Showing posts with label personal. Show all posts
Showing posts with label personal. Show all posts

Thursday, 28 May 2020

Damailah Umar, Doa Kami Terus Bersamamu.

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Ajal. 

Sesuatu yang misteri, rahsia Allah yang takkan pernah kita tahu sehingga ke hari kejadian.
Menerima berita pilu di awal pagi hari, ketar jari jemari saya membalas kenyataan Whatsapp sahabat saya, seorang guru juga dari SAHUT.


Allahu Akbar... Umar...


Berita hari ini memaparkan Umar Iskandar, 21 tahun lemas di Sungai Terengganu berhampiran Telemong bersama adik-adiknya, Khalif Naim (16 tahun) dan Khairil Firdaus (17 tahun). Setakat entri ini ditulis, Umar Iskandar dan adiknya Khairil Firdaus telah dijumpai oleh pasukan penyelamat. Sama-sama kita doakan agar seorang lagi adiknya, Khalif Naim segera dijumpai. Aameen..


Menjadi seorang guru, saya percaya dengan hubungan hati antara guru dan anak murid. 
Umar Iskandar bin Mohd bukan siapa-siapa dengan saya, tiada pertalian darah. Namun hubungan hati itu ada dan sentiasa ada. 

Umar merupakan pelajar SAHUT pada tahun 2012 sehingga 2016. Saya mengenali beliau ketika beliau masih di Tingkatan Dua. Pertemuan saya dengan beliau adalah asbab saya menjadi Guru Sains kelas beliau ketika itu, menggantikan guru sebelumnya yang bertukar sekolah. Beliau merupakan salah seorang pelajar kelas 2 Unik (2013), kelas yang sangat ceria. 

Ya, ceria, salah satunya kerana kehadiran beliau.

Pada ketika itu, Umar saya sifatkan sebagai seorang anak awal remaja 14 tahun yang periang dan gila-gila, happy go lucky, selalu suka menyakat rakan-rakan, dan selalu tersenyum dan ketawa. Umar yang fizikal kurus tinggi dan merupakan atlet sekolah yang terkenal dengan acara balapan padang.
Ayam tambatan rumah Tok Raja Ri (Kuning). 

Ah, Umar! Siapa saja yang tidak kenal denganmu?

Ada satu ketika, sewaktu kelas Sains, saya melihat Umar tidak senyum seperti sediakala. Mungkin ada sesuatu yang difikirkannya. Tidaklah saya tahu apa sebabnya. 
Saya mendekatinya dan memulakan perbualan secara bergurau,

" Hai Umar.... senyap je hari ni?"

Dia tersentak dari lamunan lantas melihat saya. Menyedari dirinya diperhatikan, dia hanya tersengih dan menggeleng-gelengkan kepala.

"Dokla teacher... "
("Tak lah teacher... ")

Begitulah istimewanya Umar.
Terasa kehilangan apabila dia tidak bersuara seperti biasa.
Tiada Umar di kelas, tiadalah seri.
Diam Umar di kelas, maka suramlah seisinya.

Lalu Umar, bagaimanalah kami mampu menerima apabila dirimu tiada lagi di dunia?


Di hari-hari kebiasaanya, Umar Iskandar merupakan pelajar yang sangat aktif dalam kelas. Kalau disuruh bentangkan isi-isi Sains di depan kelas, dia dulu yang angkat tangan. Penerangannya jelas dan teratur. Ya, anak ini sangat petah berbicara, self-confidence yang tinggi apabila berada di hadapan rakan-rakan.
Saya selalu menggemari penerangan daripada Umar. Rakan-rakan kelasnya juga kelihatan mudah faham dan puas hati dengan penerangan pembentangan beliau.

Saya tidak punya banyak gambar bersama beliau secara amnya. 
Kenangan bersama beliau banyak saya simpan dalam ingatan.

Ada sesuatu yang menggamit perasaan saya. Perasaan hiba kerana anak ini baik orangnya, menghormati guru-guru, sentiasa meminta maaf  sekiranya menyedari gurauanya dirasakan keterlaluan. 

Umar pelajar cemerlang. Nota Umar kemas, cantik tulisannya. Buku Umar yang akan saya pilih untuk disemak dahulu dan dijadikan sebagai contoh semasa menyemak buku rakan-rakannya yang lain. Penampilan Umar kemas. Di tahun akhir persekolahan, Umar juga dilantik sebagai pengawas di sekolah. 

Saya meninggalkan SAHUT pada tahun 2018. Namun kenangan bersama anak-anak SAHUT akan saya kenang sampai ke akhir hayat. Kehilangan Umar Iskandar, seorang bekas pelajar cemerlang SAHUT yang kini juga bergelar mahasiswa di Universiti Malaya disifatkan sebagai suatu kehilangan besar perintis bidang profesional dalam negara.

Saya percaya seluruh warga SAHUT terkesan dengan pemergian Umar.

Tiada lagi ketawa dan senyuman Umar.
Tiada lagi senda gurauan Umar.
Tiada lagi kenangan baru bersama Umar Iskandar. 

Hanya kenangan-kenangan lama sebagai pengubat rindu teacher dengan dirimu, Umar.

