Tuesday, 9 October 2012

Faiq Tahu Tak...?


Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Faiq sayang..

Faiq tahu tak..?
Betapa mama sangat menyayangi Faiq. Sejak Faiq berada dalam kandungan mama lagi, telah mama cambahkan rasa kasih sayang mama pada Faiq. Tak terungkap rasa nikmat serta syukur mama pada Allah Azza Wa Jalla di atas kurniaanNya yang sungguh istimewa ini. Setiap hari mama dan abah berdoa agar kesihatan Faiq dalam kandungan mama berada pada tahap yang terbaik memandangkan mama mengalami pendarahan minor sewaktu awal kehamilan mama.

Faiq tahu tak..?
Bagaimana gembiranya mama bila mendapat tahu Faiq ada dalam diri mama. Bagaimana Faiq membesar dalam tubuh mama, mendengar kata-kata mama, memakan apa yang mama salurkan untuk Faiq, mendengar mama mengalunkan ayat-ayat suci dari Al-Quran, melihat perkara-perkara yang baik dan indah dalam dunia ini untuk tatapan Faiq di dalam sana. Semuanya mama lakukan untuk Faiq. Mama masih ingat, sewaktu Faiq berusia 8 minggu dalam kandungan mama, mama banyak membeli majalah-majalah keibubapaan serta majalah bayi untuk mencuci mata melihat barang-barangan yang sesuai untuk Faiq apabila Faiq lahir kelak. Mama sering berangan-angan mahu itu dan ini, membuatkan abah pening kepala dengan kerenah mama yang kebudak-budakan. Tapi apa yang boleh mama buat sayang? Mama terlalu teruja dengan kehadiranmu kelak!

Faiq tahu tak..?
Di saat mama baru sahaja pulih dari alahan mengandung, Mama terkejut dan terpana seketika apabila doktor mengesahkan kantung yang Faiq diami dalam rahim mama terkoyak sedikit dan menyebabkan air ketuban pelindung tubuh Faiq mula bocor dari kantung tersebut. Semakin hari, air ketuban yang sangat penting untuk pertumbuhan paru-paru Faiq semakin kurang isipadunya. Setiap hari cecair tersebut akan mengalir keluar dari tubuh mama. Waktu itu, mama hanya mampu menangis dan berdoa supaya Faiq selamat di dalam sana. Hati mama merintih mengenangkan nasib Faiq, bagaimana kehidupan Faiq di dalam sana tanpa air ketuban yang cukup? Mudah terdedah pada jangkitan dan menyebabkan risiko untuk Faiq dilahirkan awal sangat tinggi. Lalu apa pilihan yang mama ada, sayang? Faiq pada waktu itu hanya berusia 16 minggu. Doktor menyarankan mama dan abah mengeluarkan Faiq serta merta pada waktu itu, di mana mama tahu, jika berlaku sedemikian, mama pasti akan kehilangan Faiq. Mama dan abah berdepan dengan dilema yang cukup besar. Kami tak sanggup kehilangan Faiq, sayang. Lalu kami mengambil risiko untuk meneruskan kehamilan ini semata-mata untuk menjaga Faiq. Bukankah Faiq amanah Allah yang terindah dalam hidup mama dan abah?

Faiq tahu tak..?
Sepanjang 4 bulan mama menjaga Faiq seteliti mungkin untuk memastikan Faiq berada dalam keadaan yang terbaik walaupun air ketuban dalam kantung Faiq tidak pernah cukup. malah terlalu sedikit. Hampir tiada air ketuban. Mama masih ingat kata-kata doktor yang sebegitu pada mama. Mama tidak tahu sayang, bagaimana pada waktu itu, mama terus kuat menjalani hari-hari sukar bersama Faiq. Setiap masa cecair tersebut mengalir keluar. Setiap masa, sayang. Mama menangis dan menangis. Mama tak punya kekuatan lagi untuk hadapi semua ini. Tapi apakan daya, mama harus atasi perasaan ini. Demi Faiq. Demi Faiq, anak mama.

