Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Kisah ini ku abadikan khas buat nadi jiwaku, Faiq Aqwa bin Faizol. Semoga menjadi pedoman bagi semua yang sedang mengikuti perjuangannya.
Entri ini merupakan susulan daripada entri sebelumnya.
* * * * *
"Beri laluan ye, encik.. Patient nak masuk ni."
" Maaf, mohon tumpang lalu sikit ye, tak muat stretcher nak masuk"
" Keluarga boleh tunggu kat luar tak, tak boleh masuk ramai-ramai ye. Suami je boleh masuk."
Sayup-sayup kedengaran suara halus para jururawat yang bertugas. Mataku terasa berat sekali. Entah berapa lama aku berada dalam keadaan separa sedar. Aku tidak pasti. Kali terakhir ku ingat cuma sewaktu Dr. Ramesh bertemu denganku, memperihalkan sedikit sebanyak kondisi bayiku ketika itu. Sejurus selepas itu, aku sama sekali tidak sedar dan tidak lagi peka terhadap keadaan sekeliling.
Cubaku dongak dan mahu sahaja ku angkat kepala, tapi tidak berdaya. Malah berpinar-pinar seketika di situ. Pening! Ku lawan juga rasa pening itu dengan menggagahkan diri untuk mendongak. Ku kira aku telah ditolak semula ke wad dari dewan bedah. Cuba mencari-cari wajah-wajah yang amat ku perlukan ketika ini.
"Fa..."
Aku cuba berpaling ke arah suara itu. Namun ku rasa pening ini semakin menjadi-jadi.
"Baby kita macam mana, abang?"
Soalan itu yang pertama ku ajukan. Lemah.
Suamiku tersenyum lalu membalas.
"Baby ok, Masa abang azankan, baby gerak-gerak kaki tangan semua..Sekarang ada kat wad 6D. Baby lelaki, Fa.."
Ada senyum terukir di bibirku. Mataku masih belum dapat ku buka sepenuhnya. Penangan ubat bius ini terlalu kuat untukku nampaknya! Aku mahu bertanya lebih banyak lagi tentang anakku. Anakku? Wah! Terasa janggal seketika diri ini dapat menggelarkan seseorang sebagai anak! Indahnya bergelar ibu! Syukur Ya Allah.
Sukar aku gambarkan di sini betapa bahagianya aku walaupun dalam keadaan lemah sebegitu. Bahagia sekali! Bahkan penerangan ringkas tentang anakku oleh suami sebentar tadi sedikit sebanyak melegakan hatiku yang bergelodak seketika sedari dalam bilik pembedahan lagi. Alhamdulillah, anakku selamat dilahirkan.
Tubuh terasa begitu lemah dan tidak bermaya. Aku sama sekali tidak mampu untuk mendongak. Pasti rasa mual menguasai. Pening dan loya. Lalu ku biarkan sahaja mata ini tertutup rapat, walaupun aku jelas mendengar bait-bait kata perbualan ibu-ibu yang sebilik denganku. Namun aku tak ambil pusing. Cukuplah dengan mengetahui yang bayiku berada dalam keadaan selamat dan sihat.
Suamiku sempat mengambil sebuah gambar bayiku sewaktu baru sahaja selesai dimasukkan ke wad 6D, NICU ( Neonatal Intensive Care Unit), Hospital Tengku Ampuan Rahimah, (HTAR).
Aku hanya mampu melihat anakku buat pertama kali menerusi gambar ini.
(17 Februari 2012, 10.30 pm)
Perkhabaran yang positif tu membuai aku yang mulai lena diulit mimpi. Ya, tubuh ini terasa letih benar selepas pembedahan. Benar-benar lemah. Hampir separuh badanku belum dapat berfungsi sepenuhnya dek kesan bius yang masih bersisa. Mataku layu dan terus tertutup rapat hampir 7 jam lamanya.
* * * * *
18 Februari 2012
"Puan, puan, maaf ye.. kami nak bersihkan badan puan sekejap ye,"
Kedengaran suara halus mengejutkan aku dari lena. Ku kerling jam yang tergantung di dinding kamar wad itu. Jam 5.00 pagi. Terlihat olehku beberapa orang jururawat sedang mengelilingiku sedia dengan alatan pembersihan untuk membersihkan tubuhku yang masih bersalut krim dan ubat-ubatan semasa pembedahan. Aku kurang pasti apa fungsinya.
Aku mengangguk dan membiarkan mereka membereskan tugas mereka.
Fikiranku mula menerajah teringatkan anakku. Apa khabar dia agaknya? Lalu aku bergegas mencapai handphone yang elok terletak di dalam laci. Pergerakanku perlahan, aku masih belum sembuh sepenuhnya. Kepalaku masih berat untuk ku dongak.
Ku cari-cari nama suamiku. Ah, ini dia! Lalu ku dail nombor tersebut dan pantas ada suara di sana yang menyahut.
"Hello...abang?"
"Ya,"
" Cepatnya jawab, tak tidur lagi ke?"
" Abang di hospital ni..."
Berderau seketika darahku. Hospital? Untuk apa? Aneh benar seseorang berada di hospital pada jam sebegini. Aneh!Aneh! Mengapa? Aku mula menduga yang tidak-tidak. Penasaran aku dibuatnya!
"Kenapa ada kat hospital lagi?"
Lama suamiku berjeda. Masing-masing diam. Aku masih lagi terpinga-pinga menantikan sebuah jawapan.
"Baby tengah kritikal Fa..."
Rasa mahu sahaja terlucut handphone dari genggamanku. Sekali lagi darahku berderau pantas. Kali ini lebih tajam menusuk-nusuk pembuluh darahku. Mataku berkaca. Tubuhku rasakan begitu dingin. Kakiku mula menggeletar. Lidahku kelu tanpa kata. Ah, sukar untuk aku luahkan bagaimana perasaanku ketika itu. Semestinya lebih dari apa yang boleh ku gambarkan dengan tulisan.
"Kritikal? Kenapa?"
Itu reaksiku setelah diam beberapa ketika.
"Entahlah, masalah pernafasan dia. Paru-paru dia sangat tak matang, sekarang bergantung sepenuhnya dengan mesin ventilator je.. Doktor call tadi, dia yang suruh datang segera ke hospital...Ni sekarang abang ada kat surau hospital ni, nak solat subuh...Nak baca Yassin sikit.. Fa pun doa lah ye untuk baby.."
Aduh, betapa luluhnya jantungku ketika itu. Masih terngiang-ngiang suara tangisan halus bayiku semalam. Masih terbayang-bayang lagi riak ceria suamiku ketika memaklumkan bayi kami selamat 7 jam lalu. Aku seakan-akan tidak percaya dengan apa yang baru ku dengar sebentar tadi. Serasa diriku berada dalam mimpi lagi barangkali.
Aku masih kaku disitu selepas memutuskan talian. Ligat mindaku memutarkan kembali saat-saat anakku masih berada dalam rahimku. Masih terasa lagi tendangan-tendangan halusnya yang mengusikku saban hari.
Aku sama sekali tidak dapat menerima berita yang sangat mengejutkan itu.
Lama rasanya aku termenung memikirkan nasib anakku. Ya Allah, kau selamatkanlah anakku dengan apa jua cara sekalipun. Aku belum sempat melihat wajahya. Belum sempat menyentuhnya. Belum sempat menyusukannya. Belum segala-galanya! Sungguh aku tidak mahu kehilangannya pada waktu ini. Berilah aku peluang untuk bersamanya dengan lebih lama. Pinjamkanlah anakku lebih lama untukku.
Lamunanku terhenti apabila seorang jururawat meminta keizinanku untuk memasukkan antibiotik melalui dripping. Aku membenarkan seraya sempat mengerling waktu yang sedang menginjak ke angka 8 pagi. Oh, sudah 3 jam lamanya aku termenung. Aku hanya memerhatikan sahaja perilaku jururawat itu memasang itu dan ini. Tingkah lakunya langsung tidak menarik minatku. Bahkan rasa sakit dicucuk untuk mendapatkan vena di pergelangan tangan tidak lagi kurasakan. Pilu hatiku kian bertambah. Lalu aku bersuara.
