Showing posts with label health. Show all posts
Showing posts with label health. Show all posts

Monday, 31 October 2016

Bila Mama Tak Sihat

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Memang jenis suka update tengah-tengah pagi buta gamaknya saya ni. Time orang lain tengah lena, maybe ada juga yang sedang frust menunggeng sebab Selangor tumpas di tangan Kedah dalam perlawanan sebentar tadi, tidak lah saya pasti. Namun yang tentu-tentunya jadi esok ialah saya perlu pulang ke Terengganu untuk meneruskan tugas seperti biasa. 

Barangkali ada yang tertanya-tanya, bagaimana status keberadaan Faiq sekarang. Ya, Faiq masih lagi di bawah jagaan ibu dan bapa saya di Klang. Kenyataan yang pahit untuk ditelan namun perlu ditahan kerana itulah yang difikirkan terbaik buat masa sekarang.

Saya hormati semua pandangan readers. Ada yang bersetuju dengan keputusan ini malah tak kurang yang mencemuh. Saya terima dengan berlapang dada. Sebab musabab dan buruk baik telah kami fikirkan sedalamnya dan insha Allah kami berpegang pada ketentuanNya kelak.

Saya boleh memberikan seribu satu justifikasi mengapa saya harus berjauhan dengan anak tunggal saya. Namun, saya tidak akan melakukan itu, kerana saya berpendapat itu merupakan sesuatu yang peribadi. Apa yang boleh saya simpulkan, Faiq akan mendapat kasih sayang dan perhatian yang sepenuhnya dari atuk dan neneknya. Mungkin terlebih manja, namun saya yakin itu semua hanyalah sesuatu yang sementara.

Kepulangan saya ke Klang pada kali ini agak mengecewakan kerana status kesihatan saya yang kurang baik. Selsema, sakit tekak dan batuk menyerang saya sehingga saya hanya mampu terbaring sahaja di katil. Bagi seorang ibu bekas seorang anak pramatang, keadaan ini amat mengganggu kerana kami perlu menjaga keberishan dan mengambil langkah-langkah pencegahan lebih dari biasa agar anak tidak terjangkit sama.

Jadi, antara langkah-langkah yang saya praktikkan :-

  • Bila tekak mula rasa semacam, terus telan 2 biji vitamin C tak kisah la jenama apa pun, janji Vitamin C. Biasanya cara ini menjadi bagi saya, tapi kena betul-betul pastikan sakit tekak itu adalah pada stage yang awal, Kalau yang dah perit sampai telan air liur pun dah sakit, memang tak boleh pakai dah cara ni.
  • Kalau previous step tak jalan, kita sebagai ibu perlu segera mengambil rawatan sama ada secara saintifik atau alami. Saintifik dari segi mendapatkan khidmat nasihat dari doktor perubatan dan mengambil ubat-ubatan yang dibekalkan. Alami pula mungkin lebih kepada menggunakan bahan-bahan yang lebih semulajadi dalam penghasilan ramuan perubatan. Mungkin ubat-ubatan homeopati dan pemakanan sunnah. Saya usahakan secara kedua-duanya sekali. Selain ke klinik dan mengambil ubat-ubatan yang dibekalkan, saya juga mengamalkan madu setiap malam. Madu tu madu kampung biasanya.
  • Setelah rawatan diambil, kita sebagai ibu sepatutnya lebih berhati-hati dalam kebersihan semasa berurusan dengan anak-anak. Pakai topeng pelindung untuk mengelakkan cairan dari hidung dan mulut merebak keluar sehingga boleh menyebabkan jangkitan kepada si kecil. Tangan perlu sentiasa bersih semasa menyentuh anak dan paling penting, jangan dicium-cium mereka. Saya mengerti perasaan itu, tapi demi kesihatan mereka hindarilah semua ini buat sementara waktu. 
  • Terakhir, bekalkan vitamin C juga kepada anak-anak supaya antibodinya cukup kuat untuk melawan virus dan bakteria. Selain itu, kita juga boleh mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengelakkan anak-anak mengambil sebarang minuman berais dan sejuk buat sementara waktu. Tekak mudah menjadi radang jika sering mengambil minuman berais. So, say no to iced drinks.

Tekilan juga rasanya kerana saya perlu menghabiskan masa di bilik dan bukan bersama Faiq.Sayu juga rasa hati bila saya diminta bukakan pintu bilik dan menemani dia bermain bersama. Duhai anak, kalaulah kau mengerti ;')

Menjadi ibu yang sihat itu sangat penting walaupun terllihat sebagai suatu yang remeh. Bagaimana mungkin anak-anak terjaga jika ibu juga tidak sihat? 



Doakan kesihatan saya segera sembuh dan kembali seperti sediakala. 

:)

Monday, 2 December 2013

Faiq: Updates for November 2013

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Mempunyai anak adalah impian semua (hampir semua kot) pasangan yang berkahwin.
Mempunyai anak yang sempurna dan sihat adalah harapan semua ibu bapa.

Kami juga.

Faiq Aqwa.
Dilahirkan awal 2 bulan.
Kisah ini telah aku ceritakan pada anda semua dalam entri-entri yang lalu.

Part 1 : Istimewa Sebuah Pengorbanan
Part 2 : Sayang Mujahidku Sayang

Menyelusuri hampir 2 tahun bersamanya, aku akui Faiq seorang anak yang sangat membahagiakan jiwa keibuanku.

Anak yang petah berkata-kata.
Anak yang pintar.
Anak yang sensitif dan lembut.
Anak yang keras hati.
Anak yang sempurna di mata kami.

