Monday 2 July 2012

Istimewa Sebuah Pengorbanan

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Sudah agak lama aku menyepi tanpa apa-apa updates ke blog ini. Bukan melupakan untuk menulis, tapi memang sikapku begini, takkan punya ilham menulis jika fikiranku berada dalam keadaan yang kusut. Aku percaya sesebuah penulisan itu berpangkal dari hati. Sekiranya seseorang itu menulis dengan keikhlasan, penulisannya takkan mudah dilupakan. Dan kini, aku bersedia menulis kembali.

Tatkala aku menghadap lappy sambil menekan kekunci huruf-huruf yang kemas tersusun, mata ini tidak lepas memandang sesusuk tubuh kecil yang berada dalam baby cot bahagia dalam lenanya. Penuh syahdu aku menatap wajahnya yang polos dan jernih. Sesekali airmataku bergenang merenung airmukanya yang bersahaja. Ya, dialah mutiara hatiku, Faiq Aqwa bin Faizol. Puteraku yang sulung. Mujahidku yang agung.

Faiq Aqwa. Nama yang kami pilih untuk cahaya mata yang kami tunggu-tunggu selama ini. Mengapa Faiq Aqwa? Apa keistimewaan 'Faiq' dan 'Aqwa'? Faiq bererti yang yang tertinggi, terkemuka, utama. Aqwa pula membawa maksud yang perkasa dan kuat.  Mengapa kami pilih nama tersebut? Bukankah banyak lagi nama-nama yang canggih manggih pilihan ibu bapa di luar sana? Kami mempunyai alasan tersendiri. Alasan yang cukup kuat untuk aku jelaskan kepada semua yang bertanya mengapa.

PROLOG

Oktober 2011
Pernah aku nyatakan dalam entri sebelum ini, aku mengalami threatened miscarriage. Suatu keadaan di mana ibu mengandung mempunyai komplikasi awal kehamilan, atau istilah hariannya, turun darah. Alhamdulillah, Allah meringankan ujianku, sewaktu usia kandunganku 2 bulan, aku bebas dari komplikasi tersebut.
Aku menjalani kehidupan yang penuh bahagia sebagai seorang bakal ibu. Pelbagai angan-angan mewarnai kotak fikiranku :-
  • Nama apa yang sesuai untuk baby?
  • Jantina baby lelaki ke perempuan?
  • Nak beli babycot warna apa?
  • Sakit tak bersalin?
  • Baju mengandung nak cari kat mana?
  • Muka baby nanti ikut muka aku ke muka Faizol? 
Dan pelbagai lagi pertanyaan yang bertalu-talu singgah di mindaku. Tersenyum sendirian bila mengenangkan. Betapa terujanya aku diberi kesempatan oleh Allah swt untuk memegang status ibu mengandung. Terasa diri ini bertuah seketika. Majalah keibubapaan PaMa menjadi teman setiaku kini. Aku juga mula mengamalkan surah-surah yang dianjurkan kepada bakal ibu setiap kali usai solat. Pemakanan ku jaga rapi. Vitamin juga tidak aku lupakan. Semuanya berjalan begitu indah sekali. Suamiku, Faizol juga begitu teruja bakal bergelar bapa. Beliaulah yang bertanggungjawab melayan kerenahku yang suka memesan pelbagai jenis menu makanan yang aku idamkan semasa beliau dalam perjalanan pulang dari bertugas. Sekejap Yong Tau Foo lah, sekejap Kuehteow Kungfu lah, sekejap Nasi Goreng Thai lah..Macam-macamlah! Indahnya bergelar ibu!

November 2011
Kandunganku kini mencecah 4 bulan, atau precise sikit, 16 minggu. Buku merah ibu mengandung juga telah ku daftar, pemeriksaan berkala ke klinik kesihatan juga tidak pernah ku abaikan. Sentiasa ku ingat tarikh-tarikh temujanji yang telah ditetapkan oleh pihak hospital. Aku juga mula berangan-angan ingin mempost statusku di Facebook memaklumkan aku sedang hamil seperti mana rakan-rakanku lakukan. Namun suamiku menghalang, katanya baru 4 bulan. Masih baru. Tunggulah beberapa bulan lagi ujarnya. Lalu aku menurut saja.

Pagi Ahad itu aku ke sekolah seperti biasa. Oh ye, mesti ada yang terfikir, Ahad pun sekolah? Bukan begitu. Bagi negeri Terengganu, Kelantan dan Kedah, hari Ahad merupakan hari pertama bekerja, sama seperti Isnin secara umumnya. Aku masih ingat baju kurung yang ku pakai hari itu. Warna kuning cerah sedondon dengan tudung. Langkahku bersemangat seperti biasa. Kelas-kelas ku berjalan lancar seperti sediakala.

Tengah hari itu, semasa aku menyiapkan tugasan, aku perasan suatu kelainan yang aku alami ketika itu. Bergegas ke tandas, aku mendapati undergarment ku basah dengan sejenis cecair jernih, cair seperti air. Apa benda ni? Air ketuban ke? Eh takkan lah air ketuban. Baru 4 bulan, getus hatiku. Namun suatu perasaan aneh menyelinap dalam diriku yang sukar aku jelaskan di sini. Apa yang pasti, aku tahu ada sesuatu yang tidak kena. Tugasanku tinggalkan sebentar, lalu aku pulang semula ke kuarters. Dalam perjalanan pulang, aku dapat merasakan cecair tersebut keluar beberapa kali. Aku segera menghubungi suami dan menceritakan segalanya. Lalu kami ke Pusat Perubatan Intan sekali lagi untuk pemeriksaan lanjut.

Doktor perempuan yang bertugas hari itu berusia linkungan 40-an. Tinggi lampai orangnya. Wajahnya tidak menunjukkan sebarang reaksi ceria sewaktu memeriksa kandunganku dan aku tahu itu petanda kurang baik.

Kandungan puan nampak seperti kekurangan air ketuban. Tapi saya tak dapat nak sahkan disini. Saya akan sediakan surat rujukan untuk puan ke hospital besar dengan segera. 

