Tuesday, 27 August 2013

Dia Anakku yang Cekal

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Bagi readers yang mengikuti blog ini dari awal, anda akan mengetahui kisah puteraku. Sejujurnya blog ini diwujudkan untuk aku berkongsi rasa dengan readers tentang perjuangannya. 

Ku kira sudah terlalu lama aku membiarkan blog ini sepi tanpa berita mengenai Faiq. Terlalu banyak cerita barangkali sehinggakan aku bingung ingin memulakan dari mana. Untuk entri kali ini, aku hanya ingin berbicara secara ringkas perihal mujahidku yang terkini.


We have been together for 1 year 6 months.

Itulah gambar terkini Faiq. Faiq yang nakal dan ceria. Faiq yang sentiasa membuat hatiku teruja setiap kali aku punya peluang pulang ke Klang. 
Faiq yang.... segala-galanya.

Mungkin jika readers melihat gambar berkenaan, terdetik dalam hati readers...

"Kurusnya...."

Ya, Faiqku memang kurus. Berat terkininya ialah 6.5kg pada usia 1 tahun 6 bulan. Telah dikategorikan sebagai Bayi Kurang Berat Badan oleh pihak hospital. Sedang menjalani pemantauan dari pakar dietatik dan doktor kanak-kanak.

Faiq pernah menjalani ujian urin dan darah untuk memeriksa sama ada masalah ini berpunca dari masalah-masalah lain yang tidak diketahui. Setakat entri ini ditulis, alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah, Faiq tidak mempunyai masalah kesihatan yang serius.

Faiq bakal menghadiri temujanji seterusnya dengan doktor kanak-kanak Hospital Tengku Ampuan Rahimah tiga bulan dari sekarang.

Kalau dulu Faiq dikurung dalam rumah 24 jam, kini Faiq telah mula mengenali keindahan dunia di luar sana. Kami mula membawanya bersiar-siar. Ke taman permainan, ke shopping complex, ke mana sahaja. Mungkin ada juga mata-mata yang memerhatikan. Aneh barangkali dengan Faiq. Fizikal yang kecil seperti bayi namun lincah meneroka seperti seorang kanak-kanak!



Faiq pada usianya kini sudah mula pandai merangkak. Ya, hanya pada usianya 1 tahun 6 bulan, Faiq mula merangkak. Suatu jangka masa yang cukup panjang dan cukup menuntut kesabaran kami. Kini Faiq juga mampu memanjat, dan mencuba untuk berdiri dengan sokongan. Namun masih lagi belum mampu untuk bertatih. In Shaa Allah sayang, mama sentiasa mendoakanmu. :')

Faiq juga amat berminat dengan i-Pad, laptop, dan handphone. A tech-minded child I could say!






Cuma... naluri keibuanku agak tersentuh apabila ibu-ibu di luar sana gemar mempersoalkan perihal Faiq. Ada juga yang membandingkan anak mereka dengan Faiq. Berat anak mereka dengan Faiq, perkembangan anak mereka dan Faiq. Namun aku cukup memahami keprihatinan mereka terhadap perkembangan anak masing-masing. Ya, aku seorang ibu dan aku mengerti itu.

Aku tidak pernah malu dengan Faiq. 
Dengan tubuhnya yang kecil dan kurus.
Dengan perkembangan psikomotornya yang lewat.
Aku terima Faiq sebagaimana dia dikurniakan kepadaku.

Mereka tidak pernah merasa apa yang telah kami rasa.
Mereka tidak pernah tahu sakitnya penerimaan kami pada awal kelahirannya.
Mereka tidak tahu apa-apa.

Kehadiran Faiq bersama kami merupakan segala-galanya. 
Kami tidak pernah meminta lebih.
Kami tidak pernah mendesaknya untuk seiring dengan kanak-kanak normal.
Kami mahu dia menjadi dirinya sendiri. 
Seiring dengan kemampuannya.
Hanya doa dan usaha yang tidak pernah bertepi dapat kami berikan untuknya.



Anakku Faiq seorang yang istimewa.
 Dan kami sangat berbangga dengan kecekalannya.






















Tuesday, 20 August 2013

Dugaan Sebuah Kehidupan

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Aku mulakan dengan lafaz syukur ke hadratNya. Dalam entry kali ini, aku titipkan sebuah kisah yang benar-benar meruntun hatiku. Naluri keibuanku.

