Sunday, 24 November 2013

Perubahan

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Actually, I thought of updating about Faiq. Tapi kalau nak cerita tentang Faiq, aku memerlukan masa dan emosi yang tidak boleh diganggu oleh anasir-anasir luar. Maknanya fokus memang kena 100% terhadap post tersebut supaya tak tersasar ayat dan susunannya. 

Ada beberapa perkara yang tentang Faiq yang aku ingin kongsikan. Here and there. In Shaa Allah, aku cuba untuk mencari masa tersebut.

Topik yang terdetik dalam fikiranku sekarang ialah aku sendiri. Gila selfie haha. Tak la. Tapi betul, aku ingin bercerita tentang aku dan perubahan yang aku ingin lakukan terhadap diriku. 

Kalian kenal siapa aku dulu? Memang tak la kan? Aku bukanlah selebriti yang punya gambar posing-posing maut dalam majalah atau blog-blog hiburan. Aku juga bukan pelajar bijak pandai yang mampu menarik perhatian dunia dengan 10-11A+ di dada-dada akhbar. Aku juga setakat ini (alhamdulillah) tidak pernah dikaitkan dengan berita-berita jenayah yang menjadi suspek paling dikehendaki polis. 

Aku hanya seorang perempuan biasa. Seorang anak lalu menjadi isteri dan kini alhamdulillah diberi peluang menjadi ibu. Selama mana? Wallahu'alam. RahsiaNya hanya Allah yang tahu.

Aku asalnya tidak berhijab. Sejak dari tadika sehingga aku tingkatan 1, aku memang bukan seorang hijabis. Cewah. Term orang sekarang hehe. Aku siap pakai pinafore masa Tingkatan 1. Bangga betul pakai skirt pergi sekolah. Lagi pula sekolah aku sekolah perempuan. Memang bertudung itu tidak diwajibkan di sekolah kami. 

Sehingga aku ditegur oleh ustazah yang mengajar di sekolah, bila nak pakai tudung? Bila nak pakai tudung? Naik malu aku dengan ustazah.

Di sekolah aku, keperluan bertudung hanya diwajibkan semasa kelas agama sahaja. Jadi kami yang freehair ni memang kena bawa tudung la pergi sekolah sekiranya hari tersebut ada kelas PAI (Pendidikan Agama Islam). And of course la, pada hari-hari tu kami kena pakai baju kurung. Melainkan kalau kau suka kena denda pakai telekung masa kelas PAI. Mampu? Haha.

Aku jadi bosan setiap kali ustazah perli-perli aku apabila aku cabut tudung aku setelah sampai ke kelas dari surau.

"Tudung dah terbang ke Farrah?"

Sentap tau tak??

Lalu lama aku berfikir. Akhirnya aku pun buat keputusan nak pakai tudung pergi sekolah. Masa tu pertengahan penggal Tingkatan 1. Aku siap ajak member aku yang freehair join sekali. Tapi janganlah readers terpesona dengan kewarakan aku masa ni. Aku pakai tudung bukan sebab aku memang nak pakai sangat. Cuma aku boring dengar ustazah duk bising pasal tudung ni. Untuk memuaskan hati guru-guru di sekolah, aku pun tekad nak pakai tudung. Mama dan abah pulak jenis open masa tu. Tidaklah memaksa aku untuk mengenakan tudung lantaran pada pendapat mereka, biarlah aku benar-benar bersedia untuk berhijab, buka kerana dipaksa mereka.

Lalu, first daya aku pakai tudung rasa..

"Wow! Excitednya!"

Boleh rasa pengalaman lipat-lipat tudung, tiup-tiup tudung supaya tak penyek macam kawan-kawan bertudung aku buat. Aku siap potong plastik cover folio Sejarah untuk dijadikan pengeras tudung. Ala.. kalau sekarang tu macam ala-ala awning tu la. Hehe.

Hoi, penting tau tak kemenjadian tudung tu!

Kalau tudung tak jadi, memang siap la tangan duk meraba-raba tudung sampai jadi! Lambat pergi sekolah pun lambat la.

Kalau kawan tanya,


"Kenapa ko lambat?"

"Tudung buat hal la"



Hah. Tu memang tipikal ayat budak sekolah jaman dulu-dulu.

Ermm..Maybe sekolah aku je kot?

Atau mungkin aku je kot?

Entah. Hehe.


Adakah readers rasa aku telah sepenuhnya berubah?

Anda silap!

Aku masih sayangkan gaya dan fesyen terkini. Mana boleh bergaya kalau pakai tudung. Lalu aku mengambil prinsip memakai tudung hanya di sekolah. Di luar, memang terbang tinggi-tinggi la tudung aku bak kata ustazah.

Selama 4 tahun aku begitu. Memakai tudung di sekolah sahaja. Kadang-kadang aku jadi malu bila ada kawan-kawan yang baru mengenali aku di sekolah mendapat tahu aku masih freehair di luar. Alasannya tipikal - belum sampai seru, belum bersedia, belum macam-macam la!
Kalau hati memang tak nak tu kan..

