Monday 3 December 2012

Faiq : PHDU Experience


Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani.

Entri ini merupakan susulan dari entri-entri ini.


27 Oktober 2012
Antibiotik Cefuroxime telah diberikan selama 2 hari, namun aku tidak nampak perubahan yang ketara terhadap Faiq. Kadar pernafasannya masih laju, kira-kira 90 kali per minit yang jauh lebih tinggi dari kadar normal iaitu 20-30 per minit.

Ulasan doktor pakar yang membuat rondaan rutin pada hari itu membuatkan jantungku seolah-olah luruh dari kedudukannya.

"Puan, kami tengok baby masih tiada perubahan setelah diberikan antibiotik. Saya rasa baby ada jangkitan dalam paru-paru (pneumonia) tapi kami tak dapat nak pastikan jangkitan ini ialah jangkitan kuman dari minggu lepas yang belum pulih sepenuhnya, ataupun jangkitan baru. Jadi kami rasa baby perlu dimasukkan ke ICU (Intensive Care Unit) untuk dipantau lebih rapi."

Serasa duniaku kelam ketika itu. Bayangan-bayangan semasa awal kelahiran Faiq mula menerjah masuk bertalu-talu ke dalam kotak fikiranku. Ulasan-ulasan doktor ketika itu yang mematahkan harapanku untuk   memiliki Faiq juga mula terngiang-ngiang di telinga lalu terus-terusan membedil hati dan nurani ini.

"ICU?"

Soalku. Aduh, menyebutnya sahaja sudah menggetarkan perasaan. Bagaimana mampu aku menghadapinya?Sungguh, aku tidak kuat.

"Bila tu doktor?" 
"Kena masuk sekarang, puan. Nafasnya terlalu laju.."

Aku mengangguk sambil terduduk di kerusi. Ku renung KFC yang dibeli abah tadi. Ayam masih ada beberapa ketul dan di sudut meja ku lihat whipped potato kegemaranku belum lagi berusik. Mati seleraku di situ.

"Faiq masuk ICU. Faiq masuk ICU. Faiq masuk ICU."

Otakku tidak dapat memikirkan perkara lain selain 3 perkataan di atas. Mataku pejam rapat-rapat untuk menenangkan perasaanku yang berkecamuk dan buntu. Air mata mula bergenang, namun aku mampu menyembunyikan, malu sekiranya sekeliling memerhatikanku.

Lantas, aku capai telefon, lalu aku menghubungi AB dan abah. Ku maklumkan berita yang baru ku dapat dari doktor pakar itu. Mujurlah, pada ketika itu, aku masih mampu mengawal perasaan walaupun ada kalanya nafasku tersekat-sekat menahan sebak.

Telefon kumatikan. Ku kuis-kuis skrin telefon sambil fikiranku entah di mana terbangnya.

"Puan, kami nak bawak baby ke bilik rawatan, nak pasang tube feeding..Kat ICU biasanya tak bagi menyusu biasa. Kena pakai tiub."

Suara jururawat mematikan monologku. Aku mengangguk tanpa secalit senyuman. Maksud jururawat itu, Faiq perlu dimasukkan tiub halus ke dalam lubang hidungnya (sekali lagi) supaya susunya akan dihantar terus-menerus ke perutnya tanpa perlu melalui kerongkong. Di dadaku ini terasa seolah-olah batu sedang menghempap. Berat sekali. Berat sekali ujianku kali ini.

Lambat-lambat aku mengemaskan beg baju. AB tiba di wad 6B pada pukul 4.00 petang. Di kala itu, tidak banyak yang kami bualkan. Tidak seperti selalu. Masing-masing senang melayan perasaan sendiri.

Wad 6B senyap seketika apabila para ibu bapa dan penjaga tekun memerhatikan para jururawat menyiapkan Faiq yang masih terbaring di katil untuk dihantar ke PHDU (Pediatric High Dependency Unit) yang terletak jauh tersorok di belakang wad biasa. PHDU ialah nama khas ICU untuk jabatan pediatrik di hospital ini. Faiq lalu diberikan bantuan pernafasan menggunakan nasal prong yang disambungkan ke tangki bekalan oksigen setinggi 1 meter. Mesin SpO2 juga kembali disambung pada Faiq untuk memantau kadar denyutan jantung dan kadar oksigen dalam tubuhnya.