Faiq tahu tak..?
Setiap kali mama mempunyai temujanji dengan pakar perbidanan, abah akan mendukung mama naik dan turun dari tangga rumah Tok Ma. Kerana apa? Kerana kami tidak mahu gegaran naik turun tangga akan membahayakan nyawamu, sayang. Setiap kali mama terpaksa menaiki kereta untuk ke hospital atau klinik, mama terpaksa melapik tempat duduk kereta dengan beberapa bantal supaya gegaran dapat dikurangkan. Untuk Faiq, sayang. Setiap kali kereta abah menyusuri jalan yang tidak rata, mama pasti akan memegang perut mama, untuk memastikan Faiq tidak terlalu terkesan dek gegaran itu. Betapa mama sangat risau tentangmu, sayang.

Faiq tahu tak..?
Ketika Faiq dilahirkan dengan penuh debaran dalam bilik pembedahan, mama tak mampu melihat Faiq sejurus selepas itu. Mama tidak tahu bagaimana keadaanmu sewaktu itu. Di sebalik tabir yang dipasang untuk menghalang mama dari melihat prosedur pembedahan itu, sayup-sayup mama terdengar suara halus seakan tersekat-sekat cuba bernafas. Ya, sayang, itu suara mu. Suara pertamamu yang hadir dalam bentuk tangisan yang amat memilukan bagi sesiapa yang mendengarnya. Faiq tak mampu bernafas. Faiq tak mampu. Mama tahu, itu risikonya. Mama amat tahu. Komplikasi yang mama alami sememangnya akan memberikan kesan signifikan terhadap pernafasanmu. Mama amat tahu. Tetapi yang lebih merobek hati mama, mama tak dapat berbuat apa-apa untuk memulihkan diri mama ketika Faiq masih dalam kandungan. Justeru itu, Faiq yang terpaksa menanggung akibatnya apabila dilahirkan ke dunia. Mama merasakan mama yang harus bertanggungjawab di atas keadaan Faiq ketika itu. Mama mohon maaf sayang. Mama telah menyakitimu.

Faiq tahu tak..?
7 jam selepas Faiq dilahirkan, doktor segera menghubungi abah menyatakan keadaanmu yang kritikal pada waktu itu. Jam menunjukkan pukul 5.00 pagi. Di keheningan subuh, abah bergegas ke hospital untuk melihat keadaanmu. Doktor menyatakan Faiq berada dalam situasi yang cukup genting kerana mesin pernafasan telahpun diubah ke tahap maksimum untuk memberikan bantuan sepenuhnya kepadamu. Bantuan sepenuhnya menandakan Faiq langsung tidak dapat bernafas sendiri. Allahu Akbar. Ujian yang maha hebat bagi mama dan abah. Abah lantas terus menuju ke surau hospital menunaikan solat Hajat serta mengalunkan bait-bait suci Yassin sebagai penguat semangat Faiq, dan mengharapkan 100% bantuan dari Allah, Tuhan Yang Maha Besar, Maha Perkasa. Kami hanya mampu mengharapkan keajaiban. Ya sayang, keajaibanNya.

Faiq tahu tak..?
Luka mama belum pulih sepenuhnya dari proses pembedahan namun mama gagahkan diri untuk melihatmu buat pertama kali. Pagi itu, setelah 10 jam Faiq dilahirkan, mama merayu kepada para jururawat untuk menjenguk Faiq, jantung hati mama. Mama tak malu apabila semua mata melihat mama menangis merayu-rayu pada ketua jururawat. Mama tak takut apabila terpaksa melanggar peraturan wad yang melarang ibu yang baru menjalani pembedahan menjenguk anaknya di wad bayi. Mama hanya mahu Faiq, mahu berada disisi Faiq, mahu memberikan Faiq sebuah pandangan keibuan yang selama ini mama impikan. Mama mahu Faiq tahu, mama sentiasa dan sentiasa bersama Faiq. Sentiasa memberikan Faiq kekuatan untuk terus berjuang dalam kehidupan yang kadangkala terlihat seperti terlalu kejam untuk anak sekecil Faiq. Namu, ini ketentuanNya, sayang. Sepahit mana, kita harus belajar menelan. Seburuk mana kita harus belajar menerima.