Seperti ada yang menusuk-nusuk jantungku ketika itu. Bulu romaku mula meremang. Darah kurasakan begitu hangat menjelajah seluruh tubuhku. Tepat sekali jangkaanku! Benar, cecair itu air ketuban. Istilah Bahasa Inggeris dipanggil amniotic fluid. Ku gagahkan diri melihat suami yang sedari tadi hilang seribu bahasa. Tergamam seketika mendengar penjelasan doktor. Sayu jiwaku melihat dia dalam keadaan itu. Apakah mungkin kami bakal merasai sebuah kehilangan?

Kami ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk pemeriksaan lanjut. Lanjutan dari pemeriksaan doktor, aku disahkan mengalami komplikasi PPROM (Preterm Premature Rupture of Membranes) seawal usia kandungan mencecah 16 minggu. Tidak pernah sekalipun dalam hayatku mendengar kes seperti ini. Aku sedia maklum ada kes-kes kehilangan air ketuban sebelum waktunya, tetapi tidak seawal ini!

Dua malam aku berkampung di HSNZ ditemani ibu mentuaku. Kulihat beliau tidak putus-putus berzikir dan berdoa kepadaNya memohon kesejahteraan bayi ini. Menurut kata doktor, komplikasi sebegini memungkinkan bayi dalam kandungan mempunyai masalah paru-paru yang belum cukup matang untuk berfungsi dengan baik apabila lahir kelak. Selain itu, PPROM juga boleh menyebabkan kelainan kepada anggota tangan dan kaki berpunca daripada kekurangan air ketuban yang akan membantutkan pergerakan bayi dalam kandungan. Bayi juga berpotensi untuk lahir lebih awal dari yang dijadualkan. Bayi-bayi sebegini dinamakan bayi pramatang. Bayiku ini boleh lahir bila-bila masa sahaja kerana PPROM meninggikan risiko contraction lebih awal. Sekiranya bayiku lahir sebelum 28 minggu, maka peluang survivalnya sangat rendah. 

Terdiam aku di situ. Apa lagi yang bolehku harapkan dengan kehamilan ini? Aku masih mempunyai baki12 minggu untuk sampai ke tahap selamat. Dan 12 minggu itu bukan suatu jangka masa yang pendek. Apa saja boleh terjadi.

Sewaktu mendengar penjelasan doktor, aku tidak memberi sebarang reaksi. Aku seolah-olah putus asa dalam hidup. Ya, diri ini sangat menginginkan seorang zuriat sejak hari pertama bergelar seorang isteri. Syukur aku telah diberi kesempatan olehNya untuk hamil selama 4 bulan dan kini aku berdepan dengan sebuah teka-teki yang tidak berjawapan. Aku sama sekali tidak tahu apa nasib bayi ini. Apakah aku sempat melihat dan memeluknya seperti mana ibu-ibu yang lain?

Kehidupanku kini terasa begitu kosong. Majalah PaMa yang sering ku belek kini diam di situ tidak berusik. Malah mendatangkan perasaan benci berbaur hiba tatkala melihat si comel penghias kulit tersenyum polos kepadaku. Padaku senyuman itu sungguh menjengkelkan! Aku benci! Benci! Tapi pada siapa harus ku benci? Aku keliru dengan perasaanku. Aku marah bercampur kecewa lalu menghadirkan perasaan benci kepada diriku sendiri. Aku tidak mahu tersepit dalam situasi sebegini! Aku bakal kehilangan! Dan aku benci ketentuan itu!

Malam itu, setelah aku discharge dari HSNZ,  aku berfikr panjang. Doktor tidak dapat melakukan apa-apa rawatan kerana kandungan pada usia 16 minggu terlalu fragile. Tidak banyak yang boleh diusahakan pada waktu ini selain menunggu sehingga kandungan mencecah 7 bulan atau 28 minggu. Bahkan sekiranya bayiku dikeluarkan pada usia ini, peratus survival hanya 2%. Beratnya pada waktu itu hanya 300g. Risikonya terlalu tinggi. Aku tidak sanggup.

Mengetahui keadaan bayi yang sangat kritikal pada waktu ini,aku mengambil keputusan untuk pulang sahaja ke rumah abah dan mama di Klang. Apa saja boleh terjadi ketika ini dan aku tidak mahu ditinggalkan keseorangan di rumah. Suamiku menurut kehendakku. Ya, beliau juga punya tuntutan tugas yang harus diselesaikan. Mana mungkin bercuti terlalu lama. Aku faham dengan situasi itu dan tidak mahu membebankannya dengan keadaanku kini. Kebetulan pada waktu itu cuti semester akhir telah bermula. Jadi aku tidak perlu memohon cuti daripada Pengetua. Ku harapkan ini merupakan keputusan yang terbaik untuk kami. Aku tak punya pilihan. 

   Gambaran kandungan berusia 16 minggu. Anakku kehilangan amniotic fluid semuda ini
( sumber : Google Images )


Disember 2011-Januari 2012
Sudah sebulan berlalu sejak aku tinggal bersama abah dan mama di Klang. Perutku sudah mula menampakkan rupanya. Dalam waktu itu juga, air ketubanku tidak pernah berhenti mengalir sedikit demi sedikt. Aku terpaksa memakai pad untuk melindungi pakaianku dari terus lencun dibasahi cecair tersebut. Aku juga dilarang untuk melakukan banyak pergerakan kerana dikhuatiri bayi akan mudah dilahirkan pada waktu itu. Ku rasakan diri ini seperti mayat bernyawa. Tidak dapat melakukan apa jua pergerakan. Hanya terlantar di kamar menunggu mama membereskan segalanya. Mama dan abah lah yang banyak membantuku ketika ini. Segalanya dilakukan oleh mereka. Mama memakaikan baju, memakaikan telekung, menyuap makanan, menghantar makanan dan minuman, membancuh susu Anmum kepadaku, segalanya! Abah pula tidak pernah mengabaikan apa saja permintaanku. Bahkan sering berada di sisi mendengar segala luahan hatiku. Tidak ada keraguan lagi kasih dan pengorbanan seorang ibu dan bapa terhadap anaknya. Aku dapat rasakan kasih itu. Dan aku benar-benar faham kerana aku juga melalui situasi yang sama. Berkorban segalanya demi anakku. Walaupun dengan nyawaku sekalipun.

