Showing posts with label Faiq Dearie. Show all posts
Showing posts with label Faiq Dearie. Show all posts

Monday, 24 November 2014

Kekuatan

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Langit di luar kelihatan mendung. Barangkali hujan masih belum mahu meninggalkan bumi Pantai Timur. Aku masih lagi di sini menghabiskan sisa-sisa tugas yang masih berbaki. Majlis Sireh Pulang ke Gagang akan berlangsung esok, meraikan para pelajar Tingkatan Lima yang telah berjaya melengkapkan semua kertas-kertas Sijil Pelajaran Malaysia 2014.

Masih lagi belum pulang ke pangkuan anakanda tercinta, aku harus akur dengan tugas-tugas guru yang masih lagi belum selesai. Jarak yang jauh menyukarkan aku untuk berulang-alik menyebabkan aku mengambil keputusan untuk menunggu sehingga semua urusan kerja selesai.

Selepas menyiapkan entri tentang perkembangan terbaru Faiq beberapa hari lepas, ramai kawan-kawan, sahabat handai sama ada aku kenali secara peribadi mahupun melalui laman sosial menyapaku dan memberikan aku kata-kata semangat. Kebanyakkan dari mereka menyatakan aku
seorang yang kuat. 

Insan yang kuat. 
Ibu yang kuat. 

Allahu, kuatkah aku?

SubhanAllah, sekiranya hatiku ini dapat berbicara, 

Kekuatan itu bukan datang secara azali. Aku bukan wanita yang kuat. 13 tahun yang lalu, aku pernah ditawarkan ke sebuah sekolah berasrama penuh namun dengan sikap cengengku yang masih menebal ini, aku nekad untuk kembali ke sekolah lama.

Sesampainya di sekolah lama, aku pula diejek dan digelar anak manja oleh anak-anak sekolah itu. Pulang ke rumah dari sekolah, pasti aku akan mencari katil dan menangis semahunya kerana diperlakukan sebegitu di sekolah.

Tidak cukup dengan kawan-kawan sekolah, guru-guru di sekolah lama juga semakin galak menyakat aku dengan kata-kata nakal kerana tidak tahan di sekolah berasrama penuh. 

Sekali lagi aku kalah dengan permainan dunia.

Baru sedikit sahaja Allah menjentik perasaanku, berderai-derai airmata dibazirkan kerana perkara-perkara remeh. 

Cantiknya perancangan Allah, di mana si cengeng inilah yang dipilih olehNya untuk melalui kehidupan yang cukup sukar dan mencabar. 

Allahu. 

Diuji dengan lewat hamil setelah 2 tahun berkahwin.
Diuji dengan komplikasi sepanjang kehamilan.
Diuji dikurniakan anak pramatang.
Diuji dengan kesihatan anak yang masih belum stabil.
Diuji terpaksa berjauhan dengan anak.

Apakah aku mampu untuk melaluinya sekiranya aku masih lagi bersikap cengeng dan manja?

Tidak, readers. Aku takkan mampu.

Dari situlah, aku mula berubah dan mula mengutip dan mengumpul setiap kata-kata sinis yang dilemparkan padaku untuk dijadikan tenaga bagi kekuatan emosiku. Aku tidak boleh lemah, walaupun aku masih lagi Farrah Falina yang penyedih, namun kerana Faiq, aku harus kuat dan aku tidak boleh lemah di hadapannya.

Jujur aku katakan, setiap hari aku takut. Aku takut dengan segala kemungkinan. Apa sahaja boleh berlaku jika Dia berkehendak. Tapi aku harus belajar untuk akur dan redha, setiap apa yang berlaku bukan dalam kekuasaanku. Kalau boleh, memang aku mahu warnakan sendiri kehidupanku dengan warna-warna pelangi. Namun jika iradahNya mengarahkan rona hidupku hanya ada hitam, lalu apalah pilihanku selain pasrah dan menerima?

