Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Alhamdulillah, hari ini merupakan hari pertama seluruh umat Islam di Malaysia menyambut ketibaan bulan kemuliaan- Ramadhan.
Alhamdulillah, aku masih lagi diberikan peluang oleh-Nya untuk terus menikmati detik-detik permulaan Ramadhan, dan aku berharap semoga aku juga akan diberi kesempatan untuk terus beristiqamah dalam menjalankan kewajipan dan ibadahku sepanjang Ramadhan ini.
Ramadhan membawa seribu keistimewaan dalam sejarah hidupku, di mana tahun lalu aku disahkan hamil sejajar dengan ketibaan bulan yang penuh barakah ini. Setelah sekian lama menantikan seorang cahaya mata, Allah menunaikan permintaan kami dengan mengurniakan rezeki ini semasa di bulan Ramadhan. Betapa cantiknya aturanMu, Ya Allah! Berita paling gembira dalam bulan yang penuh kesucian. AllahuAkbar...Sungguh indah pengalaman tersebut. Andailah boleh ku putarkan kembali waktu yang berlalu...
Benarlah dengan kenyataan bulan yang penuh rahmat, Ramadhan juga menjanjikan limpah dan kurnian-Nya yang tidak pernah berpenghujung. Cuma kita yang tidak menyedari betapa banyaknya nikmat yang diberikan oleh Yang Maha Esa. Ramadhan memberi peluang untuk kita melipatgandakan ibadah di samping mendapat ganjaran yang sangat tinggi oleh Allah swt. Hanya dengan melakukan kebaikan-kebaikan kecil, Allah menjanjikan pulangan yang mewah untuk hamba-hambaNya. Apatah lagi sekiranya kita mengerjakan ibadah-ibadah yang sememangnya dituntut olehNya. Pastilah berlipat ganda pulangannya. Masya Allah. Betapa beruntungnya kita sebagai hambaNya kerana sangat disayangi Allah!
Azamku untuk terus memperbaiki diri. Terus berusaha menjadi seorang yang terbaik untuk Tuhanku, suamiku, ibu bapaku, anakku, serta menjadi contoh positif kepada pelajar-pelajarku. InsyaAllah. Aku tahu, perubahan ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan. Namun, aku akan berusaha untuk ke arah itu. InsyaAllah, ada jalannya. :)
Aku hanya seorang insan yang tidak lepas dari melakukan kekhilafan yang berkali-kali setiap hari dalam sedar atau tidak. Sempena Ramadhan yang suci, aku di sini ingin memohon seribu keampunan kepada seluruh keluarga, sahabat handai, rakan taulan, rakan sekerja, dan masyarakat yang mengenali diriku yang penuh kelalaian ini andai kata aku pernah mengguris perasaannya atau sakiti hatinya. Ku pohonkan kemaafan dan semoga kita menjalani kehidupan yang baru tanpa sebarang dendam yang bersarang di hati. InsyaAllah.
Semoga Ramadhan kali ini memberikan kita hikmah dan rahmah yang tersendiri. InsyaAllah. InsyaAllah. InsyaAllah.
Selamat Beribadah, Salam Ramadhan.
(sumber : Google Images)
No comments:
Post a Comment