Sudahkah kalian mendapatkan naskhah terbaru dari majalah Seri Dewi dan Keluarga edisi September?

Cover hadapan ialah selebriti Nurul Syuhada, Syura dan Eja.

Sudah terlalu lama diri ini tidak membaca. Seingat aku sejak aku mengandungkan Faiq aku hilang keseronokan membaca kerana terlalu memikirkan keadaan kandunganku ketika itu. Kalau dulu, buku, majalah, novel, cerpen, bagi lah apa saja bahan bacaan pasti akan ku belek berjam-jam lamanya.

Naskhah terbitan Karangkraf ini aku dapatkan petang tadi setelah selesai membeli sedikit barang keperluan di pasar. Entah mengapa, hari ini aku ingin membaca. Aku ingin tahu perkembangan semasa. Mungkin juga untuk meredakan tekanan kerja yang aku alami hampir setiap hari di sekolah. Membaca merupakan terapi yang terbaik untuk diriku. 

Setelah selesai membersihkan diri, aku duduk di sofa sambil mengunyah biskut raya yang masih bersisa. Majalah tadi ku ambil dan ku belek satu persatu. Segmen hadapan. 

Fesyen tudung. 
Fesyen jubah.
Fesyen lilitan tudung.

Typical.
Perkara-perkara biasa yang harus ada dalam majalah kewanitaan.
Tidak menarik minatku kali ini.

Lalu aku belek helaian demi helaian. Aku mencari sesuatu yang menarik untuk dibaca sehingga mataku tertancap pada artikel ini.

 " Irfan Derma Diri Selamatkan Adik"


Okay, ini menarik. 
Lalu aku membaca dengan teliti sambil menatap gambar-gambar yang dipaparkan.

Keluarga yang mempunyai 3 orang anak lelaki yang pada awalnya dilahirkan normal. Anak sulung mereka, Muhammad Nur Aiman kelihatan normal seperti  bayi lain dan sangat aktif sehingga pada umurnya 3 tahun, didapati perkembangannya lambat. Sendinya juga mengeras secara tiba-tiba. Pada mulanya doktor tidak mengesyaki sebarang keabnormalan, sehingga pada suatu hari seorang pakar kanak-kanak di sebuah hospital mengesyaki Aiman menghidap penyakit Hunter Syndrome.


Kita mungkin biasa dengan kes Down Syndrome. Tetapi Hunter Syndrome ini penyakit yang bagaimana?

Hunter Syndrome merupakan sejenis penyakit keabnormalan genetik yang serius. Kebiasaannya ibu merupaka pembawa genetik ini dan akan menurunkan kepada anak lelaki yang dilahirkan. Sindrom ini secara khususnya adalah disebabkan oleh kehilangan atau kegagalan fungsi enzim yang diperlukan untuk memecahkan molekul  Glycosaminoglycansa (GAG).

Readers boleh baca lebih lanjut tentang Hunter Syndrome di sini.

Apa yang telah ku baca, Hunter Syndrome ini menyerang kanak-kanak lelaki. Simptomnya tidak akan kelihatan pada awal kelahiran namun ciri-ciri tersebut akan lebih ketara apabila si manja meningkat usia 2 ke 3 tahun. Simptom awal penyakit ini seperti selsema dan jangkitan telinga juga tidak begitu ketara kerana simptom ini juga kerap dialami oleh kanak-kanak normal. Ketiadaan enzim untuk memecahkan molekul GAG ini juga memungkinkan fungsi kardiak dan pernafasan terjejas memandangkan kebanyakkan molekul GAG yang tidak dapat dipecahkan ini akan berkumpul di injap jantung.

Di samping itu, seperti Down Syndrome, Hunter Syndrome juga mempunyai suatu ciri fizikal khas yang mudah dikenali kerana golongan istimewa ini mempunyai wajah dan rupa yang seakan-akan sama. Mereka disifatkan mempunyai dahi yang luas dan jendul (prominent forehead), batang hidung yang rendah (flattened bridge nose), dan lidah yang lebar (enlarged tougue).



Di sini aku kongsikan beberapa gambar kanak-kanak Hunter Sundrome untuk pengetahuan bersama.




Tiga orang kanak-kanak yang tidak mempunyai pertalian darah yang mengalami Hunter Syndrome. Readers perasan tak wajah mereka seakan-akan sama?


