Sunday, 9 December 2012

Cinta Vs Hakikat

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Aku jarang mengutarakan topik ini, tapi malam ini, aku rasa aku ingin berkongsi sesuatu tentangnya.

CINTA

Klise kan? Sikit-sikit cinta. Buka tv tengok drama cinta. Tengok wayang filem cinta. Baca buku novel cinta. Angan-angan tentang cinta. Sebenarnya, cinta ni apa? 

Cinta sebenarnya fitrah. Sesiapa akan mempunyai rasa untuk disayangi dan dikasihi, begitu juga sifat ingin menyayangi dan mengasihi. Cuba perhatikan, bayi yang baru lahir, mengapa bayi akan berhenti menangis apabila dipeluk oleh seseorang? Kerana dia merasa disayangi dan dikasihi. Dia merasakan suatu perasaan yang selamat apabila berada dalam kalangan insan-insan yang rapat dengannya.

Tapi cinta ini juga kadang sangat menyakitkan. Kalau tak, takkanlah ada kes-kes bunuh diri, gantung diri, minum racun, sihir, santau dan sebagainya semata-mata untuk memuaskan nafsu amarrah yang bermaharajalela dalam diri? Sifat manusia ingin memiliki. Dan apabila tidak dipenuhi, maka amarrah mula merajai hati.

(source : Google Image)


Bagaimana pula dengan cinta pertama? Kata orang, cinta pertama merupakan sesuatu yang paling manis untuk diingati. Cinta pertama ni boleh terjadi pada bila-bila masa sama ada semasa remaja, ataupun zaman kanak-kanak. Ya, aku pasti ada yang tersenyum sewaktu membaca bait ayat-ayat ini. Teringat kenangan lalu mungkin?

Boleh jadi cinta itu akan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Boleh jadi putus di tengah jalan. Atau mungkin tidak pernah diluahkan langsung oleh kedua belah pihak. Ada juga yang mungkin telah meluahkan tetapi sayang, cintanya tidak berbalas. Tak kurang juga ada yang telah berikrar mahu sehidup semati seperti cinta si Laila dan Majnun. Ah, cinta mampu menghilangkan kewarasan fikiran, dan ternyata bagi yang sedang kemaruk bercinta, mereka rela menurut kata hati daripada berfikir menggunakan logik akal. Aneh bukan?

Cinta itu tidak aneh. Sebenarnya manusia yang membikin cinta itu menjadi aneh, kusut dan rumit. Semakin rumit sesebuah kisah cinta itu, dirasakan semakin agunglah tahap cintanya. Padahal ia tidak lain dari hanya menyeksa diri untuk meraih sebuah cinta yang tidak diketahui pasti dimiliki atau sebaliknya. Ini banyak terjadi dalam dunia percintaan masa kini. Mereka bisa menjadi apa sahaja demi menghirup kemanisan sebuah percintaan. Mampu menjadi pencuri, peragut, anak yang derhaka, isteri yang curang, suami yang lalai, murid yang gagal, pemilik syarikat yang bankrap, apa sahaja! Wah, besar sungguh kuasa cinta!

Bagi diriku, pengakhiran cinta ialah kebahagiaan. Tanyalah pada diri, adakah kita bahagia dengan cinta kita kini? Jika ya, nah, itulah dia cinta agungmu! Tetapi jika tidak, mungkin cinta itu perlu di'improvise' supaya lebih kelihatan menarik dan tidak jemu dipandang. Bagaimana mahu ditafsirkan kebahagiaan itu terpulang pada masing-masing.

Mungkin ada yang tidak seberuntung orang lain kerana kehilangan cintanya. Lalu bertubi-tubi menyalahkan takdir, mengapa? Mengapa aku? Mengapa aku? Kadang-kadang kita tidak mengerti mengapa cinta yang kita dambakan itu sukar benar untuk dimiliki. Adakalanya kita langsung tidak sempat mencium wanginya bunga-bunga cinta sebelum cinta itu terus jauh meninggalkan kita. Tanpa pesan. Tanpa kata-kata akhir. Tanpa penutup. Satu yang aku amat pasti, keadaan itu sejujurnya lebih memedihkan.

Takdir Allah swt telah menetapkan siapa pemilik cinta kita selepas Dia dan Rasulullah saw. Yakni pasangan yang sah dari segi syarak dan hukum. Walaupun kelihatan cinta itu tempang kerana tidak seagung cinta yang terdahulu, tapi ketidak sempurnaan itulah sebenarnya menyempurnakan kehidupan kita. Belajarlah untuk menerima. Menerima. Menerima takdir yang telah ditentukan walaupun berat sekali hati untuk menggalasnya. Percayalah, kebahagiaan akan datang menjemput kita sekirannya kita percaya dengan keajaiban aturan kehidupan oleh Yang Maha Mengetahui.

Bukankah kehidupan ini penuh dengan debunga-debunga keajaiban?

Wallahu'alam.

P/S: Topik ini dibincangkan secara universal, so think universally. Tiada kaitan antara yang hidup, yang sudah pergi dan yang sedang menaip baris ini. Chill! :)






Friday, 7 December 2012

A Solution for Dear Faiq

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Tadi aku bawak Faiq pergi jumpa doktor, memandangkan Faiq ni mempunyai masalah batuk-batuk. Serius, kalau dia batuk, memang aku risau sangat sebab batuk dia bukan calang-calang batuk. (Ade ke ayat?) Kalau lambat bertindak, mungkin boleh dapat pneumonia.

Jadi kami ke Klinik Pakar Kanak-Kanak Dr. Chong, Taman Sri Andalas, Klang.

The entrance.
credit to shidazam.blogspot.com.

Masa operasi
(credit to shidazam.blogspot.com)

Actually, klinik ni aku dapat info dari rakan-rakan Facebook. Diorang yang suggest klinik ni, katanya ok, harga ok, doktor ok, dan macam-macam lagi la. Since aku dah serik terpaksa hantar Faiq masuk hospital, aku pun merajinkan kaki untuk ke klinik ini. Opps, aku pun grab gambar orang lain nih. Tuan punya gambar tu yang tertera pada caption. Thanks sis!

Setelah diperiksa, Faiq perlu diberikan nebulizer, which actually musuh ketat gelemat dia. Tau apa ketat gelemat? Muehehehe. Sape orang Terengganu dia tau la. 

Selepas nebulizer, Doktor Chong, which aku rasa sangat pleasant orangnya, telah indicate di mana Faiq ni kalau batuk, memang akan betul-betul hardcore punya batuk. Memang sampai kena admit bagai. So, Doktor Chong pun bekalkan :-

*


*


*


*


*

Aero Chamber Pump RM 98 (yellow box) and Ventolin Inhaler RM 20++ (white and blue box)


Tak buka plastik pun lagi, Nak tunjuk punyalah baru barang nih. Hehe.

Ventolin Inhaler ni biasa kita tengok pesakit-pesakit asthma yang pakai. Yang sedut-sedut tu. Penah tengok kan... Haa, ni sama la. Doktor Chong kata, fungsinya sama macam nebulizer, cuma inhaler ni dosnya lebih rendah berbanding nebulizer. Sesuai untuk digunakan di rumah. Percaya tak, abah aku ingat nak beli dah mesin nebulizer tu letak satu kat rumah, in case kalau tengah-tengah malam Faiq batuk dan tak boleh tido. Tapi baru bercadang je. Mesin tu dekat RM 400 lebih jugak kot. Tak campur ubat gas dia lagi. Hmm..

Aerochamber tu (warna kuning) ialah sebagai saluran untuk memerangkap gas ubat dari inhaler untuk masuk ke dalam mulut Faiq sewaktu dia bernafas. Kenapa kena pakai aerochamber ni? Sebab Faiq belum pandai sedut macam orang dewasa. Kalau aku cakap, "Sedut, Faiq! Sedut Faiq! Cepat! Sedut!" Haram takkan dia paham arahan aku. Lantas terus dingkari arahan itu sambil menepis kuat inhaler yang jatuh terjelepok di atas lantai. Huhu. Ok, get it? Sebab tu kena guna aerochamber ni, supaya sesi sedut-menyedut lebih mudah.

