Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Masih segar dalam fiikiran, filem pertama yang paling saya ingati sewaktu kecil dahulu ialah filem Cassandra Crossings. Mengisahkan tentang perjalanan sebuah keretapi yang berakhir dengan tragedi yang sangat menyayat hati. Seingat saya, keretapi itu jatuh ketika melalui jambatan yang dinamakan Cassandra Crossings. Bagi saya yang ketika itu kira-kira 6-7 tahun, kisah ini sememangnya sangat mengerikan. Apatah lagi apabila melihat tragedi yang digambarkan dengan dashyat sekali. (Mungkin kerana itulah beberapa tahun selepas itu, program tv perlu ditapis supaya kanak-kanak seperti saya dulu tidak begitu terkesan dengan paparan-paparan tragik sebegitu).
Saya juga masih ingat sekitar umur saya 8-9 tahun, saya pernah menonton filem Miracle Landing yang juga saya sifatkan sebagai satu daripada filem yang sangat mendebarkan. Filem ini berkisar tentang sebuah pesawat yang mengalami koyakan di bahagian siling dalam pesawat. Walau bagaimanapun, atas sebab-sebab tertentu ( saya tidak dapat ingat) koyakan ini tidak mendapat perhatian anak-anak kapal sehinggalah setelah berlepas dan beberapa ketika di udara, koyakan itu semakin besar sehingga menerbangkan separuh daripada bahagian siling atas. Juruterbang sedaya upaya untuk menyelamatkan pesawat dengan melakukan pendaratan kecemasan. Walaupun berjaya mendarat, ramai yang terkorban kerana tidak mampu melawan daya tujahan angin yang sangat kuat. Saya difahamkan ini merupakan kisah benar yang diadaptasi ke filem.
Minat saya dalam bidang penyiasatan/misteri bercambah dan terus mekar semakin saya dewasa. Program-program tv seperti Air Crash Investigation, Crime Investigation, X-Files, dan sebagainya merupakan antara yang wajib tonton setiap minggu. Bagi saya, tragedi ini hanya berlaku di luar negara. Bukan di Malaysia.
Malaysia disifatkan sebagai sebuah negara yang aman makmur. Jarang-jarang sekali kita dikhabarkan dengan berita-berita yang mendebarkan seperti peperangan, bencana alam atau tragedi. Seingat saya, saya membesar dalam suasana yang cukup harmoni. Meneroka alam sekolah dengan environment yang sangat menyenangkan. Bagi saya, cerita-cerita negatif yang mengerikan hanya terdapat di luar negara. Bukan negara saya. Bukan di tempat saya.
Namun, saya silap. Sangat silap. Betapa naifnya saya sewaktu itu. Rupanya saya hanya hidup dalam angan-angan yang saya cipta sendiri. Gambaran realiti kehidupan saya sempurna tanpa ada cacat cela. Saya lupa rupa-rupanya ujian Allah itu ada di mana-mana. Semakin saya dewasa, semakin saya mengenali dunia hitam di sebalik lakaran kehidupan yang dipotret sempurna.
Pagi itu, sewaktu saya bersarapan bersama mama dan abah (dan Faiq juga, walaupun dia sebenarnya lebih kepada mengacau kami bersarapan), Abah mengkhabarkan saya suatu berita yang dibacanya melalui Internet di mana saya fikir berita itu hanya sebuah berita sensasi yang dahagakan 'like' dan 'comment' orang ramai. Saya tidak begitu ambil pusing. Mana mungkin negara saya ini terjadi perkara-perkara sedemikian.
Namun, setelah saya meneliti news feed di Facebook, baru saya mengetahui bahawa berita itu benar. Bukan di negara luar yang sedang berperang, bukan juga di negara barat yang terkenal dengan kisah sensasi tetapi ia berlaku di Malaysia. Negara saya yang sangat saya sanjung tinggi.
"Malaysian Airlines MH370 missing"
Tajuk artikel. Saya baca satu-satu untuk mendalami. Gambaran tragedi yang pernah saya baca atau tonton seolah dimainkan semula dalam kotak fikiran saya.
Adakah benar? Di negaraku sendiri?
Lantas saya terus mengikuti berita yang sangat mengejutkan itu. Mengapa boleh hilang? Kenapa tiada isyarat kecemasan dikeluarkan? Bagaimana dengan krew dan penumpang? Saya merasakan seolah-olah ini semua seperti tayangan filem yang difiksyenkan. Langsung tidak terlintas dalam telahan saya.
2 minggu.
Berlalu sudah kisah yang membuka mata semua pihak. Baik rakyat Malaysia, mahupun rakyat dunia di luar sana. Setiap hari kita dipaparkan dengan sidang media yang berterusan untuk memaklumkan perkembangan terkini episod kedukaan ini. Tiada petunjuk, tiada klu, tiada apa yang boleh dijadikan bukti setelah berhari-hari pasukan Mencari dan Menyelamat (SAR) bersengkang mata dan bertungkus lumus. Berhari-hari kita hampa sewaktu mendengar sidang media. Terus menjadi tanda tanya. Terus menjadi persoalan, Saya antara yang sangat terkesan dengan berita ini. Sedih dan hiba mengenangkan penumpang yang berada dalam penerbangan tersebut. Apatah lagi disahkan 2 orang bayi juga antara penumpang yang terlibat.