"Nurse, suami saya kata anak saya kritikal... Saya takut..."
Lama jururawat tersebut berjeda. Sambil menghela nafas, ini jawapannya.
"Sabarlah Puan..Kita kalau berada dalam keadaan ini kena banyakkan berzikir. Supaya hati kita tenang..Kena banyak bersabar..."
Ku lihat jururawat itu seperti melarikan matanya dari anak mataku. Tak sanggup melihatku dalam keadaan hiba itu barangkali. Aku mengangguk. Drip sudah siap dipasang. Lalu aku dibiarkan keseorangan kembali. Tangisan ini sudah tidak dapat ku bilang kali ke berapa aku titiskan. Terlalu banyak. Lebih hiba bila melihat rakan-rakan ibu yang sebilik denganku sedang bahagia menyusukan bayi masing-masing.
Jam sudah menunjukkan pukul 8.30 pagi. Aku cuba mendail kembali nombor suamiku. Beliau masih lagi berada di wad NICU. Katanya para doktor tidak membenarkan beliau untuk beredar dari situ. Bimbang apa jua kemungkinan boleh terjadi.
Aku jadi tak keruan. Lalu aku panggil jururawat yang kebetulan masuk ke bilik wad ku.
"Nurse, boleh tak saya nak tengok anak saya kat wad 6D?"
"Tak boleh Puan... Kalau pesakit yang cesar (bedah) kita takkan bagi tengok baby kat sana sebab condition puan lemah lagi. Tengok ni beg urine pun tak dibuka lagi. Tak boleh Puan...Bila doktor buat round, nanti puan cuba minta kebenaran dia ya..."
Urine bag memang perlu dipasang pada semua ibu yang menjalani pembedahan. Aku merenung urine bag tersebut. Ya, masih lagi belum ditanggalkan. Dan untuk menanggalkannya perlu mendapatkan kebenaran doktor. Bermakna aku perlu menunggu waktu ketibaan doktor selama 3-4 jam lagi.
Aku tidak berputus asa. Lalu ku panggil staffnurse yang bertugas. Beliau merupakan ketua jururawat yang menjaga wad ini. Aku usulkan sekali lagi niatku. Staffnurse itu dalam lingkungan 30-an. Lalu ku membahasakan dirinya kakak.
"Kak, boleh tak saya nak tengok anak saya, sekejap aja kak..Tolonglah, anak saya tengah kritikal sekarang kat wad 6D... Saya takut tak sempat....."
Kata-kataku mati disitu. Tak sanggup rasanya untuk meneruskan. Tak sanggup rasanya untuk membayangkan segala kemungkinan.
Staffnurse tersebut diam. Barangkali beliau juga simpati dengan situasiku. Ya, aku yakin beliau juga seorang ibu. Beliau seharusnya mengerti perasaanku ketika itu.
"Ok lah. Tapi jangan cakap dengan doktor tau yang akak bagi kebenaran. Patutnya tak boleh ni sebab urine bag tak tanggal lagi..."
Aku mengangguk dan tersenyum.
"Terima kasih kak...."
Beliau mengarahkan seorang jururawat supaya mendapatkan kerusi roda dan menemaniku ke wad anakku. Urine bag aku sorokkan di sebalik kain yang ku pakai. Takut terlihat oleh sesiapa yang memandang. Perlahan-lahan aku mengesot dari katil turun ke kerusi roda tersebut. Ngilu dan kejang menguasai diri. Kepalaku juga terasa berat sekali. Mencucuk-cucuk urat sarafku!! Aduh, azabnya! Patutlah, doktor menghalang ibu-ibu sepertiku untuk bergerak ke mana-mana. Sakit dan peritnya tak dapat ku gambarkan di sini. Namun demi bayiku, aku gagahkan jua kudratku untuk melihatnya buat pertama kali.
Setibanya di pintu masuk wad 6D, jururawat memaklumkan kepada pengawal keselamatan yang bertugas menjaga wad tersebut. Beliau membenarkan lalu membuka pintu wad dengan menggunakan kad imbasan khas. Sungguh ketat pengawalan di wad ini, getus hatiku.
Sebaiknya masuk ke dalam wad, tiada tangisan bayi yang menyambut ketibaan kami. Sunyi. Sepi. Yang rancak berdendang cumalah bunyi-bunyi mesin yang bertalu-talu memecah keheningan. Ku pandang kiri dan kanan. Terdapat pelbagai mesin yang menghalang laluan kami. Inkubator-inkubator juga memenuhi ruangan jalan. Aroma pencuci lantai khas juga menusuk deriaku sedari tadi. Begitu rapi penjagaannya di sini. Patutlah hanya ibu dan bapa bayi sahaja dibenarkan masuk ke wad ini. Ku dapati wad tersebut mempunyai bilik-bilik khas yang menempatkan bayi-bayi pramatang dan bayi-bayi yang mempunyai masalah serius. Setiap bilik menempatkan lebih kurang 5 atau 6 orang bayi. Setiap bayi tersebut diletakkan dalam inkubator masing-masing. Ada yang memerlukan bantuan pernafasan menggunakan ventilator. Ada yang tidak. Bergantung kepada keupayaan bayi-bayi tersebut.
Kami melewati satu demi satu bilik yang penuh dengan bayi. Setiap sebuah bilik ditempatkan seorang jururawat untuk menjaga bayi-bayi tersebut. Para jururawat dan doktor tidak lagi berpakaian sebagaimana yang pernah kita lihat, tetapi memakai satu sut khas berwarna biru khusus untuk wad ini.
Mataku melilau mencari kelibat suamiku. Ah, itu dia. Duduk di sofa yang disediakan sambil memegang helaian Yassin di tangannya. Telan liur aku menahan sebak.
Suamiku meluru ke arah ku dan mengambil alih tugas menolak kerusi roda daripada jururawat yang mengiringiku tadi, memimpinku ke sebuah bilik yang berlabel BILIK ICU 6. Lalu memapahku berdiri dan membawaku ke sebuah inkubator berisi seorang bayi. Berdebar-debar hatiku saat ini.
Tatkala pertama kali aku menatap wajahnya, airmata tak berhenti bercucuran. Hibanya bila melihat sesusuk tubuh kecil yang cukup sifatnya dicucuk-cucuk dengan pelbagai alatan medikal. Sebuah mesin ventilator diletakkan di sisi bayiku lalu disambungkan terus ke paru-paru anakku melalui mulutnya. Bertampal-tampal plaster di sekeliling mulut si kecil yang ternganga itu. Tubuhnya juga tidak dipakaikan apa-apa, hanya berlapikkan diapers. Ku perhatikan juga anakku disambung dengan mesin pengesan nadi, juga pusatnya yang masih merah di sambung ke satu alat medikal. Tak ku pasti apa fungsinya.
Bunyi mesin ventilator yang bingit menyesakkan nafasku. Aku merenung mesin itu di mana skrinnya menunjukkan pergerakan pernafasan anakku, membentuk suatu graf yang berbukit-bukit. Suatu perkataan bertulis WARNING berwarna merah berkelip-kelip menandakan mesin tersebut telah diubah kekuatannya (volume) semaksimum mungkin. Ya, anakku tidak dapat bernafas sendiri. Mesin tersebutlah yang membantunya bernafas.
Pandanganku beralih semula kepada anakku. Ku lihat dadanya turun naik cuba bernafas berbantukan ventilator. Aku tidak pasti berapa lama lagi waktu yang ku ada untuk dia terus bersamaku. Seperti cinta pertama, aku jatuh hati dengan dengan hanya pandangan pertama. Naluri keibuanku mula bercambah. Begini rasanya perasaan seorang ibu. Indah dan suci sekali.