Kalau pakai inhaler ni, menurut kata doktor, akan memudahkan rongga pernafasannya, dan dia boleh bernafas dengan baik. Faiq belum lagi di diagnose sebagai asthma, tapi disebabkan dia ni premature, so, ciri-ciri asthmatic tu memang ada la. Sebab tu treatment dia sama macam pesakit asthma. Nebulizer, inhaler, suction dan sebagainya. Aku benar-benar mengharapkan supaya Faiq tidak akan ada asthma. Harap sangat-sangat.

Walau bagaimanapun, aku belum lagi menggunakan aerochamber dan inhaler tu sehingga entri ini ditaip. Takut mungkin? Ya, aku memang benar-benar takut. Takut aku salah teknik. Takut akan keadaan Faiq pun ya jugak. Eh, semua la takut. Setakat entri ini disiapkan, Faiq masih dalam keadaan yang boleh dikawal. Batuknya juga tidaklah terlalu serius bagiku. Sekiranya keadaan memaksa, mungkin aku akan gunakan inhaler tu.

Total charge klinik tadi ialah RM150. Agak mahal untuk visit kali ni, tapi aku rasa berbaloi. Selalunya charge dia tak lebih RM 50. Paling-paling pun RM 40. Tapi kali ni walaupun agak gulp sikit, tapi bagi aku worth it. Consultation, Nebulizer, Aerochamber, Ventolin Inhaler = RM150. Ok la kan? Aerochamber tu dah dekat seratus. Memang la confirm charge mesti above RM 100 kan. Plus, aku rasa cara Doktor Chong ni ok la. Tak la sewenang-wenangnya bagi ubat batuk, ubat kahak, ubat macam-macam. Ubat yang benar-benar perlu sahaja yang diberi. Siapa-siapa yang tinggal area Klang ni, bolehlah try ke klinik ni, berdekatan dengan Hospital Bersalin Razif, Taman Sri Andalas, Klang.

Visit kami ke Klinik Doktor Chong tadi mungkin memberi kami satu harapan, at least a pinch of hope, for dear Faiq dalam menangani masalah kesihatannya. Serius, aku memang tak sanggup tengok Faiq dalam ICU lagi. Daya kami cuma usaha dan tawakkal kepadaNya.

Nafas panjang ku hela.


Ya, kami harus kuat demi Faiq. :)



Rabbi Yassir Wala Tu'assir.
"Wahai Tuhanku, permudahkanlah dan janganlah Kau susahkan"








Wednesday, 5 December 2012

Cuti Yang Awesome

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Cuti sekolah dah mula! Pasti budak-budak yang ambil SPM tahun ni dah mula berangan-angan nak buat apa lepas ni kan. Suka la tu, dah habis sekolah. Boleh la tukar title jadi pelajar lepasan SPM lepas ni, kalau dulu korang ni pegang title budak sekolah je kan.. Paling glam pun title ketua pengawas, tak pun ketua rumah. Betul tak? Tu dah cukup gah la tu. Hahaha.. Sekarang dah boleh la merasa jadi budak beso-beso. (Macam la beso sangat korang yeeerr. Heee...)

Anyway, apa aku nak stori tentang cuti aku? Kalau tengok kawan-kawan lain, ramai yang pergi melancong. Ini dapatlah dibuktikan dengan memview facebook-facebook mereka-mereka yang sangat-sangat awesome dengan pemandangan cantik lagi menarik dan tertarik. *tarik nafas dalam-dalam sebab ayat panjang sangat*.

Cuti aku hanyalah dipenuhi dengan view-view seperti ini :-

Doc Mcstuffins
(Google Images)

Mickey Mouse Clubhouse
(Google Images)

Special Agent OSO
(Google Images)

Pororo, The Little Penguin
(Google Images)

Tayo, The Little Bus
(Google Images)


Semua ni aku tengok di tempat paling best sekali iaitu di :-

Channel 613, Astro.
(Google Images)

Menarik kan cuti aku? Huhu.

Aku terpaksa korbankan masa chill, melancong, trip sana sini, sebab Faiq. Memandangkan Faiq tak boleh (TAK BOLEH means TAK BOLEH LANGSUNG!) keluar rumah sebab kes dapat pneumonia bulan lepas, aku hanya memerapkan diri dengan Faiq sambil menonton rancangan-rancangan menarik (lah sangat) di televisyen. Precise sikit, Channel 613, Disney Junior. Aku memang takde peluang langsung nak tengok favorite show aku, melainkan kalau si kecik ni tido. Sampai ada sekali tu aku tak tau pun Malaysia masuk AFF Suzuki Cup. Lawan dengan negara mana, berapa score, siapa kena kutuk, siapa tak pandai main, siapa man of the match, sume aku tak tau.

Yang aku tahu hanyalah ini :-

Pororo, The Little Penguin Opening Theme Song
(Youtube)


Mickey Mouse Clubhouse Opening Theme Song


Special Agent OSO Opening Theme Song
(Youtube)


Doc Mcstuffins Opening Theme Song
(Youtube)

Tayo, The Little Bus Opening Theme Song
(Youtube)

Semua ni memang favorite Faiq. Nak-nak Mickey Mouse Clubhouse tu. Huuuu...

Faiq and his gigantic phone, but he prefers mine instead. (+_+)
Smiling (without any teeth) while watching Special Agent Oso.


Awesome kan cuti aku? (+_+)
Tapi, lama-lama aku pulak jadi addicted dengan lagu-lagu ni. Sampai kadang-kadang dalam tak sedar aku duk humming lagu-lagu ni dalam kereta ke, masa mandi ke.. Eheh. Ok, aku memang dah tak layan dah lagu-lagu kotemporari masa kini sekarang ni. Sejak duk terperuk dalam rumah, Cikgu Farrah hanya mengenali lagu-lagu ini sahaja. Naif dan lurus tak cikgu? *kelip-kelip mata memohon belas ehsan sambil tersenyum polos*

Anything for you, sweetie. But, not too much tv, it's not good for your eyesight, dear. Mama takmo Faiq kena pakai spek macam mama. Dulu mama ingat pakai spek tu best, nampak cam budak pandai yang legend je, tapi hakikatnya pakai spek memang melecehkan. Kalau tak, takkan la berkotak-kotak contact lens aku order. Gaya penting walaupun pagi-pagi kena terkebil-kebil pasang lens. =')

Aku lebih suka Faiq sukakan buku macam aku, tapi nampak gayanya Faiq ni macam abah dia, suka gadget, suka computer, suka games, suka technology. Hmmm.. muka pun dah banyak muka abah dah... Suka la tu AB! Huh!









Monday, 3 December 2012

Faiq : PHDU Experience


Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani.

Entri ini merupakan susulan dari entri-entri ini.


27 Oktober 2012
Antibiotik Cefuroxime telah diberikan selama 2 hari, namun aku tidak nampak perubahan yang ketara terhadap Faiq. Kadar pernafasannya masih laju, kira-kira 90 kali per minit yang jauh lebih tinggi dari kadar normal iaitu 20-30 per minit.

Ulasan doktor pakar yang membuat rondaan rutin pada hari itu membuatkan jantungku seolah-olah luruh dari kedudukannya.

"Puan, kami tengok baby masih tiada perubahan setelah diberikan antibiotik. Saya rasa baby ada jangkitan dalam paru-paru (pneumonia) tapi kami tak dapat nak pastikan jangkitan ini ialah jangkitan kuman dari minggu lepas yang belum pulih sepenuhnya, ataupun jangkitan baru. Jadi kami rasa baby perlu dimasukkan ke ICU (Intensive Care Unit) untuk dipantau lebih rapi."

