Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Pernah tak readers mengalami konflik dalam diri? Konflik untuk menjadi diri sendiri tapi takut orang kata macam-macam kat kita? Kalau pernah boleh sep sikit dengan saya sebab saya pun sejenis dengan anda. Hehehehe.
Rasanya kalau kalian follow blog ni sejak dulu, kalian mesti tahu saya seorang guru. To be precise, seorang cikgu Matematik. Untuk lebih kejituan, MATEMATIK TAMBAHAN. Kalau saya sebut Matematik Tambahan, mesti orang akan respon :-
"Waaaa... mesti terer Addmath masa sekolah!"
"Fuiyooooo power.. Addmaths tu!"
Yang saya rasa saya tak patut pun dilambung2 puji sebegitu. Saya bukan seorang pelajar cemerlang Matematik Tambahan, kalau tak percaya boleh la risik2 kat kawan-kawan sekolah saya dulu. Tu pun kalau kalian rajin la. Hahaha.
Masa kat sekolah dulu, biasanya kaunselor akan buat satu ujian personaliti yang saya pun dah lupa apa nama ujian tu. Ujian untuk kenal diri sendiri ni lebih cenderung ke arah mana. Lepas kita buat ujian tu, kita akan tahu kita ni minat dan dominan dalam bidang apa. Kalau 10 kali buat ujian tu, 10 kali lah saya dapat keputusan :-
"Anda seorang yang Artistik"
Ya, readers. Minat saya bukan pada Matematik, tapi rezeki saya Tuhan letakkan di situ. Jiwa, hati dan personaliti saya memang terbukti menunjukkan saya memang orang seni.
Pada asalnya saya suka melukis, suka menyanyi (ok, confession yang sangat terang-terangan), suka bermain muzik (saya pernah belajar bermain piano sewaktu kecil) dan cabang seni yang paling serasi dengan diri saya ialah seni tari. Selama 31 tahun hidup, inilah kali pertama saya berani mengakui bahawa seni tari memang jiwa saya.
Walau bagaimanapun, saya diamkan hal ini dari pengetahuan orang sebab saya tahu batas-batas sebagai seorang perempuan Muslim. Dan penerimaan orang tidak selalunya positif sekiranya saya teruskan niat saya sebagai seorang penari.
Saya menerima pendedahan dalam bidang tarian seawal usia 4 tahun dalam seni tari ballet. Tujuan asal abah saya menghantar saya ke kelas tersebut kerana saya mempunyai struktur postur badan yang agak bongkok secara semulajadi. Ballet memamg menyeronokkan dan dari kelas tersebutlah saya belajar teknik postur badan sewaktu menari, teknik attitude (watak semasa menari), disiplin dalam sesuatu rutin tarian dan penjagaan diet. Pada ketika itu, tahun 90an, boleh dikatakan beberapa orang pelajar melayu sahaja yang ada dalam Royal Academy of Dancing itu. Kebanyakkannya berbangsa Tionghua dan India. Tapi saya tidak kekok kerana mereka sangat friendly.
Sewaktu di sekolah, saya tidak bercerita pada umum bahawa saya mengambil kelas tarian tersebut. Bimbang hati saya takut diketawakan atau dipulaukan memandangkan ballet bukan budaya melayu. Dan anak-anak melayu pada waktu itu tidak biasa menerima pendedahan secara terbuka tentang tarian yang berasal dari Barat ini.
Bertitik tolak dari situ, saya mula enjoy dengan kelas ballet dan saya menyambung pengajian saya sehingga berumur 15 tahun. Pada ketika itu, saya dalam pengajian Gred 7 dalam Akademi Seni Tari Ballet. Masih berbaki 1 gred lagi untuk saya menamatkan pembelajaran saya dalam ballet, namun saya terpaksa berhenti kerana tuntutan pembelajaran saya di sekolah yang semakin padat.