Katil Faiq ditolak sepanjang wad 6B dan keluar menuju ke PHDU. Aku mengikuti dari belakang semetara AB ke parkir kereta menghantar pulang barang-barang Faiq yang tidak diperlukan. Kurasakan mata-mata ibu bapa lain tajam memerhatikan diriku. Mungkin sedang simpati dengan nasibku, atau mungkin sedang mendoakan supaya anak mereka tidak menerima nasib seperti Faiq? Aku tidak pasti.

Wad PHDU. Hening sekali wad ini. Hampir serupa dengan wad NICU yang pernah aku ceritakan dalam entri Sayang Mujahidku Sayang. Wad kecil yang aku sifatkan sebagai pemberi harapan kepada ibu bapa-ibu bapa seperti kami. Anak-anak di sini tidak ramai. Dalam 7 orang sahaja. Jururawat memaklumkan hanya pesakit yang benar-benar kritikal sahaja dimasukkan ke sini atas faktor kekangan tempat. Kritikal? Bermakna Faiq juga dikategorikan sebagai kritikal? Sesak nafasku mendengar jawapan jururawat tersebut.

Faiq dipindahkan ke sebuah bilik yang mempunyai katil khas, dan pakaiannya ditanggalkan kecuali diapers. Di dadanya dilekatkan 3 jenis wayar yang berlainan warna, berfungsi sebagai pengesan denyutan jantung, pengesan peratus oksigen dalam tubuh Faiq, dan juga pengesan kadar pernafasannya setiap minit. Faiq mula diberikan bantuan pernafasan yang dinamakan sebagai CPAP (Continuous Positive Airway Pressure). Mesin ini membekalkan oksigen yang lebih banyak berbanding nasal prong yang Faiq gunakan sebelum ini di wad 6B iaitu kira-kira 25%. Faiq juga telah ditukarkan antibiotiknya kepada Imipenem dari Cefuroxime. Imipenem ialah salah satu jenis antibiotik yang terkuat yang dapat mematikan kebanyakkan kuman yang ada di sekeliling terutamanya dari hospital. Sedia maklum, hospitallah tempat berkumpulnya kuman-kuman!

Faiq disyaki mendapat jangkitan paru-paru (pneumonia) sekali lagi. Mungkin kerana antibiotiknya dari admission yang pertama gagal dihabiskan sepenuhnya menyebabkan kuman dalam tubuhnya kembali aktif. Atau mungkin kerana daya tahannya yang lemah, Faiq disyaki mendapat jangkitan tersebut dari hospital ini sendiri. Doktor tidak dapat memastikan itu, kerana itulah, sebagai langkah selamat, Faiq terus diberikan Imipenem untuk membunuh sebarang kuman yang ada sama ada kuman yang lama, ataupun kuman yang baru.

Faiq dipakaikan CPAP mask seperti ini. Mask ini disambungkan ke mesin CPAP seperti yang dipaparkan di bawah.

CPAP machine. Sejenis ventilator bagi pesakit yang mengalami kesukaran bernafas.


Kami hanya mampu melihat Faiq dari luar bilik itu.Faiq kelihatan sungguh kecil pada pandangan mataku. Kurus dan lemah. Maaf, aku tidak mampu berkongsi gambar Faiq sewaktu ini bahkan aku sendiri tidak sanggup melihatnya.

