata saya dari mengalir. Saya juga mahu Malaysia meraih kejuaraan Olimpik kali ini. Namun, begitulah, rezeki tidak berpihak di tangan kita.
Saat ini cukup meruntun jiwa saya. DLCW cuba ditenangkan oleh jurulatih-jurulatih beliau, Tey Seu Bock dan Rashid Sidek.
(Sumber : Google Images)
Namun begitu, terselit suatu perasaan yang halus menyelinap dalam diri saya, Perasaan yang membangkitkan semangat saya. Perasaan bangga dan terharu dengan pergorbanan dan perjalanan DLCW sehingga membolehkan beliau menjejakkan kaki ke Olimpik, sukan bertaraf dunia. Saya ulangi. Bertaraf DUNIA. Jangan hanya memikirkan kejayaan, tetapi fikirlah usahanya untuk mencapai kejayaan tersebut. Pedih, sakit dan lelahnya untuk sampai ke tahap ini. Tahap tertinggi di dunia. The finals in Olympic! Fikirkan itu, Malaysia.
Berapa ramaikah antara kita yang punya semangat kental seperti DLCW? Tidak ramai, bukan? Jadi mengapa harus menangis, Malaysia? Anda telahpun mempunyai sebutir permata yang sukar dicari. Yang berjuang berhabis-habisan mendambakan sebuah kejuaraan, demimu. Demi tanah air kita.
Keputusan penuh perlawanan.
(sumber : Google Images)
Saya ada berkongsi status saya di Facebook yang mana saya menulis :
DLCW sememangnya telah beri 'pingat emas' untuk Malaysia. Dalam bentuk kegigihan usaha dan semangat juang yang tinggi. Jangan menangis Malaysia. Tangisan menandakan kita tewas. Namun, hakikatnya kita TIDAK tewas. Kita menang dengan cara tersendiri. Menang atas nama usaha dan kepayahan untuk mencapai kejayaan. :)
Bangkitlah, dan senyumlah Malaysia. Berikan semangat anda kepada DLCW sebagai tanda kita masih lagi bersamanya, tidak akan meninggalkannya keseorangan. DLCW telah memberikan persembahan yang terbaik antara yang terbaik. Berbanggalah dengannya. Berbanggalah menjadi anak Malaysia. Syabas Malaysia, Syabas Dato Lee Chong Wei, kami sentiasa bersamamu!
Kalau saya DLCW, saya dah menangis baca entry ni. Sungguh terharu bila ada penyokong yang berjiwa Malaysia. Saya belum sampai tahap ni lagi kot. Huhu
ReplyDeleteNi sekadar pandangan peribadi saya ummi..Saya betul-betul terharu dengan semangatnya, membuatkan saya terpanggil untuk menulis sesuatu yang jujur tentang beliau. Sesuatu yang boleh membangkitkan aura semangat kesukanan dan semangat cintakan negara, aura perpaduan antara kita, rakyat Malaysia. Semoga tiada lagi kata-kata yang menjatuhkan semangat beliau kerana kegagalan membawa pulang emas untuk negara. Semoga ini akan menjadi pembakar semangat anak-anak muda yang lain demi menaikkan martabat Malaysia di peringkat dunia. Bukan hanya dalam sukan, tetapi dari segala aspek. InshaAllah. :)
ReplyDelete