Faiq tahu tak..?
Mama tidak melakukan rutin pantang sepanjang tempoh berpantang. Rutin mama hanyalah ke hospital, menghantar susu perahan mama untuk Faiq. Ya, Mama tetap merasai kesakitan di bahagian luka pembedahan. Tapi hati mama lebih sakit melihatmu di dalam inkubator berselirat wayar sana sini. Sakit telinga mama mendengar bunyi mesin bantuan pernafasan yang berdecit-decit apabila pernafasanmu tidak stabil. Itu lebih menyakitkan. Sangat menyakitkan. Setiap kali mama ke hospital, mama terpaksa berjalan dari pintu masuk ke tingkat 6, wad NICU. Setiap langkah yang mama ambil umpama duri yang mencucuk-cucuk bahagian luka mama. Sakit sayang. Terlalu sakit. Namun, siapa lagi yang akan menjenguk Faiq kalau bukan mama? Pasti Faiq akan keseorangan di sana. Dan mama juga tak betah tinggal di rumah keseorangan tanpa Faiq. Mama rela sakit asalkan Faiq di depan mata mama.

Faiq tahu tak..?
Susu perahan yang mama kirimkan ke hospital buat bekalanmu, Mama sertakan dengan bacaan selawat dan doa yang benar-benar mengharapkan belas kasihan Allah. Mama mahu Faiq sihat dengan meminum susu mama. Walaupun mama dikategorikan sebagai ibu yang kurang susu, namun Alhamdulillah, bekalan untuk Faiq masih cukup untuk setiap hari. Dan semangat Faiqlah sumber kekuatan mama untuk terus positif dalam penyusuan susu ibu.

Faiq tahu tak..?
Mama tak pasti dimana ia bermula, dan bagaimana ia terjadi. Namun, doktor mengesahkan keadaan Faiq makin pulih dari sehari ke sehari. Namun ketika itu, mama terlalu takut untuk bergembira. Mama juga tidak pernah mengkhabarkan pada sesiapa tentang berita-berita positif yang mama terima. Mama terlalu takut. Mama takut kejadian sebelum ini berulang kembali. Dan mama tidak mahu melaluinya sekali lagi. Mama hanya membiarkan hari-hari berlalu begitu sahaja, tanpa mempedulikan firasat doktor terhadap keadaan Faiq. Apa yang penting bagi mama, mama dapat melihat perubahan-perubahan kecil Faiq sendiri, tanpa perlu menghebahkannya pada semua. Cukuplah mama dan abah sahaja yang tahu keadaan Faiq kerana kami tidak mahu terlalu teruja dengan sebarang berita yang tak pasti. Call me paranoid, I admit I am one.

Faiq tahu tak..?
Setelah genap sebulan Faiq di NICU, berat Faiq telah menjangkau 1.5kg. Faiq dilihat semakin stabil dan akan dipindahkan ke wad biasa. Betapa gembiranya hati mama pada waktu itu. Faiq akan pulih? Mama seolah-olah bermimpi. Masih terngiang-ngiang suara para doktor yang memaklumkan berita-berita negatif Faiq sewaktu awal kelahiran Faiq dahulu. Dan kini? Ya, inilah keajaiban yang mama maksudkan. Mengalir airmata mama ketika dimaklumkan Faiq akan ke wad biasa. Dan perkara yang paling menggembirakan mama, Faiq tidak perlu lagi memakai bantuan pernafasan. :)