Namun, suatu yang aku tahu,.
Pasti. 
Warna hitam yang menjadi rona hidupku itu akan aku jadikannya seindah malam yang nian. 
Dihiasi bintang-bintang dan kedinginan angin yang sepoi-sepoi yang mampu melenakan sekalian penghuni bumi dengan nyaman dan tenang.

Terima kasih kepada semua yang mendoakan Faiq Aqwa, semoga kalian dilimpahi kurnia, rezeki dan rahmahNya yang tidak berpenghujung.

*     *     *     *     *

Buat Faiq anak mama, ingatlah anakku.

Hidup ini suatu perjuangan yang dipandu oleh Tuhan.
Kita tidak diberi ruang untuk memilih irama kehidupan, namun setiap irama yang diberi olehNya, jadikanlah irama itu suatu lagu yang indah dan bermakna.

Mama sentiasa menyayangimu, wahai anak Syurga.








Saturday, 22 November 2014

Faiq Aqwa : A Love Story

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.





"Aku janji, akan aku namakan anak ini dengan sebaris nama yang membawa erti kekuatan sekiranya anak ini selamat dilahirkan"

Masih segar terpapar dalam memori kira-kira hampir 3 tahun yang lalu, aku yang terdesak memikirkan nasib puteraku yang ku kandung hanya 8 bulan bakal berdepan dengan kesudahan yang masih berteka-teki. Dalam keadaan yang lemah dan tidak mampu bergerak, aku gagahi jua perjuangan ini untuk melahirkan sang khalifah ini walaupun aku tahu risiko yang bakal dihadapi olehnya.


"Congratulations, you've got a lovely boy!"

Masih terngiang-ngiang suara doktor yang menyambut kelahiran bayiku. Bait itu tidak pernah mungkin akan ku lupa. Intonasi dan nada suaranya masih jelas kedengaran di cuping telingaku. 


Suara itu. Ya, suara itu. Suara pertama yang aku dengar dari tubuh kecil itu. Tersekat-sekat dan lemah sekali. Tersedak-sedak menagih nafas yang tercungap-cungap. Meski wajahnya terselindung di balik tabir yang memisahkan aku dengannya, aku cukup kenal itulah janin yang menjadi penghuni rahimku selama 8 bulan. 

32 minggu. 
Tanpa amniotic fluid. 

What can we expect from this little boy?


FAIQ AQWA
(Keutamaan yang Perkasa)

Kami pilih sebagai panggilan. Semoga berbekalkan kekuatan, anak ini mampu berjuang sebagai mana beliau berjaya melengkapi alam rahimnya walau dirinya tidak sesempurna anak-anak lain.


*     *     *     *     *

Kira-kira 4 tahun lalu, sewaktu aku belum disahkan hamil, pernah aku menatap helaian akhbar yang memaparkan sebuah kisah yang menyayat hati :-

"IBU SANGGUP DERMAKAN SUMSUM TULANG UNTUK ANAK"

Hati ini mula bermonolog sendirian.

"Bahagianya ibu itu. Walaupun anaknya tidak sesihat anak-anak lain, dia masih punya anak. Dia masih punya zuriat. Sekurang-kurangnya dia punya seseorang untuk dicurahkan kasih sayangnya"

Aku tahu ibu itu bahagia. 
Anak itulah kebahagiaannya meski kesihatan dirinya menjadi korban.
Apalah sangat pengorbanan itu jika itu bisa membahagiakan?

*     *     *     *     *

Aku tahu, terlalu lama aku meninggalkan dunia blog ini tanpa mengkhabarkan sekelumit berita tentang anakku, Faiq.

Ramai yang prihatin bertanyakan tentang Faiq, bagaimana dia sekarang? 
Sudah boleh berjalankah? 
Sudah mampu bercakapkah? 

Terima kasih kerana masih mahu mendengar khabarnya. 
Sungguh, aku sangat terharu.

:)


Alhamdulillah Faiq Aqwa sudah mampu berjalan sendiri pada usia 2 tahun dan mampu berkata-kata sejak usianya 1 tahun 6 bulan.

Bahagia sekali diri ini. Syukur padaMu Ya Rabb.