Serasa duniaku kelam ketika itu. Bayangan-bayangan semasa awal kelahiran Faiq mula menerjah masuk bertalu-talu ke dalam kotak fikiranku. Ulasan-ulasan doktor ketika itu yang mematahkan harapanku untuk   memiliki Faiq juga mula terngiang-ngiang di telinga lalu terus-terusan membedil hati dan nurani ini.

"ICU?"

Soalku. Aduh, menyebutnya sahaja sudah menggetarkan perasaan. Bagaimana mampu aku menghadapinya?Sungguh, aku tidak kuat.

"Bila tu doktor?" 
"Kena masuk sekarang, puan. Nafasnya terlalu laju.."

Aku mengangguk sambil terduduk di kerusi. Ku renung KFC yang dibeli abah tadi. Ayam masih ada beberapa ketul dan di sudut meja ku lihat whipped potato kegemaranku belum lagi berusik. Mati seleraku di situ.

"Faiq masuk ICU. Faiq masuk ICU. Faiq masuk ICU."

Otakku tidak dapat memikirkan perkara lain selain 3 perkataan di atas. Mataku pejam rapat-rapat untuk menenangkan perasaanku yang berkecamuk dan buntu. Air mata mula bergenang, namun aku mampu menyembunyikan, malu sekiranya sekeliling memerhatikanku.

Lantas, aku capai telefon, lalu aku menghubungi AB dan abah. Ku maklumkan berita yang baru ku dapat dari doktor pakar itu. Mujurlah, pada ketika itu, aku masih mampu mengawal perasaan walaupun ada kalanya nafasku tersekat-sekat menahan sebak.

Telefon kumatikan. Ku kuis-kuis skrin telefon sambil fikiranku entah di mana terbangnya.

"Puan, kami nak bawak baby ke bilik rawatan, nak pasang tube feeding..Kat ICU biasanya tak bagi menyusu biasa. Kena pakai tiub."

Suara jururawat mematikan monologku. Aku mengangguk tanpa secalit senyuman. Maksud jururawat itu, Faiq perlu dimasukkan tiub halus ke dalam lubang hidungnya (sekali lagi) supaya susunya akan dihantar terus-menerus ke perutnya tanpa perlu melalui kerongkong. Di dadaku ini terasa seolah-olah batu sedang menghempap. Berat sekali. Berat sekali ujianku kali ini.

Lambat-lambat aku mengemaskan beg baju. AB tiba di wad 6B pada pukul 4.00 petang. Di kala itu, tidak banyak yang kami bualkan. Tidak seperti selalu. Masing-masing senang melayan perasaan sendiri.

Wad 6B senyap seketika apabila para ibu bapa dan penjaga tekun memerhatikan para jururawat menyiapkan Faiq yang masih terbaring di katil untuk dihantar ke PHDU (Pediatric High Dependency Unit) yang terletak jauh tersorok di belakang wad biasa. PHDU ialah nama khas ICU untuk jabatan pediatrik di hospital ini. Faiq lalu diberikan bantuan pernafasan menggunakan nasal prong yang disambungkan ke tangki bekalan oksigen setinggi 1 meter. Mesin SpO2 juga kembali disambung pada Faiq untuk memantau kadar denyutan jantung dan kadar oksigen dalam tubuhnya.

Katil Faiq ditolak sepanjang wad 6B dan keluar menuju ke PHDU. Aku mengikuti dari belakang semetara AB ke parkir kereta menghantar pulang barang-barang Faiq yang tidak diperlukan. Kurasakan mata-mata ibu bapa lain tajam memerhatikan diriku. Mungkin sedang simpati dengan nasibku, atau mungkin sedang mendoakan supaya anak mereka tidak menerima nasib seperti Faiq? Aku tidak pasti.

Wad PHDU. Hening sekali wad ini. Hampir serupa dengan wad NICU yang pernah aku ceritakan dalam entri Sayang Mujahidku Sayang. Wad kecil yang aku sifatkan sebagai pemberi harapan kepada ibu bapa-ibu bapa seperti kami. Anak-anak di sini tidak ramai. Dalam 7 orang sahaja. Jururawat memaklumkan hanya pesakit yang benar-benar kritikal sahaja dimasukkan ke sini atas faktor kekangan tempat. Kritikal? Bermakna Faiq juga dikategorikan sebagai kritikal? Sesak nafasku mendengar jawapan jururawat tersebut.

Faiq dipindahkan ke sebuah bilik yang mempunyai katil khas, dan pakaiannya ditanggalkan kecuali diapers. Di dadanya dilekatkan 3 jenis wayar yang berlainan warna, berfungsi sebagai pengesan denyutan jantung, pengesan peratus oksigen dalam tubuh Faiq, dan juga pengesan kadar pernafasannya setiap minit. Faiq mula diberikan bantuan pernafasan yang dinamakan sebagai CPAP (Continuous Positive Airway Pressure). Mesin ini membekalkan oksigen yang lebih banyak berbanding nasal prong yang Faiq gunakan sebelum ini di wad 6B iaitu kira-kira 25%. Faiq juga telah ditukarkan antibiotiknya kepada Imipenem dari Cefuroxime. Imipenem ialah salah satu jenis antibiotik yang terkuat yang dapat mematikan kebanyakkan kuman yang ada di sekeliling terutamanya dari hospital. Sedia maklum, hospitallah tempat berkumpulnya kuman-kuman!

Faiq disyaki mendapat jangkitan paru-paru (pneumonia) sekali lagi. Mungkin kerana antibiotiknya dari admission yang pertama gagal dihabiskan sepenuhnya menyebabkan kuman dalam tubuhnya kembali aktif. Atau mungkin kerana daya tahannya yang lemah, Faiq disyaki mendapat jangkitan tersebut dari hospital ini sendiri. Doktor tidak dapat memastikan itu, kerana itulah, sebagai langkah selamat, Faiq terus diberikan Imipenem untuk membunuh sebarang kuman yang ada sama ada kuman yang lama, ataupun kuman yang baru.

Faiq dipakaikan CPAP mask seperti ini. Mask ini disambungkan ke mesin CPAP seperti yang dipaparkan di bawah.

CPAP machine. Sejenis ventilator bagi pesakit yang mengalami kesukaran bernafas.


Kami hanya mampu melihat Faiq dari luar bilik itu.Faiq kelihatan sungguh kecil pada pandangan mataku. Kurus dan lemah. Maaf, aku tidak mampu berkongsi gambar Faiq sewaktu ini bahkan aku sendiri tidak sanggup melihatnya.

Penggunaan mesin CPAP menyebabkan Faiq berada dalam keadaan separa sedar. Tiada perbualan dan gurauan bersamanya malam itu. Hanya aku setia menemani Faiq di penjuru katil berbekalkan surah Yassin di tangan sebagai penguat semangatku. Malam itu juga, aku tidak lagi dapat melihat senyumnya. Bahkan tangisannya yang sering membingitkan cuping telingaku sebelum ini juga tidak mampu aku dengari. Aku seolah-olah hilang punca. Tenggelam diriku dibuai perasaan-perasaan kehibaan yang sukar ku jelaskan disini. Mungkin kerana aku pernah mengalami detik-detik cemas sewaktu awal kelahirannya, menyebabkan aku terlalu emosional apabila dihimpit masalah berkaitan Faiq.

Yassin ku alunkan supaya Faiq kembali kuat. Sekuat namanya. Sekuat peribadinya. Namun malam itu, Faiq tetap belum sedarkan diri.


28 Oktober 2012
Jam menunjukkan pukul 4.30 pagi. Aku masih lagi di sini, di ruang tidur yang disediakan oleh pihak hospital untuk kami, para penjaga pesakit PHDU untuk berehat. Hanya ruang kecil beralaskan tikar getah. Tiada katil mahupun tilam. Namun bagiku itu tidak menjadi soal. Aku sanggup demi Faiq.