Berbalik pada artikel yang telah aku kongsikan tadi, Aiman yang kini berusia 9 tahun tidak dapat menguruskan dirinya sendiri kerana kelainan upaya yang dialaminya. Lebih memilukan, adik bongsu Aiman, Muhammad Nur  Aqmal (1 tahun 2 bulan) juga disahkan menghidap penyakit ini. 

Allahu Allah.

2 orang cahaya mata dengan kelainan upaya yang dimiliki semestinya meluluhkan mana-mana hati seorang ibu. Termasuk diri ini.

Ibunya, Puan Mardzita, pasti merupakan wanita yang sangat cekal dalam menghadapi ujian Allah yang maha hebat ini. Berbekalkan semangat dan usaha yang tidak putus-putus, Pn. Mardzita dan suami bersepakat untuk merawat Aqmal sebelum keadaan menjadi terlalu lewat seperti abangnya. 

Menurut doktor, rawatan Hunter Syndrome ini adalah melalui pemindahan sum-sum tulang. Memandangkan sum-sum tulang Pn. Mardzita tidak sepadan dengan Aqmal, anak kedua beliau, Muhammad Nur Irfan (6 tahun), yang disahkan normal dan bebas dari penyakit ini tampil menawarkan diri untuk memberi bantuan sum-sum tulangnya.

Tulus kasih seorang abang dizahirkan apabila anak kecil berjiwa besar ini sanggup menjalani pembedahan pemindahan sum-sum tulang demi kesihatan adiknya. Pembedahan perlu dijalankan segera sebelum usia Aqmal menjangkau 2 tahun atau sebelum otaknya mengecut. 

Ralat hati seorang ibu melihat ujian yang dihadapi oleh anak-anaknya. Aiman cekal menjalani hidup dengan keadannya. Irfan berkorban nyawa untuk kesihatan adiknya dan Aqmal pula terus kuat melawan penyakitnya berbekalkan sum-sum tulang abangnya. 

Aku dapat merasakan apa yang dialami oleh ibu yang tabah ini. Mungkin ada sedikit kekesalan di hati beliau kerana tidak mengetahui keadaan Aiman lebih awal. Mungkin Aiman dapat dirawat sebagaimana Aqmal dirawat jika keadaannya dikesan sebelum itu. 

Ya, itu semua mungkin.

Aku lebih sensitif apabila didedahkan dengan coretan-coretan sebegini. Benar-benar mengusik perasaanku memandangkan aku juga punya anak lelaki. Semoga Allah merahmati anak-anak kita, diberikan kesihatan yang terbaik dan sentiasa berada dalam redhaNya.

Sungguh, ketika ini aku sangat merindukan Faiq yang berada jauh di mata. Membaca artikel seperti ini juga mengembalikan paranoidku yang selama ini telah lama aku hapuskan dari kotak fikiran.

Coretan kali ini menyingkap salah satu sisipan kehidupan duniawi.
Misterinya tiada siapa yang tahu. 

Perjalanan yang panjang dan sentiasa berliku.

Rahsianya hanya digenggam Allahu Rabbi.


Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim,
Kau berikanlah yang terbaik untuk keluarga ini,
Berikan kekuatan untuk ibu bapanya,
Berilah kesihatan yang terbaik untuk anak-anaknya.

Ameen.















Borak Kosong #1

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Lama sudah aku tidak mengasah skill menulis. Sebabnya tidak pula aku cuba memikirkan. Sibuk barangkali. Dengan hal sekolah,  hal rumah, Faiq, puasa, raya, peperiksaan. Aduh bikin bingung sih!

Untuk pengetahuan semua, Bluetooth aku masih lagi merajuk denganku. Namun aku ada cara baru untuk upload gambar. Muahahaha. Gi main jauh-jauh Bluetooh, aku tidak perlukan kamu lagi. *ketawa jahat*.  Caranya dengan upload gambar-gambar yang aku inginkan itu ke dalam Facebook Messenger melalui Android ke akaun aku sendiri. Lepas tu buka Facebook di laptop, klik pada Message icon, cari conversation antara aku dan aku sendiri (forever alone sangat kan), and tadaaa! 

Siap! Gambar-gambar tersebut selamat dipindahkan ke dalam laptop.

 *kibas-kibas tangan tanda dah selesai* 

Heh. 