Faiq Aqwa, 
Ketika entri ini dikarang, dia telah berusia 2 tahun 9 bulan. 
Bermakna, sudah 9 bulan dia dapat berjalan dan kini telah mampu berlari. 
Sudah mampu berbual dan kepetahannya semakin terserlah apabila diajak berbicara. 
Sudah mengenal dan mampu menyebut A sehingga Z, nombor 1 sehingga 20, dan paling cekap dalam mengenal warna.

Paling meminati kereta. 
Segala jenis automobil dia kenal hanya dengan melihat logonya. 
Tanyakan sahaja kereta apa di jalan raya, pasti dia akan menjawab dengan betul. 
Jika di pasaraya, department mainan kereta lah yang akan ditujunya dahulu. 
Replika model kereta mewah yang kecil-kecil itu yang suka dibeleknya. 
Sekecil-kecil logo itu juga dia boleh mengenalpasti jenama kereta tersebut.

 Kini, dia juga kenal jenis modelnya.

BMW 5 Series
BMW 3 Series
BMW X5
BMW X6

Ini antara model kereta yang dikenal olehnya.

Allahu Rabbi..
Aku menulis bukan kerana aku berbangga dengan anakku. 
Demi Allah, bukan maksudku begitu.
Aku hanya mengagumi kekuasaanNya.

Benarlah Tuhan itu Maha Mampu Menjadikan Segalanya.

Aku juga hairan bagaimana anak sekecil itu, yang belum sampai 3 tahun usianya mampu mengingat dan mempunyai minat yang agak matang dan dewasa. 

Beliau kurang gemar kartun.
Tidak meminati superhero seperti anak-anak lain. 
Tidak suka berlawan dan tidak menyukai permainan lawan-lawan.

Faiq sangat berbeza.
Pemalu tetapi suka berkawan.
Bila berhadapan dengan anak-anak lain di taman permainan, beliau suka menyertai mereka.
Namun, seringkali diherdik oleh anak-anak lain kerana beranggapan dia hanya mengganggu kumpulan mereka.
Apatah lagi saiznya yang kecil dan kurus. 
Manalah mungkin diterima masuk dalam geng mereka.

:')

Tapi Faiq tidak pernah menangis. Dan tidak juga mencari peluang untuk membalas herdikan mereka. Tidak mahu mencari perbalahan dalam situasi itu, Faiq sekadar mengundur diri dari mereka dan cuba mencari permainan lain untuk dimain di sana. 
Sendiri. 


Ah, anakku! 
Kau membuatkan mama sangat terharu..


*     *     *     *     *


Namun, Tuhan itu Maha Adil.

Faiq sebenarnya menyimpan suatu rahsia yang tidak pernah aku war-warkan pada sesiapa pun di alam maya.

Sebelum ini, aku tidak kuat untuk menceritakan. 
Berbulan-bulan lamanya entri tentang Faiq aku simpan buat diriku dan juga keluarga. 
Aku tidak mampu untuk berkongsi di saat aku belum benar-benar dapat menerima kenyataan itu. 
Aku berdiam sebelum ini kerana aku tidak mahu kisah ini menjadi viral dan menjadi perbualan kosong di luar sana. 

Sungguh, aku lemah.

Namun, kini, perlahan-lahan aku raih kekuatan dariNya untuk terus menulis tentang resam kehidupan yang silih berganti warna. Tidak selamanya kita berada di puncak. Adakala kita perlu jatuh untuk menyedarkan diri yang kita bukan Tuhan. 
Kita tidak mampu mencipta sendiri kehidupan ini.

Semua telah tertulis dan ditakdirkan. 
Lalu, dengan kekuatan itulah aku akan memperihalkan segala apa yang tersimpan dalam lipatan memoriku.

*      *      *      *      * 
Bismillahirrahmanirrahim.
Semoga Allah merahmati anakku.