Kami dibenarkan untuk menyentuh bayi kami melalui lubang inkubator dengan syarat tangan perlu dicuci dengan pencuci khas yang disediakan untuk mengelakkan jangkitan kuman. Bayi pramatang sangat mudah mendapat jangkitan dengan apa jua virus yang menular. Maka penjagaannya perlu seteliti mungkin. Setelah mencuci tangan, perlahan-lahan aku membuka lubang inkubator. Terketar-ketar jari ini sewaktu menyentuhnya. Bayiku diam tidak berkutik. Halus dan lembut sungguh kulitnya! Betapa gembiranya aku ketika itu dapat menyentuh zuriatku sendiri! Aku tahu perasaanku agak berlebihan ketika ini namun apalah lagi yang boleh diharapkan oleh seorang ibu yang terdesak sepertiku? Menyentuhnya sahaja merupakan suatu kegembiraan yang sukar diungkapkan! Benar-benar mengujakan!
Sewaktu aku leka mengusap lembut bayiku, seorang doktor mula menghampiri kami. Doktor perempuan muda berkaca mata, kurus dan tinggi orangnya. Rambutnya ditocang satu dan lengkap berpakaian sut biru seperti mana yang aku gambarkan sebelum ini.
"Puan ni ibu dia ke?"
Aku pantas mengangguk. Lalu ku keluarkan tanganku lantas menutup semula lubang inkubator tersebut.
"Macam mana doktor, dengan keadaan anak saya?"
Doktor tersebut menghela nafas yang panjang sebelum memberikan jawapan.
"Susahlah puan. Paru-parunya sangat kecil dan tidak matang. Puan tengok mesin ini, kami dah ubahkan ke volume tertinggi dan ini bermaksud anak puan tak boleh bernafas sendiri.. Puan tengok dia, dia juga tak ada respon bila kita menyentuhnya. Errr.... kami juga mendapati otaknya juga mempunyai pendarahan. Itu pun merupakan satu masalah, tapi apa yang lebih penting sekarang kami cuba fokus pada pernafasannya dulu. Kami juga dapati anak puan pucat, kekurangan darah."
Airmataku mengalir di hadapan doktor tersebut. Tak dapat ditahan-tahan lagi.
"Berapa chances of survivalnya doktor?"
Sambil membetulkan cermin matanya, doktor muda tersebut berkata :-
"Susah nak cakap...Sangat kurang la puan. Tapi kami cuba yang terbaik."
Jawapan itu sudah cukup mematikan angan-anganku untuk terus bersama bayiku. Aku tahu aku harus menerima kenyataan ini. Aku mungkin kehilangannya buat selama-lamanya. Dan aku harus mempersiap diriku secara fizikal dan mental untuk menerima kemungkinan yang maha hebat ini. Apa lagi yang mampuku harapkan apabila seorang pegawai perubatan memperihalkan kondisi anakku yang sebegitu? Aku tidak mahu mengharap lebih dari yang sepatutnya.
Jururawat yang menemaniku tadi memaklumkan yang kami harus pulang ke wad dengan segera takut-takut kalau ada doktor yang bertanyakan tentangku. Berat rasa hatiku ingin meninggalkan mujahidku yang satu ini. Mahu sahaja aku menemaninya sehingga ke penghujung. Memberikannya semangat untuk terus melakar sebuah kehidupan walaupun dalam keadaan tenat sebegitu. Berbual dengannya tentang keindahan dunia ini walaupun penuh dugaan yang harus ditempuh. Menyentuhnya sehingga dia dapat merasakan kasihku yang tak pernah bertepi. Aku mahu terus bersamanya!
Akur dengan arahan jururawat, aku pulang juga ke wad selepas mengambil masa beberapa minit menatap wajah bayiku sebelum beredar. Suamiku sempat merakamkan video anakku waktu itu. Namun maaf, aku tak punya kekuatan untuk kongsikannya di sini. Terlalu hiba untukku dan suami. Biarlah koleksi video tersebut menjadi terus menjadi simpanan peribadi kami. Maaf sekali lagi.
Malam itu aku tidak dapat tidur nyenyak di wad. Bimbang dengan bunyi telefon yang mungkin ku terima memaklumkan berita-berita yang tak ku ingini. Suamiku masih menginap di rumah mama dan abah. Beliau mengambil cuti seminggu untuk menguruskan aku dan bayi kami. Sungguh, ku rasakan kasih sayang antara kami semakin kuat dengan hadirnya dugaan sebegini. Kehadiran bayi ini sedikit sebanyak mengukuhkan hubungan kami suami isteri. Tidak ketinggalan juga abah dan mama yang banyak menolong memberikan semangat kepadaku. Abah cuba memahamkan aku erti pengorbanan. Aku tahu itu. Namun hati ini enggan melepaskannya pergi andaikata itulah yang tersurat untukku di Loh Mahfuz. Aku tak mahu melepaskan anakku pergi! Aku tidak sanggup!
19 Februari 2012
Hari ini aku dibenarkan discharge dari wad selepas mendapat kebenaran dari Dr. Ramesh, pakar perbidanan yang bertanggungjawab membedahku tempoh hari. Masihku ingat kata-kata beliau sebelum beredar dari kamarku ketika itu.
Farrah, I've saw your baby just now. He's still on ventilator. But don't worry. The most important thing now is you yourself have to be very strong. Try to talk as much as you can to the baby. He's listening. He really needs your touch. Try to talk and touch him frequently. I'll see you in 3 months time and we'll see how's your baby's progress during that period.
3 bulan. Aku tak sanggup memikirkan apa yang bakal berlaku dalam tempoh 3 bulan. Melihatnya dalam masa 5 minit sebentar tadi dalam keadaan sebegitu sahaja sudah cukup membebankan mata hatiku. Inikan pula 3 bulan. Ah, Dr. Ramesh hanya cuba bersikap optimis terhadapku yang sememangnya memerlukan motivasi dan kata-kata positif di kala ini. Aku tahu itu cuma teknik reversed psychology untuk membantuku bersikap lebih positif dalam kehidupan.
Petang itu, suamiku menjemputku di wad. Kami bercadang untuk menjenguk bayiku yang masih belum bernama itu sebelum pulang ke rumah.
Maka sekali lagi aku melewati bilik-bilik di ICU dengan penuh rasa hiba. Terpaksa menghidu aroma kuat pencuci lantai khas yang menjadi identiti wad ini. Bahkan aku juga terpaksa menadah telinga mendengar bunyi mesin-mesin yang sangat mengerikan. Melewati bayi-bayi yang diam tidak berkutik dalam inkubator masing-masing. Kadangkala aku terfikir, dalam zaman serba moden kini ramai belia yang sempurna dan matang akalnya bertindak bodoh memilih untuk membunuh diri sewenang-wenangnya sedangkan bayi-bayi yang hanya berusia beberapa hari di sini berjuang berhabis-habisan untk mencicip sebuah kehidupan. Ironik bukan?
Bilik ICU 6. Seramai 6 orang bayi ditempatkan dalam bilik ini, masing-masing membawa kisah perjuangan yang tersendiri. Mataku terus tertumpu pada sebuah inkubator yang berhampiran dengan pintu masuk, melihat mujahidku bergelut sendirian tanpa aku menemaninya seperti bulan-bulan sebelum kelahirannya. Kali ini, aku memberanikan diri dan menguatkan semangatku untuk berbual dengannya, untuk pertama kali.
"Assalamualaikum baby.. Ni mama datang ni.. Abah pun ada. Mama sayang sangat-sangat pada baby. Lama dah mama tunggu saat ini sayang. Dah lama mama nak jumpa baby, sejak baby tinggal dalam perut mama lagi. Mama harap baby terus sabar dan tabah ye sayang...Sikit je lagi ni.. Nanti baby sihat, kita boleh balik, jumpa Tok Ma, Tok Abah.. Nanti kita boleh balik Terengganu, jumpa Opah dan Aki.. Semua sayangkan baby. Baby kena sabar sikit ye sayang..Anak mama kan kuat orangnya..ye sayang ye?"
Perbualanku dengannya disulami airmata yang tak berhenti mengalir. Aku sungguh-sungguh beremosi ketika itu. Demi Allah, aku sungguh lemah ketika berhadapan dengan situasi yang cukup pilu itu. Aku sedar, aku sepatutnya menunjukkan sisi positifku padanya, tapi apakan daya, aku tak mampu menahan rasa sebak yang mencengkam. Ku pegang dan ku elus tangan dan jemarinya sepuas hatiku. Ku sentuh pula dahinya yang halus serta wajahnya yang jernih. Allahuakbar, Kau ciptakan seorang zuriat yang cukup sempurna di mataku!