Allah.
Saya merasakan tidak perlu saya menceritakan semula kronologi perjalanan cerita MH370 ini dalam entri ini. Saya kira readers telahpun maklum dan sangat faham tentang situasi yang berlaku. Entri ini juga tidak akan memuatkan sebarang link yang boleh readers rujuk kerana saya berpendapat tidak perlulah saya menjadi perantara readers dengan kisah ini. Isu ini sangat sensitif kerana ia merupaka isu negara. Tidak wajar saya berkongsi apa-apa artikel, khuatir ia tidak benar dan boleh jatuh kategori fitnah pula.
Semakin hari, episod pencarian ini menemukan jalan buntu. Saya juga mula perlahan-lahan melupakan kejadian ini sehinggalah malam semalam, semasa saya sedang bermain kejar-kejar dengan Faiq di ruang tamu, kami dikejutkan dengan sidang media tergempar di tv oleh YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia. Secara rasmi, beliau mengumumkan :-
"Malaysian Airlines MH370 has ended in Indian Ocean...."
Subhanallah, berita apakah ini? Sedang kita semua berharap dan berdoa agar ada sinar yang memungkinkan pesawat ini dijumpai selamat, seluruh dunia dikejutkan dengan berita yang amat menyayat hati.
Innalilahi wa inna ilahi rojiun
(Sesungguhnya kami kepunyaan Allah, dan kepada Allah jualah kami kembali)
Terduduk saya tatkala mendengar berita yang disampaikan oleh YAB PM. Dan benarlah, tiada hijab yang menghalang Allah untuk menunjukkan kekuasaaNya. Malaysia, yang saya kira negara yang sangat makmur diuji dengan begitu hebat dari segi maruah, kredibiliti, emosi dan rohani. Saling berkait dan mewujudkan sebuah fenomena yang amat terkesan dalam hati setiap rakyatnya.
Diam dan sunyi rumah saya setelah mendapat khabar tersebut. Benar, kami tiada pertalian darah dengan mereka yang terlibat. Tetapi, apa jaminan kita untuk hari esok? Mungkin giliran kita. Seumpama apa, bagaimana kita dimatikan?
Tiada siapa yang tahu.
Saya tidak mengetahui apa yang berlaku kepada anak-anak kapal dan penumpang. Ketika entri ini ditulis, saya difahamkan tiada siapa yang tahu (wallahua'lam).
Apa yang bermain-main di benak saya sekarang, ialah bagaimana?
Bagaimana mereka menghadapi situasi itu? Mereka tiada pilihan. Tidak boleh melarikan diri. Tidak mampu berpatah balik. Tidak boleh terjun ke bawah.
Terpaksa menghadapi.
Allah.
Demi Allah, saya tidak mampu bayangkan.
Banyak sekali spekulasi, teori dan pendapat yang diwar-warkan dalam laman sosial, blog dan paparan artikel online. Saya juga naik pening untuk mendalami pelbagai assumption yang dibuat. Bagi saya, yang berlaku, telahpun berlaku. Sedih, hiba, memang satu Malaysia merasainya.
Mengambil kira pelbagai masalah-masalah dalam negara yang sedikit sebanyak mengusik ketenteraman negara, perhatian kita telahpun dialih kepada suatu fenomena yang belum pernah dialami oleh negara seperti Malaysia. Dunia melihat kita sebagai sebuah negara yang kecil, barangkali ada yang tertawa sinis melihat kita berhempas pulas cuba merungkai misteri di sebalik penerbangan MH370.
Aduhai, Malaysiaku.
Di saat ini, negara kita sangat memerlukan sokongan kita. Tolak ketepi semua fahaman yang berbeza, kita harus bersatu memberi keutamaan kepada musibah yang menimpa negara kita. Bentengkan segala kata nista yang dilempar oleh media luar, orang luar dengan paduan semangat setiap rakyat dan kasih sayang sesama insan.
Lontarkan jauh-jauh ego kita. Ini bukan medan siapa benar, siapa salah.
MH370 sebenarnya adalah suatu hidayah terbesar oleh Allah.
Kalau bukan kerana MH370, kita tidak akan melakukan solat hajat perdana memohon petunjuk.
Kalau bukan kerana MH370, kita seringkali berbalah antara satu sama lain mahu menunjuk hebat.
Kalau bukan kerana MH370, kita masih lagi lupa kita punya Tuhan.
MH370 adalah panggilan rindu oleh Allah.
Supaya kita kembali tunduk kepadaNya.
Supaya kita kembali sedar, kita hanyalah hamba yang tidak punya apa.
Ini maruah kita.
Ini tanah air kita.
Seumpama perwira-perwira dahulukala sanggup menumpahkan darah untuk kita si pewaris negara.
Usah jadi manusia lupa.
Bangkit Malaysia.
Jangan kita hanya menghafal point-point buku teks Sejarah hanya untuk lulus periksa.
Sgt setuju dgn faa... sepatutnya diwaktu yg genting ini, kita bersatu. Bukan menuding jari dan mencari salah.
ReplyDelete