Alhamdulillah.

Aku abaikan sahaja kata-kata sinis menyatakan anakku itu dan ini.
Tidak boleh berjalan walau hampir 2 tahun, kecil dan kurus, dan pelbagai lagi. Ada juga yang menggelarkan Faiq OKU (Orang Kelainan Upaya).

Kalau benar, kenapa?

Aku tak punya masalah tentang itu.

Memang anakku tidak dapat berjalan apatah lagi berlari setakat entri ini dikarang. Faiq pada hari ini hanya mampu berdiri dan bertatih dengan sokongan.

Ya, aku bangga dengan kemajuannya.

Tiada sebab untuk mereka-mereka menkonklusikan perkara itu.

Kun Fa Ya Kun.

Apa yang akan jadi, aku terima.
Apa yang aku terima, akan aku redha.

Bukankah aku seorang hamba?  Lalu, berlagaklah seperti hamba.
Usahlah mendabik dada seperti tuan.

Kalau itu yang diberi, maka aku terima.
Aku sudah lama menerima Faiq.

Bagaimanapun dia, akan aku sayang kerana dia sebahagian dari diriku.


Untuk pengetahuan readers, Faiq Aqwa anakku disahkan mempunyai struktur tulang belakang yang tidak seperti yang sepatutnya.

Digelar "kypho scoliosis".

Memang sebelum ini, aku perasan tulangnya agak bengkok. Namun aku fikir itu disebabkan oleh faktor badannya yang kurus.

Setelah aku ajukan kepada pakar tentang perkara ini, dan melalui imbasan sinar -X, didapati memang benar, tulang belakang Faiq tidak lurus.

Kyphoscoliosis ialah suatu keadaan di mana struktur tulang belakangnya yang membengkok ke sisi dan membongkok ke depan. Simptom ini adalah gabungan daripada dua jenis keabnormalan tulang belakang, iaitu kyphosis -tulang yang membongkok ke depan dan scoliosis- tulang yang membengkok ke sisi membentuk huruf S.

Aku tidak menjumpai gambar yang sesuai untuk aku muatkan dalam entri ini berkenaan dengan kyphoscoliosis. Plus, aku tidak berdaya untuk melihat gambar tersebut setiap kali entri ini dibaca olehku. Ya, kerana aku seorang ibu. Maaf, aku belum bersedia. Tambahan pula, hati-hati insan sekelilingku harus dijaga.

Aku harap bagi sesiapa yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan masalah ini, bolehlah search di Google.

Kini, Faiq sedang dipantau oleh doktor pakar tulang belakang berkaitan masalah ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di mana Faiq harus menghadiri temujanji setiap 6 bulan sekali untuk melihat perkembangan tulang belakangnya.

Entri kali ini pendek dan ringkas.

Aku tidak mahu bercerita panjang.
Mungkin juga emosiku tidak begitu stabil dengan ujian ini.

Kuatkah aku untuk menerima?
Aku tidak tahu.

Tetapi melihat senyuman di wajahnya yang ceria, adilkah aku membazir waktu untuk bersedih tatkala bersamanya?

Allah ada.

Kun Fa Ya Kun.

Aku terima Faiq seadanya.





















Tuesday, 20 August 2013

Dugaan Sebuah Kehidupan

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Aku mulakan dengan lafaz syukur ke hadratNya. Dalam entry kali ini, aku titipkan sebuah kisah yang benar-benar meruntun hatiku. Naluri keibuanku.

Sudahkah kalian mendapatkan naskhah terbaru dari majalah Seri Dewi dan Keluarga edisi September?

Cover hadapan ialah selebriti Nurul Syuhada, Syura dan Eja.

Sudah terlalu lama diri ini tidak membaca. Seingat aku sejak aku mengandungkan Faiq aku hilang keseronokan membaca kerana terlalu memikirkan keadaan kandunganku ketika itu. Kalau dulu, buku, majalah, novel, cerpen, bagi lah apa saja bahan bacaan pasti akan ku belek berjam-jam lamanya.

Naskhah terbitan Karangkraf ini aku dapatkan petang tadi setelah selesai membeli sedikit barang keperluan di pasar. Entah mengapa, hari ini aku ingin membaca. Aku ingin tahu perkembangan semasa. Mungkin juga untuk meredakan tekanan kerja yang aku alami hampir setiap hari di sekolah. Membaca merupakan terapi yang terbaik untuk diriku. 

Setelah selesai membersihkan diri, aku duduk di sofa sambil mengunyah biskut raya yang masih bersisa. Majalah tadi ku ambil dan ku belek satu persatu. Segmen hadapan. 

Fesyen tudung. 
Fesyen jubah.
Fesyen lilitan tudung.

Typical.
Perkara-perkara biasa yang harus ada dalam majalah kewanitaan.
Tidak menarik minatku kali ini.

Lalu aku belek helaian demi helaian. Aku mencari sesuatu yang menarik untuk dibaca sehingga mataku tertancap pada artikel ini.

 " Irfan Derma Diri Selamatkan Adik"


Okay, ini menarik. 
Lalu aku membaca dengan teliti sambil menatap gambar-gambar yang dipaparkan.

Keluarga yang mempunyai 3 orang anak lelaki yang pada awalnya dilahirkan normal. Anak sulung mereka, Muhammad Nur Aiman kelihatan normal seperti  bayi lain dan sangat aktif sehingga pada umurnya 3 tahun, didapati perkembangannya lambat. Sendinya juga mengeras secara tiba-tiba. Pada mulanya doktor tidak mengesyaki sebarang keabnormalan, sehingga pada suatu hari seorang pakar kanak-kanak di sebuah hospital mengesyaki Aiman menghidap penyakit Hunter Syndrome.