Masih ku ingat sewaktu aku mula-mula tiba dari Terengganu ke Klang. Kami terus ke salah sebuah hospital pakar perbidanan untuk merujuk kes ini kepada doktor pakar di sana. Manalah tahu, kalau-kalau mereka punya cara untuk mengubati. Sekadar mencuba, aku rasa tiada salahnya.  Setelah kandunganku diperiksa, ini jawapan doktor pakar tersebut :-

Dalam amniotic sac you langsung tak ada air. Baby langsung tak bergerak sebab lack of space. Sekarang ni baby sedang struggle untuk hidup. You see, baby tak boleh hidup tanpa air ketuban. Kalau I tengok macam ni, rasanya 10% saja chance dia. I rasa macam ni, Farrah, Faizol, you balik, bincang dengan ibu bapa, macam mana, sebab kalu macam ni, bila-bila masa saja baby boleh keluar. Sekarang ada dua pilihan kita, sama ada you nak tunggu baby keluar sendiri atau you nak kita induce untuk keluarkan baby. Major problem will happens if you demam. Kalau you demam, temperature naik, baby berada dalam keadaan bahaya sebab infection will straight away affects the baby since there's no amniotic fluid to protect him/her.

Kami terkedu mendengar penjelasan panjang lebar oleh doktor pakar berbangsa India dan bercermin mata itu. Ku kira beliau telah menerangkan kondisi bayi dengan begitu detail dan tinggalkan kami dengan dua pilihan, menunggu bayi ini lahir dengan sendirinya atau memaksa bayi ini lahir dengan cara induce. Kami sedia maklum, kandungan yang hanya berusia 16 minggu tidak mungkin dapat diselamatkan sekiranya dilahirkan pada waktu itu.

Apa pilihan yang kami ada? Kami enggan kedua-duanya! Kami mahu anak kami sihat seperti bayi-bayi lain. Namun sebagai seorang manusia yang sentiasa diuji, kami terpaksa akur dengan ketentuan Ilahi. Aku terpaksa memilih.
Aku tidak sanggup melihat anak ini dilahirkan dengan paksaan. Aku tidak sanggup. Bayi ini sedang berjuang untuk secebis kehidupan, tegakah aku merobek perjuangannya? Tegakah aku melenyapkan nyawa seorang khalifah kecil yang berhempas pulas meraih sebuah kehidupan? Aku sama sekali tidak sanggup untuk memperjudikan nyawanya. Terlalu besar risikonya.

Dengan perbincangan susulan bersama doktor pakar, kami memutuskan untuk terus membantu bayi ini memperoleh sebuah kehidupan. Kami pasti dengan keputusan ini. Sekiranya bayi ini tidak ditakdirkan untuk bersama kami, kami redha. Tapi kami sekali-kali tidak akan menjalankan prosedur induce untuk mengeluarkan bayi ini. Biarlah bayi ini berjuang hingga ke saat akhirnya. Itu tekad kami.

Lamunanku terhenti disitu apabila mula merasakan tendangan-tendangan halus yang bertalu-talu dari dalam rahimku. Alhamdulillah, mujahid kecilku masih lagi bertarung untuk kehidupannya. Masih bernyawa. Masih aktif melakukan pergerakan setiap hari. 

Aku masih lagi berada di kediaman ibu bapaku meneruskan kehamilan ini dengan penuh teka-teki. Sesi persekolahan 2012 juga telah lama berlangsung. Namun demi menyelamatkan bayi ini, doktor telah memberikanku sijil cuti sakit selama 1 bulan untuk mendapatkan rehat secukupnya di rumah. Masakan aku dapat bergerak aktif seperti dulu sedangkan mahu mengubah posisi terlentang ke posisi mengiring sahaja sudah cukup menjadi penyebab pengurangan air ketuban ini.

Detik-detik terlantar di rumah menjadikan aku seorang yang pemurung, pemarah, cemburu, dan kecewa dengan segala yang berlaku. Mama, abah dan suamiku, Faizol merupakan insan-insan yang tidak putus-putus memberikan semangat untukku walaupun sikapku yang keras kepala ini enggan menerima pujukan dan kata-kata semangat mereka. Aku masih lagi pesimis dengan diriku. Ku kira diriku ketika itu berada dalam keadaan yang sangat tertekan memikirkan nasib si kecil ini. Segala-gala yang terpampang di depan mata pasti akan ku kaitkan dengan keadaan diriku dan bayi ini. Bahkan aku langsung tidak mahu berhubung dengan dunia luar. Aku benci melihat akaun Facebook ku yang penuh dengan gambar-gambar bayi rakan-rakanku yang baru melahirkan. Tak kurang juga rakan-rakan yang sarat mengandung mengabadikan memori saat-saat menyarungkan pakaian wanita hamil ke dalam akaun mereka. Sungguh, sungguh menjengkelkan!!

Drama-drama di televisyen juga memberikan impak besar kepada emosiku ketika itu. Terutamanya kisah-kisah yang berkaitan ibu dan anak. Pasti luluh hatiku melihat kecomelan dan keletah anak-anak itu. Aku masih ingat, pada satu ketika, aku menangis seorang diri di dalam bilik apabila melihat sebuah iklan susu kanak-kanak, Dumex Dugro berlatar muzik lagu Man Bai, 'Kau Ilhamku'. Iklan ini sangat menyentuh jiwaku apatah lagi pada ketika ini aku baru sahaja mengetahui jantina bayiku ini. Seorang mujahid, sama seperti kanak-kanak di dalam iklan ini :-


Dumex Dugro Sayang Mama Full Version
(sumber : You Tube)
                                                            

Apakah aku diberi peluang untuk mewarna kehidupan bersama dengan mujahidku? Apakah aku mampu melihatnya gembira bersama kawan-kawan, melambai-lambaikan tangan kepadaku sambil mencium pipiku sebelum ke sekolah? Apakah aku diberi peluang untuk membantunya membuat kerja rumah, menyediakan pakaian untuknya ke sekolah, menyediakan sarapan berkhasiat untuknya, melihatnya beraksi comel di konsert akhir tahun, masihkah wujud peluang itu untukku? 