Faiq tahu tak..?
Hari berganti hari, mama semakin pulih dari pembedahan. Kini mama sihat dan boleh bergerak seperti biasa. Dan Faiq juga begitu. Faiq kini telah boleh dipindahkan ke cot bayi dan tidak perlu lagi menggunakan inkubator. Faiq seperti bayi normal lain! Faiq juga telah diberi peluang belajar menghisap susu mama. Walaupun sukar untuk Faiq, namun Faiq tidak putus asa. Selama seminggu Faiq belajar menghisap dengan betul, dan Alhamdulillah, Faiq berjaya dalam penyusuan.

Faiq tahu tak..?
Pada tanggal 5 April 2012, Faiq dibenarkan keluar dari hospital dengan berat 1.81kg. Walau bagaimanapun, Faiq harus mengikuti beberapa siri imbasan otak selepas ini memandangkan sejarah Faiq yang mempunyai pendarahan di kepala sewaktu awal kelahiran. Sekali lagi jantung mama berdebar kencang. Mama tak mahu lagi merasakan pedihnya di ambang penentuan nyawa Faiq. Mama tidak sanggup. Tapi, mama harus kuat kan? Untuk Faiq? Lantas sekali lagi mama berserah sahaja kepada Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Hanya Dialah yang menentukan segala apa yang terjadi dalam dunia ini hatta sekecil mana perkara itu. Mama menarik nafas sedalam-dalamnya dan berusaha untuk menikmati saat-saat indah bersama Faiq selepas ini. Lewat petang itu, mama rasakan dunia seolah-olah turut tersenyum pada mama dan hari itulah mama benar-benar dapat merasakan nikmatnya menjadi seorang ibu. Kemanisannya tak terungkap dengan kata-kata. Faiq telah mengajar mama tentang kehidupan. Tentang menerima sesuatu yang tidak kita jangka. Tentang pasrah dengan ketentuanNya. Tentang sakitnya bersabar untuk sebuah kemanisan. Faiqlah guru kehidupan mama.

Faiq tahu tak sayang?







14 comments:

  1. kenapa ek bila saya bc air mata saya tiba2 keluar...sgt menyentuh hati ...

    ReplyDelete
    Replies
    1. As-salam. Terima kasih kerana sudi membaca entri ni. Apa yang saya tulis, adalah berdasarkan pengalaman sendiri..Mungkin sedikit emosional kerana sehingga ke hari ini kenangan tersebut masih segar dalam ingatan saya. Saya menulis dengan harapan para pembaca dapat mengambil iktibar dan pedoman dari apa yang saya lalui.

      Walau bagaimanapun, terima kasih kerana sudi berkunjung ke blog ini.. :)

      p/s: maaf, boleh saya tahu siapa ni? Mungkin saya kurang cam.

      Delete
  2. Fa... Touchingnya hati saya.. Syukurlah Fa dengan suami buat keputusan yang tepat untuk teruskan kandungan. Bila baca cerita fa ni buat saya terkenang-kenang dan teringat-ingat sejarah dengan Najla. Tapi, apakan daya. Masa tak dapat nak diputar kembali. Najla sudah pun tiada.

    Syukur alhamdulillah, Faiq makin membesar dengan sihat. Gembira saya melihat perkembangan faiq setiap hari. Cium pelukkan untuk Faiq ye bila Fa sudah berjumpa Faiq nanti :)

    Sejuta kasih buat Faiq (From Ibu Najla) :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ummi...Saya rasa pengalaman Ummi jauh lebih hebat dari saya. Ummi lebih kuat dari saya, dan penulisan ummi lebih menyentuh hati. Najla sememangnya bertuah mempunyai ibu seperti ummi. Mungkin keadaan kita tidak sama, tapi perasaan kita tak jauh beza, kita adalah golongan ibu-ibu yang terdesak dan diasak untuk terus bersabar. Kita perlu bersabar, kerana kita tidak mampu melawan takdirNya.