Saya agak janggal untuk menggunakan istilah "bekas anak murid". 
Bagi saya, selama mana mereka telah meninggalkan alam persekolahan, mereka akan sentiasa menjadi anak murid saya, sentiasa dekat di hati saya.

Umar, ketahuilah bahawa teacher sentiasa mendoakan Umar, agar Umar ditempatkan dalam kalangan insan beriman dan diredhai Allah. Setiap apa yang teacher sampaikan pada Umar, teacher halalkan. Teacher maafkan segala kelakuan Umar pada teacher sekiranya ada dahulu (percayalah, teacher tak dapat trace apa-apa kesalahan Umar pada teacher, tapi sekiranya ada, teacher dah lama maafkan)


Teacher sayang Umar.
Ayah dan adik beradik Umar sayang Umar.
Guru-guru sayang Umar.
Sahabat dan kawan-kawan Umar sayang Umar.
Semua sayang Umar.
Dan yang paling utama,

Allah paling menyayangi Umar.

Semoga Umar dan adik-adik berada dalam lindungan Allah dibawah lembayung kasih sayangNya.

Orang baik, Allah sayang, Mar..


Damailah Umar dan adik-adik di sana.
Semoga ayah dan ahli keluarga Umar dikurniakan kesabaran dan kecekalan hati insha Allah.
Sulit, tapi perlu diterima.
Pahit namun perlu juga ditelan.
Doa kami sentiasa bersama-sama kalian.


Umar, dua dari kiri sedang menyampaikan presentation Sains kelasnya. Ketika ini beliau masih di Tingkatan Dua (2013).




Umar, berdiri dua dari kiri bersama rakan-rakan sewaktu menolong saya dan Cikgu Madiah mengangkut buku-buku teks ke Bilik SPBT, (2013)




Umar, tiga dari kiri sedang menyiapkan task untuk Explorace Addmath bersama kawan-kawannya. Beliau wakil rumah Tok Raja Ri (Kuning). Ketika ini beliau merupakan calon SPM tahun 2016 (17 tahun).


Ihsan Harian Metro (28 Mei 2020)


Ihsan Harian Metro (28 Mei 2020)

Untuk kalian yang membaca, saya percaya keistimewaan Umar membawa anda ke sini.
Terima kasih yang tak terhingga saya ucapkan kepada semua viewers.



Mohon sedekahkan Al-Fatihah kepada yang sentiasa menjadi anak murid kebanggaan saya,
Yang istimewa, sentiasa disayangi dan terus kekal berada dalam ingatan,


Umar Iskandar bin Mohd
(1999-2020)







Monday, 24 March 2014

Semakin Reserved

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Assalamualaikum readers. Subhanallah, lamanya saya tidak menitipkan apa-apa dalam blog ini. Walau bagaimanapun, saya masih mengikuti perkembangan rakan-rakan blogger jika ada khabar terbaru dalam entri mereka. Disebabkan lama sangat tak menulis, ayat saya juga mungkin kedengaran janggal. Serius, saya kekok!

Lama sudah saya berfikir. Selama 2 bulan 2014 menjengah rupa, banyak perkara yang berlaku. Subhanallah, ujian Allah itu luas dan variety! Memegang prinsip,

"Allah tidak akan menduga hambanya dengan ujian yang tidak mampu ditanganinya."

Saya pasrah dan redha. Sangat berharap diri saya mampu setabah srikandi-srikandi terdahulu dalam mengharungi ujian-ujian mendatang.

Cuma, apa yang bermain-main dalam fikiran saya sekarang, wajarkah saya paparkan kehidupan realiti saya di blog untuk bacaan umum? 

Semakin saya dewasa, saya menjadi semakin reserved. Saya semacam tidak selesa jika kehidupan saya dihebahkan. Mungkin dulu, pemikiran saya agak keanak-anakan. Kerana itu saya memuat naik segala apa cerita yang berlaku ke atas diri saya.

Sehinggalah saya terbaca sesuatu dari laman sosial :-


Macam ditumbuk-tumbuk batang hidung saya. Hehe. 

Agak sentap juga bila baca kan. Mungkin ada dalam kalangan readers yang terkesan dengan penulisan saya sehingga boleh menimbulkan rasa singgung di hati. 

Allah, saya mohon maaf. Mungkin saya tidak cakna perkara ini.

Mengambil iktibar dari quote tersebut, saya lantas berfikir.

"Adakah aku berblog untuk memberikan manfaat kepada orang lain? Atau aku berblog untuk mendapatkan perhatian orang lain?"

Saya rasa saya patut muhasabah dan mengkaji apa yang patut saya masukkan dalam blog saya.
Mungkin perihal Faiq mendapat perhatian ramai dalam blog ini, namun bagi menjaga privasi, saya rasa saya patut menghadkan apa yang boleh saya kongsi dan apa yang tidak. 

In shaa Allah, saya akan cuba memberikan seberapa banyak output yang bermanfaat untuk readers.

Dan susulan daripada perkembangan Faiq, apa yang saya boleh katakan di sini, alhamdulillah, Faiq telahpun menyambut hari lahirnya yang kedua.

Andai berkesempatan, saya akan mengarang entri selepas ini khusus untuk berkongsi perkembangannya. 

:)










Friday, 24 January 2014

Hidayah

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Lately, aku banyak berfikir. Banyak sekali yang ada dalam perhatianku. Mungkin sebab ketuaan aku menyebabkan aku mula ambil serius perkara-perkara sebegini.