Kita mungkin biasa dengan kes Down Syndrome. Tetapi Hunter Syndrome ini penyakit yang bagaimana?

Hunter Syndrome merupakan sejenis penyakit keabnormalan genetik yang serius. Kebiasaannya ibu merupaka pembawa genetik ini dan akan menurunkan kepada anak lelaki yang dilahirkan. Sindrom ini secara khususnya adalah disebabkan oleh kehilangan atau kegagalan fungsi enzim yang diperlukan untuk memecahkan molekul  Glycosaminoglycansa (GAG).

Readers boleh baca lebih lanjut tentang Hunter Syndrome di sini.

Apa yang telah ku baca, Hunter Syndrome ini menyerang kanak-kanak lelaki. Simptomnya tidak akan kelihatan pada awal kelahiran namun ciri-ciri tersebut akan lebih ketara apabila si manja meningkat usia 2 ke 3 tahun. Simptom awal penyakit ini seperti selsema dan jangkitan telinga juga tidak begitu ketara kerana simptom ini juga kerap dialami oleh kanak-kanak normal. Ketiadaan enzim untuk memecahkan molekul GAG ini juga memungkinkan fungsi kardiak dan pernafasan terjejas memandangkan kebanyakkan molekul GAG yang tidak dapat dipecahkan ini akan berkumpul di injap jantung.

Di samping itu, seperti Down Syndrome, Hunter Syndrome juga mempunyai suatu ciri fizikal khas yang mudah dikenali kerana golongan istimewa ini mempunyai wajah dan rupa yang seakan-akan sama. Mereka disifatkan mempunyai dahi yang luas dan jendul (prominent forehead), batang hidung yang rendah (flattened bridge nose), dan lidah yang lebar (enlarged tougue).



Di sini aku kongsikan beberapa gambar kanak-kanak Hunter Sundrome untuk pengetahuan bersama.




Tiga orang kanak-kanak yang tidak mempunyai pertalian darah yang mengalami Hunter Syndrome. Readers perasan tak wajah mereka seakan-akan sama?


Berbalik pada artikel yang telah aku kongsikan tadi, Aiman yang kini berusia 9 tahun tidak dapat menguruskan dirinya sendiri kerana kelainan upaya yang dialaminya. Lebih memilukan, adik bongsu Aiman, Muhammad Nur  Aqmal (1 tahun 2 bulan) juga disahkan menghidap penyakit ini. 

Allahu Allah.

2 orang cahaya mata dengan kelainan upaya yang dimiliki semestinya meluluhkan mana-mana hati seorang ibu. Termasuk diri ini.

Ibunya, Puan Mardzita, pasti merupakan wanita yang sangat cekal dalam menghadapi ujian Allah yang maha hebat ini. Berbekalkan semangat dan usaha yang tidak putus-putus, Pn. Mardzita dan suami bersepakat untuk merawat Aqmal sebelum keadaan menjadi terlalu lewat seperti abangnya. 

Menurut doktor, rawatan Hunter Syndrome ini adalah melalui pemindahan sum-sum tulang. Memandangkan sum-sum tulang Pn. Mardzita tidak sepadan dengan Aqmal, anak kedua beliau, Muhammad Nur Irfan (6 tahun), yang disahkan normal dan bebas dari penyakit ini tampil menawarkan diri untuk memberi bantuan sum-sum tulangnya.

Tulus kasih seorang abang dizahirkan apabila anak kecil berjiwa besar ini sanggup menjalani pembedahan pemindahan sum-sum tulang demi kesihatan adiknya. Pembedahan perlu dijalankan segera sebelum usia Aqmal menjangkau 2 tahun atau sebelum otaknya mengecut. 

Ralat hati seorang ibu melihat ujian yang dihadapi oleh anak-anaknya. Aiman cekal menjalani hidup dengan keadannya. Irfan berkorban nyawa untuk kesihatan adiknya dan Aqmal pula terus kuat melawan penyakitnya berbekalkan sum-sum tulang abangnya. 

Aku dapat merasakan apa yang dialami oleh ibu yang tabah ini. Mungkin ada sedikit kekesalan di hati beliau kerana tidak mengetahui keadaan Aiman lebih awal. Mungkin Aiman dapat dirawat sebagaimana Aqmal dirawat jika keadaannya dikesan sebelum itu. 

Ya, itu semua mungkin.

Aku lebih sensitif apabila didedahkan dengan coretan-coretan sebegini. Benar-benar mengusik perasaanku memandangkan aku juga punya anak lelaki. Semoga Allah merahmati anak-anak kita, diberikan kesihatan yang terbaik dan sentiasa berada dalam redhaNya.

Sungguh, ketika ini aku sangat merindukan Faiq yang berada jauh di mata. Membaca artikel seperti ini juga mengembalikan paranoidku yang selama ini telah lama aku hapuskan dari kotak fikiran.

Coretan kali ini menyingkap salah satu sisipan kehidupan duniawi.
Misterinya tiada siapa yang tahu. 

Perjalanan yang panjang dan sentiasa berliku.

Rahsianya hanya digenggam Allahu Rabbi.


Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim,
Kau berikanlah yang terbaik untuk keluarga ini,
Berikan kekuatan untuk ibu bapanya,
Berilah kesihatan yang terbaik untuk anak-anaknya.