Aku bukanlah seorang yang pro dalam menaip laju pada skrin Android sebab itu post entri melalui handphone bukan pilihanku. Rimas kalau setiap kali taip mesti salah eja lalu digelakkan oleh kawan-kawan dalam WhatsApp. Gelak itu pula bukanlah sekejap malah turut dijadikan topik hangat pada hari itu. Sangat annoying. 

Oleh sebab itulah aku gemar menaip entri menggunakan lappy. Best main tekan-tekan. Memandangkan dulu cita-cita aku pada usia 5 tahun ialah untuk menjadi cashier yang berwibawa kerana minatku yang mendalam dalam seni tekan-tekan button, maka haruslah entri-entri aku dizahirkan dengan keypad laptop yang turut menggunakan prinsip tersebut. . Mehehehe. Bolehlah dari tak ada langsung.

Entri hari ini juga entri yang agak merapu sebab tak ada motif. Nak taip entri yang telah aku rancang perlu masa yang sesuai sebab aku bukan jenis yang boleh taip entri bila-bila masa. Tak ada feel. Menggedik.

Aku taip entri ni pun sebab kebetulan aku buka lappy untuk selesaikan kemasukkan markah pelajar. Mestilah sambil menyelam minum air. Manfaatkan peluang yang ada sementara laptop berada di meja. Maaflah kalau korang rasa wasting time baca entri ini. Hehe. Raya ada lagi ni, aku ambil peluang minta maaflah sebab buang masa korang.


Salam Aidilfitri readers! 
Maaf zahir dan batin.









Tuesday, 16 July 2013

Bluetooth, Don't Leave Me!

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Kenapa aku lama sangat tak update blog? 
Sebab utamanya ialah BLUETOOTH.

Bluetooth aku rosak entah macam mana, sebenarnya tak rosak pun, cuma aku yang terlebih pandai ni gatal tangan pergi adjust bluetooh folder dekat tempat lain, KONONNYE (tangan di bahu, mata ke atas) tak nak gambar-gambar yang aku transfer tu hilang bersama belaian virus-virus benci yang membusukkan. 

Kalau dah namanya pendrive, pastilah pakej dengan virus yang melambak-lambak. Dan lappy kesayangan aku ni pun tak terkecuali menjadi sasaran parasitisme virus ini.  So, sebagai mengambil langkah berjaga-jaga, aku dengan lagak Like-A-Boss terus menghantar ('send to' cakap omputih) Bluetooh Folder aku ke storage D. 

Dan dengan muka Like-A-Boss lagi aku dengan confident terus mengupload gambar masuk lappy namun tiada sebarang balasan di skrin. Oh, mungkin kita perlu cuba sekali lagi. Bukankah practise make perfect? 

Cuba sekali lagi. 

Fail.

Cuba lagi.

Fail.


Oh tidak.

Di saat itulah aku terus menelefon talian hayatm AB untuk segera memberikan bantuan kecemasan kepada lappy. Namun, AB sampai sekarang belum menemui puncanya kenapa gambar aku tak dapat diupload dalam bluetooth.

Mesti readers tertanya-tanya.

Apa kaitan bluetooh dengan blog? Apa benda ko cuba nak sampaikan ni Fa oii?

Aku ni jenis suka kalau buat entri nak letak gambar banyak-banyak supaya readers faham dan jelas apa yang nak aku gambarkan. Gambar tu penting tahu? Cuba kau buka Dictionary dengan Buku Sejarah yang terpampang gambar Mat Kilau pahlawan Pahang tu? Semestinya la muka Mat Kilau tu la yang akan korang tatap kan berbanding dictionary yang penuh huruf-huruf tu.

Ha, that is the point.

Maka aku pun perlu letakkan satu gambar untuk entri ni untuk menegakkan prinsip aku. 

Tak tau la sesuai ke tak gambar ni. Hentam saje la Labu...

In Sha Allah, aku cuba godek-godek lagi la apa yang tak kena dengan bluetooth aku ni. 

Kalau tak boleh jugak, perlukah aku membeli laptop baru?

Exaggerate okay.


So readers, harap anda semua bersabar dengan dugaan bulan Ramadhan ini. 

Selamat Menunaikan Ibadah. 