Aku bergegas menuju ke bilik di mana Faiq ditempatkan sambil memeluk telekungku. Subuh masih jauh. Namun aku bercadang untuk menunaikan solat sunat memohon kekuatan dan kesihatan terbaik untuk Faiq. Mudah-mudahan dengan usaha-usaha kecil ini, Allah sudi memakbulkan doa-doaku. Ameen.

Faiq ku lihat masih begitu. Belum sedar kerana mesin CPAP belum dimatikan. CPAP mask di wajahnya juga belum ditanggalkan. Ku kerling skrin mesin data yang disambungkan pada Faiq melalui 3 jenis wayar yang ku perihalkan tadi. Bacaan tersebut ialah :

Heart beat rate : 140 per minute
Blood Saturation of Oxygen : 98%
Breathing rate : 70 per minute

Heart beat rate- Ok. Blood Saturation of Oxygen- Ok. Breathing rate... 70 kali bernafas dalam seminit belum lagi dikategori sebagai sesuatu yang normal. Masih laju bagiku, walaupun tidak terlalu serius seperti sebelum ini. Sempat aku masuk sebentar ke bilik itu menjenguk Faiq. Menyentuh ubun-ubunnya lalu berbual dengannya, seperti mana aku lakukan semasa awal kelahirannya. Ya, aku tahu dia belum sedar sepenuhnya. Namun, aku bahagia begitu. 

Dalam doaku subuh itu, aku memanjatkan rasa kesyukuran ke hadratNya kerana masih lagi diberi peluang untuk memiliki Faiq. Masih memberi peluang aku menghabiskan masa sepenuhnya bersama Faiq berdua, supaya kami lebih mengenali antara satu sama lain. Suatu ruang yang jarang ku dapat setelah kembali bekerja di Terengganu, meninggalkan Faiq di bawah jagaan ibu bapaku di Klang. Ya, mungkin ini hikmahnya. Faiq lebih berpeluang mengenali siapa ibunya, dan sekaligus menolak anggapan ibunya tidak lagi meyayanginya kerana ditinggalkan jauh beratus batu. Mungkin juga ini suatu kafarah bagiku? Terhadap dosa-dosa yang pernah aku lakukan sebelum ini? Mungkin sebagai peringatan dariNya supaya tidak tersasar dari jalanNya yang lurus. Mungkin. Sejujurnya, aku hanya seorang insan biasa, yang tidak pernah terkecuali dari melakukan dosa-dosa. 

Doaku subuh itu ku rasa aku terlalu hampir denganNya. Lalu aku terus memohon keampunan dariNya sekiranya ini merupakan suatu kafarah terhadap kekhilafanku. Tuhan, sesungguhnya aku hanya seorang hamba yang mudah takabbur dengan nikmatMu, maka ampunkan aku atas segala dosa-dosa yang pernah aku lakukan. Dan Kau permudahkan urusanku dalam menghadapi ujianMu ini. Ringankanlah kesakitan Faiq dan sembuhkanlah Faiq anakku. Sembuhkanlah Faiq anakku. Sembuhkanlah Faiq anakku.Sesungguhnya, Kau adalah Tuhan Yang Maha Pengampun, Maha Menyembuhkan lagi Maha Memakbulkan Doa. 
Ameen, Ya Rabbal Alameen.

29 Oktober 2012
Sudah 3 hari Faiq menjadi warga PHDU. Aku semakin kuat menjalani kehidupan sehari-hari bertemankan kasih sayang Ilahi yang tidak pernah jauh dariku. Cuma aku yang tidak menghargai cintaNya. Malu aku denganNya kerana Dialah Tuhan yang Maha Memberi Rezeki, namun aku sia-siakan. Sesungguhnya, ujian kali ini benar-benar menginsafkanku dan melalui ujian ini aku semakin mengagumi kekuasaanNya. Subhanallah, Maha Suci Allah.

PHDU menempatkan 7 orang bayi ketika Faiq dirawat di sana. Kebanyakkannya mempunyai masalah jantung sejak dilahirkan. Jantung berlubang, jantung tanpa injap, dan pelbagai komplikasi lagi. Ada juga bayi yang dimasukkan ke sini disebabkan sawan yang berpanjangan. Istilahnya disebut epilepsi. Pada perkiraanku, sawan jenis epilepsi mungkin berkaitan dengan saraf dan fungsi otak. Wallahu a'lam.

Antibiotik Faiq perlu dihabiskan dalam masa 7 hari. Imipenem diberi melalui suntikan di tangannya dengan menggunakan mesin. Oleh kerana antibiotik ini merupakan antara antibiotik yang terkuat, Imipenem perlu dimasukkan ke dalam tubuh Faiq dengan menggunakan mesin untuk memastikan kadar kelajuan cecair itu adalah berada pada kadar yang teratur. Gradually. Mungkin kalau secara manual, (menggunakan picagari lalu menyuntik dengan menggunakan tangan) akan menyebabkan kadar kemasukan cecair itu menjadi tidak sekata, lalu akan menyakiti Faiq. 

Hari ini, selepas rondaan doktor pakar, beliau membenarkan CPAP yang dipasang pada Faiq untuk dibuka. Faiq hanya menggunakan nasal prong sahaja sebagai bantuan pernafasan ringan. Faiq juga dibenarkan untuk menyusu secara normal tanpa menggunakan tiub. Ada senyum di hatiku. Perubahan positif, alhamdulillah. Namun aku tahu, apa jua boleh terjadi. Dan aku harus bersedia.

Perasaanku lega, namun ada masih bersikap mahu berhati-hati. Tidak mahu terlalu gembira. Tidak mahu terlalu excited dengan perubahan Faiq. Aku punya pengalaman ngeri di NICU dahulu. Pengalaman-pengalaman yang sedikit sebanyak meletakkan aku sebagai seorang yang paranoid. Tanyalah pada mana-mana ibu terutamanya pada yang mempunyai anak pramatang, pasti akan faham benar bagaimana perasaanku.

Faiq, I love you.
(After CPAP was off by the specialist)

Mungkin hanya gambar ini sahaja dapat aku kongsikan bersama readers. Pengalaman di PHDU adalah sesuatu yang sangat berat bagiku, suamiku dan keluarga. Mohon readers faham akan situasi kami. Sungguh, aku masih belum mampu melihat keadaannya sebegini walaupun hanya di dalam gambar. 

30 Oktober 2012
Wad PHDU perlu menerima seorang pesakit baru iaitu seorang kanak-kanak 7 tahun yang mengalami cirit-birit. Ini bermakna salah seorang dari penghuni PHDU yang diyakini telah pulih perlu dipindahkan ke wad biasa bagi memberi ruang pada pesakit yang lebih memerlukan. Dan ya, penghuni PHDU yang dimaksudkan itu ialah Faiq Aqwa. 

Bercampur baur rasanya hatiku. Ya, aku gembira dan bersyukur Faiq akhirnya dapat dipindahkan dari wad PHDU yang sememangnya mendebarkan jantungku. Tetapi, aku juga khuatir, adakah Faiq benar-benar bersedia dengan perpindahan ini? Adakah kesihatannya benar-benar berada pada tahap yang selamat untuk bercampur dengan orang ramai? 

Soalan-soalan ini aku tujukan terus pada pakar. Mungkin kedengaran cerewet di mata kalian, tapi aku harus begitu demi Faiq. Aku harus cerewet dengan perkara-perkara yang boleh memberikan risiko pada kesihatan Faiq. Setelah mendengar penjelasan pakar, aku kembali tenang. Pakar menjelaskan Faiq akan ditempatkan di wad 6A iaitu sebuah wad asingan kanak-kanak, di mana keadaan wad itu tidaklah terlalu crowded dengan para pesakit. Yang mana aku rasa mungkin wajar untuk Faiq. Pada ketika itu, aku tahu aku harus bertawakkal dan percaya pada keputusan yang telah Allah tetapkan untuk Faiq. Yakin dengan ketentuanNya, kerana ketentuanNya itu sudah pasti adalah yang terbaik untuk kami.