Hehe.

Readers, dulu aku tak pernah fikir buruk baik sesuatu tindakan aku. Aku tak pernah mahu memikirkan kerana aku rasa aku muda. Aku banyak masa lagi nak perbaiki diri. Lagipun aku tengok ramai kat luar sana enjoy freedom. Tapi semakin hari aku tua, aku rasa... 

Sempat ke? Sempat ke aku bertaubat?

Aku tahu, kebanyakkan entri aku sekarang adalah entri-entri yang membosankan. Asyik-asyik cakap pasal mati, pasal agama. Pasal amalan cukup ke tak. Pasal tudung, Ey, semua orang tau la woi, semua orang tau sebab semua tu dah belajar dalam kelas PAI (Pendidikan Agama Islam) masa kat sekolah dulu.

Jangan nak jadi baik sangat la!

:)

Bosan kan cakap pasal agama.

Aku tahu, sebab dulu aku rasa begitu. 

Tapi semakin hari aku meniti liku-liku hidup, aku rasa... tak kemana life aku ni. Berapa lama aku akan hidup? 10 tahun? 20 tahun? 

Aku tak tahu.

Baki yang aku ada semakin hari semakin singkat. Makin lama makin dekat tarikh kematianku.

Sungguh, aku benar-benar takut.

Kerana aku tahu, aku seorang hamba yang banyak berdosa pada Tuhannya. Aku bukan anak kecil yang pasti akan ke Jannah sekiranya ditakdirkan nyawanya diambil.

Aku adalah wanita 29 tahun (technically, sebab Disember lambat lagi).

Aku telah matang sepenuhnya. 

Lalu, kenapa aku harus bersikap kebudak-budakkan dengan melakukan perkara-perkara yang sia-sia?

Dosa yang aku tanggung adalah dosa selama 29 tahun. 

Nauzubillahiminzaalik.

Rugi, subhan Allah..


Menyelusuri keadaan Faiq yang sebegitu, andainya Allah berkehendak (percayalah,sukar untuk aku menaip baris ini), ya, pasti Faiq akan ke syurganya kerana anak itu tidak mempunyai sebarang dosa.

Persoalannya, mampukah aku bertemu Faiq di syurga? Aku mahu bertemu Faiq di sana kerana kasih sayangku tidak pernah berpenghujung. Aku mahu terus bersama-samanya. Setiap hari bergelak ketawa dan bermain dengannya.

Namun, layakkah aku?

Subhanallah.

Bertitik tolak daripada perspektif itu, aku tahu aku harus mempersiapkan diri untuk menghadapi pengakhiran itu. Dan aku inginkan sebuah pengakhiran yang indah. Tidak dapat disangkal, sesiapa sahaja mahukan happy ending. 

Faiq ternyata adalah satu hidayah dari Allah untukku.

Betapa Allah itu Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Dikirim olehNya seorang Faiq ke dunia untuk membuka hatiku ke jalanNya. Kerana Faiq aku mula berubah sedikit demi sedikit.

Kerana Faiq, tudungku mula aku labuhkan.
Al-Quran ku mula menjadi lusuh.

Kerana Faiq, aku lebih mencintai Penciptaku. 
Semakin dalam dari sehari ke sehari.

Dulu aku sering lupa padaMu, namun hidayah seorang Faiq telah membuka mata hatiku untuk meyakini bahawa kuasaMu tidak akan ada tandingannya.

Kau ciptakan Faiq untuk memberi amaran padaku bahawa

Tiada Tuhan Selain dariMu.
Kau berkuasa atas setiap segala, dan paling berhak untuk berkehendak dan memutuskan.

Kun Fa Ya Kun.

*sujud syukur*

Salam Jumu'ah yang penuh barakah.

:)

Sesungguhnya Tiada Tuhan Selain Allah, dan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah
(source : Google Images)









Bila Lagi?

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Tahun ni, di sekolah aku je dah 5 orang kawan-kawan aku pregnant. Ada yang bakal menimang cahaya mata pertama, ada yang menyusul untuk yang kedua. Alhamdulillah, May Allah ease everything in their pregnancies.

Ada juga yang bertanya, aku bila lagi? Hahaha. Ni kalau diorang tanya aku sebelum aku dapat Faiq, confirm balik rumah aku akan nangis-nangis sebab emosi. Tapi memandangkan, what they actually meant was the second child, aku takde la rasa emosi mana. Jawapan aku :-

"Hold dulu"
(sambil buat tangan macam huruf T (time out))

Kalau ditanya pada diri sendiri, adakah aku bersedia? Adakah kami bersedia? Kami juga susah untuk menjawab. Kerana banyak faktor yang harus difikirkan. Hidupku bukanlah seperti orang lain. Hidup anakku bukan seperti anak-anak yang lain. 

Lain sangat. 
Jadi tidak wajarlah kami harus mengikut acuan hidup orang lain. 

Betul tak?

Secara jujur dan rendah hatinya, kami belum lagi bersedia kerana banyak lagi komitmen pada anakanda Faiq yang harus dibereskan. Faiq juga baru sahaja kami kenal pasti mempunyai masalah tulang belakang iaitu kyphoscoliosis yang telah aku perihalkan dalam entri yang lepas.