Kami pulang dengan hati yang kosong. Tiada apa yang mahu kami omongkan dalam kereta. Masing-masing lebih selesa melayan perasaan masing-masing. Kondisiku masih belum stabil. Keadaanku masih lemah dengan sakit kepala yang belum lagi berkurangan. Leherku juga terasa lenguh sekali. Kakiku sudah dipakaikan stokin seperti ibu-ibu berpantang yang lain. Wajahku juga pucat tidak terurus dek memikirkan masalah yang cukup berat untukku pikul.
20 Februari 2012
Faiq Aqwa bin Faizol. Kami telah sepakat memilih nama tersebut untuk bayi kami. Nama yang bertemakan kekuatan dan kecekalan dengan harapan mujahidku itu sekuat dan secekal namanya. Nama yang dipilih sendiri oleh suamiku. Ya, aku juga bersetuju dengan pilihan itu.
Suamiku adalah antara insan yang paling sibuk ketika ini. Menjenguk Faiq di hospital pagi dan petang. Menceritakan keadaannya kepadaku apabila pulang ke rumah. Mengambil video Faiq khas untuk tatapan pengubat rinduku yang sedang berpantang. Aku juga pernah mengusulkan untuk turut serta menjenguk Faiq di NICU, tetapi ditegah olehnya. Katanya aku masih lemah. Dan aku akui itu. Tubuhku sangat lemah selepas pembedahan. Berjalan selangkah pun kurasakan bebanan yang menyeksakan. Perit dan ngilu masih menguasai di bahagian yang telah dibelah 3 hari yang lalu.
Pagi itu, setelah pulang dari hospital melawat Faiq, suamiku memaklumkan bahawa kekuatan ventilator telahpun dikurangkan oleh para doktor. Alhamdulillah, syukur Ya Allah! Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Walaupun Faiq masih perlu bernafas berbantukan ventilator, tetapi berita tersebut amat menggembirakan diriku. Perubahan yang kecil, tetapi membawa makna yang sungguh istimewa. Perubahan-perubahan kecil inilah yang mendorongku supaya lebih bersemangat meniti kehidupan hari-hari mendatang. Aku tidak mengharapkan lebih, cukuplah sekadar aku tahu Faiq masih terus berjuang dari sehari ke sehari. Aku tidak pernah menaruh harapan yang terlalu tinggi, tetapi cukuplah sekadar aku tahu Faiq sedang berusaha keras untuk terus mempertahankan nyawanya. Mama cukup bangga dengan kecekalanmu, sayang!
21 Februari 2012
Hari ini merupakan hari keempat sejak kelahiran Faiq. Seakan tidak percaya, Faiq mula menunjukkan perubahan yang positif terhadap pernafasannya. Dari ventilator, akhirnya Faiq diberi kepercayaan oleh doktor untuk menggunakan SiPAP . SiPAP merupakan sejenis alat bantuan pernafasan, hampir serupa dengan ventilator, tetapi digunakan untuk bayi-bayi yang telah menunjukkan perubahan positif terhadap pernafasannya. Dalam ertikata lain, SiPaP digunakan untuk bayi-bayi yang sudah mampu bernafas sendiri tetapi masih memerlukan bantuan oksigen.
Sejak 4 hari kelahirannya, Faiq belum pernah dapat merasai setitis susu ibu atas sebab-sebab yang tertentu oleh para doktor. Penggunaan ventilator sebelum ini menyebabkan Faiq terpaksa berpuasa. Beratnya mulai susut ke 1.2kg. Ini dapat ku lihat jelas dalam gambar yang suamiku titipkan, Faiq kelihatan kurus sekali. Pehanya tidak berisi langsung. Hanya kulit dan tulang sahaja yang membaluti.
Pada hari inilah, Faiq dibenarkan untuk meminum sedikit susuku tetapi hanya sebanyak 5ml bersamaan dengan 1 sudu besar. Alhamdulillah! Ini penting bagi memantau sistem penghadamannya sama ada Faiq boleh menerima makanan atau sebaliknya. Faiq tidak dapat meminum susu seperti mana bayi-bayi lain. Susu harus disalurkan oleh jururawat menggunakan tiub yang dipasang pada mulutnya di mana tiub ini disambung sehingga ke dalam perutnya.
Riang rasa hatiku mendengar khabar yang di bawa oleh suami.. Patutlah sedari semalam air susuku semakin membanyak walhal sebelum ini sejurus selepas kelahiran Faiq, tidak ada setitis pun yang terhasil. Mungkin sudah sampai rezeki Faiq. Alhamdulillah, Faiq sudah boleh merasai susuku.
Menurut jururawat, susuku harus diperah dan dimasukkan dalam bekas-bekas kecil seperti bekas dadih. Lalu dengan sedaya upaya aku cuba memerah sebanyak mungkin. Dalam keadaan yang masih lemah, dan sakit kepala yang semakin menjadi-jadi, bukan sesuatu yang mudah untukku melaksanakan tanggungjawab itu. Namun demi Faiq, namakan saja apapun, aku sanggup!
22 Februari 2012
Ku usulkan pada suamiku, hari ini aku mahu menjenguk Faiq. Sudah terlalu rindu rasanya hati ini pada anakku nan satu itu. Video-video Faiq kiriman suamiku sebelum ini seakan tidak puas ku tatap. Aku mahu melihat sendiri zuriatku. Berbual-bual lagi dengannya walaupun Faiq diam tanpa respon. Aku mahu menceritakan betapa aku rindu padanya, rindu ingin mendakapnya dalam pelukanku seperti ibu-ibu lain lakukan, rindu untuk mencium bau wangi seorang bayi yang suci dan sempurna. Benar aku sungguh ingin melakukan semua itu!
Suamiku membenarkan. Aku tahu, aku belum sembuh sepenuhnya. Namun ku gagahkan jua ke hospital dalam keadaan itu. Berjalan setapak demi setapak dengan langkah yang perlahan, aku teruskan jua walaupun terpaksa memegang bahagian pembedahan yang masih berbisa. Setibanya di NICU, aku terus menuju ke inkubator yang sama sebelum ini. Inkubator yang berisi seorang bayi kecil namun kental semangatnya.
"Assalamualaikum Faiq..."
Ketika ini air mata tidak dapat ditahan-tahan lagi. Ku abaikan sahaja mata-mata yang memandang. Jururawat yang lalu lalang juga seakan faham perasaanku ketika itu membiarkan aku tenggelam dalam duniaku sendiri. Dan setengah jam lamanya aku berdiri di sisi inkubator itu tanpa jemu memberikan kata-kata semangat untuknya terus berjuang. Indah sungguh pengalaman itu. Ku ambil sedikit air zam-zam dari rumah lalu ku calitkan sedikit di ubun-ubunnya. Berdoa pada Allah supaya terus memberikan Faiq Aqwaku kekuatan dan kecekalan diiringi doa-doaku yang tidak pernah putus untuknya.
25 Februari 2012
Sudah seminggu lamanya Faiq mula bertatih sebagai seorang khalifah cilik di dunia ini. Selama seminggu juga aku terlantar di katil menahan sakit selepas pembedahan yang masih belum pulih sepenuhnya. Dalam tempoh satu minggu itu juga kami hanya mampu mendoakan Faiq agar dia semakin bersemangat menjalani hari-harinya seorang diri tanpa kami di sisinya. Semakin tabah melalui kesakitan dan keperitan atas nama sebuah kehidupan. Suamiku baru sahaja pulang menunaikan kembali tugas beliau di Terengganu. Kini aku kembali keseorangan meniti hari-hari yang sepi bersama mujahidku yang masih cekal berjuang di NICU.