Penggunaan mesin CPAP menyebabkan Faiq berada dalam keadaan separa sedar. Tiada perbualan dan gurauan bersamanya malam itu. Hanya aku setia menemani Faiq di penjuru katil berbekalkan surah Yassin di tangan sebagai penguat semangatku. Malam itu juga, aku tidak lagi dapat melihat senyumnya. Bahkan tangisannya yang sering membingitkan cuping telingaku sebelum ini juga tidak mampu aku dengari. Aku seolah-olah hilang punca. Tenggelam diriku dibuai perasaan-perasaan kehibaan yang sukar ku jelaskan disini. Mungkin kerana aku pernah mengalami detik-detik cemas sewaktu awal kelahirannya, menyebabkan aku terlalu emosional apabila dihimpit masalah berkaitan Faiq.

Yassin ku alunkan supaya Faiq kembali kuat. Sekuat namanya. Sekuat peribadinya. Namun malam itu, Faiq tetap belum sedarkan diri.


28 Oktober 2012
Jam menunjukkan pukul 4.30 pagi. Aku masih lagi di sini, di ruang tidur yang disediakan oleh pihak hospital untuk kami, para penjaga pesakit PHDU untuk berehat. Hanya ruang kecil beralaskan tikar getah. Tiada katil mahupun tilam. Namun bagiku itu tidak menjadi soal. Aku sanggup demi Faiq.

Aku bergegas menuju ke bilik di mana Faiq ditempatkan sambil memeluk telekungku. Subuh masih jauh. Namun aku bercadang untuk menunaikan solat sunat memohon kekuatan dan kesihatan terbaik untuk Faiq. Mudah-mudahan dengan usaha-usaha kecil ini, Allah sudi memakbulkan doa-doaku. Ameen.

Faiq ku lihat masih begitu. Belum sedar kerana mesin CPAP belum dimatikan. CPAP mask di wajahnya juga belum ditanggalkan. Ku kerling skrin mesin data yang disambungkan pada Faiq melalui 3 jenis wayar yang ku perihalkan tadi. Bacaan tersebut ialah :

Heart beat rate : 140 per minute
Blood Saturation of Oxygen : 98%
Breathing rate : 70 per minute

Heart beat rate- Ok. Blood Saturation of Oxygen- Ok. Breathing rate... 70 kali bernafas dalam seminit belum lagi dikategori sebagai sesuatu yang normal. Masih laju bagiku, walaupun tidak terlalu serius seperti sebelum ini. Sempat aku masuk sebentar ke bilik itu menjenguk Faiq. Menyentuh ubun-ubunnya lalu berbual dengannya, seperti mana aku lakukan semasa awal kelahirannya. Ya, aku tahu dia belum sedar sepenuhnya. Namun, aku bahagia begitu. 

Dalam doaku subuh itu, aku memanjatkan rasa kesyukuran ke hadratNya kerana masih lagi diberi peluang untuk memiliki Faiq. Masih memberi peluang aku menghabiskan masa sepenuhnya bersama Faiq berdua, supaya kami lebih mengenali antara satu sama lain. Suatu ruang yang jarang ku dapat setelah kembali bekerja di Terengganu, meninggalkan Faiq di bawah jagaan ibu bapaku di Klang. Ya, mungkin ini hikmahnya. Faiq lebih berpeluang mengenali siapa ibunya, dan sekaligus menolak anggapan ibunya tidak lagi meyayanginya kerana ditinggalkan jauh beratus batu. Mungkin juga ini suatu kafarah bagiku? Terhadap dosa-dosa yang pernah aku lakukan sebelum ini? Mungkin sebagai peringatan dariNya supaya tidak tersasar dari jalanNya yang lurus. Mungkin. Sejujurnya, aku hanya seorang insan biasa, yang tidak pernah terkecuali dari melakukan dosa-dosa. 

Doaku subuh itu ku rasa aku terlalu hampir denganNya. Lalu aku terus memohon keampunan dariNya sekiranya ini merupakan suatu kafarah terhadap kekhilafanku. Tuhan, sesungguhnya aku hanya seorang hamba yang mudah takabbur dengan nikmatMu, maka ampunkan aku atas segala dosa-dosa yang pernah aku lakukan. Dan Kau permudahkan urusanku dalam menghadapi ujianMu ini. Ringankanlah kesakitan Faiq dan sembuhkanlah Faiq anakku. Sembuhkanlah Faiq anakku. Sembuhkanlah Faiq anakku.Sesungguhnya, Kau adalah Tuhan Yang Maha Pengampun, Maha Menyembuhkan lagi Maha Memakbulkan Doa. 
Ameen, Ya Rabbal Alameen.