Faiq Aqwa disahkan mempunyai beberapa komplikasi setelah 2 tahun dilahirkan ke dunia. :-

  • Kypho-Scoliosis - tulang belakang bengkok ke kanan dan bongkok ke hadapan.
  • Syringomyelia - kelainan pada saraf tulang belakang di mana air sumsum tulang  (Cerebrospinal Fluid (CSF)) yang berkumpul setempat pada satu bahagian di tulang belakang. Dalam kes Faiq, air sumsum tulang belakang Faiq banyak berkumpul di bahagian atas tulang punggung, di bahagian belakang pinggang.
  • Cross Fused Renal Ectopia - keadaan di mana ginjal (buah pinggang) berada dalam kedudukan abnormal. Dalam kes Faiq, ginjalnya bertindih antara ginjal kiri dan ginjal kanan.

Subhanallah, 
Walhamdulillah, 
Walaa ilaa ha illallah, 
Wallahuakbar.

Demi Tuhan yang Maha Mengetahui.
Maha Adil dan Saksama.

Dia telah mengurniakan seorang anak yang cukup sempurna akal dan akhlaknya. 
Namun, siapa menyangka, anakku yang kelihatan normal pada luarannya menanggung beban yang aku sendiri tidak mampu untuk menggalas.

Sewaktu didiagnos semua komplikasi ini, aku terdiam sebentar.
Terduduk aku setelah membaca laporan MRI yang telah disahkan oleh pakar radiologi Januari yang lepas.

Oh, Faiq anakku.

Berdasarkan pembacaanku dan pemahaman oleh doktor yang merawat Faiq, komplikasi-komplikasi tersebut mungkin akan menyebabkan :-

  • Tulang belakang terus membengkok dan membongkok sekiranya tidak dirawat akibat Kyphoscoliosis.
  • Paralyse atau lumpuh (nauzubillahiminzaalik) akibat Syringomyelia.
  • Jangkitan kuman dalam urin yang akan menyebabkan kerosakan ginjal akibat Cross-Fused Renal Ectopia.
*menghela nafas panjang*

Aku tahu, aku mungkin akan merasai sebuah kehilangan sekiranya Tuhan berkehendakkan begitu.
Aku perlu bersedia untuk sebarang kemungkinan.

Tapi satu yang pasti,
Aku tidak akan pernah berhenti berusaha untuk membahagiakan anak syurga ini.
Tidak pernah terlintas di fikiran ini bahawa anak ini menyusahkanku, walaupun aku perlu berulang-alik hampir 300 kilometer pergi dan balik dari Klang ke Kuala Terengganu berikutan Faiq masih di bawah jagaan datuk dan neneknya.

Faiq perlu rawatan terbaik dari pakar-pakar yang terbaik, in shaa Allah. Buat masa ini, Faiq sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah , Klang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Petaling Jaya.

Dan ketahuilah pada semua yang membaca entri ini, tiada sekelumit perasaan 'sengaja' untuk meninggalkan Faiq berbatu-batu jauhnya. 
Tiada sedikitpun perasaan mahu menyusahkan ibu bapaku untuk menjaga Faiq selama ini.
Bukan niatku untuk sengaja tidak mahu mencari pengasuh terbaik untuk anakku.
Bukan juga kerana paksaan ibu bapaku untuk merampas kasih sayang kami.

Bukan!

Luluh hatiku bila yang lain berkata semacam apa yang kurang enak didengar.

Seolah-olah aku bersenang lenang di sini tanpa perlu menjaga anakku seperti ibu bapa lain.

Subhanallah, terlalu berat tuduhan itu.


Faiq bukan seperti anak-anak normal yang lain.

Lantaran itulah, aku mengorbankan kebahagiaan aku untuk berjauhan dengannya.
Faiq perlu diberi rawatan.
Usaha memberi rawatan yang terbaik, itulah tanggungjawab dan amanahku.

SubhanAllah.
Hanya Allah sahaja yang mengerti perasaan ini tatkala mendengar anak-anak jiran bermain dan bercanda di luar rumah. 

Rindu pada Faiq semakin mencengkam jiwa.