Tanpa suami di sisi, ku kira bukan mudah untukku galas tanggungjawab ini seorang diri. Setiap hari, walaupun keadaanku tidak sesihat mana, aku pasti akan menjenguknya, bersamanya, tidak berhenti memberinya perangsang agar dia tahu aku sentiasa bersamanya hingga ke hujung nyawanya. NICU ku rasakan seperti rumah keduaku. Bahkan aku menghabiskan sebahagian besar masaku untuk terus bersama Faiq. NICU di HTAR tidaklah semewah mana. Hanya berlatarkan sebuah sofa kecil, aku duduk di situ sepanjang hari membawa bersama senaskhah Yassin dan tasbih elektronik pemberian suamiku. Zikirku tanpa henti, mengharapkan belas kasih Allah swt untuk terus memberikanku kekuatan dan keajaiban buat Faiq.
Begitulah rutinku setiap hari. Setiap tengah hari, aku pasti akan datang berbekalkan stok susuku yang ku perah di rumah. Membawa bersama bekas ais berisi susu yang telah dipekkan dalam bekas-bekas kecil, aku jugalah yang akan meletakkan bekalan susu di dalam peti ais khas yang disediakan di NICU. Setelah menjenguk Faiq beberapa minit di inkubatornya, aku duduk kembali di sofa dan mula membuka naskhah membaca tafsir Yassin dan surah-surah yang lain. Usai membaca, aku kembali menjenguk Faiq yang lena dalam inkubator. Berbual dengannya, menyentuhnya, menukarkan lampinnya, mencuci najisnya, aku mula belajar menjadi seorang ibu, walaupun situasiku mungkin sedikit berbeza daripada ibu-ibu lain. Aku bahagia begitu. Bahagia melihat sendiri zuriatku di depan mata. Ini lebih mendamaikan daripada aku terus berehat rumah berjauhan dengan Faiq.
Rutin pantangku tidak ku jaga mana. Ah, di waktu sebegini, ketrampilanku bukan lagi menjadi fokus utama. Aku akui, sedikit sebanyak bentuk fizikalku mula melebar. Apatah lagi selepas menjalani pembedahan. Tetapi percayalah, menjadi seorang ibu yang terdesak sepertiku, aku tidak menganggapnya suatu kewajipan yang perlu kuutamakan. Faiq lebih memerlukanku.
29 Februari 2012
Buat pertama kalinya, Faiq menunjukkan perubahan yang cukup signifikan bagiku :-
Faiq telah cuba sedaya upaya untuk membuka matanya buat pertama kali!
Alhamdulillah! Terasa ingin sahaja ku sujud di lantai NICU itu melafazkan syukur. Air mata kegembiraan mula bercucuran membasahi pipi. Faiq anak mama yang kuat! Sempat aku abadikan gambar ini sewaktu dia bersusah payah cuba membuka matanya Seperti mana yang dapat dilihat, Faiq sudah mula diberi kelonggaran untuk menggunakan air tube sebagai ganti penggunaan SiPAP sebelum ini. Air tube ini merupakan langkah susulan selepas bayi dapat menyesuaikan pernafasannya dengan lancar. Maka, SiPAP tidak lagi diperlukan oleh Faiq buat masa ini. Para doktor sedang melatihnya bernafas dengan menggunakan air tube sahaja supaya kelak apabila benar-benar pulih Faiq dapat bernafas normal seperti orang lain.
Walaupun begitu, apabila ku amati, ku dapati pernafasan Faiq sangat laju. Ku cuba mengerling pada bayi-bayi yang sebilik dengan Faiq, tidak pula ku lihat pernafasan mereka selaju itu. Lalu ku usulkan pada jururawat tentangnya. Setelah mendapat penerangan dari doktor, jururawat tersebut memaklumkan bahawa pernafasan bayi pramatang yang pernah menggunakan ventilator memang begitu. Tetapi ada kemungkinan juga Faiq mendapat jangkitan dalam tubuhnya. Para doktor akan terus memantau keadaan Faiq dan membuat pemeriksaan selanjutnya terhadap masalah itu.
Mataku juga tertancap pada sekeping kertas yang dilekatkan pada inkubator Faiq yang bertulis "Brain Ultrasound on 5th April 2012". Brain ultrasound? Oh ya, baru ku teringat. Faiq mempunyai pendarahan dalam otaknya sejurus selepas kelahirannya. Mungkin kerana inilah Faiq perlu menjalani brain ultrasound untuk melihat bagaimana perkembangan isu tersebut. Ada sedikit getar di hatiku. Ya, siapa tidak takut apabila anak berdepan dengan masalah yang melibatkan otak? Bismillahi Tawakkaltu 'alallah. Ku berserah hanya padaMU Ya Allah.
6 Mac 2012
Pagi itu aku mendapat panggilan dari hospital. Berdebar-debar hati ini tatkala melihat di dinding skrin nombor yang tertera. Pihak hospital memaklumkan mereka memerlukan tandatanganku sebagai pengesahan memandangkan Faiq perlu menjalani pemindahan darah dengan segera. Serta-merta jantungku berdegup kencang. Pemindahan darah sekali lagi? Apakah anakku masih kekurangan darah?
Aku segera ke hospital sejurus selepas bersiap ala kadar. Bekas ais berisi susu perahan ku bawa seperti biasa. Melulu menuju ke wad 6D, aku terus ke bilik ICU 6 tempat dimana Faiq ditempatkan. Agak aneh pintu bilik tersebut bertutup dan berlabel "Procedure In Progress". Aku tidak dibenarkan masuk menjenguk Faiq seperti selalu. Mungkin ada kes baru yang tiba memerlukan para doktor untuk menjalankan prosedur dan rawatan dengan segera.
Ku cuba menjengket dan mengintai di balik langsir pada cermin tingkap bilik itu. Ku dapati ada beberapa orang doktor termasuk doktor pakar sedang mengerumuni inkubator seorang bayi. Adakah itu Faiq? Hatiku cuba berteka-teki. Apakah panggilan tadi menandakan keadaan Faiq tidak senormal sediakala? Celaru dan keliru! Aduh, aku benci perasaan ini!
Tanpa berlengah, aku terus bertanyakan kepada seorang jururawat yang baru sahaja keluar dari bilik tersebut.
Aku mengangguk. Nafasku hela panjang. Lega. Bukan Faiq yang dimaksudkan. Pasti ada seorang bayi sedang diperiksa oleh para doktor. Apakah masalahnya tidak pula ku tahu. Namun aku menjangkakan pasti para doktor sedang berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk bayi itu.
Beberapa jam lamaya aku duduk di luar pintu bilik ICU 6. Lama benar prosedur tersebut. Sedari tadi aku belum berkesempatan untuk menjenguk Faiq. Surat pengesahan pemindahan darah telahpun ku tandatangani. Lalu aku mengambil keputusan untuk pulang dahulu ke rumah memandangkan hari sudah beransur tengah hari. Stok susu baru juga perlu diperah untuk bekalan Faiq esok. Aku bercadang untuk kembali semula petang ini.
Petang iu, mama menghantarku semula ke hospital. NICU pada ketika itu sungguh lengang. Tidak sesibuk pagi tadi. Pintu bilik ICU 6 juga telah dibuka kembali menandakan ibu bapa sudah dibenarkan menjenguk anak masing-masing. Ku kira prosedur pagi tadi sudahpun selesai.
Ku hampiri Faiq seperti biasa. Nampaknya Faiq telah dimasukkan darah melalui sebuah tiub khas. Beg darah berlabel B digantung berhampiran inkubatornya. Darah jenis B, Faiq mewarisi jenis darahku. Aku juga dapati Faiq memakai bantuan oksigen jenis SiPAP kembali. Lalu aku usulkan ini kepada doktor yang bertugas. Dr Vicky namanya.
Dr. Vicky melaporkan bahawa Faiq perlu diberi antibiotik dan bantuan oksigen SiPaP kembali kerana pernafasannya terlalu laju, tidak senormal bayi lain. Sekiranya keadaan ini terjadi, bermakna bayi mungkin mengalami kesukaran untuk bernafas ataupun tubuhnya telah dijangkiti kuman. Sampel darahnya sudah diambil dan telah dilakukan pemeriksaan lanjut.