Bertahun-tahun lamanya saya melupakan tarian. Saya lupakan apa yang paling saya minat sejak kecil kerana tuntutan pembelajaran. Perasaan malu juga menjadi semakin menebal sewaktu itu membuatkan saya berfikir, tarian bukan untuk saya. Saya juga semacam skeptikal seperti orang lain yang menganggap bidang tarian tidak membawa saya ke mana-mana. Sampai bila saya harus menari? Dan selepas saya berkeluarga, adakah relevan lagi kerjaya sebagai seorang penari? Lalu saya lenyapkan semua dari diri saya. Dan jadilah saya sepertimana yang kalian lihat sekarang.
Tapi.. bak kata orang, jika darah seni itu mengalir dalam diri, selamanya ia akan mengalir sebagai nadi pembentuk jiwa. Saya masih lagi mencintai seni tari sepertimana dahulu. Saya masih lagi minat untuk mengayun langkah di lantai tari. Cuma keadaan, situasi dan penerimaan orang sekeliling yang membuatkan saya teragak-agak untuk meneruskan.
Pada penghujung tahun lepas, sewaktu dalam mesyuarat di sekolah, Pengetua saya mengkehendaki setiap guru memilih suatu cabang untuk diketengahkan sebagai kebitaraan (niche area) bagi tahun 2016 (tahun ini). Setiap guru perlu memilih niche area masing-masing pada waktu itu juga. Berdebar-debar saya pada waktu itu. Lalu saya cuba meneliti senarai bidang yang boleh dipilih. Mata saya terus membaca setiap bidang...
Masakan..
Inovasi..
Puisi dan lagu..
Seni lukis
Pidato
Olympiad Matematik
Bahas
Tarian
Koir
Pantun..
dan senarai terus bersambung...
Jap.. jap.. Tarian?
"Farrah.. apa awak nak bawa untuk tahun depan? Olympiad ke?"
Alamak.. dah sampai turn saya ke??
"Err.. saya nak lari jauh dari bidang saya, Puan.
"Aik? Ok.. dah awak nak cuba bawa bidang apa tahun depan?
"Erm.. tarian, puan."
Senyap sunyi rasanya bilik mesyuarat tu. Mungkin hampir tak percaya saya yang dikenali sebagai salah seorang yang pendiam, nak bawak tarian sebagai kebitaraan????
Jenaka apakah ini?
Rasanya dekat 40 pasang mata memandang saya pada waktu itu. Saya sendiri tak tahu mana datangnya kekuatan saya untuk memberi respon sedemikian. Pada waktu ini, saya sudah tidak sanggup lagi menyembunyikan jiwa sebenar saya. Saya fikir, lebih baik saya berpenat melakukan sesuatu yang saya suka daripada saya sekadar buat ala kadar bagi sesuatu bidang yang saya sendiri tidak mahir.
Lalu,
Untuk tahun 2016, saya dipilih sebagai Ketua Guru Penasihat Kelab Kebudayaan dengan pengkhususan Tarian sebagai cabang kebitaraan saya.
Alhamdulillah, setelah setahun mengendalikan pasukan tarian sekolah saya, saya tidak pernah merasakan letih dan penat walaupun hakikatnya Tuhan saja yang tahu betapa banyaknya yang perlu saya korbankan. Namun saya puas kerana ini minat saya. Ini jiwa saya.
Insha Allah saya akan mengabadikan suka duka saya mengendalikan pasukan tarian selama setahun ini. Doa-doakanlah supaya saya rajin menulis lagi. Haha.
So,
Siapa kata orang Matematik tak boleh berjiwa seni?
Multiple intelligence memang wujud.
Dan kita perlu ubah persepsi.
Seni itu bukan untuk budak-budak kelas belakang.
Seni itu sendiri suatu cabang intelligence.
U know what, fa.. akak pun suke melukis n menyanyi... n sedikit menyakitkan menyembunyikan sesuatu y kita suke atas sbb2 ttentu hahaha...
ReplyDeleteYe kak.. fa sangat memahami.. sep sikit sang jiwa seni!
Delete