Selepas melewati fasa persekolahan, barulah aku belajar memakai tudung sepenuh masa. Tapi masih lagi, aku tidak mengerti mengapa aku bertudung. Ya, memang benar, dari dulu lagi aku belajar dan tahu bahawa setiap Muslimah itu wajib menutup aurat. Tapi pada masa ini, aku seakan-akan bertudung tapi hanya kerana mengikut kawan-kawan.

Kawan pakai tudung, aku pakai. Kawan pakai baju lengan panjang, aku pakai. Tapi aku tidaklah ikhlas sepenuhnya dalam mematuhi syariat ini. Aku mungkin memakai tudung, namun kebiasaannya aku selempang ke belakang. Mungkin aku berbaju lengan panjang, tetapi lengan bajuku hanyalah three quarter daripada panjang tanganku. Aku berseluar panjang namun tidak berstokin. Hanya berselipar ringkas.

Budak U la katakan.

Hello, tak rock ok pakai stokin bagai.

Kalian fahamkan maksud ku? Perilaku aku ketika itu adalah gambaran sebahagian besar muslimah remaja masa kini. Tidak begitu prihatin dengan lengan yang terdedah, dada yang terdedah dan sepasang kaki yang terdedah. Malah bangga kot punya kaki yang bebas dari parut atau kudis. Lantas terus menyarungkan kasut tumit tinggi yang menyerlahkan keseksian kaki tersebut.

Astaghfirullah.

Jahilnya aku.

Sehingga aku berkahwin dan melahirkan Faiq, aku masih lagi begitu. Auratku tidak ditutup sempurna. Masih tersasar di sini sana.

Sehinggalah pada suatu hari, aku membaca tentang kisah seorang pegawai bank yang maut ditembak seorang pengawal keselamatan warganegara Indonesia.
(Alhamdulillah, kes tersebut telah selesai dan penjenayah tersebut dikhabarkan telah dihukum gantung sampai mati. Harap betulkan jika ini adalah khabar angin, aku pun dapat tahu updates ini dari blog-blog lain. Al-fatihah untuk Allahyarhamah)


Aku membayangkan aku yang ditembak. Tanpa ada amaran, tanpa ada peluang untuk bertaubat, tanpa ada peringatan untuk aku menunaikan solat Asar dahulu sebelum nyawaku diambil. Allah, sungguh aku tidak punya pilihan.

Aku tidak tahu bila nyawaku bakal diambil. Namun itu bukan persoalannya. Persoalannya, dengan bekalan yang aku bawa sekarang, cukupkah untukku membela diriku di akhirat kelak?
Bersediakah aku menjawab soalan-soalan yang bakal ditanya oleh Tuhanku?

Solatku.

Auratku.

Amalku.

Dosaku.

Bagaimana?
Aku tidak tahu.

Demi Allah, tiada siapa yang tahu bagaimana keadaan kita di sana nanti. Baikkah? Atau sebaliknya?

Bila nyawaku aku melayang?
Bagaimana?

Semasa aku lengkap berpakaiankah?
Atau mungkin dalam keadaan yang mengaibkankah ?

Nauzubillahiminzalik.

Tak sanggup aku membayangkan.

Tak perlu rasanya aku mentarbiyahkan anda semua terhadap syariat dalam berpakaian. Umumnya masing-masing sudah mengetahui dan memahami. Cuma kita tersepit antara kesediaan mungkin. Aku tak mahu komen tentang itu.

Dan kini, aku cuba memperbaiki diri dari segenap segi. Solat, ibadah, pakaian, aurat, akhlak dan perlakuan. Kalau anda kenal aku yang dulu, mungkin akan perasan terhadap sedikit sebanyak perubahan yang aku cuba (in shaa Allah) terapkan dalam diri.

Tamparan paling hebat pernah aku terima semasa aku hampir kehilangan Faiq. Dan apabila aku mengimbas kembali saat-saat itu, hatiku terdetik, mengapa aku terlalu ego dalam mematuhi perintahNya? Sedangkan Dia telah menolongku di saat orang-orang lain tak mampu berbuat apa-apa.

Sombongnya aku.

Lalu aku tekad, inilah masanya untuk aku berubah.

Berubah dalam ertikata mencari keredhaan Allah, biarpun mungkin kelihatan 'kolot dan kampung' pada pandangan manusia.

Namun padaNya, in shaa Allah, perubahan ini adalah yang terbaik.

Semoga Allah memberikan pendirian yang istiqamah dalam hijrahku.

Semoga aku istiqamah.
(Google Images)



Buat readers di luar sana, aku ucapkan terima kasih kerana terus menyokong aku dan minatku dalam bidang penulisan ini. Semoga kita semua dilindungi Allah dan dilimpahi rahmah dan barakah dalam menyelusuri liku-liku kehidupan yang tak pernah jemu menyinggah untuk menguji ketaqwaan seseorang hambaNya.