Aku mengangguk. Betapa berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Begitulah keadaanku kini. Rasanya aku sudah semakin kuat untuk menghadapi segala kemungkinan. Ku hanya menyerahkan nasib Faiq kepada Yang Maha Esa. Berharap masih ada sinar harapan untuk anakku terus sihat seperti anak-anak yang lain.
16 Mac 2012
Alhamdulillah... genap sebulan Faiq dilahirkan dan sebulan jugalah Faiq masih dirawat di NICU. Memang benar, seminggu yang lalu, kondisi Faiq kurang memberangsangkan memandangkan Faiq menghadapi masalah dengan pernafasannya. Namun, dengan keizinan Allah beserta kepakaran para doktor di wad ini, Faiq mula menunjukkan perubahan. Pernafasannya makin pulih. Alhamdulillah.
Hari ini, aku mendapat khabar bahawa Faiq akan dipindahkan ke Nurseri 3, Wad 6C, Special Care Nursery (SCN), HTAR memandangkan kondisinya yang semakin baik dari sehari ke sehari. Ini merupakan prosedur yang dilakukan oleh pihak hospital, agar bayi-bayi yang diyakini semakin sihat dan mencukupi berat optimum akan dipindahkan ke SCN untuk memberi laluan kepada bayi-bayi bermasalah yang lain pula dirawat di NICU. Sebak aku mendengarnya. Faiq akan pulih! Faiq akan sihat! Sesuatu yang tidak pernah kujangkakan sejak kelahiranya yang penuh mendebarkan. Diam tak diam, Faiq membesar dengan baik dan pernafasannya juga semakin hari semakin pulih. Kini, Faiq tidak perlu lagi bernafas berbantukan mesin. Faiq boleh bernafas sendiri! Akhirnya! Alhamdulillah, syukur Ya Allah!
Mataku juga tertancap pada sekeping kertas yang dilekatkan pada inkubator Faiq yang bertulis "Brain Ultrasound on 5th April 2012". Brain ultrasound? Oh ya, baru ku teringat. Faiq mempunyai pendarahan dalam otaknya sejurus selepas kelahirannya. Mungkin kerana inilah Faiq perlu menjalani brain ultrasound untuk melihat bagaimana perkembangan isu tersebut. Ada sedikit getar di hatiku. Ya, siapa tidak takut apabila anak berdepan dengan masalah yang melibatkan otak? Bismillahi Tawakkaltu 'alallah. Ku berserah hanya padaMU Ya Allah.
6 Mac 2012
Pagi itu aku mendapat panggilan dari hospital. Berdebar-debar hati ini tatkala melihat di dinding skrin nombor yang tertera. Pihak hospital memaklumkan mereka memerlukan tandatanganku sebagai pengesahan memandangkan Faiq perlu menjalani pemindahan darah dengan segera. Serta-merta jantungku berdegup kencang. Pemindahan darah sekali lagi? Apakah anakku masih kekurangan darah?
Aku segera ke hospital sejurus selepas bersiap ala kadar. Bekas ais berisi susu perahan ku bawa seperti biasa. Melulu menuju ke wad 6D, aku terus ke bilik ICU 6 tempat dimana Faiq ditempatkan. Agak aneh pintu bilik tersebut bertutup dan berlabel "Procedure In Progress". Aku tidak dibenarkan masuk menjenguk Faiq seperti selalu. Mungkin ada kes baru yang tiba memerlukan para doktor untuk menjalankan prosedur dan rawatan dengan segera.
Ku cuba menjengket dan mengintai di balik langsir pada cermin tingkap bilik itu. Ku dapati ada beberapa orang doktor termasuk doktor pakar sedang mengerumuni inkubator seorang bayi. Adakah itu Faiq? Hatiku cuba berteka-teki. Apakah panggilan tadi menandakan keadaan Faiq tidak senormal sediakala? Celaru dan keliru! Aduh, aku benci perasaan ini!
Tanpa berlengah, aku terus bertanyakan kepada seorang jururawat yang baru sahaja keluar dari bilik tersebut.
"Tadi hospital ada call saya, cakap anak saya perlu pemindahan darah. Jadi saya kena datang untuk turunkan tandatangan."
"Oh, Farrah Falina ye? Err, kejap ye, kita ada emergency ni, kes baru masuk tadi,"
Aku mengangguk. Nafasku hela panjang. Lega. Bukan Faiq yang dimaksudkan. Pasti ada seorang bayi sedang diperiksa oleh para doktor. Apakah masalahnya tidak pula ku tahu. Namun aku menjangkakan pasti para doktor sedang berusaha untuk memberikan yang terbaik untuk bayi itu.
Beberapa jam lamaya aku duduk di luar pintu bilik ICU 6. Lama benar prosedur tersebut. Sedari tadi aku belum berkesempatan untuk menjenguk Faiq. Surat pengesahan pemindahan darah telahpun ku tandatangani. Lalu aku mengambil keputusan untuk pulang dahulu ke rumah memandangkan hari sudah beransur tengah hari. Stok susu baru juga perlu diperah untuk bekalan Faiq esok. Aku bercadang untuk kembali semula petang ini.
Petang iu, mama menghantarku semula ke hospital. NICU pada ketika itu sungguh lengang. Tidak sesibuk pagi tadi. Pintu bilik ICU 6 juga telah dibuka kembali menandakan ibu bapa sudah dibenarkan menjenguk anak masing-masing. Ku kira prosedur pagi tadi sudahpun selesai.
Ku hampiri Faiq seperti biasa. Nampaknya Faiq telah dimasukkan darah melalui sebuah tiub khas. Beg darah berlabel B digantung berhampiran inkubatornya. Darah jenis B, Faiq mewarisi jenis darahku. Aku juga dapati Faiq memakai bantuan oksigen jenis SiPAP kembali. Lalu aku usulkan ini kepada doktor yang bertugas. Dr Vicky namanya.
Dr. Vicky melaporkan bahawa Faiq perlu diberi antibiotik dan bantuan oksigen SiPaP kembali kerana pernafasannya terlalu laju, tidak senormal bayi lain. Sekiranya keadaan ini terjadi, bermakna bayi mungkin mengalami kesukaran untuk bernafas ataupun tubuhnya telah dijangkiti kuman. Sampel darahnya sudah diambil dan telah dilakukan pemeriksaan lanjut.
Inilah Faiq sewaktu menggunakan SiPAP. Pemindahan darah juga dilakukan kerana Faiq kelihatan pucat dan mengalami anemia.
16 Mac 2012
"Assalamualaikum Faiq... Hari ni, Faiq akan dapat kawan baru pulak.. Faiq kena pindah dari sini tau... Tapi jangan risau, mama sentiasa ada untuk Faiq..."
Alhamdulillah... genap sebulan Faiq dilahirkan dan sebulan jugalah Faiq masih dirawat di NICU. Memang benar, seminggu yang lalu, kondisi Faiq kurang memberangsangkan memandangkan Faiq menghadapi masalah dengan pernafasannya. Namun, dengan keizinan Allah beserta kepakaran para doktor di wad ini, Faiq mula menunjukkan perubahan. Pernafasannya makin pulih. Alhamdulillah.
Hari ini, aku mendapat khabar bahawa Faiq akan dipindahkan ke Nurseri 3, Wad 6C, Special Care Nursery (SCN), HTAR memandangkan kondisinya yang semakin baik dari sehari ke sehari. Ini merupakan prosedur yang dilakukan oleh pihak hospital, agar bayi-bayi yang diyakini semakin sihat dan mencukupi berat optimum akan dipindahkan ke SCN untuk memberi laluan kepada bayi-bayi bermasalah yang lain pula dirawat di NICU. Sebak aku mendengarnya. Faiq akan pulih! Faiq akan sihat! Sesuatu yang tidak pernah kujangkakan sejak kelahiranya yang penuh mendebarkan. Diam tak diam, Faiq membesar dengan baik dan pernafasannya juga semakin hari semakin pulih. Kini, Faiq tidak perlu lagi bernafas berbantukan mesin. Faiq boleh bernafas sendiri! Akhirnya! Alhamdulillah, syukur Ya Allah!