Ameen.















Thursday, 28 March 2013

Faiq : Tantrum at the Ophthalmology Clinic

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.



Sebagai seorang ibu kepada seorang bayi pramatang, ternyata aku harus hadapi pelbagai dugaan. Dari satu masalah ke satu masalah aku harungi bersama suami dan keluarga berkenaan Faiq. Faiq yang dilahirkan pada 17 Februari 2012 telah menyambut hari lahirnya yang pertama pada 2 minggu lalu. Boleh baca entri tentang ulangtahun Faiq :-


(entri ini hanyalah entri luahan hati aku, bukan entri sambutan harijadi atau birthday party memandangkan aku tidak berada di samping Faiq sewaktu harijadinya.)


Setelah melewati usia 1 tahun juga menandakan Faiq perlu menghadiri pemeriksaan mata khas untuk bayi pramatang. Setahun yang lalu, kira-kira selepas sebulan dilahirkan, Faiq telahpun menjalani pemeriksaan mata untuk memantau penglihatan Faiq sama ada normal ataupun mengalami ROP (Retinopathy of Prematurity). ROP ini berdasarkan pemahamanku ialah suatu keadaan di mana salur darah dalam retina mata berkembang secara abnormal bagi bayi pramatang. Keadaan ini disebabkan perkembangan retina mata terganggu akibat kelahiran mereka yang lebih awal dari yang sepatutnya. Tau tak retina tu kat mana? 


Daripada membazir dakwat marker, lukis dengan gigih lepas tu padam, ada baiknya aku upload hasil pathetic aku ini sebagai informasi bersama. Ni bebola mata kita ye, cuba cari retina tu kat mana.


Oleh sebab itulah, setiap bayi yang dilahirkan awal dari 37 minggu harus menjalani pemeriksaan mata untuk mengesan sama ada mereka mengalami ROP atau tidak. Walau bagaimanapun, keadaan ini boleh dirawat dengan menggunakan terapi laser atau pembedahan bergantung kepada jenis kes tersebut.

Hasil dari pemeriksaan setahun yang lalu, alhamdulillah, Faiq bebas dari ROP.

Alhamdulillah, syukur ke hadratMu, ya Rabbi. :)

Walau bagaimanapun, Faiq masih perlu menghadiri pemeriksaan mata berkala iaitu pada umurnya 1 tahun untuk memantau keadaan penglihatannya dari semasa ke semasa. Dan hari ini, aku akan menceritakan pengalamanku bersama Faiq yang menghadiri pemeriksaan mata di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) pada minggu yang lalu. 


Pada pukul 7.30 pagi, 4 Mac yang lalu, aku ke HTAR ditemani mama ke appointment mata Faiq. So dalam 15 minit kemudian sampailah kami di perkarangan hospital yang sentiasa sesak-masak dengan orang. Hello, ada yang dari pukul 6.30 ada beratur tunggu nombor tau! Punyalah nak balik awal punya pasal. Namun, mama Faiq tidaklah serajin itu, 6.30 pagi duk terkebil-kebil lagi atas katil, solat subuh, mandi sikit-sikit dah, pakai baju, seluar, sarung tudung, kemas beg Faiq (semalam tak mau ready, padan muka kau), kira-kira pukul 7.00 pagi barulah aku terkedek-kedek start kereta panas enjin. Angkut stroller masuk kereta, angkut beg Faiq, angkut Faiq, angkut mama, eh...salah...salah..

 Hehehe.

Angkut mama jawabnya aku yang kena admit ward patah pinggang. LOL



Perkarangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Setelah urusan beratur ambil nombor, urusan mengumpat dalam hati sebab ada orang potong line, urusan mendiamkan Faiq nangis sebab takut dengan lembaga-lembaga yang berpusu-pusu di sekelilingnya, urusan pendaftaran dan pembayaran, barulah kami dapat ke Klinik Oftalmologi, Tingkat 1, Bangunan Klinik Rawatan Harian.

Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM5.00 untuk setiap pesakit. Kalau di kecemasan RM1.00 je. Mungkin disebabkan aku akan ke klinik pakar, maka bayarannya juga mesti up sikit.



Lepas ni kalau nak pergi klinik mata kena sebut, " Oh, I nak ke ophthalmology clinic!"
Baru ada bau-bau doktor sikit.



Klinik Oftalmologi ni dibuka kepada awam termasuk dewasa pada setiap hari bekerja. Kebanyakkannya warga emas, mungkin sebab kebanyakkan warga emas ni mudah mendapat penyakit mata seperti katarak dan sebagainya. Babies pun ada, kebanyakkan yang preemie macam Faiq jugak untuk check ROP sebagaimana yang aku nyatakan di atas.


Sejujurnya, aku memang cuak kalau bab-bab check up ni. Mungkin sebab aku dah lalui perkara-perkara yang mengerikan sebelum ni, menyebabkan aku sangat takut dengan segala kemungkinan. Mungkin setahun yang dulu Faiq bebas dari ROP, tapi bagaimana pula dengan sekarang? 

Apakah matanya normal? Bagaimana penglihatannya? Jelaskah?

Soalan-soalan ini sangat menganggu perasaanku. Aku memang paranoid, readers! Rasanya kalau korang yang tak pernah kenal aku ni akan tahu perangai aku macam mana melalui blog ni. 

AKU MEMANG PENAKUT! 




Sabar menunggu giliran.



Dengan fikiran yang kusut, ditambah pulak dengan si cinonet Faiq tak mau dekat dengan siapa-siapa tambah memeningkan kepalaku. Menangis all the way sebab takut dengan semua orang. Kalau dah sepanjang hidup ni dia jarang keluar rumah, what do we expect kan...