Aku juga tidak punya jawapan.


 6 Januari 2012
Petang itu aku dimasukkan ke wad perbidanan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) atas saranan doktor pakar perbidanan swasta yang merawatku selama ini. Berikut merupakan ulasannya. 

Farrah, I rasa you kena daftar ke hospital besar. Sebab kes you ni bila-bila masa saja baby boleh dilahirkan. Lagipun sekarang ni usia kandungan sudah 26 minggu, lagi 2 minggu genap 7 bulan. Masa tu sangat bahaya kalau you duduk rumah sebab kita tak tahu bila masanya baby ni akan keluar. I tengok dalam scan air masih kurang, tak mencapai tahap optimum pun. So it's a must for you to register in GH. We here don't have the proper equipments for a premature baby. Baby kalau lahir sekarang perlu pakai ventilator untuk membantunya bernafas. Hospital swasta tak ada semua ni, kalau ada pun di hospital-hospital swasta yang terkenal. Tu pun very costly. Maybe puluhan ribu untuk 1 hari. You pergi daftar cepat, kalau boleh hari ini.


Begitulah bermulanya kehidupanku sebagai seorang penghuni wad 1D, wad perbidanan. Kadangkala aku sendiri seakan tidak percaya bayiku ini mampu bertahan sehingga kini tanpa air ketuban. Selama 2 bulan lamanya bayi ini bertarung nyawa menginginkan sebuah kehidupan. Airmata ini tidak pernah berhenti mengalir mengenangkan kesungguhannya dan kecekalannya. Pada waktu itu, aku mula menanam niat, sekiranya bayi ini lahir, akan kunamakan beliau dengan nama yang indah bercirikan kekuatan dan kecekalan. Itu janjiku pada bayiku nan satu ini.

Menjadi salah seorang penghuni wad perbidanan ini meletakkan aku ke suatu situasi yang cukup berbeza. Aku dipertontonkan dengan drama pelbagai ragam suka duka para ibu di sini. InsyaAllah, akan kutitipkan pengalamanku secara terperinci di sini dalam entry yang akan datang. InsyaAllah.

Seperti biasa, amniotic fluid ini akan terus mengalir setiap hari. Telah menjadi rutinku setiap hari untuk memaklumkan kepada para jururawat setiap kali menukar pad supaya mereka dapat menganggarkan jumlah pengeluaran cecair tersebut. Setiap minggu juga aku dijadualkan untuk berjumpa doktor pakar perbidanan, Dr Ramesh untuk melihat perkembangan mujahid ini. Dan pada setiap pertemuan itu, indeks air ketuban (Amniotic Fluid Index) tidak pernah melonjak ke tahap normal. Sentiasa pada konfigurasi 0 atau 1, menandakan kandungan air ketuban ini terlalu sedikit, dan itu membawa maksud bayiku berada dalam keadaan bahaya.

Selama 42 hari aku menjadi penghuni wad ini. Selama itu juga aku belajar erti pengorbanan. Selama itu juga aku melihat jerih payah mama membawa bekal nasi setiap hari untukku, memastikan aku berada dalam keadaan sihat. Tempoh itu juga lebih mendekatkan aku dengan Maha Pencipta, menadah tangan memohon doa kesejahteraan anak yang kukandung ini. Solat tidak pernah ku abaikan walaupun dalam keadaan terbaring di katil pesakit. Al-Quran dan Yassin tidak pernah lekang meniti di bibirku. Sungguh, pada ketika ini, aku tidak fikirkan apa-apa lagi. Aku lupakan seketika tentang dunia. Aku hanya mahu anakku. Jauh di sudut naluri keibuanku, aku tahu, mujahidku ini mahu melihat dunia. Jika tidak, masakan beliau telah berjaya melaluinya sejauh ini dan aku sungguh-sungguh mahu membantunya dengan apa jua cara sekalipun.

15 Februari 2012
Hari ini merupakan temujanjiku bersama Dr. Ramesh sekali lagi. Usia kandunganku sudah mencecah 32 minggu. Alhamdulillah, sehingga kini, jantung bayiku masih lagi berdenyut dan pergerakannya masih lagi aktif seperti sediakala. Bayi ini juga dapat melalui 16 minggu yang lalu dengan penuh kecekalan. Oh betapa aku kagum denganmu sayang! Alhamdulillah, segala apa yang berlaku adalah dengan kehendak Allah jua.

Para doktor merencanakan supaya aku menyimpan kandungan ini maksimum sehingga 34 minggu. Menurut doktor, pada usia ini, kandungan berada pada tahap selamat dan bayiku ini harus dikeluarkan segera, jangan ditunggu-tunggu sehingga 38 minggu. 34 minggu sudah memadai untuk menyelamatkannya. 

Walau bagaimanapun, temujanjiku pada petang itu bersama Dr. Ramesh mencatat suatu rencana yang di luar jangkaan. Amniotic Fluid Index ku pada hari itu memberi bacaan 0, menandakan amniotic sac kering tanpa air ketuban. Ini kata-kata Dr. Ramesh kepadaku.

You see, this sac has no amniotic fluid at all and  I don't think waiting until 34 weeks is a good decision. We shouldn't take the risk. The baby should be delivered at once. As for your case, you can try normal delivery if you want. The baby is in the right position for delivery. But, it's slightly risky as you can see, there is no water, meaning the baby is not protected at all. The baby might be stress out and this can hurt him. Or another choice, we can prepare a cesarean method for you, if you agreed. It is much safer for the baby. Which is your choice?

Aku tergamam. Diam di situ kehilangan kata-kata. Bersalin sekarang?? Aku sama sekali belum bersedia! Cuba mencari kata-kata sesuai untuk membalas pertanyaan doktor pakar itu. 

Which is the best for the baby, doctor? 