Faiq belajar bertatih
2 November 2013, 1 tahun 9 bulan



Faiq belajar berdiri sendiri
14 Januari 2014, 1 tahun 11 bulan



Langkah-langkah pertama Faiq
29 Januari 2014, 1 tahun 11 bulan



Faiq Aqwa, terkini dengan Tarian Tiptoe.
2 tahun 8 bulan, 5 Oktober 2014



Setelah satu pengorbanan yang telah aku lalui ketika beliau berada dalam rahimku, kini tiba pula pergorbanan yang seterusnya untuk mencari penawar komplikasinya.

Jangan pernah simpati untukku.
Kerana aku sedang berbahagia dalam mengorbankan.

Aku tidak akan pernah berhenti berusaha.
Kerana Faiq adalah kebahagiaanku.

































































Friday, 24 January 2014

Hidayah

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Lately, aku banyak berfikir. Banyak sekali yang ada dalam perhatianku. Mungkin sebab ketuaan aku menyebabkan aku mula ambil serius perkara-perkara sebegini.

Hehe.

Readers, dulu aku tak pernah fikir buruk baik sesuatu tindakan aku. Aku tak pernah mahu memikirkan kerana aku rasa aku muda. Aku banyak masa lagi nak perbaiki diri. Lagipun aku tengok ramai kat luar sana enjoy freedom. Tapi semakin hari aku tua, aku rasa... 

Sempat ke? Sempat ke aku bertaubat?

Aku tahu, kebanyakkan entri aku sekarang adalah entri-entri yang membosankan. Asyik-asyik cakap pasal mati, pasal agama. Pasal amalan cukup ke tak. Pasal tudung, Ey, semua orang tau la woi, semua orang tau sebab semua tu dah belajar dalam kelas PAI (Pendidikan Agama Islam) masa kat sekolah dulu.

Jangan nak jadi baik sangat la!

:)

Bosan kan cakap pasal agama.

Aku tahu, sebab dulu aku rasa begitu. 

Tapi semakin hari aku meniti liku-liku hidup, aku rasa... tak kemana life aku ni. Berapa lama aku akan hidup? 10 tahun? 20 tahun? 

Aku tak tahu.

Baki yang aku ada semakin hari semakin singkat. Makin lama makin dekat tarikh kematianku.

Sungguh, aku benar-benar takut.

Kerana aku tahu, aku seorang hamba yang banyak berdosa pada Tuhannya. Aku bukan anak kecil yang pasti akan ke Jannah sekiranya ditakdirkan nyawanya diambil.

Aku adalah wanita 29 tahun (technically, sebab Disember lambat lagi).

Aku telah matang sepenuhnya. 

Lalu, kenapa aku harus bersikap kebudak-budakkan dengan melakukan perkara-perkara yang sia-sia?

Dosa yang aku tanggung adalah dosa selama 29 tahun. 

Nauzubillahiminzaalik.

Rugi, subhan Allah..


Menyelusuri keadaan Faiq yang sebegitu, andainya Allah berkehendak (percayalah,sukar untuk aku menaip baris ini), ya, pasti Faiq akan ke syurganya kerana anak itu tidak mempunyai sebarang dosa.

Persoalannya, mampukah aku bertemu Faiq di syurga? Aku mahu bertemu Faiq di sana kerana kasih sayangku tidak pernah berpenghujung. Aku mahu terus bersama-samanya. Setiap hari bergelak ketawa dan bermain dengannya.

Namun, layakkah aku?

Subhanallah.

Bertitik tolak daripada perspektif itu, aku tahu aku harus mempersiapkan diri untuk menghadapi pengakhiran itu. Dan aku inginkan sebuah pengakhiran yang indah. Tidak dapat disangkal, sesiapa sahaja mahukan happy ending. 

Faiq ternyata adalah satu hidayah dari Allah untukku.

Betapa Allah itu Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Dikirim olehNya seorang Faiq ke dunia untuk membuka hatiku ke jalanNya. Kerana Faiq aku mula berubah sedikit demi sedikit.

Kerana Faiq, tudungku mula aku labuhkan.
Al-Quran ku mula menjadi lusuh.

Kerana Faiq, aku lebih mencintai Penciptaku. 
Semakin dalam dari sehari ke sehari.