 Yang dia kenal cuma Tok Abah, Tok Ma, aku, dan AB. Tu pun puas umpan bagi Tab, bagi handphone, bagi laptop barulah dia nak main dengan kita. 


Biarpun laptop dah lunyai jadi macam ni, tak pe lah. Faiq.
Mama n abah rela asalkan Faiq tak nangis jumpa kami.

Berbalik pada topik, Faiq terus-terusan buat perangai yang kurang comel masa kat klinik tu sebab dia langsung takmau duduk dalam stroller diam-diam supaya mama dapat berborak lebih dengan mak-mak kat situ.

Oleh sebab itulah entri ni macam takde gambar sangat sebab aku sibuk mendukung dia yang langsung tak boleh nampak orang asing depan mata dia.

Buat hospital sendiri la Faiq oi! 
Biar awak je sorang-sorang ada dalam tu.


*



*



*



*

*membebel cara mak-mak*

Wah! Tuanya aku! 

B.E.N.C.I







Senang aku dodoi dia tido. Baru dia senyap sikit.
Malu jugak diri ni rasanya sebab anak orang lain senyap je.


Nama Faiq dipanggil masuk ke bilik seorang pegawai optometri sewaktu dia sedang lena tidur. Aisey, tadi tak mau panggil, sekarang kalau nak panggil alamatnya amukan Faiq, sekali lagi bakal mengganggu ketenteraman klinik yang aman damai tu.

Pemeriksaan mata dilakukan dengan menitiskan sejenis cecair dalam kedua-dua bola mata Faiq.

"Mungkin pedih sikit ye, puan.."

Kata pegawai optometri tersebut.

Tapi bagi Faiq, tidaklah sesikit mana kot?

SATU. BLOK. BOLEH. DENGAR. DIA. MERAUNG.


Actually tak la pedih sangat kot, Tapi biasalah, Faiq kan propa macam mama dia gak. 

Muehehehehe.

Pegawai optometri tersebut meminta kami keluar sebentar untuk memberi laluan kepada pesakit seterusnya sementara menunggu kesan ubat mata tersebut bertindak. Cecair tersebut bertujuan untuk membesarkan anak mata (pupil) bagi memudahkan pemeriksaan dilakukan.

Jadi setengah jam lamanya lah kami menunggu dengan sabar.

Sabar di sini bermaksud :-

  1. Sabar dengan kesan ubat mata yang hanya boleh dilihat setelah 30 minit.
  2. Sabar dengan kesesakan pesakit yang sama-sama memerlukan rawatan mata di klinik tersebut
  3. Sabar dengan kerenah Faiq yang sememangnya restless dengan tindakan pegawai optometri yang kononnya mengganggu tidurnya tadi. Amboiiiii marah betul dia!
Dan benarlah sabar itu separuh daripada keimanan yang hakiki.
Memang mencabar ok!

Tok Ma bertindak sebagai agen penenang.
Well done, Tok Ma!
Kalau dengan aku, sampai pagi esok pun belum tentu dia nak berenti nangis.

Setelah sejam kemudian,

Biasalah, kalau setakat extend2 setengah jam tu. 

Huhuhu.


Nama Faiq telahpun dipanggil semula ke bilik pegawai optometri untuk diperiksa.

Cubaan demi cubaan dilakukan untuk melihat ke dalam matanya namun ditepis hebat oleh Hang Faiq. 

Macam-macam cara dah digunakan untuk mengumpan Faiq membuka matanya namun haraaaaammm tak jalan langsung!

Last-last cik pegawai optometri pun give up dan berkata, 

"Daripada apa yang saya nampak, mata dia ok, cuma tak boleh nak review sangat la sebab tak jelas kan.. Tapi overall saya nampak prestasi matanya normal untuk seusia dia."

Aku taklah berpuas hati sangat dengan penjelasan beliau. Tapi aku faham, dengan Faiq yang meronta-ronta tak mau diperiksa, takkan la aku nak harapkan penjelasan yang detail lagi panjang lebar.

"Lepas ni, puan kena jumpa doktor ya, sebab doktor nak check mata dia. Dari lahir hari tu tak pernah check mata dengan doktor kan.."

Kata pegawai optometri tersebut.

Sudah...jumpa doktor pulak dah!!! Meraung pulak la dalam bilik doktor tu.

Getus hatiku. Eiiii...benci betul! 

Benci bermaksud bukanlah aku membenci doktor mahupun pegawai optometri yang cun lagi innocent itu.
Benci bermaksud aku tak tau macam mana nak diamkan Faiq yang bakal meraung-raung dalam bilik doktor tu.

"How sure are you? Mana la tahu kalau dia tak meraung?"

Adakah itu yang korang nak bagitau aku?

He is my son. Memang aku masak sangat la dengan perangai Faiq Aqwa cinonet ni.



Setelah nombor dipanggil masuk, as I thought, memang betul dia takut sangat dengan doktor perempuan muda yang bertugas di klinik tersebut pada hari itu.

ARRRRRRRGGGGHHHHHH

Dan setelah pujukan aku tak menjadi, lalu Tok Ma jugalah yang menjadi Super Nek menenangkan Faiq.

Tok Ma is a

*


*


*


*

Hikhik. 

Rasa-rasa kalau mama tahu blog aku ni menjadikan beliau sebagai subjek ketawa pengubat duka beliau marah tak?