Doktor itu tersenyum lalu berkata,

Cesarean is much safer for the baby. But it's up to you. Some women refused to undergo cesarean due to the complicated treatment after the birth.

Ah, aku bukan tergolong dalam kelompok itu. Aku sanggup lakukan apa saja untuk bayi ini. Tidak menjadi suatu masalah untukku dalam soal penjagaan yang rumit selepas melahirkan melalui cara pembedahan. Bayi ini perlu diselamatkan dengan apa jua cara sekalipun. Anakku sudah cukup tabah mengharungi saat-saat dalam rahim yang penuh kesukaran hidup tanpa air ketuban yang mencukupi.

 We'll go for Cesarean, doctor. I'm very sure.

Maka, itu yang kupilih untuk menyelamatkan bayi ini. Melahirkan secara pembedahan bukan suatu yang mudah untukku tempuh. Ramai yang mengelak untuk melahirkan secara pembedahan atas faktor-faktor tertentu. Namun, untuk seorang ibu yang terdesak sepertiku, kesakitan, kesusahan, namakan saja apapun, aku sanggup demi anak ini.

Tarikh sudah dipilih untuk prosedur tersebut. Tanggal 17 Februari 2012, aku bakal melahirkan bayiku. Aku tahu, apa saja boleh berlaku pada bayi yang dilahirkan pramatang. Walau apa pun yang bakal berlaku, aku terima ketentuanNya dengan penuh ikhlas. Sekurang-kurangnya, aku membenarkan si kecil ini membesar dalam rahimku sehingga ke saat terakhir. Dengan izin dariNya, aku dapat memberinya peluang untuk hidup dalam rahimku selama 8 bulan. Itu sudah memadai bagiku untuk merasai bagaimana bahagianya mengasihi seorang zuriat. Aku pasrah dengan rencanaNya.


17 Februari 2012, 7.00pm
Aku merenung bilah-bilah kipas yang berputar seragam di siling kamar wad ini. Sunyi. Hanya sesekali kedengaran suara bayi-bayi yang baru dilahirkan yang lapar meminta susu daripada ibunya. Bahagia aku melihat panorama itu. Lalu aku cuba berangan meletakkan diriku ini dalam watak mereka. Bagaimanakah rasanya menatap wajah polos seorang anak milik kita sendiri? Bagaimanakah rasanya menyusukan seorang anak? Bagaimana perasaan ketika melahirkan? Aku benar-benar ingin tahu.

Pada hari itu, semua berada di sisiku untuk memberikan sokongan, di samping untuk menyambut kelahiran bayi ini. Terima kasih ku ucapkan kepada suami, abah dan mama, ibu dan bapa mentua, adik beradik ipar serta anak saudaraku atas semangat yang kalian berikan untukku di saat-saat terakhir sebelum aku dibawa ke dewan bedah.

Tepat jam 7.10 malam, seorang jururawat memanggilku dan memaklumkan bahawa para doktor serta pasukannya di dewan bedah sudah bersedia untuk menerimaku sebagai patient terakhir mereka. Sebenarnya aku dijadualkan untuk dibedah pada jam 10 pagi, tetapi dek kerana terlalu banyak kes-kes kecemasan menyebabkan pembedahan ku jauh tertangguh sehingga ke jam 7.00 malam.

Puan, kita bergerak sekarang.

Aku mengangguk. Sekilas aku memandang wajah semua yang ada.

Doakan Fa.

It saja yang mampu ku ucap. Demi Allah, aku tidak pernah segementar ini. Aku telah siap menyarungkan pakaian putih khas untuk pesakit pembedahan. Aku juga perlu memakai penutup kepala yang khusus. Jururawat memintaku meminum sejenis minuman yang sangat masam sebelum ku ditolak ke dewan bedah. Erkkk! Air apa tu??? Masam betul!  Berpinar sebentar mataku. Rupanya minuman itu untuk mengelakkan sebarang masalah muntah memandangkan aku telah diarahkan untuk berpuasa pada hari ini. 

Sekilas aku sempat memandang suamiku. Dia tersenyum dan mengingatkan aku supaya banyak bersabar dan berdoa kepada Allah swt. Sungguh, aku tak sanggup melihat wajahnya. Hiba rasanya hati ini. Bertambah hiba bila mengingatkan nasib anak ini yang masih dalam teka teki. 

Sesampainya di dewan bedah, sepasukan yang terdiri daripada doktor perbidanan
(obstetrician) ,doktor bius (anethesiologist), doktor bayi (paedeatrician) dan para jururawat, telah bersedia untuk menjalankan prosedur pembedahan Cesarean. Dr Ramesh sendiri akan mengetuai prosedur tersebut. Pergerakan ahli pasukan itu sungguh pantas dan cekap. Hampir sama dengan apa yang pernah ku tonton dalam siri-siri perubatan Hollywood- ER dan Grey's Anatomy. Ya, kini Malaysia juga punya pasukan perubatan yang cukup cekap, pantas dan efisyen. Bangga aku menjadi anak Malaysia.

Prosedur dimulakan dengan membius separuh daripada badanku, dari pinggang ke bawah. Aku diminta untuk duduk bersila di atas operating table sambil perlu memeluk sebuah bantal yang disediakan. Doktor bius tersebut menyuntik ubat bius di sepanjang tulang belakangku. Argghh! Sakit! Terhincut sedikit tubuhku menahan sakit. 

Tahan sikit ye puan. Jangan angkat bahu.

Aku mengangguk dalam kesakitan. Bantal ku peluk kemas sambil sambil menangis.

Okey, settled! Patient's ready for the operation!

Aku dapat merasakan saraf-saraf di abdomen bawahku seolah-olah mati derianya. Kebas. Aku diminta untuk berbaring dan sebuah alat pengesan denyutan jantung dipasang pada jariku. Mesin pengesan nadi mula menjalankan tugasnya. Tit, tit, tit... mesin berbunyi menandakan denyutan jantungku telah dapat dikesan oleh alat tersebut. Bantuan oksigen juga diberikan padaku sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya aku memerlukannya kelak. Suatu tabir kain dipasang dihadapanku bagi menghalang prosedur daripada dilihat olehku. Ah, siapalah yang  sanggup untuk melihat semuanya! Kalau boleh, aku tidak mahu sedar semasa prosedur dilakukan. Mataku dipejamkan rapat-rapat. Hanya kedengaran bunyi alat-alat pembedahan berdenting dan berlaga antara satu sama lain.
Laailahailla anta subhanaka inni kuntum minazzolimin

Puan, sekejap ye, kita nak keluarkan baby.

