Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Allahu Allah!
Kadang kala kita takkan faham mengapa Tuhan tidak menjadikan kita sebagaimana yang kita mahukan.
Tidak kaya.
Tidak cantik.
Tidak kurus.
Tidak gemuk.
Tidak mempunyai anak.
Anak tidak sihat.
Anak tidak sempurna.
Dan segala tidak-tidak yang kita ciptakan sendiri.
Selagi dinamakan manusia, kita tidak akan lari dengan segala ketidakpuasan hati yang bersarang di minda. Tidak pernah ada yang sempurna di mata kita.
Tidak terkecuali aku.
* * * * *
AidilAdha tahun lalu (2012, 1433 H) tidak ada rendang dan lemang. Di dapur, mama tidak menyediakan apa jua juadah. Rumahku sunyi dan sepi. Tiada tangisan Faiq.
Bahkan aku juga tidak menyedari Dzulhijjah telah menghadirkan diri. Rupanya kita sudah berada dalam bulan haji.
Pada waktu itu, aku hanya seorang ibu yang menemani anakku yang berjuang di PHDU.
Readers boleh baca kalau sudi. Itu coretanku tahun lalu. Alhamdulillah, pengalaman yang sungguh berharga. Mungkin bermanfaat untuk ibu bapa di luar sana yang senasib denganku.
Ada suatu kisah yang aku diamkan. Tidak aku ceritakan di sini mahupun di laman sesawang Facebook.
Di saat aku kehilangan punca, di saat Faiq bertarung nyawa, aku lupa seketika tentang kerja. Tentang diriku. Tentang penampilanku. Tentang apa saja.
Di saat itu, aku sedar aku hanyalah seorang hamba.
Hamba.
Tak mampu berbuat apa.
Tak mampu mengarah.
Tak mampu membuat keputusan.
Aku tahu aku tak mampu.
Di saat itu juga, aku hanya ada Tuhanku.
Yang biasa aku cari ketika aku susah.
Dan seringkali leka ketika aku senang.
Ketika Faiq diberi rawatan oleh doktor dan para jururawat di PHDU, aku tidak dibenarkan masuk ke bilik tersebut sehingga selesai prosedur.
Lalu bagi menghilangkan rasa resah yang menyesakkan nafasku, aku cuba turun ke tingkat bawah untuk mengambil sedikit angin di luar. Rimas dengan masalahku, aku cuba mencari santai.
Perkarangan hospital menyediakan beberapa booth yang menjual pelbagai barangan runcit untuk kegunaan pesakit dan pelawat yang berkunjung ke sana. Aku tidak berminat dengan semua itu. Hanya sekadar melewati kedai tersebut.
Booth kedua pula menjual baju dan selendang. Ku sempat memandang diriku yang selekeh berbaju T lusuh, bertudung sarung yang berkedut-kedut, dan berselipar jepun. Ku kerling kerlipan tudung yang dijual. Sempat juga aku membelek. Namun, ketika itu aku merasakan tidak adil bagi Faiq jika aku menghabiskan wang untuk beberapa helai tudung baru sementara dia di atas sedang memerlukan doaku.
Aku lepaskan pegangan tudung tersebut dan menggeleng pada jurujual itu sambil tersenyum menyatakan penolakanku untuk membelinya.
Lalu aku meneruskan langkahku ke booth yang ketiga, yang paling hujung. Menjual buku-buku terpakai, majalah-majalah terpakai dan buku agama.
Tertarik pula untuk menyinggah.
Mataku melilau mencari-cari sesuatu. Ya, sesuatu yang bermakna untuk Faiq. Yang berguna buatnya ketika ini.
Lalu aku jumpa ini.
Senaskhah Tafsir Al-Quran (Mushaf Al- Masar) |
Ku amati isi di dalamnya.
Ada panduan tajwid dan makna bacaan yang sangat jelas untuk seseorang yang buta Bahasa Arab sepertiku.
Sekilas bahagian dalamnya. |
Panduan tanda mad, tajwid dan waqaf. |
Indeks perkara untuk membolehkan kita mencari dalil-dalil penyokong dengan lebih pantas. |
Kulihat harganya.
RM50.00.
Di kocekku kini hanya tinggal sehelai dua not merah dan beberapa not biru tua.
Tak cukup.
"Encik, berapa harganya?"
"RM50.00 kak, boleh bagi kurang.."
"Berapa?"
"RM45.00"
Ku mencongak-congak dalam otak.