Dulu aku sering lupa padaMu, namun hidayah seorang Faiq telah membuka mata hatiku untuk meyakini bahawa kuasaMu tidak akan ada tandingannya.

Kau ciptakan Faiq untuk memberi amaran padaku bahawa

Tiada Tuhan Selain dariMu.
Kau berkuasa atas setiap segala, dan paling berhak untuk berkehendak dan memutuskan.

Kun Fa Ya Kun.

*sujud syukur*

Salam Jumu'ah yang penuh barakah.

:)

Sesungguhnya Tiada Tuhan Selain Allah, dan Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah
(source : Google Images)









Wednesday, 11 December 2013

Faiq : Mendidik Bukan Mengherdik

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


"Faiq, jangan main tu!"

"Jangan main air, Faiq. No!"

"Faiq.... kenapa susah sangat nak dengar cakap mama..?"


Haih. Aku rasa kalau macam ni la keadaan aku cuti 3 minggu di rumah, mau kena serangan darah tinggi kot. Allah, Faiq sangat lasak dan kadang-kadang tu sangat mencabar kesabaranku.

Tak, aku tak menyalahkan dia. Bahkan aku suka dan happy sangat dengan perkembangannya. Namun, kadang kala aku tewas dengan angin kuskus yang memang jadi label diriku ini. 

Erm. Tau tak angin kuskus tu apa? 

Hehe. 

Selama ini, aku menggunakan cara mengarah JANGAN pada Faiq. Jangan main tu, tak boleh main ni, jangan pegang tu, jangan pergi sana. Jangan tu. Jangan ni.

Jangan.

Dan aku rasa kaedah itu tak berkesan mana untuk si lasak Faiq yang juga mewarisi angin kuskus dari diriku. 

Lagi dikata JANGAN, lagi dibuat. 

Lagi dimarah, lagi galak dia ligat.

Situasi yang cukup sukar ini membuatkan aku rasa aku gagal sebagai seorang ibu. Apatah lagi aku bukanlah menjaga Faiq sepenuh masa. Manalah nak cari waktu nak didik Faiq kalau bukan waktu cuti macam ni.

Lalu, fikir punya fikir, aku cuba meletakkan diriku pada situasi Faiq.

Bayangkan.

Mama marah aku dan berkata,

"Jangan main tu, Farah! Kenapa degil sangat ni?"

Apa perasaan aku waktu itu? Berbekalkan angin kuskus aku ni, wajiblah aku melawan. Ya, aku memang degil dan tak peliklah anakku Faiq juga mewarisi sikapku.

Huhu.. Kenapalah aku degil dulu?


Jenis aku kalau orang marah, lagi aku buat. 
Lagi aku saja nak sakitkan hatinya. 
(Please jangan judge aku, aku hanyalah manusia yang lemah. Hehe)

Memang takkan nye la aku nak dengar kalau orang yang marah aku tu jerit-jerit kat aku. 

Takkan.


Mengambil iktibar dari sifat mazmumah aku yang satu ni, aku rasa cara mendidik Faiq dengan menjerit atau memarahi bukanlah sesuatu yang berkesan. 
Dah la tak berkesan, kau pulak yang stress sebab marah dia. Dah stress lepas tu mula la emosi nak nangis pulak sebab menyesal marah anak. 

Dah berganda-ganda masalah kan.

Jadi apa yang aku buat untuk mendidik Faiq, ialah dengan menggunakan cara reversed psychology.

Contoh 

Faiq dengan selambanya membaling barang-barang toiletries dari storage box ke arah tangga. Seronok dia tengok losyen badan dan minyak Bayini Mestika dia bergolek-golek atas tangga. 
Mujur tak pecah. Lepas satu, satu dibalingnya. Lepas dah habis barang dalam storage box, dengan box-box tu jugak dicampaknya.

Tindakan yang berkesan:

"Mama sayang Aiq.. Aiq good boy... Good boy tak buat macam ni kan. 
Jom kita ambil semula barang tu kat bawah, Aiq kan dah pandai turun tangga sendiri? 
Nak tak?