Lalu, hati kecilku berkata, mungkin inilah masanya kami harus beri perhatian pada Faiq. Sementara kami masih bertiga, bukan berempat atau berlima. Pada waktu inilah, kasih sayangku harus menjadi kepunyaan Faiq seorang kerana aku tahu, jika dia beradik, perhatian dan kasih sayang harus dibahagi dua. Walau sejauh mana aku cuba berlaku adil, aku hanya manusia biasa. Pasti yang tua perlu mengalah. Pasti Faiq perlu menerima keadaan itu. Pasti si adik menguasai perhatianku.

Kami berbincang, dan memutuskan bahawa mungkin buat masa sekarang, belum lagi. 

Kelihatan aku seolah-olah menafikan rezeki, namun apa yang boleh aku katakan, biarlah urusan itu hanya Allah yang mengaturkan. Aku hanya mampu berserah segalanya padaNya. 

Bagiku, biarlah kami membesarkan Faiq dengan kualiti (in shaa Allah) kerana jika kami terlalu mementingkan kuantiti, khuatir kami tidak mampu untuk memberikan yang terbaik buat mereka semua.

In shaa Allah, masanya pasti tiba jika rezeki itu sesuai dengan keadaan kami ketika itu.

Allahumma Ameen. 

:)







Friday, 19 April 2013

Mama Sejati

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Satu perkara yang sedang aku fikirkan sekarang ialah,
Alangkah indahnya jika aku dapat mengasuh anakku dengan tanganku sendiri?


Dan ayat-ayat tersebut selalu menerawang menerjah lubuk perasaanku.
Bagaimana jika aku dapat melihat sendiri perkembangan Faiq di depan mataku?
Menguruskan makan minumnya?
Mendodoikannya apabila waktu tidur?
Membasuh pakaian dan lampin-lampinnya?
Memasakkan pelbagai jenis makanan yang lazat untuknya?

Pendek kata menjadi seorang ibu yang sejati untuknya?

Tuntutan tugas menjadikan hidupku seolah-olah terbahagi dua. 
Menjadi seorang pendidik dan pada waktu yang sama, berusaha untuk menjadi seorang ibu.

Aku tekankan disini, berusaha menjadi seorang ibu.

Allahu Allah.

Sukarnya untuk menjadi yang terbaik bagi kedua-duanya.
Menjadi seorang guru bukanlah sekadar mengajar dalam kelas, menanda latihan murid atau menanda kertas peperiksaan.
Guru juga disifatkan sebagai seseorang yang mempunyai tugas yang cukup mudah, balik awal, cuti banyak dan sebagainya.

Tetapi entri ini bukanlah bertujuan aku mahu mengomel tentang tugas guru yang tidak bersempadan. Maksudku, tidak kiralah aku bekerja sebagai apa pun, yang penting tugasku sebagai seorang ibu langsung terbatas dan perlu dihadkan.

Ku kira pada masa kini, kebanyakkan anak-anak perempuan (termasuk diriku) diberi pendidikan setinggi mungkin dengan harapan anak-anak tersebut membesar menjadi seorang yang berkarier dan berkerjaya, di samping mampu menguruskan diri mereka sendiri tanpa perlu bergantung harap pada sesiapa pun.

Aku juga begitu. Abah dan mama mengajar diriku untuk berdikari dan menguruskan diri sendiri dengan sebaik mungkin. Aku telah digesa untuk belajar memandu seawal 17 tahun supaya kelak aku dapat ke mana-mana sahaja tanpa perlu bergantung pada orang lain. Aku juga diajar supaya tidak mudah membenarkan sesiapa membelanja diriku, terutama sewaktu bujang dahulu khuatir akan terhutang budi, aku juga diterapkan nilai-nilai survivor supaya kelak jika aku ditakdirkan perlu sendiri, aku mampu survive tanpa siapa-siapa di sisi.

Sewaktu bujang dahulu, aku rasakan aku mampu hidup sendiri. Ada kerjaya sendiri, ada kereta sendiri dan ada wang poket sendiri tanpa perlu meminta-minta daripada sesiapa. Aku mampu drive sejauh 200km berulang-alik setiap minggu  dari Melaka ke Klang. Untuk pengetahuan umum, aku ditugaskan di Melaka untuk penempatan pertama (first posting). Baju, beg, kasut memang setiap bulan bertukar ganti. Tudung macam-macam warna aku beli. Oh, pada masa itu, online shopping masih belum popular. Jadi aku kerap ke shopping complex bersama-sama my BFFs untuk shopping, shopping dan shopping.

Memang heaven, ok!

Aku rasa aku tak mampu hidup kalau tidak bekerja. Aku perlu kerja. Aku perlu duit untuk beli macam-macam barang untuk memenuhi kehendakku. Petik jari, nak apa, semua boleh dapat sebab ada duit sendiri.

(Melainkan aku kalau aku minta Ferari la kan. Agak- agak la wei!)

NAMUN

Setelah aku berumah tangga, dikurniakan Faiq (Alhamdulillah), menempuh pelbagai kesukaran sewaktu awal kelahirannya, dan seterusnya berjauhan dengannya, aku merasakan betapa kosongnya hidupku. Percaya atau tidak, telah sekian lama aku tidak menukar beg tangan, bajuku juga tidak lagi semeriah dulu, koleksi tudung juga masih berada pada takuk lama, seolah-olah keinginan untuk berbelanja itu mati disitu.