:)




Monday, 10 June 2013

Siapa Aku Sebelum Faiq Dilahirkan? (Part 1)

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Rata-rata readers mengenali aku sebagai seorang ibu yang mempunyai anak pramatang. Dalam dunia realiti, aku dikenali sebagai seorang guru Matematik Tambahan yang mempunyai anak-anak murid yang selalu fail ujian namun bangkit tatkala SPM hanyalah tinggal beberapa minggu. +_+
Di rumah mama, aku dikenali sebagai seorang anak yang manja mengada-ngada yang hari-hari buka peti ais cari coklat Cadbury. Di rumah aku sendiri, aku dikenali sebagai bibik yang sangat sibuk sampai kadang-kadang aku tak sedar aku sedang menjemur baju sebagai seorang pegawai kerajaan- memakai nametag.

Namun, di sebalik apa yang aku lalui, sewaktu aku diuji dengan dugaan melahirkan Faiq, sewaktu aku hampir-hampir tewas dengan kelemahan jiwaku menidakkan kemampuan Faiq berjuang untuk hidupnya, tak ramai yang tahu siapa sebenarnya aku sebelum kewujudan Faiq.

Sebelum kelahiran Faiq, aku hanyalah seorang isteri yang tinggal berjauhan dengan suami (istilah orang sekarang panggil PJJ) yang mendambakan seorang cahaya mata dalam kehidupan. Sungguh-sungguh aku mahukan seorang zuriat dalam kehidupan kami. Melihat kawan-kawan lain yang lebih lewat meniti hari bahagia sudahpun berisi, memberikan aku semacam perasaan tidak enak. Perasaan cemburu, Iri hati dengan  kurniaan yang mereka peroleh. Mengapa aku belum mengandung???

Setiap hari setelah celik dari lena, perkara pertama yang aku fikir ialah anak. Mimpi dalam tidur pun semua bertemakan anak. Kalau tak mimpi bersalin, aku mimpi dukung baby. Kalau tak mimpi dukung baby, aku mimpi doktor sahkan aku preggy. Itu je la tak ada lain.

Di sekolah, guru-guru senior perempuan terutamanya semacam tak ada soalan lain.

" Dah ada ke?"

"Belum ada ke?"

"Tak ada apa-apa lagi ke?"

"Dah period belum bulan ni?"

Hamboi!! Sampai period aku pun jadi isu? Ok, ini sangat memualkan. So, kalian boleh bayangkan betapa sengsaranya aku hidup dalam kalangan insan-insan yang 'terlalu prihatin'? Tak cukup dengan itu, student-student aku juga tak habis-habis bertanyakan perkara yang sama.

"Cikgu, bila nak dapat baby?"

"Cikgu, Cikgu Markonah (bukan nama sebenar) dah pregnant dah. Bila turn cikgu?"

"Cikgu demam eaaa? Haaa.... cikgu ada good news ke?"

Diorang ni nama je budak sekolah tapi fikiran dah taraf Wanita Hari Ini dah. Amboi, kalau suruh jawab Trigonometric Functions menggagap-gagap nak keluar satu perkataan. Isu Di Celah-celah Kehidupan ni cepaaat aje respon. Huh.

2 tahun aku menunggu. Ya, bukan suatu tempoh yang sangat lama. Tapi cukup lama bagiku. Setiap bulan aku akan menunggu waktu kitaran haidku dan meletakkan harapan yang tinggi untuk suatu berita yang menggembirakan. Setiap bulan aku tak pernah miss membeli Urine Pregnancy Test (UPT) yang berharga RM9.90 di farmasi. Sampai cashier farmasi tersebut dah cukup kenal dengan muka tebal 14 cm ini. (Inci-inci dah tak pakai, ok. Kata cikgu maths, haruslah precise dan accurate).

Hampa. Setiap bulan UPT menunjukkan keputusan negatif. 

Uji lagi.

Negatif!

Beli lagi.

Uji lagi. Tak puas hati. Aku tau aku mengandung!

Negatif.

Negatif.

Negatif.

Argggghhhhhhhhhh!

Aku tak puas hati. Lalu aku search dalam Google dengan menaip :-

"Hamil walaupun UPT negatif"

Punyalah tak nak terima hakikat yang aku tak hamil sampai aku sendiri leka create simptom-simptom palsu. Pening la. Nak muntah la. Kencing tak lawas la. Bahkan setiap kali demam, aku terus ke klinik dengan harapan doktor mengesahkan aku mengandung. Betapa besarnya pengaruh anak kepada diriku. Betapa besarnya harapanku untuk bergelar seorang ibu.