Faiq perlu menghabiskan dos antibiotik Imipenam selama 7 hari. Menunggu selama 7 hari benar-benar mendebarkan perasaanku. Apatah lagi apabila pesakit yang keluar masuk terbatuk-batuk berhampiran Faiq. Ya, kedengaran sangat menjengkelkan apabila aku berfikiran sedemikian? Tapi, apa yang boleh aku fikirkan lagi? Apa yang boleh diharapkan lagi dari seorang ibu yang terdesak sepertiku? Antibodi Faiq masih belum cukup kuat untuk melawan segala penyakit yang datang. Dan aku sebagai ibu, perlu memastikan Faiq tidak dihampiri oleh sembarangan orang yang boleh membahayakan kesihatannya.

Berikut adalah sebahagian daripada gambaran kehidupan Faiq setelah dipindahkan ke Wad 6A.


Day 1, Ward 6A

Day 2, Ward 6A
Playing with his favorite ring ball.

Day 3, Ward 6A
Playing with the ring teether.



Day 4- Ward 6A
Habis susu, botol dibuang.

"Aaiq dah macam Santa Clause...." kata AB
Cuba teka apa dalam stokin Faiq, dan kenapa aku buat macam ni? Teka..Teka..

3 November 2012
Ya, inilah harinya.
Inilah harinya Faiq dibenarkan pulang setelah melalui episod-episod kehidupan yang penuh dugaan. Antibiotik Imipenam telah dihabiskan dan alhamdulillah, Faiq semakin pulih.

Aku tidak mahu terlalu gembira. Cukuplah sekadar aku memanjatkan kesyukuran ke hadratNya kerana masih lagi memberikan aku peluang untuk bersama-sama meninti kehidupan bersama Faiq. Mungkin ada yang tertanya-tanya adakah aku menyesal dengan kehidupan ini? Terpaksa melalui kesusahan demi kesusahan kerana Faiq?

Jawapanku hanya satu.

2 tahun lalu, aku hanya mempunyai suatu hajat yang sentiasa aku panjatkan kepada Allah yang Maha Agung. Aku menginginkan seorang anak dalam perkahwinanku. Namun hari demi hari, kami masih menunggu anugerah dariNya. Dan hanya selepas 2 tahun, Allah Azza Wa Jalla memakbulkan doa kami. Tiada apa yang aku kesalkan kerana Allah sememangnya telah menganugerahkan kami dengan seorang Faiq Aqwa yang begitu istimewa di hati kami. Kehadiran Faiq, walaupun dilahirkan dengan penuh kepayahan dan kesulitan, kami sambut dengan hamparan kebahagiaan yang tidak berbelah bagi. Selamanya.



*     *     *     *     *

Surprise from Tok Abah and Tok Ma.


Faiq setelah seminggu discaj dari  hospital.

Hidup ini indah sekiranya kita inginkan ia sebegitu. Dan ternyata, hidupku begitu indah dengan peluang yang Allah berikan untukku terus bersama-sama Faiq.

Allahu Akbar.



** Faiq Aqwa bin Faizol dilahirkan pramatang 32 minggu disebabkan oleh komplikasi sewaktu dalam kandungan, di mana air ketubannya pecah sebelum waktu. Disebabkan itu, Faiq mengalami masalah paru-paru tidak matang yang meninggikan risikonya untuk mendapat radang paru-paru (pneumonia) dan masalah-masalah lain berkaitan pernafasan. Semoga Allah terus memberikannya kekuatan dan kecekalan dalam menempuh hari-hari yang bakal mendatang. Ameen Ya Rabb.**




























Tuesday, 20 November 2012

Faiq : Second Admission

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Entri ini adalah susulan dari entri ini :-



Please spot me!

Gambar apa tu? Haa, pikir! Pikir! Heee...Gambar ini jelas menunjukkan Faiq kini telah sihat dan pulih seperti sediakala setelah dimasukkan ke wad minggu lepas. Batuknya juga berkurangan. Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Allah swt.

Seperti mana yang telah readers lihat, Faiq gemar bermain dengan kertas, tertamanya suratkhabar. Habis hitam tangan dia. Takpe la, it's a learning process kan. Cuma sebagai parents/ penjaga, kita kena pastikan suratkhabar tu takkan membahayakan diri dia. Sebagai contoh, tidak dimasukkan ke dalam mulut, atau sebagainya. In Shaa Allah.

22 Oktober 2012
Hanya tinggal beberapa hari saja lagi umat Islam akan menyambut Aidiladha pada tanggal 26 Oktober 2012. Aku juga bercadang akan menyambutnya bersama-sama Faiq dan AB di Klang. Dalam hatiku terdetik rasa mujur kerana Faiq telahpun discharge dari wad 6B dua hari lepas. Kini tinggal tugas untuk menghabiskan antibiotiknya sahaja yang masih berbaki 3 hari.

Bercerita tentang Amoxicilin, antibiotik tersebut jelas memberi kesan cirit-birit berpanjangan pada Faiq. Adakalanya najisnya akan menjadi sungguh cair sehinggakan meleleh dari diapers yang dipakai. (Ok, agak detail penjelasan ini, harap jangan bayangkan terlalu mendalam, khuatir akan meloyakan readers. +_+).

Tapi benar, itu amat merisaukan aku. walaupun Faiq kelihatan aktif dan ceria, tetapi masalah cirit birit yang dihadapinya amat membimbangkan naluri keibuanku.

Jam telah menunjukkan pukul 11.00 malam. Faiq perlu diberi antibiotik Amoxicilin sekali lagi. Dan pada kali ini, selepas meminum ubat tersebut, Faiq mula muntahkan semula susu yang baru sahaja diberikan sejam yang lalu. Hatiku mula berdebar. Jangan, Faiq. Please, jangan sekali lagi.

Tanpa berlengah, aku terus Google dan taip AMOXICILIN dan Enter.

Ku buka halaman-halaman medical yang memperincikan sifat dan side effects Amoxicilin. Dan ya, aku jumpa apa yang aku cari!

At this time, there is only vague side effect information available for amoxicillin. Side effects of the medication may include diarrhea, tooth discoloration, insomnia, and dizziness, among others. While most problems with amoxicillin are mild and do not require medical attention in most cases, you should contact your healthcare provider immediately if you experience anxiety, have watery or bloody diarrhea, or develop jaundice (yellowing of the skin or eyes).
          source :  http://antibiotics.emedtv.com/amoxicillin/amoxicillin-side-effects.html
Yes, jelas sekarang Faiq mengalami alergi terhadap Amoxicilin. Dan ya, najisnya sangat cair. (Watery stool or diarrhea). Aku perlu segera berjumpa doktor!

23 Oktober 2012
Kebetulan pada hari ini, Faiq mempunyai appointment bersama doktor di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, HTAR. Appointment rutin yang perlu dijalani oleh Faiq, memandangkan beliau seorang bekas bayi pramatang.  Tambahan pula, pada appointment kali ini, Faiq perlu menjalani brain ultrasound untuk melihat sejauh mana perkembangan periventricular cyst nya yang disahkan wujud dalam otaknya pada awal kelahiran.

Tetapi kali ini, aku tidak mahu specify terhadap brain ultrasoundnya itu. Mungkin entri akan datang, akan ku kongsikan tentang isu tersebut. In Shaa Allah.

Seperti biasa, Faiq akan dibawa ke mesin penimbang untuk menimbang beratnya. Ku baca angka yang tertulis di mesin penimbang itu.