Mengapa?

Aku rasakan itu semua tidak lagi perlu. Aku hanya mahu melihat Faiq di depan mata. Membesarkan dengan kedua-dua tanganku, supaya aku merasai setiap kepayahan dalam mengasuhnya menjadi khalifah di bumi Allah ini. Dalam bahasa mudah, aku mahu menjadi ibu sepenuh masa untuknya. Bukan lagi seperti sekarang di mana aku sendiri tidak tahu untuk menggambarkan betapa peliknya hidupku kini. Pulang dari kerja rumahku kosong. Menonton televisyen bersama AB berdua seolah-olah kami masih dalam era berbulan madu. Walhal anakku nun jauh di sana sedang menjerit-jerit meminta susu.

Aneh.

Aku kehilangan segalanya. Aku kehilangan masa-masa terindah bersama Faiq. Aku bukanlah insan pertama dapat melihat Faiq tumbuh gigi, aku juga terlepas mendengar perkataan pertama yang dituturkan olehnya, aku terlepas mendengar babytalk nya yang melucukan, segalanya.
Tidak dinafikan Faiq tidak rapat denganku. Aku dianggap seperti makhluk asing dari Planet Zargus mungkin. Hahaha.

Namun, apalah pilihanku? Aku tersepit di antara kerjaya dan keadaan Faiq. Aku belum dapat memberikan kepercayaanku pada nurseri-nurseri yang sedia ada kerana Faiq mempunyai tingkahlaku yang sukar dijangka. Tidak mahu ditinggalkan sendirian, suka merengek, suka menjerit, mahu dipujuk, selagi tidak dipujuk, maka selama itulah dia akan menangis. Seolah-olah dia mahu dibelai selalu, Dia mahukan perhatian sepenuhnya dari penjaganya.  

Adakah mungkin tingkahlaku preemies begitu?

Satu persoalan di sini,

Adakah pengasuh yang sanggup menjaganya? 
Bersabar dengan kerenahnya?

Ya, mungkin ada.

Tapi sejauh mana perhatiannya?
Mampukah dia bersabar dengan kerenah Faiq yang kadang kala menjengkelkan?

Aku tak yakin.
Aku belum yakin ada yang mampu.


Persoalan di sini bukannya aku mahu mempertikaikan kredibiliti pengasuh/ nursery, tapi aku tahu suatu perkara,

Penjagaan seorang pengasuh itu tidak setanding penjagaan seorang ibu kandung.

Lalu bertubi-tubi fikiranku di asak, aku mahu menjaga Faiq sendiri! Aku mahu mengasuhnya sendiri. Aku mahu melaksanakan tanggungjawabku padanya yang sekian lama aku pinjamkan pada kedua ibu bapa ku. Namun aku tak mampu.

Dilema terbesar dalam hidupku barangkali.

Mahu berhenti kerja, mampukah aku?
Mahu dihantar ke nursery, mampukah mereka?


Aduhai anak, janganlah pernah kamu fikirkan bahawa mama dan abah sengaja menjauhkan kami darimu.
Janganlah kamu anggap kami lalai dalam menunaikan tanggungjawab kami.

Kerana ini keputusan yang terbaik untukmu,
Untuk kesihatanmu, Untuk keselamatanmu.



I'm sorry, dear.











Friday, 15 February 2013

Ayuh, Bangkitlah!

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Aku suka hidup dalam angan-angan. Angan-angan yang sememangnya tak wujud dan kalau wujud pun tak seindah yang disangka. Dek kerana angan-angan yang terawang-awang itulah aku jadi manusia pendiam, hidup dalam dunia sendiri, bercakap sorang-sorang dan suka melengahkan masa.

Manusia dibekalkan masa sebanyak 24 jam sehari. Dan semua manusia memiliki masa yang sama. Terpulang kepada bagaimana kita mencorak masa kita supaya ia dapat dimanfaatkan menjadi suatu yang   berguna atau sebaliknya. 

Sejujurnya aku ni memang sangat suka membazir masa. Sebagai contoh, menaip entri ini walaupun perancangan tahunan kokurikulum badan beruniform tak siap lagi, namun aku terus gigih menekan keypad yang laju berdetak-detik memecah kesunyian. Ayat kemain kan...Hikhik.

Aku baru sahaja selesai membaca entri yang dikarang oleh rakan blogger merangkap rakan sejiwaku Ummi Najla, yang mana membuatkan aku terdiam, berfikir dan meneliti sejenak.

Apa yang aku mahu dalam hidup ini?

Kenapa aku suka membuang masa dan melengah-lengahkan perkara yang sepatutnya disiapkan?

Susah sangat ke nak berubah?

Sepatutnya aku lebih bijak membahagi masa supaya aku dapat dijadikan contoh kepada anak muridku.

Entri tersebut serta merta membangkitkan rasa percaya diri dalam jiwaku. Berkobar-kobar semangatku untuk berubah ke arah yang lebih baik. Sejujurnya, memang aku seorang yang bencikan peraturan, disiplin dan sistematik. Aku seorang yang memegang prinsip asal boleh, aku redah je. Aku gemar benar membazir masa sehinggakan aku rasakan hari-hari mendatang begitu kosong dan tak bererti. Pergi sekolah, balik sekolah, main intenet, makan, tidur. Esok ulang semula. 