29 Oktober 2012
Sudah 3 hari Faiq menjadi warga PHDU. Aku semakin kuat menjalani kehidupan sehari-hari bertemankan kasih sayang Ilahi yang tidak pernah jauh dariku. Cuma aku yang tidak menghargai cintaNya. Malu aku denganNya kerana Dialah Tuhan yang Maha Memberi Rezeki, namun aku sia-siakan. Sesungguhnya, ujian kali ini benar-benar menginsafkanku dan melalui ujian ini aku semakin mengagumi kekuasaanNya. Subhanallah, Maha Suci Allah.

PHDU menempatkan 7 orang bayi ketika Faiq dirawat di sana. Kebanyakkannya mempunyai masalah jantung sejak dilahirkan. Jantung berlubang, jantung tanpa injap, dan pelbagai komplikasi lagi. Ada juga bayi yang dimasukkan ke sini disebabkan sawan yang berpanjangan. Istilahnya disebut epilepsi. Pada perkiraanku, sawan jenis epilepsi mungkin berkaitan dengan saraf dan fungsi otak. Wallahu a'lam.

Antibiotik Faiq perlu dihabiskan dalam masa 7 hari. Imipenem diberi melalui suntikan di tangannya dengan menggunakan mesin. Oleh kerana antibiotik ini merupakan antara antibiotik yang terkuat, Imipenem perlu dimasukkan ke dalam tubuh Faiq dengan menggunakan mesin untuk memastikan kadar kelajuan cecair itu adalah berada pada kadar yang teratur. Gradually. Mungkin kalau secara manual, (menggunakan picagari lalu menyuntik dengan menggunakan tangan) akan menyebabkan kadar kemasukan cecair itu menjadi tidak sekata, lalu akan menyakiti Faiq. 

Hari ini, selepas rondaan doktor pakar, beliau membenarkan CPAP yang dipasang pada Faiq untuk dibuka. Faiq hanya menggunakan nasal prong sahaja sebagai bantuan pernafasan ringan. Faiq juga dibenarkan untuk menyusu secara normal tanpa menggunakan tiub. Ada senyum di hatiku. Perubahan positif, alhamdulillah. Namun aku tahu, apa jua boleh terjadi. Dan aku harus bersedia.

Perasaanku lega, namun ada masih bersikap mahu berhati-hati. Tidak mahu terlalu gembira. Tidak mahu terlalu excited dengan perubahan Faiq. Aku punya pengalaman ngeri di NICU dahulu. Pengalaman-pengalaman yang sedikit sebanyak meletakkan aku sebagai seorang yang paranoid. Tanyalah pada mana-mana ibu terutamanya pada yang mempunyai anak pramatang, pasti akan faham benar bagaimana perasaanku.

Faiq, I love you.
(After CPAP was off by the specialist)

Mungkin hanya gambar ini sahaja dapat aku kongsikan bersama readers. Pengalaman di PHDU adalah sesuatu yang sangat berat bagiku, suamiku dan keluarga. Mohon readers faham akan situasi kami. Sungguh, aku masih belum mampu melihat keadaannya sebegini walaupun hanya di dalam gambar. 

30 Oktober 2012
Wad PHDU perlu menerima seorang pesakit baru iaitu seorang kanak-kanak 7 tahun yang mengalami cirit-birit. Ini bermakna salah seorang dari penghuni PHDU yang diyakini telah pulih perlu dipindahkan ke wad biasa bagi memberi ruang pada pesakit yang lebih memerlukan. Dan ya, penghuni PHDU yang dimaksudkan itu ialah Faiq Aqwa. 