Cakap sahaja apa cara, telah aku cuba. Kaedah BBT. Readers tahu tak apa itu kaedah BBT? Ok, bagi sesiapa yang tak pernah kenal kaedah BBT ni, meh nak cerita sikit. Sikit je la, biar jadi sesuai untuk bacaan semua lapisan masyarakat. 

Kaedah BBT

Kaedah BBT (Body Basal Temperature) ialah suatu kaedah di mana seorang wanita itu boleh mengesan waktu suburnya dengan mencatatkan suhu asas badan. Suhu asas badan ini ialah suhu semulajadi badan, biasanya diambil bacaan tersebut pada awal pagi setelah bangun tidur. Contohnya kalau seseorang itu memang setiap hari bangun pukul 6.00 pagi, maka setiap hari suhu asas badan perlulah diambil sekitar jam 6.00 pagi. Tak boleh hari ni ambil bacaan pukul 6.00 pagi, lepas tu esok lepas bangun tidur kau ambil bacaan lepas makan nasi lemak sambal sotong pukul 10.00 pagi. No.No. No. Okay.. Tu bukan caranya, So you got me?

Lepas suhu diambil setiap pagi, bacaan-bacaan itu dicatat dalam sebuah graf yang khusus. Pulak dah, graf pulak kena plot. Hello, ingat senang ke nak mengandung? Susah tahu? Emo tiba-tiba. So, basically macam ni la graf dia :-

Graf dari Kaedah BBT
(source : Google Images)

Ok, nampak tak bacaan-bacaan tersebut diambil untuk 1 kitaran haid, lebih kurang 24-35 hari bergantung kepada tubuh badan seseorang itu. Setelah bacaan-bacaan itu diplot, dan disambungkan titik-titik tersebut, maka suatu graf garis akan terhasil seperti di atas. Ok, macam mana nak baca graf BBT ni? Ok, macam ni. Dalam suatu kitaran haid lengkap, akan berlaku haid of course. Selepas haid 7 hari, suhu badan secara umumnya akan turun secara relatif. Anda dapat perhatikan pada graf di atas pada hari ke 13, 14, 15, 16, 17, 18. 

Lepas tu, cuba fokus pada hari ke 19, suatu kenaikan mendadak dapat diperhatikan. Ok, kat sini sepatutnya ovulasi akan berlaku. Tahu tak apa itu ovulasi? Hah sudah. Ingat kat sekolah je mengajar. Dalam blog pun kena terang jugak? Errrk. Ovulasi itu ialah penyediaan ovum (telur) yang telah matang untuk disenyawakan dengan sel sperma. So, mainly lepas dah kenal pasti hari-hari subur maka bolehlah seseorang itu merancang kehamilannya.

Berbalik pada topik aku tadi (entri ini sepatutnya mood serius, aku tak tau sejak bila mood entri ni dah bertukar jadi sengal-sengal sikit), kaedah BBT aku dah pernah cuba. Tak jalan sebab aku dan AB duduk jauh-jauh. So no point la kalau aku semangat-semangat plot graf bagai dan detect hari-hari subur pada waktu aku sensorang menonton Cerekarama pada malam Sabtu. Sangat tidak ada makna!

So, selama setahun jugak la aku mengalami SKA (Sindrom Kepingin Anak) pada tahap agak serius. Bayangkan setahun aku akan dihujani dengan soalan-soalan yang sama, beli UPT pada farmasi yang sama (sebab kat tempat aku kerja tu ada satu je farmasi) test-test, negatif. Test-test negatif. Kaedah BBT juga tidak pernah dilupakan walaupun aku tahu memang sia-sia namun kedegilan aku mengatasi segalanya. Nak jugak buat BBT! Biar la! Aku nak buat jugak! Usaha tu penting tahu? 

Dan akhirnya aku give up.

Aku letih. Aku putus asa. Aku penat berharap. Lalu aku lupakan semua. Aku pekakkan telinga. Kalau ada ayat-ayat pedih yang ku dengar, aku balas jugak dengan cara bergurau. Sekadar mahu melawan sedih di hati mungkin. Aku tak bermaksud untuk berkasar. Namun, hati aku terlalu diruntun oleh masalah ini membuatkan aku sangat sensitif sewaktu diajak berbicara soal zuriat.

Mungkin bagi pasangan-pasangan yang berkahwin dan mudah untuk mengandung tidak merasakan seksanya sebuah penantian. Benar-benar menyeksakan. Mungkin desakan itu bukanlah datang daripada suami, atau ibu bapa, atau ibu bapa mertua tetapi mereka-mereka yang LANGSUNG tidak ada pertalian denganku. Macam... Annoying nye!