4.8 kg.

Ya, sejak admission minggu lepas, Faiq telah susut berat badan sehingga ke 4.8kg. Berat asalnya 5.2 kg. Aku tahu, bacaan itu tidak sepadan dengan umurnya yang telah menjangkau 8 bulan. Terdetik juga rasa cemburuku dengan teman-teman lain yang mempunyai anak-anak yang sihat dan semangat tubuh badannya. Mungkin ini salah satu ujian untukku, untuk Faiq. Dan untuk menguji sejauh mana kesabaranku. Dan kecekalan Faiq. Wallahu a'lam.

Setelah menceritakan sedikit perihal kesihatan Faiq berkenaan cirit biritnya, doktor menyarankan supaya pemberian Amoxicilin dihentikan dan Faiq perlu dimasukkan ke wad.

Sekali lagi?

Amarah mula menguasai diri. Bukan salahku Faiq cirit birit! Bukankah doktor yang mempreskripsi antibiotik tersebut? Mengapa Faiq yang perlu menanggungnya?? Seketika aku hilang sabar. Aku terasa seolah-olah Faiq dijadikan objek untuk dikaji itu dan ini. Masuk wad bererti Faiq akan dijadikan alat untuk di test serba serbi. Darahnya, najisnya, x-ray, dan sebagainya!

Gusar! Gusar! Gusar! Serta merta aku dapat melihat bayangan Faiq yang meraung-raung apabila dicucuk tangannya untuk mendapatkan vena. Tersedu-sedu menangis apabila darahnya diambil untuk dikaji. Benci aku memikirkannya.

Seketika kemudian, bayangan tersebut bertukar melihat Faiq di rumah sedang terlantar akibat dehidrasi susulan akibat dari cirit birit. Menangis dan tidak mahu menyusu. Muntah-muntah. Menangis lagi. Cirit birit semula.

Bingung.

Apa yang harusku lakukan? Admit sekali lagi bermakna Faiq perlu menjalani segala prosedur-prosedur yang akan menyakitkannya. Atau tinggal di rumah yang akan membahayakan nyawanya akibat dehidrasi cirit birit? Pilih.

Aku menghubungi AB dan bertanyakan pendapatnya. AB menyarankan Faiq dimasukkan semula ke wad untuk merawat cirit biritnya. Aku terdiam. Lantas aku menyesali amarahku. Aku cuba berfikir serasional mungkin, walaupun hatiku memang sedang mendidih. Aku perlu selamatkan Faiq. Cirit-birit bukanlah suatu perkara ringan kerana gejala ini boleh membawa maut. Pasti ada sebabnya Allah swt mahu Faiq dimasukkan ke wad. Pasti ada hikmahnya. Aku pegang itu.

Mungkin readers terfikir, mengapa tidak diberi ubat untuk cirit birit? Mengapa sehingga perlu dimasukkan ke wad? Polisi hospital telah menggariskan suapaya bayi yang mengalami cirit birit tidak boleh diberi sebarang ubat. Rawatannya hanya air garam, (Rehydration Oral Suspension (ROS)), dan menyusu dengan teratur. Biarkan sahaja bayi itu cirit birit kerana itu akan menyahkan kuman yang terdapat dalam ususnya. Tetapi dengan syarat, nutrien dan garam yang terdapat dalam badan perlu digantikan dengan memberi bayi minum susu, makan bubur, dan minum ROS. Begitulah rutinnya sehingga cirit biritnya beransur hilang.

Aku tarik nafas panjang. Aku bertanya pada mama dan abah. Abah mulanya agak keberatan membenarkan Faiq dimasukkan ke wad sekali lagi. Sementalah, Faiq merupakan cucu kesayangannya. Tak sanggup rasanya melihat Faiq dalam keadaan yang sakit begitu. Walau bagaimanapun, akhirnya abah membenarkan.

*     *     *     *     *

Faiq dimasukkan ke wad 7D, Wad Asingan Kanak-Kanak, wad yang menempatkan bayi dan kanak-kanak yang mengalami cirit birit terutamanya. Wad ini mempunyai bilik-bilik khas bertujuan untuk mengasingkan bayi dan kanak-kanak yang menghidapi penyakit yang mudah berjangkit seperti cirit birit, denggi dan sebagainya. Setiap bilik menempatkan kanak-kanak yang menghidap penyakit yang sama.

Dan sekali lagi, aku dan Faiq, melalui hari-hari di wad dengan penuh kesuraman. 


25 Oktober 2012
Sudah semalaman Faiq ditahan di wad 7 D. Alhamdulillah, Faiq mula menunjukkan perubahan. Cirit-biritnya beransur hilang. Ku jangkakan esok pasti Faiq dibenarkan pulang. Berbunga-bunga hatiku menunggu esok tiba.

Malam itu, sewaktu aku menidurkannya, aku mendapati Faiq mula batuk-batuk. Batuknya seperti minggu yang lalu. Berpanjangan dan kehilangan nafas. Aku jadi tak keruan. Fikiranku mula berfikir yang tidak-tidak. Apakah mungkin kerana Faiq tidak menghabiskan antibiotiknya menyebabkan batuk mula menyerangnya kembali? Aku amat pasti itu adalah batuk. Bukan tersedak.


Faiq batuk-batuk sehingga ke subuh. Tidak lena tidurku memikirkan Faiq. Cirit biritnya mula berkurangan tetapi batuk pula menyinggah. Aduh, dugaanMu terlalu berat ku rasakan. Aku rasa aku patut memaklumkan pada doktor yang bertugas. 

Doktor tersebut mula memeriksa dada Faiq dengan menggunakan stetoskop. 

"Tak ada apa la puan, saya dah cek, paru-parunya ok.." 
"Betul ke doc? Saya takut dia dapat pneumonia semula sebab minggu lepas dia baru masuk wad," 
" Dia tak demam kan? Kalau tak demam, tu bukan pneumonia. Simptom pneumonia mesti dapat demam.." 
"Ohh, ok. Terima kasih doktor,"

Itu antara perbualan aku dengan doktor muda tersebut. Sungguh, walaupun ulasan doktor itu sememangnya positif, aku dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena. Perasaan ini sama seperti Faiq mula-mula batuk semasa di rumah dahulu, yang menyebabkan beliau dimasukkan ke wad minggu lepas.
Namun, aku cuba positif.

*     *     *     *     *

Batuk Faiq semakin membimbangkan. Setiap 10 saat, Faiq pasti batuk secara pola berterusan dan panjang. Faiq kehilangan nafasnya setiap kali batuk. Seleranya mula berkurangan walaupun cirit biritnya beransur pulih. Ah, bingung aku! Setiap kali Faiq batuk, setiap kali itulah sakit mula menyinggah dalam dadaku. Cuba menyelami apa yang Faiq rasa. Cuba bernafas bagaimana Faiq bernafas. Laju dan termengah-mengah. Lagak seperti baru sahaja menamatkan larian pecut 100 meter. Kalau readers ingin bayangkan, maka begitulah analoginya.

Aku tidak berpuas hati lalu aku usulkan semula kepada doktor pakar yang membuat rondaan pada pagi itu. Doktor pakar perempuan yang juga berbangsa Tiong Hua, menjelaskan Faiq perlu melakukan x-ray paru-paru memandangkan simptom batuknya semakin serius.

Tepat jam 2.00 petang, aku mendukung Faiq mengikuti jururawat yang menemaniku ke bilik radiologi yang terletak di tingkat bawah (Ground Floor). Aku perlu menaiki lif yang sesak dengan pelbagai orang. Tidak cukup dengan itu, aku juga mendapati ada penumpang lif yang batuk-batuk berdekatan dengan Faiq. Aku cuba menekup muka Faiq dengan harapan Faiq tidak terkesan dengan batuk penumpang lif tersebut. Keluar dari lif, aku berjalan laju sambil memeluk Faiq yang batuk tidak henti-henti ke bilik tersebut sambil menjauhkan diri dari kelompok-kelompok manusia yang ramai berlegar-legar di kawasan lobi. Sungguh aku rasakan kesabaranku mula hilang melihat Faiq. Cuba mengurut belakangnya dengan harapan tindakanku itu akan melegakan batuknya. Namun aku tahu, itu hanya sia-sia.