Bercampur baur rasanya hatiku. Ya, aku gembira dan bersyukur Faiq akhirnya dapat dipindahkan dari wad PHDU yang sememangnya mendebarkan jantungku. Tetapi, aku juga khuatir, adakah Faiq benar-benar bersedia dengan perpindahan ini? Adakah kesihatannya benar-benar berada pada tahap yang selamat untuk bercampur dengan orang ramai? 

Soalan-soalan ini aku tujukan terus pada pakar. Mungkin kedengaran cerewet di mata kalian, tapi aku harus begitu demi Faiq. Aku harus cerewet dengan perkara-perkara yang boleh memberikan risiko pada kesihatan Faiq. Setelah mendengar penjelasan pakar, aku kembali tenang. Pakar menjelaskan Faiq akan ditempatkan di wad 6A iaitu sebuah wad asingan kanak-kanak, di mana keadaan wad itu tidaklah terlalu crowded dengan para pesakit. Yang mana aku rasa mungkin wajar untuk Faiq. Pada ketika itu, aku tahu aku harus bertawakkal dan percaya pada keputusan yang telah Allah tetapkan untuk Faiq. Yakin dengan ketentuanNya, kerana ketentuanNya itu sudah pasti adalah yang terbaik untuk kami.

Faiq perlu menghabiskan dos antibiotik Imipenam selama 7 hari. Menunggu selama 7 hari benar-benar mendebarkan perasaanku. Apatah lagi apabila pesakit yang keluar masuk terbatuk-batuk berhampiran Faiq. Ya, kedengaran sangat menjengkelkan apabila aku berfikiran sedemikian? Tapi, apa yang boleh aku fikirkan lagi? Apa yang boleh diharapkan lagi dari seorang ibu yang terdesak sepertiku? Antibodi Faiq masih belum cukup kuat untuk melawan segala penyakit yang datang. Dan aku sebagai ibu, perlu memastikan Faiq tidak dihampiri oleh sembarangan orang yang boleh membahayakan kesihatannya.

Berikut adalah sebahagian daripada gambaran kehidupan Faiq setelah dipindahkan ke Wad 6A.


Day 1, Ward 6A

Day 2, Ward 6A
Playing with his favorite ring ball.

Day 3, Ward 6A
Playing with the ring teether.



Day 4- Ward 6A
Habis susu, botol dibuang.

"Aaiq dah macam Santa Clause...." kata AB
Cuba teka apa dalam stokin Faiq, dan kenapa aku buat macam ni? Teka..Teka..

3 November 2012
Ya, inilah harinya.
Inilah harinya Faiq dibenarkan pulang setelah melalui episod-episod kehidupan yang penuh dugaan. Antibiotik Imipenam telah dihabiskan dan alhamdulillah, Faiq semakin pulih.

Aku tidak mahu terlalu gembira. Cukuplah sekadar aku memanjatkan kesyukuran ke hadratNya kerana masih lagi memberikan aku peluang untuk bersama-sama meninti kehidupan bersama Faiq. Mungkin ada yang tertanya-tanya adakah aku menyesal dengan kehidupan ini? Terpaksa melalui kesusahan demi kesusahan kerana Faiq?

Jawapanku hanya satu.

2 tahun lalu, aku hanya mempunyai suatu hajat yang sentiasa aku panjatkan kepada Allah yang Maha Agung. Aku menginginkan seorang anak dalam perkahwinanku. Namun hari demi hari, kami masih menunggu anugerah dariNya. Dan hanya selepas 2 tahun, Allah Azza Wa Jalla memakbulkan doa kami. Tiada apa yang aku kesalkan kerana Allah sememangnya telah menganugerahkan kami dengan seorang Faiq Aqwa yang begitu istimewa di hati kami. Kehadiran Faiq, walaupun dilahirkan dengan penuh kepayahan dan kesulitan, kami sambut dengan hamparan kebahagiaan yang tidak berbelah bagi. Selamanya.



*     *     *     *     *

Surprise from Tok Abah and Tok Ma.


Faiq setelah seminggu discaj dari  hospital.