Wednesday, 6 November 2013

Kerang Bakar

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
  

Pakar motivasi ada menyatakan fakta bahawa semakin lama sebuah perkahwinan itu dilayari, maka semakin banyaklah usaha yang perlu diterapkan demi mengembalikan kemanisan berkasih sayang. Dan aku akui itu. Setelah lebih 3 tahun melayari bahtera perkahwinan, sedikit demi sedikit aku mula merasai betapa hidup kami penuh dengan rutin kerja yang tak pernah bertepi.

Suamiku yang sibuk dengan tugasan di pejabat dan aku pula sibuk dengan urusan sekolah. Balik rumah pun begitu. Masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing tambahan pula Faiq berjauhan dengan kami.

Hingga pada suatu ketika, aku merasakan suatu perasaan yang aneh hadir dalam hatiku. Perasaan yang hiba, sedih dan rasa terpinggir. Sunyi dan sepi walaupun aku tidak keseorangan. 
Aku merasakan hidup ini tidak ada apa yang istimewa selain daripada pergi kerja balik kerja. 

Bangun, kerja, balik, tidur.

Oh, boringnya.


Bagi sesiapa yang belum mengenali suamiku, beliau seorang yang agak pendiam walaupun kadang kala boleh tahan juga sengalnya. Hehe. Dan yang paling utama beliau sangat bijak menyembunyikan perasaan. Aku yang hidup dengannya 3 tahun lebih ni pun tak tahu apa yang sedang dialaminya. Masalahnya, kedukaannya. Sungguh, aku memang tidak tahu, kerana beliau tidak pernah meluahkan.

Apa yang keluar dari mulutnya hanya perkara-perkara cetek dan santai sekadar berbahasa memecah sunyi. Untuk digali perasaannya, aku tahu itu tidak mungkin kerana beliau amat sukar berbicara tentang itu. 

Sikapnya yang satu ini kadangkala menyebabkan aku sering memikirkan yang tidak-tidak terhadapnya. (Astaghfirullah al azim). 

Dia sayang aku lagi tak?

Aku pakai macam ni dia suka tak?

Aku ni cantik tak di mata dia?

Model tu cantik, tinggi lampai. Excited la dia tu.

Dia ni senyaaaaap je, entah dengar ke tak apa aku cakap tadi.


 Soalan-soalan yang macam tu seringkali berlegar-legar dalam fikiranku. Aku khuatir dengan kualiti kasih sayangnya. Masih wujudkah cinta itu? Masih hangat lagikah seperti 3 tahun yang lalu? Aku tak pasti kerana beliau tidak pernah meluahkan. 

Nak menyebut I LOVE YOU pun lepas aku jenuh bertanya, barulah beliau mahu menjawab. 

Haih.

Aku rasa kebanyakan wanita di luar sana akan bersetuju jika aku katakan wanita lebih teruja apabila suami meluahkan perasaannya dengan rela hati dan penuh ikhlas dan bukan kerana faktor 'menjawab sebuah pertanyaan'.

Maka itulah yang aku rasakan dan aku perlu menerima kenyataan bahawa suamiku tak romantik! Aku perlu terima itu dan belajar untuk hidup dengan situasi tersebut. Aku cuba berfikiran positif. 

"Lebih baik dia tak romantik. Kalau lebih-lebih kang orang tangkap cintan pulak dengan dia"

"Baguslah dia tak reti mengayat. Tu tandanya dia bukan jenis yang sebegitu. (In shaa Allah)"


Pulangannya, aku harus akur. Aku tahu suamiku bukan seorang yang bijak bermadah. Suamiku seorang yang praktikal dan ringkas. Tolong belajar menerima, wahai Farrah. 


*    *    *    *    *

Pada suatu hari, sewaktu kami duduk menunggu pesanan makanan kami tiba di sebuah restoran, tiba-tiba seorang pelayan menghampiri kami,

"Bang, ada order kerang bakar tak?"

"Aaa.. ye..ye.. ada"

Lantas pelayan tersebut meletakkan sepinggan kerang bakar di atas meja.

Terpinga-pinga aku dibuatnya. 


"Bila pulak kita order kerang bakar?"

"Kan Fa nak makan dulu. Ingat tak?"


Aku cuba mengingat. Ya, aku pernah menyuarakan aku teringin sangat nak makan kerang bakar. Seingat aku selepas aku melahirkan. Namun kerana sewaktu itu kami sedang sibuk menguruskan perihal Faiq, nampaknya hasrat itu hanya tinggal kenangan. 

Suamiku ingat perkara itu.

Perkara yang aku anggap remeh dan kecil itulah yang beliau tunaikan untukku pada hari itu. 

Di meja itu juga aku menangis kerana sepinggan kerang bakar.

Dan perasaan bersalah dan berdosa bertuju-tuju membedil jiwaku. 

Aku buruk sangka terhadapnya. Aku memikirkan beliau yang bukan-bukan. 
Allah, ampuni aku.


Romantik suamiku bukan pada sejambak bunga ros.
Jiwang suamiku bukan pada kad bermadah berpanjang jela.


Tapi pada keprihatinannya.
Yang mana aku tidak pernah menyedari.
Setiap baris kata-kataku selama ini rupanya ada seseorang yang sentiasa meneliti.

Kerang bakar menjadi saksi.

:)