Dengan beratnya telah mencapai 1.5 kg, Faiq akhirnya dapat dipindahkan ke wad 6C, Special Care Nursery (SCN), HTAR tanpa bantuan oksigen dan tiub saluran susu.
Aku juga telah dibenarkan memegang Faiq dalam dakapanku serta menyusukannya buat pertama kali. Pengalaman yang begitu ku nanti-nantikan selama ini! Bayangkan betapa terujanya aku dapat merangkul Faiq setelah sebulan lamanya selepas aku melahirkannya! Serasa tidak puas aku memandang wajahnya yang sebelum ini hanya dapat ku tatap dari dalam inkubator. Ku cium dan ku kucup dahi dan pipinya. Bahagia sekali mama memelukmu, Faiq! Pada mulanya, Faiq agak janggal untuk menyusu badan, namun aku usahakan juga dengan harapan Faiq akan belajar menghisap dengan betul. Masih gagal dengan cubaan pertama, Faiq masih memerlukan banyak latihan dalam penyusuan. Tak mengapa sayang, kita cuba esok pula ya.
Hari ini, suamiku juga akan tiba menjenguk Faiq di hospital. Seakan tidak sabar apabila aku maklumkan Faiq sudah dipindahkan ke SCN. Sudah menjadi rutinnya untuk pulang seminggu sekali melawat Faiq. Beliau juga berpeluang memegang Faiq buat kali pertama. Masih berpakaian pejabat, suamiku tampak sungguh ceria hari ini.
Saat keterujaan Abah mendakap Faiq. Nampak agak kekok di situ!
26 Mac 2012
Berat Faiq telah mencapai 1.6 kg hari ini. Alhamdulillah, satu lagi perkembangan yang positif dapat dilihat dalam diri anakku itu. Dengan beratnya yang telah menginjak 1.6kg, doktor membenarkan untuk Faiq diturunkan ke baby cot seperti bayi-bayi normal yang lain. Seronoknya bila mengetahui Faiq tidak perlu lagi diletakkan dalam inkubator! Inkubator diperlukan untuk bayi yang kurang berat badan, di mana ketahanan tubuhnya belum mampu untuk disesuaikan dengan suhu persekitaran. Alhamdulillah, Faiq telah melalui semua itu dengan penuh cekal dan sabar.
Hari pertama Faiq diturunkan ke baby cot, memakai pakaian wad untuk bayi dan tidak lagi hanya bersarungkan diapers. Faiq juga diharuskan memakai topi untuk melindungi ubun-ubunnya daripada kesejukan.
Menurut kata doktor, Faiq hanya akan dibenarkan pulang apabila beratnya mencapai 1.8kg. Walau bagaimanapun, Faiq memerlukan masa yang agak lama untuk membolehkan beratnya meningkat dari sehari ke sehari. Dalam ertikata mudah, pertambahan berat Faiq agak lambat. Mungkin disebabkan Faiq belum lancar sepenuhnya dalam penyusuan badan. Mungkin juga kuantiti susuku yang diberikan oleh jururawat melalui cawan tidak dapat menampung keperluan tubuhnya. Pelbagai kemungkinan yang boleh dijadikan punca.
Pada waktu ini, aku tahu, perananku sebagai ibu amat penting untuk kesihatan Faiq. Lalu aku memutuskan untuk tinggal di hospital sahaja menemani Faiq. Di wad 6C, terdapat beberapa bilik khas dinamakan BILIK IBU untuk ibu-ibu yang ingin bermalam menemani anak mereka di wad. Aku nekad untuk meluangkan masaku lebih banyak bersama Faiq, supaya Faiq lebih dekat denganku dan punya banyak peluang untuk memperbaiki penyusuannya.
Lalu malam itu, aku bermalam di wad 6C. Gembira sekali hatiku kerana tidak perlu lagi untuk terus memikirkan Faiq apabila Faiq berjauhan denganku.Senyumku melebar apabila baby cot Faiq diletakkan bersebelahan dengan katilku! Bahagianya ku rasakan! Setelah sekian lama, aku dan Faiq dapat menjalani kehidupan normal sebagai ibu dan anak. Prosedur di wad ini, apabila seorang ibu memutuskan untuk tinggal di BILIK IBU, maka bayi mereka juga dibenarkan untuk tinggal bersama-sama mereka di bilik itu. Ibu-ibu di sini dibenarkan untuk menguruskan bayi mereka sendiri seperti biasa tanpa bantuan oleh jururawat. Rasionalnya, bayi-bayi di sini diberi peluang untuk mengenali ibu mereka dengan lebih dekat. Oleh itu, ikatan antara ibu dan bayi akan semakin kuat. Ini penting untuk tumbesaran bayi-bayi pramatang kerana bayi-bayi sebegini amat sensitif dengan sentuhan dan belaian yang diberikan oleh ibu mereka. Semoga Faiq cepat sihat dan membesar dengan kehadiranku di sini. Amin.
Faiq bersama bantal yang mamaku belikan untuknya. Namun bantal ini agak besar, tidak begitu sesuai dengan saiz kepalanya yang agak kecil. Jadi hiasan aje lah nampaknya.
Lihatlah betapa besarnya topi Faiq! Hihihi! Topi ini telahpun ku jahit sedikit untuk sesuaikan dengan saiz kepalanya.
29 Mac 2012
Mungkin aku tidak mampu untuk mengabadikan semuanya di sini, tetapi sedikit sebanyak perkembangan Faiq dapatku gambarkan melalui foto-fotonya sewaktu bersamaku di wad 6C :-
Faiq yang lena dalam tidurnya. Sewaktu ini topinya sedang ku jahit, jadi kain lampin sajalah yang menjadi pelindung kepalanya.
Faiq yang baru saja bangun dari tido. Masih lagi menguap kemalasan. :)
Ini merupakan favorite expression Faiq - Muncung mulut dan dahi berkerut. Habit ini masih diteruskan hingga ke hari ini.
Faiq ni memang suka menguap. Ini sewaktu aku menukarkan bajunya yang basah dengan jeluak susu.
Suamiku yang tiba dari Terengganu, melawat Faiq di hospital. Kini skillnya memegang bayi semakin bagus!
Faiq yang telah siap dibedung bersama abah! Plus topi yang sudah kujahit. Kini muat-muat dengan kepalanya.
Hobi Faiq ialah menangis. Bahkan dalam 'Bilik Ibu' hanya Faiq seorang yang paling kuat menangis. Aduh, kadang-kadang malu jugak aku jadinya dengan ibu-ibu lain.
Bahagianya melihatmu senyum sayang! Ini merupakan satu-satunya gambar Faiq tersenyum sepanjang di hospital. Dan gambar ini paling istimewa buatku. :)
4 April 2012
Aku duduk di birai katil sambil memangku Faiq yang lena dalam ribaku. Sebentar tadi baru sahaja rondaan doktor pakar dijalankan. Kata-kata Dr. Diana masih segar dalam fikiranku :-
Oh, esok baby ada appointment dengan neurologist ye? Ada brain ultrasound. Ok, macam ni ye puan, memandangkan keputusan timbang pada hari ini ialah....berapa ye, oh, 1.78kg ye? Lagi sikit lagi nak sampai 1.8kg. Kita akan tengok esok macam mana, if berat baby naik esok sampai 1.8kg, baby boleh discharge esok..Tapi tengok pada keputusan ultrasound otaknya juga lah. Kalau tak ada apa-apa masalah, then kita proceed as planned.
Seharusnya aku teruja dengan ulasan tersebut. Faiq bakal pulang ke rumah! Apa lagi yang dapat ku minta selain ini? Malah itulah doaku saban hari. Supaya Faiq dapat keluar dari kepompongnya melihat dunia. Supaya Faiq terus sihat dan membesar seperti kanak-kanak normal yang lain. Tetapi, ada kegusaran di jiwaku. Bingung fikiranku apabila mengenangkan laporan brain ultrasound yang bakal dijalani oleh Faiq esok hari. Bagaimanakah keputusannya? Ah, kusut aku memikirkanya!