Berbulan-bulan lamanya aku penasaran. Kawanku yang kahwin 2 bulan sebelumku sudahpun melahirkan. Yang kahwin 6 bulan selepas aku juga sudah masuk bulan ke lima. Aku?

*bunyi cengkerik*


#bersambung next entry.







Saturday, 18 May 2013

Blog Ni Dah Pupus Ke?

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Kenapa aku dah lama tak update blog? Sebab aku tak ada idea nak menulis. Tak.. Tak.. Banyak sebenarnya idea tapi aku macam tak ada mood nak menaip. Boleh tak kalau blog tu boleh siap dengan bercakap je. Hehe. 

Anyway, entri ni aku buat untuk para readers yang ingat blog ni dah berkubur. Erkk.. Belum tau. In sha Allah, dalam sedikit masa lagi aku akan update. Frankly, aku banyak sangat perkara untuk difikirkan sampai aku tak ada masa nak tulis entri. Kalau banyak sangat masalah, maka susahlah untuk menghasilkan entri yang benar-benar memuaskan hati. Betul tak? Betul tak? 
Cakap betul, cepat!!!

So, readers.. Please give me some time.

In shaa Allah, in anytime, I'll update. 


:)



Thank you for your patience. :)










Friday, 19 April 2013

Mama Sejati

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Satu perkara yang sedang aku fikirkan sekarang ialah,
Alangkah indahnya jika aku dapat mengasuh anakku dengan tanganku sendiri?


Dan ayat-ayat tersebut selalu menerawang menerjah lubuk perasaanku.
Bagaimana jika aku dapat melihat sendiri perkembangan Faiq di depan mataku?
Menguruskan makan minumnya?
Mendodoikannya apabila waktu tidur?
Membasuh pakaian dan lampin-lampinnya?
Memasakkan pelbagai jenis makanan yang lazat untuknya?

Pendek kata menjadi seorang ibu yang sejati untuknya?

Tuntutan tugas menjadikan hidupku seolah-olah terbahagi dua. 
Menjadi seorang pendidik dan pada waktu yang sama, berusaha untuk menjadi seorang ibu.

Aku tekankan disini, berusaha menjadi seorang ibu.

Allahu Allah.

Sukarnya untuk menjadi yang terbaik bagi kedua-duanya.
Menjadi seorang guru bukanlah sekadar mengajar dalam kelas, menanda latihan murid atau menanda kertas peperiksaan.
Guru juga disifatkan sebagai seseorang yang mempunyai tugas yang cukup mudah, balik awal, cuti banyak dan sebagainya.

Tetapi entri ini bukanlah bertujuan aku mahu mengomel tentang tugas guru yang tidak bersempadan. Maksudku, tidak kiralah aku bekerja sebagai apa pun, yang penting tugasku sebagai seorang ibu langsung terbatas dan perlu dihadkan.

Ku kira pada masa kini, kebanyakkan anak-anak perempuan (termasuk diriku) diberi pendidikan setinggi mungkin dengan harapan anak-anak tersebut membesar menjadi seorang yang berkarier dan berkerjaya, di samping mampu menguruskan diri mereka sendiri tanpa perlu bergantung harap pada sesiapa pun.

Aku juga begitu. Abah dan mama mengajar diriku untuk berdikari dan menguruskan diri sendiri dengan sebaik mungkin. Aku telah digesa untuk belajar memandu seawal 17 tahun supaya kelak aku dapat ke mana-mana sahaja tanpa perlu bergantung pada orang lain. Aku juga diajar supaya tidak mudah membenarkan sesiapa membelanja diriku, terutama sewaktu bujang dahulu khuatir akan terhutang budi, aku juga diterapkan nilai-nilai survivor supaya kelak jika aku ditakdirkan perlu sendiri, aku mampu survive tanpa siapa-siapa di sisi.

Sewaktu bujang dahulu, aku rasakan aku mampu hidup sendiri. Ada kerjaya sendiri, ada kereta sendiri dan ada wang poket sendiri tanpa perlu meminta-minta daripada sesiapa. Aku mampu drive sejauh 200km berulang-alik setiap minggu  dari Melaka ke Klang. Untuk pengetahuan umum, aku ditugaskan di Melaka untuk penempatan pertama (first posting). Baju, beg, kasut memang setiap bulan bertukar ganti. Tudung macam-macam warna aku beli. Oh, pada masa itu, online shopping masih belum popular. Jadi aku kerap ke shopping complex bersama-sama my BFFs untuk shopping, shopping dan shopping.