      Saya juga tidak tahu apa yang akan jadi esok. Mungkin berbeza dari hari ini? Saya tidak tahu. Setiap manusia pasti akan meninggalkan dunia ini. Tapi kita tak pasti bila waktunya. Najla telah menemui waktunya, dan pastinya gembira di sana. Itu suatu kepastian.

      Ummi, walaupun Najla tiada di sisi Ummi, tapi Najla menjanjikan syurga buat umminya. Dan mungkin itu salah satu hikmah yang disembunyikan. Kita tidak tahu, Wallahua'lam.

      Saya faham, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Saya hanya mampu bercakap, tetapi selebihnya hanya Ummi yang merasai. Tapi percayalah Ummi, saya juga hambaNya yang tak mampu menolak takdir. Apa2 sahaja boleh berlaku ke atas kita.

      Bertawakkal dan redhalah dengan ketentuanNya.
      Sesungguhnya Allah menurunkan ujian sesuai dengan kemampuan kita.

      Tentang Faiq, alhamdulillah untuk setakat ini. InshaAllah, akan saya updatekan perkembangan terkininya kelak. "Peluk cium buat Auntie Ummi Najla jugak!", kata Faiq. :)

      Walau bagaimanapun, saya sangat berterima kasih kepada ummi kerana telah memberikan semangat baru untuk saya dalam penulisan blog. Semoga kita terus menjadi sahabat di alam maya ini dan inshaAllah, di alam nyata juga. :)

      Delete
  3. As salam...setiap kali saya baca kisah Faiq,saya pasti akan menitiskn air mata...betapa berat dugaan yg Fa n Family hadapi,lbh2 lagi Faiq yg masih kecil...alhamdulillah, Allah makbulkn doa Fa..inilah keajaiban Allah..Semoga Fa n Family terus tabah menghadapi hari2 mendatang dan semoga Faiq membesar dgn sihat...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam,
      mungkin dugaan ini berat bagi saya, tapi saya tak pernah lupa bahawa masih lagi ramai yang diduga lebih berat dari saya.. Saya tahu, saya patut bersyukur dengan segala kurniaanNya.

      Blog saya lebih berkisarkan hidup peribadi saya, tentang apa yang saya rasa. Mungkin sebab itulah, blog ini lebih sarat dengan perincian emosi-emosi saya. Saya mahu readers bersama-sama dapat rasai pengalaman saya, sama ada pengalaman itu sesuatu yang manis atau pahit.

      Semoga pengalaman2 ini dapat menjadi iktibar bagi semua yang membaca.

      Ya benar, ini keajaiban Allah. Dulu saya tak percayakan keajaiban. Tapi kini, alhamdulillah, Allah beri peluang pada saya untuk merasai sebahagian kecil dari keajaibanNya yang Maha Agung.

      Terima kasih atas doa2 dari anda. In shaa Allah, kami akan cuba belajar dari pengalaman. Terima kasih atas support yang anda berikan. Alhamdulillah.

      Delete
  4. kak...menangis diri ini selepas suami bagi url blog ni suh baca.
    kita hampir sama.tapi akak dh lepas dugaan yang mencabar itu.TH skg sdg menghadapinya kak...subhanallah..
    terasa inilah kekuatan utk TH trus tabah menghadapinya.jika Faiq dan akak boleh. kenapa tidak TH kn???

    ReplyDelete
    Replies
    1. As salam TH,

      Kadang2 hidup ini sangat aneh. Kita tahu, kita seorang yang cengeng, manja, dan mudah putus asa. Tapi bila kita diberikan peluang untuk merasa kesukaran dan kepayahan untuk mendapatkan sesuatu, sertam merta kita menjadi begitu cekal dan tabah. Itulah yang berlaku pada akak.

