Tuesday, 9 February 2016

Perang Jiwa

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.



Pernah suatu ketika, ketika umurku barang sembilan atau sepuluh tahun, sahabat mama berkunjung ke rumah dan secara tidak sengaja membaca buku karanganku yang ku letak bersepah di atas meja makan. Sedang waktu itu, aku menyelesaikan tugasan-tugasan yang diarahkan oleh guru.

"Bagus penulisannya! Tak meleret dan bersahaja."

Ku kira pada ketika itu, aku belum benar-benar mengerti apa yang dimaksudkan oleh beliau. Kata-kata tersebut diunjukkan kepada mama yang baru selesai menuangkan air minuman dan sedikit makanan ringan buat kudapan para tetamu tersebut.

Setelah beberapa tahun berselang, aku dapati karangan-karanganku kerap mendapat pujian dan komentar positif dari guru-guru. Maka ramai jugalah kawan-kawan berbangsa Tionghua dan India mendekatiku dan ingin meminta pandangan bagaimana menghasilkan sebuah karangan yang baik.

Kaget barangkali kerana bukan kepandaianku dalam mengajar orang lain bagaimana untuk menulis dengan baik. Kalau ditanya diriku bagaimana aku dapat mencoret catatan yang berjiwa, aku sendiri pun tidak punya jawapan. 

Aku menulis dengan apa yang aku rasa. Apa yang aku gambarkan dalam benakku, itulah yang aku lahirkan dalam susunan huruf-huruf membentuk perkataan-perkataan. Aku suka menggunakan analogi yang logik mengaitkan ciptaan Tuhan dengan kehidupan seharian. Ku kira dengan perbandingan itu, mampu menyentap jiwa pembaca dengan maksud yang ingin ku utarakan.

Syukur aku ke hadrat Ilahi kerana meminjamkan kemahiran ini kepadaku. Lantaran itulah penyebab blog ini bernadi. Manakan aku mampu meneruskan jika jiwa penulis tidak wujud dalam diri ini. 

Sejak bertatih, abah suka memperdengarkan aku lagu-lagu lama. Dewasa sedikit, aku suka menonton cerita melayu klasik  hitam putih terbitan Shaw Brothers dan Cathay Keris. Setelah ku mengenal huruf-huruf dan mampu membaca, minatku berkembang ke arah bahasa dan kesusasteraan. Usiaku ketika itu sekitar 12 tahun, dan abah telahpun mendedahkan aku dengan karya Shahnon Ahmad, Abdullah Hussain dan Arenawati.

Aku ternyata menghayati karya-karya mereka. Banyak sekali buku-buku di rumah yang kebanyakkannya bergenre berat, bahasa yang puitis dan penuh kiasan. Mungkin dari situlah, kemahiran mengarangku diasah dan membawa aku kepada siapa aku sekarang.


"Kenapa kau tak pilih bidang bahasa je? Jadi cikgu BM? Atau pengarang?"

Tahun 2002, setelah aku tamat SPM, bingung rasanya berdepan dengan pilihan-pilihan yang ada. Apatah lagi isu lambakan graduan sebagai penganggur menjadi sensasi pada waktu itu.  Menjadi penulis ternyata bukan suatu pilihan yang baik jika aku mahu suatu kedudukan yang kukuh dan stabil. Guru bidang Bahasa Melayu juga. Pada waktu itu, kerajaan mahu melonjakkan nama Malaysia lebih ke arah global dan saintifik. Tak hairanlah tawaran sebagai pendidik berlatar bidang sains dan matematik berpusu-pusu masuk secara besar-besaran. Apa kiranya aku masih mahu mengambil kira minat sebagai suatu cabang kerjaya?

Hingga itulah aku tertakdir sebagaimana sekarang. Mencari rezeki dalam bidang perangkaan walhal bahasa dan penulisan adalah pergantungan jiwaku.

31 tahun berperang jiwa. Hairan mungkin rakan-rakan sekerja yang berpeluang berkunjung ke ruang blog ini melihat bagaimana aku menzahirkan perasaan melalui butir kata.

Simpan sahaja perasaan itu. Aku tidak perlu dikagumi. Kerana ini ternyata diriku. Seorang karyawan seni yang terpinggir di balik figura.



No comments:

Post a Comment