Apa?? Dah siap dah?? Rasanya tak sampai 15 minit sejak prosedur bermula dan kini mereka ingin mengeluarkan zuriatku! Allahuakbar! Getaran hatiku kian kuat dan nafasku tersekat-sekat menahan debar.

Jururawat yang berkata itu tadi menolak-nolak kuat perutku. Dan aku dapat mendengar jelas suara Dr. Ramesh di sebalik tabir itu.

Congratulations, you have a lovely boy! 

Aku hanya mampu tersenyum mendengar khabar gembira tersebut. Setitis airmata terbit dari kelopak mataku mengalir laju membasahi pipi. Syukur Ya Allah!

Seketika senyumku pudar lalu ku cuba amati dengan telilti. Hanya kedengaran suara para doktor sedang berbincang sesama sendiri. Agak sukar ku fahami bait kata-kata mereka. Laju dan penuh istilah perubatan. Tapi itu tidak menarik perhatianku. Dahiku berkerut cuba untuk mendengar lebih jelas. Di mana suara tangisan bayiku? Kencang degup jantungku.

Lalu dalam sayup-sayup di sebalik bunyi pelbagai alatan pembedahan yang sedang berlaga sesama sendiri, aku dapat kenalpasti suatu suara yang sangat halus. Hampir tidak kedengaran. Seolah tersedak-sedak. Ya, itu suara bayiku. Hatiku mula gelisah. Mahu sahaja aku meluru ke arahnya dan melihat sendiri keadaannya. Mengapa begitu sekali tangisannya?

Selesai prosedur pembedahan, Dr. Ramesh sempat bertemu seketika denganku. Pada ketika itu, aku masih lagi lemah dan belum lagi dihantar pulang semula ke wad.

Farrah, kita dah selesai operation. It was quite a success. Tapi baby you kena terus hantar ke wad sebab sesak nafas. Anyway, don't worry, the paeds will take care of your baby. You rest dulu ye.

Kaku aku disitu. Sudah kujangka ini akan berlaku. Sudah terlalu lama anakku kehilangan air ketuban.Selama 4 bulan si kecil itu bertarung untuk melihat dunia ini tanpa sebarang air di dalam kantungnya. Sudah tentu sedikit sebanyak ini akan mengganggu sistem pernafasan dan  fungsi paru-parunya. Tidak syak lagi.

Namun keadaanku pada ketika itu terlalu lemah tidak membenarkan aku untuk bertanya lebih lanjut. Hanya berupaya menggangguk dan mengucapkan terima kasih kepadanya atas usaha dan penat lelah demi menyelamatkan mujahidku.

                                                             *         *         *        *


Suatu rengekan halus mematikan lamunanku di situ. Oh, Faiq dah lapar agaknya. Bergegas aku meninggalkan lappy lalu menyusukan permata hatiku itu.

Sambil menatap wajahnya dengan penuh kasih dan merenung sepasang matanya yang bundar, aku tidak pernah berhenti berdoa kepada Ilahi agar diberi kesempurnaan kesihatannya dari sehari ke sehari, agar dia terus membesar sihat dan kuat, agar dia menjadi seorang cahaya mata yang soleh dan mendengar kata, agar dia dapat berdikari dalam mengemudi kehidupannya kelak dan agar dia terus dilindungi Allah dari sebarang masalah kesihatan yang sering menjadi kebimbangan besar kepadaku. Amin.

Pengalaman membawa Faiq di dalam rahimku memberikan impak yang sangat signifikan dalam hidupku. Membawa kehidupanku ke suatu paradigma yang lebih bermakna. Meletakkan aku dalam situasi terdesak dan dari situlah aku belajar erti sabar dan cekal. Mengambil iktibar dari ketabahan jiwa seorang Faiq Aqwa sewaktu dia masih kukuh membesar dalam rahimku. Menjadikan aku lebih kuat dalam menghadapi hari-hari esok yang penuh tanda tanya.

Aku tak punya kesempatan untuk merakamkan detik-detik indah sewaktu mengandungkan Faiq. Bahkan itu tidak pernah terlintas dalam fikiranku ketika itu. Padaku, yang lebih penting adalah bagaimana untuk menyelamatkan nyawanya. Bagaimana untuk memastikan dia terus sihat dan membesar dalam rahimku. Setelah melalui liku-liku perjuangan ini, aku tidak lagi terfikirkan hal-hal remeh yang sering menjadi omongan dalam kalangan ibu-ibu mengandung di luar sana. Bagaimana nak dapatkan kulit putih untuk bayi, pantang orang-orang lama supaya tidak memakan makanan yang hitam seperti kopi dan kicap kerana kononnya dikhuatiri kulit anak menjadi  gelap, bla..bla..bla.. Semua itu tidak lagi penting bagiku. Aku juga tak punya koleksi baju mengandung dan tidak pernah berpeluang menggayakannya sewaktu tempoh itu. Namun aku bahagia. Bahagia melihat Faiq membesar dengan penuh kecekalan walaupun keadaan dalam rahimku serba kekurangan.

Buat ibu-ibu di luar sana, bersyukurlah anda masih berupaya merasai detik-detik bahagia sewaktu hamil. Masih berupaya ke sana ke mari tanpa perlu dipapah oleh sesiapapun. Masih aktif menjalankan tugas seharian tanpa ada apa-apa masalah. Masih boleh pergi bercuti membawa si kecil dalam kandungan dengan rasa teruja dan seronok. Bersyukurlah dan hargailah momen-momen tersebut.