"Kejap lagi saya datang balik, terima kasih"
Aku terus meluru ke ATM yang terletak sederet dengan kedai-kedai tersebut. Ku keluarkan kad bank dan mula menekan punat-punat di papan nombor.
Aku harus mendapatkan Tafsir tersebut untuk Faiq. Aku perlu berusaha sehabis daya untuknya. Untuk kekuatan semangatnya, In shaa Allah.
Ku patah balik ke booth tadi dan menyerahkan not RM50 kepada saudara yang menjual.
"Saya jual ye, ni bakinya."
"Terima kasih, saya beli."
Dalam perjalanan naik semula ke wad PHDU, aku sempat membelek hadiah yang kutitipkan untuk Faiq.
Hadiah dalam ertikata doa-doaku dalam barisan ayat-ayat suci yang akan kulagukan selepas ini di hadapannya, setiap hari, setiap masa.
Demi anakku.
Demi pejuangku.
* * * * *
Dengan izinNya, Faiq semakin pulih.
Alhamdulillah.
Aku tahu, itu bukanlah semata-mata dari kepakaran doktor yang merawatnya.
Namun terdapat suatu kuasa yang Maha Besar yang meluluskan permohonanku untuk menyembuhkannya.
Ya Allah, Kau dengar doaku.
Doa hambaMu yang sentiasa lalai menyelusuri ranjau yang menduga iman dan taqwa.
Malunya aku. Hinanya aku.
Demi Allah yang sangat aku cintai,
Demi Al-Quran yang sangat aku kasihi,
Aku panjatkan kesyukuran ke hadratMu,
kerana tiada siapa yang menyayangiku sepertimana Engkau menyayangiku.
Tekadku untuk memberi sehabisnya untukMu,
sebagai balasan atas kurniaan nikmat yang Kau hamparkan
kepadaku, si pendosa yang mahu kembali ke pangkal jalan.
* * * * *
Faiq Aqwa anakku sembuh dengan kekuasaanMu, ya Allah.
Dan sebenar-benarnya, tidak akan wujud kuasa lain yang setanding denganMu.
Itu pasti dan hakiki.
Senaskhah Tafsir Al-Quran biru telah menjadi penyedarku yang leka.
In shaa Allah, akan terus menjadi pedomanku yang sering alpa.
Allahu Akbar.
**Tafsir Al-Quran ini masih dalam simpananku. Setiap kali aku menatapnya, setiap kali itu aku akan mengenangkan keagunganNya mengabulkan rintihanku demi seorang Faiq Aqwa.**
Salam faa....setiap kali k.ros bace coretan faa, terase nak menitik air mata....semoga faa tabah menghadapi hari2 mendatang..insyaallah
ReplyDeleteSalam faa...setiap kali bace coretan faa, k.ros terasa nak menitik air mata....semoga faa tabah menghadapi hari2 mendatang..insyaallah.
ReplyDeleteAs salam kak ros.. Terima kasih banyak kak sebab sudi berkunjung ke sini. Kak Ros... Fa tak berniat pun nak buat Kak Ros sedih.. ni semua pengalaman Fa sepanjang Fa membesarkan Faiq.
DeleteFa yakin setiap antara kita mempunyai dugaan masing-masing. Bersesuaian dengan kemampuan diri kita. In shaa Allah, terima kasih atas doa2 Kak Ros. Moga2 dapat membantu Fa untuk lebih kuat dari sehari ke sehari.
Semoga Kak Ros sekeluarga juga dilimpahi rahmah dan barakahNya. Amin. :)
As salam fa...
ReplyDeleteFa sgt tabah...akak harap akak akan setabah fa... punyai baby prematured memang sgt menguji ketabahan kita sbg ibu... Akak pon tak tahu sejauh mana nasib akak ngn baby rayyan.. Sudah 36ari menjenguk dunia...dan keadaan pon kadang2 stabil kadng2 tak... Cuma doa yg mampu akak panjtkn...
Inshaa allah...semoga Allah kurniakan kita kekuatan dan ketabahn...
waalaikumussalam kak..
DeleteAlhamdulillah baby Rayyan dah semakin lama semakin sihat ye.. Alhamdulillah. takpe kak, yang penting akak dah buat yang terbaik. Beri yang terbaik untuk baby Rayyan. In shaa Allah, keikhlasan itu akan dibalas olehNya.
In shaa Allah kak. Semoga doa2 akak akan segera dimakbulkan Allah dengan apa jua cara. Amin.
Maaf kak, Fa belum berkesempatan membalas emel akak. Nanti Fa balas ye. Tq kak atas support dan doanya. :)