      Akak mengaku, akak seorang yang bersikap negatif. Sentiasa negatif terhadap semua perkara. Lalu Allah memberikan akak ujian ini, (bagi akak ujian yang paling besar pernah akak lalui) untuk menguji sejauh mana kebergantungan akak padaNya. Dan ya, melalui Faiq, akak bergantung sepenuhnya padaNya. Akak tak punya kuasa untuk memulihkan Faiq, hatta itu yang akan inginkan. Di luar kuasa akak. Cuma yang akak mampu buat ialah berserah, berserah, berdoa, dan terus tawakkal terhadap apa jua yang akan diberikan. Dan sehingga ke tahap ini, akak masih tidak percaya akak telah melaluinya. Kalau difikirkan balik, ya, memang terlalu aneh, TH.

      TH pasti boleh, yakinlah dengan keajaibanNya. Miracle happens. :) In shaa Allah, akak doakan yang terbaik untuk TH.
      Jangan segan2 untuk emel akak kalau ada apa2 yang akak boleh bantu. faa_falina@yahoo.com.

      Thanks for following this blog! :)

      Delete
  5. Salam faa..sy pun da melaluinya nya disaat anak sy dilahirkan prem 33week..allah saje tahu...syukur..anak saya lahir sehari sebelum anak faa..16hb feb 2012..allah maha mengetahui...

    ReplyDelete
    Replies
    1. As salam sis, Alhamdulillah, ya, saya rasa tak perlu saya khabarkan bagaimana rasanya kalau berada dalam situasi seperti kita, kerana sis lebih mengetahuinya kan..

      Bagi saya, hendaklah kita berpegang kepada janji Allah, yang setiap kejadian pasti ada hikmah dan kebaikan darinya. Jadi kita sebagai hambaNya hanya mampu menerima dan berusaha ke arah yang lebih baik.

      In shaaAllah..

      p/s : kedengaran agak tipikal di situ, tapi begitulah seadanya. Kalau ikutkan hati memang saya pun tak mampu tahan dengan ujian-ujian ini. Tapi kita sama2 belajar menerima ya.. :)

      Thanks for viewing.. :)

      Delete
  6. Menangis sy, hebatnya dugaan awak.. alhamdulillah, syukur pd Allah semua detik getir dah berlalu. Semoga Faiq dan anak TH membesar dgn sihat. Amin

    ReplyDelete
    Replies
    1. As salam, Ermy,

      Ya, saya juga tak tahu bagaimana harus saya gambarkan perasaan saya.. Tapi apa yang pasti ini adalah ujian bagi saya, dan saya perlu belajar menghadapinya. Walaupun begitu, saya harus belajar bersyukur kerana ramai lagi yang diuji lebih hebat dari saya.

      Ujian Allah akan datang pada bila2 masa, tanpa diduga. Alhamdulillah, benar semua detik tersebut telah berlalu, tapi saya rasa saya juga perlu sentiasa beringat dan berhati-hati kerana kita tak tahu apa akan jadi pada masa hadapan. Mungkin saya perlu bersedia secara fizikal dan mental untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

      In shaa Allah, Allah sentiasa bersama-sama kita.

      Doa saya untuk anak TH juga ya! Semoga sihat dan sejahtera hendaknya.

      Thanks for viewing sis!

      credit to Titisan Hujan.

      Delete
  7. ALLAHUAKBAR! INILAH YG DIKATAKAN KUASA ALLAH..DAN HIKMAH BG YG BERSABAR~

    ReplyDelete
  8. Kebetulan masa saya baca entry teacher ni, MP3 player meminkan lagu 'Syurga di Telapak Kaki Ibu',, mengalir deras sungai air mata ni,, betapa kuat nya dugaan dan ujian yg Teacher hadapi,, bangga dengan pengorbanan dan semangat seorg IBU,, :'( saya yakin dan percaya Faiq akan membesar dengan sihat dan menjadi anak yg akan membanggakan mama dan abahnya..

    ReplyDelete