Pasti ada yang tertanya-tanya bagaimana keadaan Faiq setelah dilahirkan. Bagaimana dia mengemudi hari-hari pertamanya tanpa bergantung lagi kepadaku. Bagaimana dia mengharungi segala kepayahan dalam usaha mengecap sebuah kehidupan yang sempurna seperti bayi-bayi lain. Akanku titipkan kisah perjuangannya kelak dalam entry yang seterusnya. InsyaAllah.

Faiq sayang, teruskan kecekalanmu. Terima kasih kerana menjadikan mama seorang yang lebih menghargai dan mengasihi. Sayang mama padamu tak pernah berpenghujung.

                                           
 Semoga perjuanganmu menjadi inspirasi kepada semua. Mama bangga denganmu.
( sumber : You Tube)
                                         


Di sini merupakan sambungan entri ini.
































25 comments:

  1. Saya baca entry ni di perhimpunan pagi. Khusyuk sangat sampai tak sedar dah 1/2 jam berlalu. Mungkin saya terlalu menghayati cerita Falina. Sayu sangat bila baca tentang perjuangan Faiq Aqwa, sekuat namanya. InsyaAllah Faiq akan terus kuat untuk hari-hari mendatang. Sampaikan ciuman kasih sayang dari saya untuk baby Faiq ye Fa ;").

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ummi, sebab ummi la saya nekad untuk menulis. Berhari-hari saya ambil untuk siapkan post ini. Cuba mengingat kembali setiap momen tersebut. Mungkin taklah sedetail apa yang saya alami, tapi over all, ini lah pengalaman saya sedikit sebanyak sewaktu hamil dan melahirkan. Terima kasih sebab sudi membaca. Looking forward to read yours too. :) Love and hugs!

      Delete
  2. Farah, mengalir sekejap air mata akak.. Farah mmg kuat.. Proud of u sis :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kak waheeda, thanks sebab sudi membaca. Ya, sebenarnya bukan mudah untuk fa untuk lalui semua ni. Farah belum cukup kuat kalau nak dibandingkan dengan ibu-ibu yang lebih diuji di luar sana. Terima kasih atas sokongan akak. :)

      Delete
  3. Farrah...sedihnya...mmg naluri ibu mudah tersentuh..rose takleh tahan diri dr menangis..cuba membayangkan saat2 yg fa lalui..dan alhamdulillah siapa sangka sekarang faiq dh membesar dgn baik...syukur ya Allah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Rose, thanks rose sebab sudi membaca. Ya, fa faham perasaan rose. Hanya ibu je yang faham perasaan seorang ibu. Apa yang fa lalui memang cukup perit untuk fa telan semua. Alhamdulillah, mudah-mudahan semoga Faiq, baby Rose dan anak-anak yang lain sentiasa sihat dan menjadi anak-anak yang soleh/solehah. Amin :)

      Delete
  4. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
  5. Farrah, moga Allah sentiasa memberi Farrah & keluarga kekuatan yg luar biasa. Ain doakan Faiq membesar dgn sihat menjadi anak yg soleh. Dugaan Fa mmg berat..dan tahniah kerana berjaya mengharunginya walaupun ada ketikanya Fa rebah. Tetapi Fa bangun dan kembali kuat untuk Faiq. *Hugggsss*

    Terima kasih kerana berkongsi kerana sedikit sebanyak ia menginsafkan Ain juga.

    Moga Fa terus tabah dan cekal:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ain, lama sangat kita tak keep in touch! And I hope it's not too late to wish you Selamat Pengantin Baru. Actually, I'm looking for your blog for quite some time, ni baru jumpa. Kalau Ain tak comment, memang Fa tak tau mana nak cari blog Ain.

      Alhamdulillah, terima kasih banyak kerana sudi mendoakan Fa sekeluarga. Fa sebagai manusia biasa tak lepas dari perasaan lemah dalam menghadapi dugaan-dugaan Allah. Mujur ada keluarga dan kawan-kawan yang banyak membantu.

      Keep in touch! By the way, Ain mmg tinggal kat Aussie ke sekarang?

      Delete
    2. Thanks for the wish Faa:)

      Semoga terus kuat & tabah mengharungi dugaan hidup. InsyaAllah, kita dapat memperbaharui & menguatkan iman berkat ujian Allah. Moga kita sentiasa jadi hamba yang bersyukur. Ameeen.

      Tak adalah tinggal kat sana. Travel back and forth btwn M-A:)

      Keep in touch too and Selamat berRamadhan, Faa & family:)

      Delete
  6. Fa,

    Kehidupan tanpa dugaan adalah kosong..dugaan mejadikan kita lebih kuat dan tabah menghadapi hari2 muka. Anugerah ALLAH didatangkanNYA dalam beberapa bentuk, limpahan kekayaan buat menduga keegoan kita, kecapaian impian buat menduga keakuan kita, kesihatan yang mulus buat menduga keinsafan kita..

    Anak adalah anugerah yang tak ternilai yang hanya ALLAH yang dapat mencipta, menghidupkan, menyempurnakan atau mengurangkan kesempurnaannya..malah jika ada kekurangan dalam kesempurnaan itu juga merupakan satu KESEMPURNAAN ALLAH yang perlu diterima dan difahami sebagai Taqdir, Qada & Qadar yang mempunyai Hikmah tersendiri..

    Bersyukurlah dengan pemberiannya walaupun pahit atau getir kerana disitulah terletaknya Keredhaan kita sebagai umatNYA...Wallahualam

    LUV U & LITTLE MUJAHID, FAIQ AQWA

    ABAH..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Abah,

      Selama 27 tahun Fa hidup bersama abah dan mama. Dan dalam waktu itu, abah dan mama banyak mengajar Fa erti kehidupan, dan seterusnya menjadi seorang Farrah Falina sebagaimana kini.