Sorry Ma.
Mama comel sangat. :P



Doktor tersebut juga gagal memeriksa mata Faiq kerana tantrum yang dilakukan dengan begitu jayanya oleh anakku yang satu itu. Lalu sebagai penyelesaian, Faiq diberikan appointment pada 8 bulan yang akan datang, iaitu pada bulan Oktober nanti untuk melihat perkembangan matanya.

 In Shaa Allah.


Macam comel je mata tu kan.
Terbeliak macam Faiq jugak.


Nampak tak betapa seriusnya tantrum dia, sampai kena tulis "Crying, unconsolable" dalam report.
 (Supposed to be inconsolable)



Haihhhh.

Eye check up hari ni tidaklah begitu berjaya disebabkan oleh masalah teknikal yang dicetuskan oleh dak kecik Faiq. Ya, aku tidak menyalahkannya. Jauh sekali memarahinya. 

Selama ini Faiq jarang keluar bersiar-siar, berjumpa orang ramai, jumpa kawan-kawan sebaya dengannya kerana kami khuatir dengan tahap kesihatannya. Kesan daripada itu, Faiq menjadi seorang penyendiri, hanya mahu pada insan-insan yang biasa dengannya dan pemalu. Ya, mana mungkin Faiq mudah didekati. Kelihatan sedikit jakun pada pandangan orang ramai, mungkin.

Kenapa la anak dia ni buat perangai sangat? Bising betul! Mak dia tak ajar ke?

Degil betul anak dia ye.. Nasib baik anak aku tak macam tu.

Agaknya mak dia tak pernah ajak berjalan kot.. Mak dia pun satu, bawak la anak berjalan kalau ye pun. Ni kalau shopping tinggalkan anak kat rumah. Macam mana la anak tu nak biasa dengan orang lain?



Mungkin segilintir pihak memandang sinis padaku. 

Go ahead, cakaplah apa saja. 

:)




Kami lebih mengerti bagaimana mencabarnya membesarkan Faiq Aqwa.

Just arrived home.
 Baru la cool down sikit di samping bantal busuk tersayang.












Wednesday, 6 March 2013

Faiq : Flixotide Evohaler

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Readers yang budiman ( puji sikit sebagai motivasi :P)


Entri tentang Faiq lagi ye hari ni. Adakah anda bosan? 



Bajet ramai sangat yang tunggu-tunggu entri dari kau. 



Ok, foooooiinnnne. Walau takde sape nak baca pun, aku tetap nak update jugak.


"Ok, fine.. As you wish. This is a free country."

Ayat lecturer dulu masa kitorang insist nak fotostat jugak buku tebal Mc Graw Hill yang beratus-ratus ringgit tu. Tapi melakukan perkara lagha sepertu shopping kasut kat Mines atau tengok wayang cerita Hollywood di Midvalley tidaklah pulak merungut dengan wang yang dibelanjakan. :’) Student Melayu. Camtu la. I mean aku la. Janganlah terasa dan mengecam blog ini sebagai blog yang menghentam orang Melayu. Please eh. Ni motivasi sebagai pembakar semangat dan lemak as well. :P

Back to the topic.

Suka OOT tauuuuu…

Sejak kebelakangan ni, Faiq nampak ok, alhamdulillah. Walau bagaimanapun, Faiq masih lagi dalam treatment menggunakan inhaler. Oh ya, readers tau tak, Faiq telah ditukarkan inhalernya? Sebelum ni, aku maklum inhaler yang digunakan ialah jenis Ventolin dan Berodual. Boleh baca entri tu kat sini.

Tapi, Dr. Chong, doktor yang kami percayai untuk merawat Faiq, telah menukarkan inhalernya pada jenis Flixotide Evohaler. Boleh tengok entri Dr. Chong kat sini. (Kelaaaas Dr. Chong masuk blog Esprit ni. Hikhik. Tak pasal-pasal glam gitu. :p)


Ini ialah Flixotide Evohaler yang dimaksudkan :-

For Faiq : 1 puff 2 times a day.
For Mama : 1 Cream Puff 2 times a day.
Muehehehe.


Kenapa kena guna Flixotide Evohaler ni? Dan apa perbezaannya dengan Ventolin dan Berodual?


Menurut Dr. Chong, ( fakta ini aku dapat dari abah, memandangkan beliau yang bawa Faiq ke klinik Dr. Chong hari tu. Tau tak kenapa bukan aku yang bawak? Ha, korang boleh baca kat sini).

Flixotide Evohaler ni digunakan sebagai prevention daripada mendapat batuk. Faiq tak boleh batuk. Kalau dapat sekali, mulalah akan melarat sampai ke paru-paru dan sebagainya. 

TAKMO INGAT.



Oleh sebab itulah, Dr. Chong membekalkan inhaler jenis ini.


Kenapa pulak kena tukar? Tak boleh ke pakai Ventolin atau Berodual?

Adakah soalan itu yang bermain Lalalitamplom dalam otak anda? Ekeke. Begitu juga dengan otakku sewaktu mendapat tahu berita ini. Ok, macam ni readers. Evohaler ini lain dengan Ventolin mahupun Berodual. 

Ok, make it like this.


Ventolin and Berodual  = ubat
Flixotide Evohaler = vitamin


Ok, faham tak analogi tu? Flixotide Evohaler ni macam vitamin. Untuk mengelakkan Faiq dari dapat batuk. At least, kalau dapat pun taklah terlalu kerap. Macam ni lah rupa dia Flixotide Evohaler tanpa kotak.