Malam itu, aku berhempas pulas menyusukan Faiq sekerap mungkin dengan harapan beratnya akan meningkat sehingga 1.8kg. Tidurku tidak nyenyak. Gementar menunggu hari esok yang penuh misteri. Faiq, mama sanggup melakukan apa saja untuk memastikanmu sihat, sayang!
5 April 2012
Jam 6.20 pagi. Aku masih belum dapat melelapkan mata. Sepanjang malam aku berjaga menyusukan Faiq. Ku harapkan beratnya dapat bertambah hari ini. Rakan-rakan ibu yang lain masih lena dibuai mimpi. Ada juga yang sedang menyusukan anak. Hari ini bukanlah hari untuk menimbang berat bayi. Oleh sebab itulah suasana agak santai pagi itu. Keadaan hanya akan menjadi riuh rendah apabila tibanya hari timbang, iaitu hari Isnin, Rabu dan Jumaat. Walaupun hari ini hari Khamis, Dr. Diana mengarahkan supaya Faiq ditimbang semula hari ini kerana menurut pandangan beliau, Faiq telah selamat untuk dibawa pulang. Cuma beratnya belum mencapai tahap optimum. Keputusan timbang semalam Faiq mencatat 1.78kg.
Tatkala bunyi troli penimbang yang ditolak oleh jururawat singgah di gegendang telinga ini, hati mula bertalu debar. Inilah masanya! Faiq ditanggalkan pakaiannya dan diletakkan di atas penimbang. Berdebar menunggu bacaan penimbang......
"Ok, boleh balik hari ni!"
Ceria sahaja jururawat tersebut menutur kata. Kucuba mengerling bacaan penimbang digital itu. 1.81 kg! Alhamdulillah. Berkat usaha dan doa, Allah memperkenankan juga permintaanku! Syukur!
Kini Faiq hanya perlu menunggu prosedur brain ultrasound yang dijadualkan pada pukul 8.00 pagi. Aduh, debar bertandang sekali lagi!
Pagi itu, setelah menyiapkan Faiq, jururawat meminta kebenaranku untuk membawa Faiq berjumpa dengan pakar saraf (neurologist) untuk menjalani brain ultrasound tersebut. Lalu Faiq diletakkan di dalam sebuah portable incubator berbalutkan kain kasa berwarna hijau. Tapak kaki Faiq dipasang alat pengesan nadi yang bertujuan untuk memastikan denyutan jantungnya berada dalam keadaan stabil sewaktu prosedur dijalankan.
Pada mulanya, aku ingin menemani, tetapi apabila jururawat tersebut semacam berbelah bagi, aku batalkan saja hasratku. Menyusahkannya barangkali. Aku hanya mampu melihat Faiq dibawa pergi oleh sepasang jururawat yang bertugas. Sayup-sayup akhirnya meninggalkan perkarangan wad 6C untuk ke neurology department. Ku hela nafas yang berbaur kebimbangan. Ya Allah, lindungilah anakku dari penyakit-penyakit yang berbahaya.
2 jam berlalu namun Faiq masih belum pulang. Ah, kebimbanganku semakin menjadi-jadi. Lagakku seperti cacing kepanasan. Serba tidak kena. Cuba berbaring di katil namun tidak lena. Lantas ku ambil tasbih elektronikku dan mula menuturkan zikir sambil berdoa kepadaNya agar diberi kekuatan dan ketenangan untukku.
Tidak lama kemudian, Faiq pulang semula ke wad. Bergegas kudakap Faiq dalam pangkuanku. Lama ku begitu. Sekadar untuk melepaskan kebimbangan yang bersarang di hati. Seorang doktor muda lelaki berbangsa Cina, Dr. Tay muncul dan mula memperincikan laporan lengkap brain ultrasound Faiq oleh neurologist berkenaan.
"Ok, begini ya puan..."
Dr. Tay mula menyusun bicara.
"Laporan ini menyatakan bahawa pendarahan dalam otak anak puan beransur hilang, maksudnya pendarahan tersebut telah diserap semula ke dalam otak. Walau bagaimanapun,susulan daripada pendarahan tersebut, telah mengakibatkan suatu bengkak di kawasan pendarahan itu berlaku. Bengkak ini berisi air, dipanggil cyst."
Aku mula mengerut dahi cuba memahami bait-bait kata Dr. Tay. Melihat keadaanku yang agak keliru Dr. Tay menyambung.
"Tak apa puan, jangan terlalu risau. Kami bercadang akan menyediakan satu siri appointment untuk anak puan untuk memantau keadaan cyst tersebut sama ada saiznya statik, mengecil atau semakin membesar. Ini penting untuk perkembangan anak puan,"
"Apa effects yang boleh menganggu perkembangan anak saya, doktor?"
Soalan itu lancar meniti di bibirku. Barangkali sudah tidak sabar lagi untuk mengetahui risikonya.
"Mungkin terdapat kelewatan dari segi perkembangan biasa seorang bayi seperti meniarap, duduk, berjalan dan sebagainya."
Aku mengangguk dalam keresahan.
"Bagaimana untuk merawatnya?"
Dr. Tay dengan tenang menjawab.
"Mungkin dengan pembedahan, tapi saya tak berapa pasti sebab neurologist lebih arif tentang ini. Apapun ini bergantung kepada corak kes tersebut."
Kali ini aku diam tanpa balasan. Pembedahan ke atas seorang bayi? Tak sanggup ku bayangkan.
"Anyway puan, saya benarkan baby balik hari ini sebab keputusan ultrasound ni nampak quite normal to me. Despite of the cyst, we will figure it out later. We'll be seing the baby in 3 months time."
"Thanks Doctor..."
Kalau ditanyakan bagaimana perasaanku sekarang, aku sendiri tidak mampu menafsirkan. Perasaanku seakan bercampur. Gembira, risau, bimbang, lega, sedih, aku tak tahu apa sebenarnya yang ku rasakan. Gembira dan lega Faiq akhirnya dapat pulang akhirnya bersama-samaku. Risau, bimbang dan sedih terhadap keadaan cyst yang dialaminya boleh mengganggu perkembangannya. Walau bagaimanapun, seperti apa yang abah selalu pesan padaku, "Sentiasalah kembali berserah kepada Allah, kerana ini bukan dalam kuasa kita. Jika takdirnya begitu, maka begitulah. Apa yang mampu kita zahirkan cuma doa, doa, dan doa".
Insya Allah, aku cuba berpegang pada kenyataan itu.
Ya, InsyaAllah!
* * * * *
Faiq Aqwa telah dilahirkan pramatang 32 minggu dengan beberapa komplikasi yang membimbangkan. Para doktor juga tidak menjangkakan Faiq dapat pergi sejauh ini. 17 Julai ini, genap umur Faiq 5 bulan. Aku sendiri tidak pernah terfikir aku akan bersamanya sehingga ke hari ini.
Kisah ini adalah satu rentetan perjalanan hidupku yang ingin ku kongsikan bersama kalian di luar sana. Jangan pernah berhenti untuk berusaha sehingga ke garisan penghujung. Lakukanlah pergorbanan dengan seikhlas hati. InsyaAllah, kalian akan beroleh ketenangan yang amat mendamaikan.
Umum menggelarkan seorang tentera itu sebagai satria.15 tahun yang lalu, seorang pendaki Gunung Everest dianggap sebagai perwira. Di Palestin, rakyatnya yang sanggup bermatian diangkat sebagai pejuang. Aku akui keberanian yang ditonjolkan oleh mereka dan mereka memang layak untuk digelar sedemikian. Tetapi buat diriku,tersemat satu nama yang pantas ku angkat sebagai seorang mujahid yang paling agung.
Faiq Aqwa adalah suatu keajaiban.
Terima Kasih Allahu Rabbi.
“Anak yang baru dilahirkan umpama sehelai kain putih yang menunggu saat
untuk dicorakkan ibu bapanya. Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Setiap kelahiran (anak kecil) dilahirkan dalam keadaan fitrah.” (Hadis
riwayat al-Bukhari dan Muslim).