      Terima kasih di atas sokongan Abah selama ini. Abah sentiasa ada untuk Fa dan tak pernah meninggalkan Fa keseorangan. Never in my life!
      Kata-kata abah sentiasa akan Fa jadikan kekuatan dalam menyusuri kehidupan Fa sehari-hari.
      InsyaAllah, THANK YOU!

      p/s: Faiq is very-very-very lucky to have a fantastic grandfather like you! :)

      Delete
  7. Sangat tersentuh dengan kata-kata abah Fa. U're really lucky daughter kerana mempunyai ibu bapa yang sangat supportive. And you know what, Faiq is very-very-very lucky to have a fantastic mother like you! :)

    *Hugs*

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ummi, setiap parents nakkan yang terbaik untuk anak mereka. Rasanya kita sendiri dah lalui pengalaman tu, Fa pasti Ummi pun faham perasaan itu.

      Hahahaha~ thanks ummi, I'm learning to be one.

      *Hugs again*

      Delete
  8. sedih sangat bila baca...
    fa...macam mana nak jadi folower fa...
    rai pun sedang prgnt dan berdepan dgn beberapa komplikasi...cuma mungkin tak seteruk fa...
    apapun...fa mmg kuat...rai doakan fa sekeluarga akan sentiasa dibawah lindungan yang maha esa...

    ReplyDelete
  9. As-salam Zaira..
    Alhamdulillah, tahniah diucapkan atas pregnancy rai..

    Kita sebenarnya tak lepas diuji olehNya, cuma bagaimana kita diuji tulah yang berbeza.

    Fa memang dah lalui macam-macam pengalaman semasa mengandung, melahirkan dan membesarkan Faiq.

    Sebenarnya, Fa taklah sekuat mana, tapi fa dipaksa untuk menjadi kuat. Keadaan yang memaksa Fa untuk menjadi cekal.

    Terima kasih atas doa dan sokongan yang Rai berikan pada Fa. Fa sangat menghargainya. :)

    Blog Fa ni tak seberapa Rai. Sekadar nak berkongsi pengalaman je. Tapi InsyaAllah, berkenaan dengan follower tu, Fa akan tambah link untuk sape2 yang nak berminat. Thanks sangat2 sebab sudi baca post2 Fa. :)

    ReplyDelete
  10. Replies
    1. *Hugs again*

      Thanks Tasha.
      Sebenarnya pengalaman ini lebih dari apa yang boleh saya gambarkan dengan tulisan. Tapi sikit sebanyak, macam ini la keadaan saya beberapa bulan dulu.

      Just untuk share experience. Dan untuk menyedarkan diri saya sendiri untuk lebih menghargai apa yang saya ada sekarang. Thanks for reading.. :)

      Delete
  11. Assalamu'alaikum...

    MasyaAllah sedap nama.. Faiq Aqwa..

    I cried a few times reading this blogpost at different parts. Naura Johan gave me your link at my instagram account. I could relate in so many ways with your story but not all.. Because I'm still going through the process.. My water broke at 16 weeks jugak.. 59 days ago.. I've been in the hospital for 53 days already.. Alhamdulillah my Jibrael has been fighting strong inside of me.. Now dah 24 weeks.. Eventhough dah few times doctors thought i was about to go into labour since 1st week admitted to the hospital.. Its good to know ada survival story and similar story with me.. and in Malaysia too :) thank u so much for sharing your story..

    I shared my story as well on my blog last 20.12.2012. eventhough i still dont know whats gonna happen.. i can only pray to Allah for the best.. Do read my story pulak and let me know your thoughts.. Would really appreciate it especially from someone like you yang dah go through all the hardhips, and sgt similar cerita kita.. Keep in touch..

    Warmest regards, rnadiasabrina.

    Http://rnadiasabrina.blogspot.com

    ReplyDelete
  12. Salam kak fa.. saya jg mnglmi masalh olygo... kurg air ketuban.. kndungan sy 19 minggu... tpi bby blom gerak cuma jntung nya shj yg berdenyut.. saya ada di hospital skrg.. saban hari mnangis mngenangkn nasib anak dlm kndungn.. saya menangis baca cerita kak fa sbb saya sndri sedang alami nya... habis akal memikirkan keadaan baby dlm perut... doakan anak saya sekuat dan setabah faiq...

    ReplyDelete
  13. Tersentuh hati saya... menangis x henti sbb saya juga sedang alami pkara yg sama skrg.. skrg saya dihospital mnjalani rawatan dan pemerhatian doktor..kandungn baru 19 mnggu.. hanya Allah yg tahu apa dlm hati ni... doakan semoga anak saya sekuat anak kak fa.. segagah faiq.. saya pon nak peluk dia dgn tangan saya sndri...huhu

    ReplyDelete
  14. Salam kak fa.. saya jg mnglmi masalh olygo... kurg air ketuban.. kndungan sy 19 minggu... tpi bby blom gerak cuma jntung nya shj yg berdenyut.. saya ada di hospital skrg.. saban hari mnangis mngenangkn nasib anak dlm kndungn.. saya menangis baca cerita kak fa sbb saya sndri sedang alami nya... habis akal memikirkan keadaan baby dlm perut... doakan anak saya sekuat dan setabah faiq...

    ReplyDelete
  15. Salam kak fa.. saya jg mnglmi masalh olygo... kurg air ketuban.. kndungan sy 19 minggu... tpi bby blom gerak cuma jntung nya shj yg berdenyut.. saya ada di hospital skrg.. saban hari mnangis mngenangkn nasib anak dlm kndungn.. saya menangis baca cerita kak fa sbb saya sndri sedang alami nya... habis akal memikirkan keadaan baby dlm perut... doakan anak saya sekuat dan setabah faiq...

    ReplyDelete
  16. salam..isteri sy mgalami peristiwa yg sama..skg tgh admit kt HTAR msuk ari nie dh 4 ari..kndungan kembar dh 20 mggu tp salah sorng air ktuban btol2 krang slpas dr ramesh scan td..baby 2 2 heart bit msih ok..doakan isteri dan anak2 sy skuat dan stabah faiq..AMIN

    ReplyDelete
  17. Assalamualaikum....terima kasih atas entri ini. Saya baru mengalami pprom at 22 weeks malam tadi....sedih sangat :( Doktor arahkan saya to be on bed rest di rumah dan be on alert sbb ada 50-50 chances labor starts within 48 hours. Harap doakan kami ya....

    ReplyDelete