Tapi sampai bila?

Jadi persoalan-persoalan ini seringkali berlegar-legar dalam minda buat aku terfikir, sampai bila aku mahu terus hidup berangan-angan? Sampai bila aku harus mewarnakan hidupku ini dengan hanya berbekalkan rona hitam dan putih? Di mana rona yang selebihnya? Pelangi dipuji dan dikagumi kerana warnanya yang pelbagai. Ya, aku juga mahu hidupku seperti pelangi. Aku mahu jadi seorang yang bermanfaat dan mampu memberi manfaat pada orang lain. In Shaa Allah. 

Diharapkan supaya blog ini dapat memberi sedikit sebanyak manfaat yang boleh diguna pakai kepada seluruh viewers dan readers yang memerlukan, In Shaa Allah.

Ayuh, Fa.. Bangkitlah dari mimpi dan berlarilah menuju pelangi yang merona indah di atas sana. :)

Istimewa pelangi terletak pada warnanya. Istimewa manusia terletak pada akalnya.
Jom pelihara akal dari sifat-sifat mazmumah. :)










Tuesday, 15 January 2013

Apa Nak Tulis?

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Apa nak tulis? Hahaha.. Macam ape benda si Fa ni meraban kan.. Sebenarnya, seriously aku takde apa dalam minda untuk di share setakat ni.

Mungkin sedikit perkembangan dalam hidup, maybe?
Boleh la ek, sikit je ek..Sikit je.

2013 membawa suatu titik permulaan yang agak rough untuk aku kerana sebab-sebab yang tak dapat aku share kat sini tapi cukup aku katakan ia membawa perubahan besar dalam sikapku. The attitude, the laziness, the temper, everything has changed 360 degrees.

So, I think it should be suatu perubahan yang positif kan? Mungkin tulah yang dikatakan hikmah di sebalik kejadian. Mungkin di sebalik peristiwa berdarah (okay memang membohong sangat la tu, takde siapa yang terbunuh ye, melainkan sang nyamuk-nyamuk yang suka mengacau aku saat aku sedang dilanda masalah) tersebut, aku banyak belajar dari kesilapan diri. Serta merta tersedar betapa kerdilnya aku sebagai seorang hambaNya.

Hidup ni pelik. Kita menjangkakan A akan terjadi namun sebaliknya takdir menulis B. Kita sangkakan C  tak mungkin muncul, tapi C dok tercongok depan muka kita walaupun dekat 20 tahun langsung hilang tanpa berita. Pelik kan? Sebenarnya perkara-perkara tu tak pelik, tapi itulah pentas hidup. Teater pentas yang diatur oleh Yang Maha Esa dan kitalah sebagai pembawa watak-wataknya. Takdir yang telah siap ditulis sebelum kita dilahirkan maka itulah skripnya.

Mungkin kita akan menyesal dengan kekhilafan yang telah kita lakukan, dan tak mungkin kita mampu untuk mengembalikan saat-saat sesalan yang seringkali kita ratapi. Ya, kita hanya manusia, manusia memang sentiasa melakukan kesalahan, dan setiap kesalahan itu sentiasa diakhiri dengan penyesalan.

Tapi kita lupa, di sebalik penyesalan itu, di situlah timbul seseorang yang baru dalam diri kita. Seorang yang mahu untuk berubah ke arah yang lebih baik. Dan itulah hikmah mengapa kita ditakdirkan untuk berbuat salah dan menyesal. Cuba kalau kita tak buat kesalahan, dan tiada penyesalan dalam diri, mungkinkah kita sedar tentang kesilapan kita? Tak la kan.. Memang kita takkan sedar, sebab lumrah sifat manusia sudah terhantuk, baru terngadah. Kalau tak pernah dengar, silalah mengcopy dan google apa maksudnya. Ye, memang aku malas nak taip maksud dia, kalau tu yang korang tengah pikir. Heeee.... :)

Apa pun, aku sangat happy dengan kehidupan aku sekarang, aku yang baru, kehidupan yang baru, di tahun yang baru. Beristiqamahlah dalam perkara-perkara yang baik kerana melakukan perkara-perkara yang baik meskipun liat benor nak memulakan, tapi ganjarannya tidak akan terjangkau dek akal fikiran kita. :')


credit to finalsms.com
(source : Google Images)







Sunday, 9 December 2012

Cinta Vs Hakikat

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Aku jarang mengutarakan topik ini, tapi malam ini, aku rasa aku ingin berkongsi sesuatu tentangnya.

CINTA

Klise kan? Sikit-sikit cinta. Buka tv tengok drama cinta. Tengok wayang filem cinta. Baca buku novel cinta. Angan-angan tentang cinta. Sebenarnya, cinta ni apa? 

Cinta sebenarnya fitrah. Sesiapa akan mempunyai rasa untuk disayangi dan dikasihi, begitu juga sifat ingin menyayangi dan mengasihi. Cuba perhatikan, bayi yang baru lahir, mengapa bayi akan berhenti menangis apabila dipeluk oleh seseorang? Kerana dia merasa disayangi dan dikasihi. Dia merasakan suatu perasaan yang selamat apabila berada dalam kalangan insan-insan yang rapat dengannya.