Flixotide Evohaler with cap.
Background napkin ok, oldskool :P



Flixotide Evohaler without cap.





Masih lagi guna Aerochamber yang sama.

Flixotide Evohaler dimasukkan ke Aerochamber macam ni.




  
Dan juga cara yang sama.

Kalau nak buat sorang-sorang memang tak jadi. Ni tok abah yang tolong buatkan.
Mama duk sibuk snap gambar.
Khas untuk readers Esprit ni. :)





  
Dengan rontaan yang sama.

"Apakah salahku sehingga diperlakukan seperti ini??"





 Faiq dan aerochamber memang musuh tradisi bak Dato' Lee Chong Wei dan Lin Dan.




  

Hikhik. 

Harapnya dengan adanya Flixotide Evohaler ni dapatlah Faiq kurangkan batuknya dan terus sihat dan cerdas. 

Ameen.

:)





Thursday, 31 January 2013

Faiq : CT Scan Thorax

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Semasa menulis entri ini, aku seringkali merasakan debaran yang kuat memalu-malu dinding jantungku. Sungguh, kadang kala aku merasakan hidup ini penuh dengan ketakutan dan kegusaran. Namun, aku tahu, Allah sentiasa ada untukku.

Readers tahu apa itu CT scan?

CT Scan membawa maksud Computerized Tomography Scan. Suatu jenis scan (imbasan) yang dilakukan untuk mengesan keabnormalan (abnormalities) sesuatu sel/ struktur/ organ bergantung kepada apa yang diimbasnya. CT Scan dilakukan untuk melihat dan mengkaji dengan lebih jelas sesuatu struktur itu berbanding dengan imbasan sinar-X. Pendek kata CT Scan ni ialah imbasan yang lebih terperinci berbanding X-Ray.

Memandangkan Faiq pernah menjadi warga PHDU selama 3 atau 4 hari (maaf, aku tak ingat (sebenarnya tak nak ingat langsung!!!) ), maka Faiq diwajibkan untuk menjalankan CT Scan pada paru-parunya. Medical term - CT Scan Thorax. Tarikh telah dipilih, 17 Januari 2013. Aku yang jauh dari Terengganu, sanggup pulang semata-mata untuk menemani Faiq yang tersayang pada hari itu. Aku sangat-sangat berterima kasih pada Pengetua sekolahku, yang amat memahami situasi diri ini yang sangat tersepit di antara masalah peribadi dan komitmen terhadap kerjaya. Kerjaya lah sangat kan, ha ha ha, cikgu je pun. Alhamdulillah, permohonan cutiku lulus!

16 Januari 2013
Perjalanan dalam bas Sani Express dari Stesen Bas Kuala Terengganu ke Stesen Bas Shah Alam bukanlah suatu jangka masa yang menyeronokkan. Tambahan pula dengan debaran yang tak putus-putus singgah di hatiku, bimbang terhadap apa yang bakal terjadi esok. Ya, esok 17 Januari 2013. Itulah harinya.

17 Januari 2013
Sesampainya di rumah pada pukul 4.30 pagi, aku tertidur sekejap selepas melihat Faiq yang masih lagi lena dibuai mimpi yang indah barangkali? Temujanji doktor pada pukul 8.00 pagi. Aku harus cepat. Siapkan Faiq dan kelengkapannya, dan walla! Inilah kami :-

Faiq Si Nelayan Moden.


Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) tidaklah terlalu jauh dari kediaman kami. Hanya dalam 4 minit perjalanan je. Setelah pendaftaran selesai, kami ke Klinik Pediatrik HTAR dengan menyorong Faiq yang sepanjang masa menangis. Kenapa? Adapun mungkin aku ini terlalu hodoh baginya, sampai tengok muka aku je nangis. Arrrrrrr!!!!!


Faiq tak kenal aku lagi. :(

Sebab tu dia nangis.

Gambar kat atas tu nampak ceria sebab yang duk agah ialah Tok Abah kesayangan Faiq. Memang la lebar senyumnya.


S E D I H T A U T A K ?

Memang lama jugaklah Faiq menangis dalam klinik tu. Mati aku. Apa nak buat ni??? Mujurlah Tok Ma ada teman kami. Kalau aku yang dukung, memang meraunglah jawabnye. Dengan Tok Ma dia kemain lagi senyap siap peluk rapat-rapat sebab takut aku ambik. Eleh. Sombong tul Faiq sekarang. Huuuuu.

D O U B L E S E D I H T A U T A K ?

Anyway, lama-lama Faiq mahu jugak la dengan aku. Tapi aku tak de la berani sangat nak dukung dia, setakat tolak stroller je la aku mampu buat. Kang pegang lagi kang, menjerit cinonet tu. Aku pulak dituduh penculik bayi. Sape nak jawab?

-Enough of crapping- 

Menurut doktor, bayi yang akan menjalani CT Scan akan diberi ubat pelali bagi mengelakkan sebarang pergerakan seperti meronta-ronta, mengiring, meniarap dan lain-lain semasa proses scanning dilaksanakan. Selain itu, patient CT Scan harus dimasukkan sejenis pewarna medikal sebagai highlight pada sesuatu sel/ struktur/ organ tersebut. Highlight ni penting untuk mencari keabnormalan yang mungkin terdapat pada organ yang discan itu. Pewarna itu perlu dimasukkan melalui line yang akan disetkan di vena patient. 