Memang heaven, ok!

Aku rasa aku tak mampu hidup kalau tidak bekerja. Aku perlu kerja. Aku perlu duit untuk beli macam-macam barang untuk memenuhi kehendakku. Petik jari, nak apa, semua boleh dapat sebab ada duit sendiri.

(Melainkan aku kalau aku minta Ferari la kan. Agak- agak la wei!)

NAMUN

Setelah aku berumah tangga, dikurniakan Faiq (Alhamdulillah), menempuh pelbagai kesukaran sewaktu awal kelahirannya, dan seterusnya berjauhan dengannya, aku merasakan betapa kosongnya hidupku. Percaya atau tidak, telah sekian lama aku tidak menukar beg tangan, bajuku juga tidak lagi semeriah dulu, koleksi tudung juga masih berada pada takuk lama, seolah-olah keinginan untuk berbelanja itu mati disitu.

Mengapa?

Aku rasakan itu semua tidak lagi perlu. Aku hanya mahu melihat Faiq di depan mata. Membesarkan dengan kedua-dua tanganku, supaya aku merasai setiap kepayahan dalam mengasuhnya menjadi khalifah di bumi Allah ini. Dalam bahasa mudah, aku mahu menjadi ibu sepenuh masa untuknya. Bukan lagi seperti sekarang di mana aku sendiri tidak tahu untuk menggambarkan betapa peliknya hidupku kini. Pulang dari kerja rumahku kosong. Menonton televisyen bersama AB berdua seolah-olah kami masih dalam era berbulan madu. Walhal anakku nun jauh di sana sedang menjerit-jerit meminta susu.

Aneh.

Aku kehilangan segalanya. Aku kehilangan masa-masa terindah bersama Faiq. Aku bukanlah insan pertama dapat melihat Faiq tumbuh gigi, aku juga terlepas mendengar perkataan pertama yang dituturkan olehnya, aku terlepas mendengar babytalk nya yang melucukan, segalanya.
Tidak dinafikan Faiq tidak rapat denganku. Aku dianggap seperti makhluk asing dari Planet Zargus mungkin. Hahaha.

Namun, apalah pilihanku? Aku tersepit di antara kerjaya dan keadaan Faiq. Aku belum dapat memberikan kepercayaanku pada nurseri-nurseri yang sedia ada kerana Faiq mempunyai tingkahlaku yang sukar dijangka. Tidak mahu ditinggalkan sendirian, suka merengek, suka menjerit, mahu dipujuk, selagi tidak dipujuk, maka selama itulah dia akan menangis. Seolah-olah dia mahu dibelai selalu, Dia mahukan perhatian sepenuhnya dari penjaganya.  

Adakah mungkin tingkahlaku preemies begitu?

Satu persoalan di sini,

Adakah pengasuh yang sanggup menjaganya? 
Bersabar dengan kerenahnya?

Ya, mungkin ada.

Tapi sejauh mana perhatiannya?
Mampukah dia bersabar dengan kerenah Faiq yang kadang kala menjengkelkan?

Aku tak yakin.
Aku belum yakin ada yang mampu.


Persoalan di sini bukannya aku mahu mempertikaikan kredibiliti pengasuh/ nursery, tapi aku tahu suatu perkara,

Penjagaan seorang pengasuh itu tidak setanding penjagaan seorang ibu kandung.

Lalu bertubi-tubi fikiranku di asak, aku mahu menjaga Faiq sendiri! Aku mahu mengasuhnya sendiri. Aku mahu melaksanakan tanggungjawabku padanya yang sekian lama aku pinjamkan pada kedua ibu bapa ku. Namun aku tak mampu.

Dilema terbesar dalam hidupku barangkali.

Mahu berhenti kerja, mampukah aku?
Mahu dihantar ke nursery, mampukah mereka?


Aduhai anak, janganlah pernah kamu fikirkan bahawa mama dan abah sengaja menjauhkan kami darimu.
Janganlah kamu anggap kami lalai dalam menunaikan tanggungjawab kami.

Kerana ini keputusan yang terbaik untukmu,
Untuk kesihatanmu, Untuk keselamatanmu.



I'm sorry, dear.