Faiq telah selesai menjalani x-ray di bilik radiologi dan filem x-ray tersebut akan dimasukkan ke dalam rekodnya.

Aku mohon Faiq dipindahkan ke wad 6B, wad yang Faiq diami minggu lepas. Bukan menidakkan kebolehan staf wad 7D memjaga Faiq, tetapi aku berpendapat suasana wad 7D lebih tertutup. Pengudaraannya tidak begitu sesuai dengan keadaan Faiq. Lalu aku memilih untuk memindahkan Faiq ke wad sebelum ini. Wad 6B. 

Bagiku, wad ini lebih elok pengudaraannya. Wad ini tidak hanya bergantung sepenuhnya pada kipas, malah pintu-pintu yang sengaja dibuka luas untuk menggalakkan pengudaraan yang lebih efisyen. Dan petang itu Faiq selesai dipindahkan ke wad tersebut.

*     *     *     *     *

Petang itu, Faiq mula diberikan nebulizer (sekali lagi) setiap 4 jam. Selain itu, Faiq juga diberikan antibiotik Cefuroxime memandangkan suhu badan Faiq mula meningkat ke 39.6 darjah celcius. Tinggi! Bahkan sangat tinggi bagiku. Sejak dilahirkan, Faiq belum pernah mendapat demam sepanas itu. Kudrat yang ada aku gagahkan walaupun hati ini terlalu hiba melihat Faiq yang lemah longlai di pembaringan. Tuala yang ku bawa, ku letakkan di atas kepala Faiq juga tubuh badannya ku lap dengan air suam supaya hilang sedikit panasnya. Amaun susu yang diminum juga mula berkurangan. Setiap bancuhan tidak pernah dihabiskan.

Solat ku dirikan tidak pernah jauh dari katil Faiq. Khuatir diriku tidak dapat menumpukan sepenuhnya pada solat sekiranya Faiq jauh dari pandangan mataku. Sungguh ku rasakan aku seorang insan yang benar-benar diuji keimanan dan kesabarannya. Ku amalkan jua ayat-ayat syifaa' dengan harapan Faiq akan terus kuat dalam menghadapi dugaan ini.

26 Oktober 2012


"Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Allahu Akbar.
Laa Ilaa Ha Ilallahu Allahu Akbar,
Allahu Akbar,
Walillaahil Hamd.."


Hari ini, umat Islam seluruh Malaysia menyambut Aidiladha. Sayup-sayup kedengaran takbir dilaungkan dari masjid yang terletak tidak jauh dari hospital. Bahkan takbir tersebut telah kedengaran sejak waktu Maghrib malam semalam. Terasa Aidiladha kali ini penuh kelainan. Di saat seluruh umat Islam yang lain bergembira menyambut hari kemenangan, menunaikan solat sunat Aidiladha, dan menjalani ibadat Qurban, aku disini setia menemani Faiq yang masih belum pulih walaupun telah diberi antibiotik Cefuroxime semalaman.

Suasana hari ini agak meriah dengan kehadiran sanak saudara para pesakit yang datang berkunjung melawat anak-anak yang ada di sini. Faiq tidak dilawati oleh sesiapa memandangkan tiada siapa yang tahu perihal kemasukan Faiq ke wad kecuali majikanku. Bahkan aku langsung tidak mewar-warkan di dalam Facebook tentang keadaan Faiq. Khuatir akan menjadi isu yang lebih besar sehingga menganggu emosiku dan keluargaku.

Faiq hanya dilawati oleh mama dan abah, serta AB. Keluarga mentuaku juga ada menjenguk Faiq pada admission yang pertama. Batuk Faiq tidak menunjukkan perubahan yang ketara. Masih berpanjangan dan kerap. Faiq selalu menahan batuknya menyebabkan keadaannya seolah-olah seperti mengerang kesakitan. Aku tidak dapat menggambarkan bagaimana keadaannya pada ketika itu, cukuplah sekadar menyatakan yang aku cukup terseksa melihatnya sedemikian.

Petang itu, nafasnya makin laju. Aku mengusulkan ini pada doktor dan setelah diperiksa, doktor menyatakan Faiq perlu diberi bantuan pernafasan, nasal prong sepertimana dia pernah gunakan pada admission yang lepas. Nebulizer terus diberikan untuk mencairkan kahak pada setiap 4 jam. Dan aku merasakan terlalu lelah memujuk Faiq kerana beliau sangat bencikan prosedur itu. Setiap kali ku mulakan, dia akan menangis dan menjerit-jerit kerimasan. Benci dengan wap ubat yang dipaksa masuk ke dalam hidungnya.

Nafas ku hela sepanjang mungkin. Melihat Faiq tertidur keletihan selepas menangis menyebakkan perasaanku.

Sampai bila Faiq akan terus begini, sayang?


*     *     *     *     *

Ku kira perjuangan Faiq masih panjang. Menjalani sebuah kehidupan bagi seorang Faiq serasa terlalu berat untuk dipikul untuk bayi seusianya. 

Aku perlu sedikit waktu untuk berkongsi kesudahan kisah Faiq kerana penceritaan ini sedikit sebanyak menganggu emosiku setiap kali mengingatkannya. Dalam entri yang akan datang, In Shaa Allah aku akan berkongsi pengakhiran episod tentang keadaan Faiq. In Shaa Allah. 


Entri sambungan :  Part 3










Sunday, 18 November 2012

Faiq : First Admission

Bismillahirrahmnirrahim.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani.


Ujian Allah itu hadir dalam pelbagai rupa.

Dan buat diri ini, Allah telah sediakan satu tugasan jiwa yang aku perlu hadapi secekalnya.

13 Oktober 2012
Seperti biasa, aku akan melawat Faiq apabila berkesempatan di rumah abah dan mama. Dan kunjungan aku pada kali itu, memperlihatkan Faiq tidak sesihat seperti sediakala. Faiq mengalami selsema dan batuk. Mungkin pada pendapat kalian, batuk dan selsema adalah perkara biasa bagi seorang bayi. Ya, aku juga berfikir sedemikian. Bahkan aku dulu memang selalu diserang virus itu. "Alah, pergi klinik, amik ubat, baik lah dia..." Mungkin ada juga yang berpendapat sedemikian. Ya, batuk dan selsema memang penyakit yang biasa dialami oleh kita semua.

Faiq telahpun dibawa ke klinik swasta pakar kanak-kanak untuk diberikan rawatan. Seperti biasa, Faiq akan diberi ubat-ubatan untuk menyembuhkannya. Namun, keadaan Faiq belum juga berubah. Dan aku juga dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

Untuk Faiq, ini bukan sesuatu yang biasa.


14 Oktober 2012
Aku telahpun pulang ke Terengganu meninggalkan Faiq yang masih belum pulih sepenuhnya dari serangan batuk dan selsema. Namun, petang itu, aku mendapat panggilan dari abah mengatakan Faiq bernafas laju dan abah bercadang untuk membawa Faiq ke hospital. Serasa guruh berdentum dalam hatiku.

Ya Allah....Faiq...

Aku bercadang untuk pulang segera setelah mendapat kelulusan dari Pengetua. Aku harus melihat Faiq! Cuti tu belakang kira. Yang penting, aku mahu pulang ke pangkuan Faiq. Aku pulang bersama AB ke Klang malam itu juga dan kami tiba di Hospital Tengku Ampuan Rahimah kira-kira jam 10 malam. Faiq ditempatkan di wad 6B, Wad Kanak-Kanak.