Kalau readers baca entri yang terdahulu, mesti anda tahu bahawa urat Faiq memang sangat susah untuk dicari! Kami menunggu hampir 45 minit di luar bilik persediaan semata-mata untuk menunggu doktor untuk set line jarum pada tangan Faiq! Yes, 45 minit dan bayangkan betapa panjangnya senarai menunggu bagi patient selepas giliran Faiq? Muka masing-masing hangin semacam je bila tengok aku. Dah aku nak buat camne, aku pun kalau boleh takmau Faiq kena cucuk bagai, ok! *muka gedik mata ke atas*

And it end up with this statement :-

Puan, kita tak dapat jumpa la urat anak puan, susah sangat nak cari urat dia, asal cucuk je bengkak, cucuk je bengkak, cucuk je bengkak.."

Ok, ayat "cucuk je bengkak" itu diulang 3 kali, maknanya sah Faiq dicucuk paling minimum 3 kali. 3 kali ok? Aku yang tua bangka ni pun still rasa pedih bila kena cucuk sekali. Ni paling kurang 3 kali. *geleng kepala* Kesian Faiq, dari tadi menangis dalam bilik tu, alih-alih itu ayat yang doktor bagi. It was a relief, indeed. Aku pun tak nak Faiq dicucuk lebih banyak lagi.

"So macam mana dengan pewarna tu, perlu guna tak?"
"Kami dah call CT Scan Department, diorang kata, takpe, hantar je patient dulu ke sana. Kalau doktor dapat tengok jelas dalam screen, tak payah masuk pewarna la..."
Readers, anda rasa tak apa saya rasa? Kalau anda seorang ibu, tentu anda tahu apa yang meluap-luap dalam hati saya.

45 minit digunakan sepenuhnya untuk entah-berapa-kali cucuk diakhiri dengan tiada apa-apa outcome.

Memang aku marah dan kesal tapi aku tahu doktor telah melakukan yang terbaik. In Shaa Allah.

Poor Faiq.



Next, kami pun ke CT Scan Department untuk menyempurnakan prosedur itu. Jauh jugak la dari Klinik Pediatrik, lenguh jugaklah kami berdua (aku dan mama) berjalan dari klinik tu. Sampai je kat sana, aku dapat tengok pelbagai patient dari pelbagai umur menunggu untuk discan. Ada kanak-kanak mahupun warga emas. Telan liur aku melihat situasi itu. Lalu aku melihat Faiq. Barangkali Faiqlah patient paling muda di sini. Sabarlah sayang, Allah ada untuk kita.


Faiq yang telah lena setelah diberi ubat pelali.
Kasut pun dah tercabut gara-gara bersilat denga aku masa nak bagi ubat pelali tu.

CT Scan Suite, menunggu masa giliran.

Bilik Scan yang akan dimasukki oleh Faiq sebentar lagi

Faiq yang telah bersedia untuk menjalani CT Scan.
Pakaian perlu ditanggalkan kerana Faiq akan discan di dadanya, di mana terletaknya paru-paru.


Hanya aku dibenarkan masuk menemani Faiq. Mama terpaksa tunggu di luar. Aku tidak dapat mengambil sebarang gambar sewaktu berada dalam bilik tersebut. Tapi aku ada attach satu gambar dari Google yang menunjukkan bagaimana CT Scan dijalankan.


Beginilah situasi Faiq sewaktu CT Scan dijalankan.

Dari bilik tersebut, doktor akan mencari sebarang jika terdapat sebarang keabnormalan yang wujud dalam paru-paru Faiq. Memang sangat mendebarkan sewaktu melihat skrin yang terpampang. Walaupun aku tidak memahami gambar imbasan tersebut, namun ada kekhuatiran yang wujud dalam diriku. Aku sama sekali tidak mahu lagi melalui episod-episod duka yang mana pernah aku lalui sebelum ini. 

Setelah selesai proses CT Scan, Faiq dihantar keluar dari bilik, untuk dipakaikan pakaiannya semula. Dan beginilah Faiq selepas selesai prosedur.

Masih lagi lena penangan ubat pelali. Sampai rumah pun belum sedar-sedar lagi. Cuak ok!

Menurut doktor, keputusan laporan tidak dapat disiapkan pada hari yang sama. Beliau telah memberikan tarikh temujanji 3 bulan dari hari ini. Sekiranya keputusan CT Scan ini memerlukan Faiq untuk menjalani apa-apa rawatan segera, maka temujanji seterusnya akan diawalkan. Pihak hospital akan menghubungi aku atau AB melalui telefon sekiranya terdapat perubahan temujanji.

Kata-kata doktor itu mematikan keceriaanku pada hari itu. Sungguh, aku benar-benar berdebar menunggu keputusan tersebut.

Aku hanyalah seorang manusia yang seringkali berfikiran negatif. Kenegatifan yang selalu menjadi igauanku kadangkala membawa kegusaran padaku pada sesuatu yang tidak pasti. Seringkali aku lemah kerana aku tahu aku tidak berdaya melawan taqdir. Namun, di sebalik kebimbangan yang bersarang, aku juga punya suatu harapan. Harapan untuk melihat anakku sembuh, sihat dan sentiasa berada di bawah lindunganNya Yang Maha Menyayangi. Dan berpegang pada kekuatan itu, aku akan terus mengorak langkah untuk melindungi dan meyayangi Faiq walau apa jua keputusan yang bakal ku terima selepas ini.

"Ya Allah, sembuhkanlah Faiq, sihatkanlah Faiq, selamatkanlah Faiq..
Pinjamkanlah Faiq lebih lama untukku, 
 Kerana sesungguhnya diri ini belum puas untuk mengecapi keindahan dunia bersama-samanya"