Tapi cinta ini juga kadang sangat menyakitkan. Kalau tak, takkanlah ada kes-kes bunuh diri, gantung diri, minum racun, sihir, santau dan sebagainya semata-mata untuk memuaskan nafsu amarrah yang bermaharajalela dalam diri? Sifat manusia ingin memiliki. Dan apabila tidak dipenuhi, maka amarrah mula merajai hati.

(source : Google Image)


Bagaimana pula dengan cinta pertama? Kata orang, cinta pertama merupakan sesuatu yang paling manis untuk diingati. Cinta pertama ni boleh terjadi pada bila-bila masa sama ada semasa remaja, ataupun zaman kanak-kanak. Ya, aku pasti ada yang tersenyum sewaktu membaca bait ayat-ayat ini. Teringat kenangan lalu mungkin?

Boleh jadi cinta itu akan berkekalan sehingga ke akhir hayat. Boleh jadi putus di tengah jalan. Atau mungkin tidak pernah diluahkan langsung oleh kedua belah pihak. Ada juga yang mungkin telah meluahkan tetapi sayang, cintanya tidak berbalas. Tak kurang juga ada yang telah berikrar mahu sehidup semati seperti cinta si Laila dan Majnun. Ah, cinta mampu menghilangkan kewarasan fikiran, dan ternyata bagi yang sedang kemaruk bercinta, mereka rela menurut kata hati daripada berfikir menggunakan logik akal. Aneh bukan?

Cinta itu tidak aneh. Sebenarnya manusia yang membikin cinta itu menjadi aneh, kusut dan rumit. Semakin rumit sesebuah kisah cinta itu, dirasakan semakin agunglah tahap cintanya. Padahal ia tidak lain dari hanya menyeksa diri untuk meraih sebuah cinta yang tidak diketahui pasti dimiliki atau sebaliknya. Ini banyak terjadi dalam dunia percintaan masa kini. Mereka bisa menjadi apa sahaja demi menghirup kemanisan sebuah percintaan. Mampu menjadi pencuri, peragut, anak yang derhaka, isteri yang curang, suami yang lalai, murid yang gagal, pemilik syarikat yang bankrap, apa sahaja! Wah, besar sungguh kuasa cinta!

Bagi diriku, pengakhiran cinta ialah kebahagiaan. Tanyalah pada diri, adakah kita bahagia dengan cinta kita kini? Jika ya, nah, itulah dia cinta agungmu! Tetapi jika tidak, mungkin cinta itu perlu di'improvise' supaya lebih kelihatan menarik dan tidak jemu dipandang. Bagaimana mahu ditafsirkan kebahagiaan itu terpulang pada masing-masing.

Mungkin ada yang tidak seberuntung orang lain kerana kehilangan cintanya. Lalu bertubi-tubi menyalahkan takdir, mengapa? Mengapa aku? Mengapa aku? Kadang-kadang kita tidak mengerti mengapa cinta yang kita dambakan itu sukar benar untuk dimiliki. Adakalanya kita langsung tidak sempat mencium wanginya bunga-bunga cinta sebelum cinta itu terus jauh meninggalkan kita. Tanpa pesan. Tanpa kata-kata akhir. Tanpa penutup. Satu yang aku amat pasti, keadaan itu sejujurnya lebih memedihkan.

Takdir Allah swt telah menetapkan siapa pemilik cinta kita selepas Dia dan Rasulullah saw. Yakni pasangan yang sah dari segi syarak dan hukum. Walaupun kelihatan cinta itu tempang kerana tidak seagung cinta yang terdahulu, tapi ketidak sempurnaan itulah sebenarnya menyempurnakan kehidupan kita. Belajarlah untuk menerima. Menerima. Menerima takdir yang telah ditentukan walaupun berat sekali hati untuk menggalasnya. Percayalah, kebahagiaan akan datang menjemput kita sekirannya kita percaya dengan keajaiban aturan kehidupan oleh Yang Maha Mengetahui.

Bukankah kehidupan ini penuh dengan debunga-debunga keajaiban?

Wallahu'alam.

P/S: Topik ini dibincangkan secara universal, so think universally. Tiada kaitan antara yang hidup, yang sudah pergi dan yang sedang menaip baris ini. Chill! :)






Tuesday, 18 September 2012

Kekok


Bismillahirrahmannirrahim.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani.

Tarik nafas dalam-dalam….Lepas….Tarikkkk lagi…… Lepas… Fuh-Fuh, tiup tapak tangan sikit, ok, sedia untuk menaip entri ini.

Hari ini 17 September 2012.  Aku masih ada di rumah berlagak seolah-olah aku mempunyai 10 pembantu rumah yang sedia menurut perintah membuat housechores yang sememangnya tak pernah habis. Eheh. Baju dalam bakul dah penuh, baju yang kena gosok pun dah siap gantung kat penyidai yang ibarat hidup segan tak mati-mati,  sambal sardin tak masak lagi, karang abom boiiikkk balik nak dinner(Yes, aku tau aku pemalas. Tu yang korang pikir kan??? Jangan tipu!)  Lantai dah penuh dengan debu-debu kasih. Adoi banyaknye kerja.