Sewaktu kakiku melangkah masuk ke dalam wad, aku amati suara halus yang sayup-sayup menyapa gegendang telingaku. Faiq! Aku melangkah laju mengikuti suara itu sehingga aku berada di hadapan katil bernombor 22. Aku melihat mama sedang memujuk Faiq yang sedang merengek-rengek keletihan. Ku lihat Faiq dipakaikan nasal prong pada hidungnya. Enggan minum susu, enggan tidur, enggan segalanya. Aku lantas mendakap Faiq dalam pelukanku. Faiq, Ya Allah, kenapa jadi macam ni sayang?

Malam itu, aku bermalam di wad. Aku belum tahu apa punca Faiq berkeadaan sedemikian rupa kerana doktor pakar hanya akan bertugas pada esok pagi. Aku perlu menunggu sehingga esok untuk mengetahui status keadaan Faiq. Malam itu juga, aku benar-benar dapat menjalankan tanggungjawabku sebagai seorang ibu dengan sempurna. Tugas yang selama ini telah aku pinjamkan pada ibu bapaku. Tugas-tugas asas seperti membancuh susu, mendodoikan Faiq, menukar diapers, menenangkan Faiq, mengusap belakangnya apabila dia mula batuk-batuk. Dan ya, batuknya bukan sekali, bukan dua kali. Tetapi acapkali. Dan setiap kali batuk, dia akan kehilangan rentak nafasnya. Dan setiap kali itulah, nafasnya mula laju dan tercungap-cungap.

Penguin nasal mask. Nurse yang bagi Faiq pakai. Cute kan. 



Ok, ni SpO2 machine. Yang 98 tu ialah peratus oksigen dalam badan Faiq, dan yang 161 tu heart rate dia. Faiq dah kenal mesin ni sejak dia lahir. :)

Faiq perlu guna nebulizer untuk cairkan kahak, seterusnya perlu disedut keluar kahak tu (suction method).

 15 Oktober 2012 - 19 Oktober 2012
Maka bermulalah hari-hari aku dan Faiq menghabiskan masa berdua di hospital yang penuh sesak dengan kanak-kanak dan bayi yang tidak sihat. Bukan aku enggan ke hospital swasta, bahkan, mama dan abah telah pun membawa Faiq ke salah sebuah hospital swasta, tetapi ditolak dengan alasan Faiq bayi pramatang, dan adalah lebih baik jika dia dibawa ke tempat dia dilahirkan kerana di sana terdapat rekod-rekod Faiq sejak dilahirkan. Ataupun mungkin mereka enggan menanggung risiko dalam merawat bayi pramatang? Wallahua'lam.

Doktor pakar membuat rondaan pada sekitar pukul 10 pagi. Doktor pakar yang bertugas di wad 6B itu seorang doktor perempuan berbangsa Tiong Hua, bercermin mata dan berambut separas bahu. Baik orangnya. Setelah meneliti x-ray Faiq yang telah dijalani olehnya semalam, Faiq disahkan menghidap pneumonia. Sejenis penyakit radang paru-paru.

Allahu Akbar. Berat sekali jantungku menerima berita ini. Pneumonia, penyakit yang pernah hampir meragut nyawanya sewaktu awal kelahirkan. Dan ya, Faiq mendapatnya sekali lagi, pada usia 8 bulan.

Susulan daripada penyakit itu, Faiq dibekalkan dengan antibiotik yang bernama Ampicilin dibantu juga dengan nebulizer setiap 2 jam sekali. Dan ya, Faiq amat bencikan nebulizer!

Faiq bencikan nasal prong juga. Habis ditenyeh-tenyeh hidung bila pakai benda ni. So, aku ambil inisiatif untuk mengubah kedudukan nasal prongnya untuk beberapa ketika. Hikhik.


Snap gambar untuk meredakan perasaannya.  :)


Ada suatu ketika Faiq langsung tidak dapat menyusu kerana tekaknya penuh kahak. Lalu Faiq terpaksa menyusu melalui tiub. Tiub yang halus itu dipasang melalui lubang hidungnya sehingga mencecah perut. Susu akan dimasukkan ke dalam tiub itu dan akan menuju terus ke perutnya. Aku tak punya gambar Faiq ketika ini. Malah tak sanggup mengambilnya untuk tontonan.

Faiq juga perlu menjalani suction untuk menyedut keluar kahaknya dari kerongkong dan hidung. Untuk prosedur ini, para jururawat yang akan menjalankannya. Dan aku tidak dibenarkan masuk ke bilik rawatan tersebut. Mungkin khuatir dengan keberadaanku di sana, akan mengganggu konsentrasi mereka (dan juga perasaan keibuanku.) Readers pernah melihat bagaimana suction dilakukan pada bayi? Jika pernah, readers akan tahu apa yang saya rasa.

Antibiotik Faiq perlu diberikan melalui jarum yang telah disetkan di tangannya. D an apa yang aku nak kongsikan disini, jarum Faiq perlu disetkan 5 kali sepanjang berada di wad hanya kerana tangannya yang suka mencabut tiub jarum tersebut berulang kali. +_+  Bermaksud Faiq perlu disuntik sekurang-kurangnya 5 kali untuk mendapatkan venanya yang halus. Bukan senang nak dapat urat hijau dia tu!

Setelah 7 hari mendapat antibiotik, suction, dan nebulizer, alhamdulillah, Faiq beransur pulih. Tetapi ada sesuatu yang merisaukan aku, Faiq mula mengalami cirit birit. Mengapa ye? Aku perasan tentang perkara ini sewaktu Faiq diberikan antibiotik Amoxycilin.  Ya, sebelum ini dia dibekalkan dengan antibiotik Ampicilin. Tetapi, setelah 4 hari, doktor telah menukarkan antibiotiknya kepada Amoxycilin dalam bentuk syrup (ubat minum) kerana Faiq sudah mula berselera untuk menyusu. Atau mungkin juga para doktor juga sudah letih untuk set jarum di tangan Faiq kerap tercabut angkara tangannya yang satu lagi tu? Huhu.

Berbalik pada isu cirit birit, aku telah mengusulkan pada doktor pakar. Dan ulasannya melegakanku.

"Effect antibiotic itu mungkin akan menyebabkan anak you cirit-birit. It's normal. The phlegm will be flush out from the lungs through the bowel."

Aku pun mengiyakan sahaja. Mestilah doktor lebih tahu, kan?


20 Oktober 2012
Hari ini hari Sabtu. Faiq telahpun diperiksa oleh doktor pakar. Menurut doktor, Faiq dibenarkan pulang hari ini berbekalkan antibiotik Amoxycilin yang perlu dihabiskan di rumah untuk 5 hari.

Just in case. Saje je letak towel atas kepala, so that nanti masa nurse datang cek demam, insyaAllah, suhu tak tinggi. And it works.

Baru lepas poopoo untuk kesekian kalinya. Haih, penatnya mama asik kena basuh poopoo Aaiq je.. +_+

Garu kepala yang bobo. ;)


Sejujurnya, aku sangat happy bila Faiq dapat juga pulang ke rumah setelah 7 hari di hospital. Pneumonia, hadir sekali lagi dalam hidup Faiq walaupun telah mendapat suntikan Pneumococcal. Sila ambil maklum, Pneumococcal vaccine hanya mencegah pneumonia yang diakibatkan oleh kuman jenis Streptococcus pneumoniae. Mungkin pneumonia yang dialami oleh Faiq adalah kuman dari jenis yang lain, di mana tidak dapat dicegah melalui vaksin ini. Wallahua'lam.

Pose sebelum discharge. 


Kisah Faiq tidak terhenti di sini. Akan ku kongsikan perkembangannya dalam entri seterusnya.

Faiq, perjuanganmu belum selesai, sayang.


Entri sambungan : Part 2