Hidup ini indah sekiranya kita inginkan ia sebegitu. Dan ternyata, hidupku begitu indah dengan peluang yang Allah berikan untukku terus bersama-sama Faiq.

Allahu Akbar.



** Faiq Aqwa bin Faizol dilahirkan pramatang 32 minggu disebabkan oleh komplikasi sewaktu dalam kandungan, di mana air ketubannya pecah sebelum waktu. Disebabkan itu, Faiq mengalami masalah paru-paru tidak matang yang meninggikan risikonya untuk mendapat radang paru-paru (pneumonia) dan masalah-masalah lain berkaitan pernafasan. Semoga Allah terus memberikannya kekuatan dan kecekalan dalam menempuh hari-hari yang bakal mendatang. Ameen Ya Rabb.**




























5 comments:

  1. sedihnya tgk Faiq dgn wayar2 berseranggoh kat bodi dia....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ya, agreed.

      Saya memang dah jangka, Faiq mungkin mengalami masalah kesihatan sejak saya mengalami komplikasi sewaktu mengandungkan dia. Dan saya harus belajar menerima.

      In Shaa Allah, Faiq akan melaluinya selagi diberi kekuatan olehNya.

      Thanks for reading this entry.

      Delete
  2. I cried while looking on the surprised cake. Terasa apa yang Fa rasa. Setiap debaran alhamdulillah Allah balas dengan kebahagiaan. Tengok wajah Faiq kat ward 6A, terpancar kasih sayang dari mata dia pada ibunya. U such a great mother that Faiq have. I love u too Faiq. Be a good boy. Nanti boleh jadi menantu aunty Nad ye. Aunty Nad pinang Faiq dengan 7 hantaran. Kikiki...

    P/s: pic day 1 kat ward 6A tu, faiq pakai sarung kaki kat tangan dia kan? :D

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ohh auntie Nad, you are sooo sweeettttt!

      Yes, surprised cake from my parents. Nama Faiq je ada kat kek tu, yang menghabiskannya mama dia. Hehe.

      Nad, it's a learning process for me, untuk jadi ibu memang menjadi impian setiap wanita. Tapi untuk menjadi ibu kepada anak-anak yang mempunyai keistimewaan tersendiri ni seperti kita, lebih terasa kemanisannya.

      Nad lebih kuat dari Fa, dan Nad sudahpun mempunyai saham di sana. Najla ingin ke Jannah bersama2 Nad dan suami.
      Allahu Akbar, betapa beruntungnya Nad menjadi hambaNya yang terpilih.

      As for Faiq, Fa sebenarnya sentiasa takut akan hari esok. Takut dengan apa yang akan berlaku esok. Tapi Fa tahu, Fa sepatutnya menerima Faiq seadanya. Dan melihat perjuangan Faiq sehingga ke tahap ini, sudah cukup membahagiakan Fa. Walaupun tak sesihat bayi ibu-ibu yang lain.

      Thanks Nad for being my follower. Hahaha.. Rasa segan sangat sebab blog ni blog syok sendiri, tuan rumah pun follow blog sendiri sebab takde follower nyer pasal. :D

      p/s: Hahahahaha! Tajamnya mata Nad! Fa sendiri pun tak perasan perkara tu masa masukkan gambar. Memang, sebab Fa tak bawak sarung tangan dia. Semua yang Fa bawak, semua sarung kaki. Sebab Faiq ni suka sangat cabut line yang ada kat tangan dia, tu yang takde arah guna sarung kaki jugak. Asal boleh je kan, janji dia tak cabut line tu lagi. (+_+)

      Delete
    2. I kuat? Haha.. I berlakon je selama ni. Blog I banyak entry time happy. Kadang2 I draft jugak entry emosional pastu I tak publish pun. Haha. I ni quit gembeng jugak and selalu down la Fa. But I bangun balik bila baca buku2 motivasi (esp. from Prof Dr Muhaya) and baca entries inspirasi macam Fa punya. ^_^

      Dah, pergi menanda. Nnt tak sempat kejar due date. Gd luck Fa! :)

      Delete