Tapi aku masih lagi cool menaip blog dengan tenangnya sambil menghirup air soya sejuk yang aku capai dalam peti. Eheh. Apa benda aku nak stori? Sebenarnya tak ada apa yang menarik pun. Cuma kat sini nak buat luahan perasaan sikit tentang kerja aku semenjak aku bertugas semula sejak sebulan lepas.

Apa yang aku rasa sejak sebulan lepas sememangnya sukar untuk aku gambarkan. Bayangkan aku dah lama gila tak kerja, lama gila tak borak dengan rakan sekerja, lama gila tak update dengan status sekolah, sampai ada kawan-kawan aku yang dah mengandung dan bersalin semula pun aku tak tau. Mana taknya, tengok figure diorang duk lagu tu gak. Maintain je. (Yes, aku memang terasa kalau korang nak tau!)

Aku pun seolah-olah hilang punca. Hilang kawan-kawan rapat, hilang students yang aku pernah rapat dulu, you know, seolah-olah aku ni cikgu baru bagi diorang. Rasa macam dipinggirkan pun ada jugak, tapi secara tidak sengaja la. (School Buddies, kalau korang baca ni, ni bukan salah korang tau. Aku je menggedik emo pikir jauh-jauh. Jawab paper Bio masa SPM pun tak pikir lagu ni tau.)

Oleh sebab itu, aku suka duk sorang-sorang. Kadang-kadang lunch pun bungkus bawak balik kuarters sebab aku rasa kekok nak sembang dengan member-member yang ada kat kantin.  Konon balik nak solat kat rumah, lebih tenang. Ceh, alasan! Sebenarnya… Ehmm.. Sebenarnya… ( sambil kuis-kuis jari kat meja tersipu-sipu)  aku malu sebab faktor bahasa yang berbeza dari orang-orang sekeliling. Paham tak? Tak paham lagi? Meh nak detail sikit.

Bahasa yang berbeza boleh menjarakkan perhubungan. Sebab tu kadang-kadang seseorang tu lebih selesa pilih pasangan yang sama negeri, sama gaya bahasa. Memudahkan komunikasi. Kan komunikasi tu penting dalam sesuatu perhubungan. Ok, bajet kaunselor. Harap maklum, memang cita-cita aku nak jadi pakar psikologi. Anyway, sambung balik. Sebab aku dah lama duk Klang, 8 bulan la lebih kurang, jadi telor bahasa (Sila ambil perhatian, telor dalam konteks ini bukanlah telur ayam mahupun telur burung unta. Telor = dialek) aku pun dah berubah.

Kalau dulu, sebab kerja kat sini, bahasa pun boleh ikut dialek sini, dialek Terengganu. Tapi bila dah lama tak kerja, nak pulak duk nuuunnn jauh di Klang, bahasa aku pun dah fasih bahasa standard Bahasa Melayu ala-ala bahasa Buletin Utama kat TV3 tu. Abih tu camno? Rasa macam pelik pulak kalau aku balas pertanyaan dalam bahasa standard kalau yang bertanya tu guna dialek Pantai Timur. Mau je cikgu tu bagi pandangan Gediknya-Budak-Ni-Cakap-Luar kat aku.  Kalau aku cuba cakap jugak dalam dialek tersebut, mau kena bahan pulak nanti, salah intonasi, lagi malu aku dibuatnya! Hal ini telah terbukti sebab A.B dah banyak kali bahan aku sebab nak cakap Terengganu tapi tak jadi. Huhu.

So, apa pilihan yang aku ada? Diam dan menyendiri. Lalu aku dikenali sebagai seorang cikgu yang pendiam lagi pemalu di sekolah padahal aku memang totally different! Mulut aku ni kalau jumpa geng yang sebahasa mau halilintar dibuatnya!

Students pun macam tu jugak.  Masing-masing pelik tengok aku berbahasa standard BM. Adakah aku seorang calon program On Air mahupun sasterawan negara? Kadang-kadang diorang ajuk semula cakap aku, contohnya :-

Aku : Kelas, cikgu TAKNAK awak semua fail lagi dalam Addmaths.

Students : Ye, cikgu, kami pun TAKNAK fail cikgu.. TAK NAK! TAK NAK! TAK NAK!

Ok, aku sedar aku diperli. Di Terengganu, istilah TAK NAK tu kat sini orang panggil TAK MBOH atau di Kelantan, TOK SEY. Memandangkan students aku ni rata-rata berasal dari negeri-negeri itu, memang diorang suka la perli aku cakap luar. Huh. Apa pun tak boleh.

Jadi macam mana? Macam mana aku nak get along dengan diorang? Perlu ke aku terus berbahasa standard BM atau cuba sedaya upaya jugak ikut dialek tempatan walaupun keadaannya macam aku ni seorang desperado yang desperate nak ikut serta dalam sesuatu perbualan?

Mungkin diam dan bersendiri paling sesuai kot waktu ni sementara aku cuba mahirkan diri dengan vocab dan intonasi Pantai Timur. A.B la yang kena jadi cikgu aku walaupun aku tau aku pasti akan jadi bahan Maharaja Lawak dia. Whatever!

Lappy,soya,mug dan aku.