Lepas ajak dia ambil semula barang tu, aku pun pancing lagi.

"Aiq, jom tolong mama susun semula barang-barang ni dalam bekas ni, nak tak? Aiq pandai susun barang kan? Cantiknya Aiq susun barang...."

Lepas tu puji lagi. 

"Aiq ni pandai la.."
"Pandai sangat anak mama ni...."

Nak dramatik sikit tepukla tangan bagi semangat dan dorongan. Tak pun peluk dia atau sayang pipi dia atau cium dahi dia.

Confirm cair punya!

Nah, kan dah selesai masalah? Anak pun ok, tak meragam dan buat perangai.
Diri sendiri pun tak rasa sakit hati sebab marah dan jerit-jerit.

Win-win situation.

Pujian sangat penting bagi seorang anak.
Aku ada mendengar petikan ceramah dari seorang ahli agama yang mengatakan bahawa setiap kata-kata ibu merupakan suatu doa. 

Masya Allah, kelebihan seorang ibu!

Puji dan berikanlah semangat tersebut pada mereka.
Tiupkan aura positif dalam diri mereka agar mereka dapat merasakan keyakinan dan kasih sayang kita pada mereka. 


Bila difikirkan semula, Faiq adalah anak kecil yang tak mengerti apa-apa.
Pada peringkat ini, anak-anak masih dalam proses belajar.

Tak sepatutnya wujud situasi :

"Jemah, aku tengok anak kau baik je, tak macam anak aku, degil. Ikut perangai bapak dia la tu!"

Amboi, sedap pulak dia salahkan bapak. Lepas tu si bapak pun sama naik menyalahkan si mak.

"Awak la ni, dulu masa mengandung suka sangat menjerit-jerit. Kan dah turun kat anak! Ni sume salah awak!"

Hah, jadi masalah rumah tangga la sudahnya.

Kalau dah tiap-tiap hari mak dan ayah sendiri cakap anak degil, kat mana anak nak dapat aura positifnya? Kita kena yakin bahawa anak itu asalnya bersih. Hatinya polos dan jujur. Kita yang harus percaya pada kelebihannya. 

Percaya. 

Percayalah, walaupun anak itu serba kekurangan. 
Pasti ada di mana-mana.


Sebenarnya, nak control marah ni bukan mudah.
Memang kita mudah marah (aku je kot).
 Lagi-lagi kalau kerja kat sekolah melambak-lambak, dengan PBS tak siap key in (yes, I am one of them), lepas tu anak pulak buat perangai yang kurang comel dipandang. 

Ini boleh menaikkan darah!

Tapi, cuba kita lihat dari sudut postif.

Aku berpegang pada frasa "Sekurang-kurangnya" (At Least)

Bila aku fikir semula, kenapa aku perlu marah? 

Walaupun Faiq adakalanya nakal, namun sekurang-kurangnya dia masih bersamaku sehingga ke saat entri ini dikarang.

Walaupun Faiq keras kepala, namun sekurang-kurangnya dia mampu untuk bersikap sedemikian. Ada anak-anak lain tak mampu menjadi nakal, tak mampu menjadi keras kepala kerana mereka tidak berupaya.

Walaupun Faiq dilahirkan dengan kekurangan dan penuh dugaan, namun sekurang-kurangnya aku berpeluang untuk memegang title seorang ibu.


Sekurang-kurangnya.


Bila aku fikirkan semua ini, tak ada sebab untuk aku melontarkan kemarahan.

Faiq Aqwa adalah anugerah.

Anugerah teragung ini diamanahkan untuk dididik, bukan untuk diherdik. 
(inspirasi dari mutiara kata Prof Dr Muhaya)

Wallahu'alam.

*angin kuskus- perumpamaan tak rasmi bagi seseorang yang mudah naik angin

Faiq Aqwa, 9 Disember 2013, 1 tahun 10 bulan.





















Thursday, 5 December 2013

Akal vs Nafsu

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Cuti sekolah ni bebas dari segala hiruk pikuk dalam sekolah. Menghirup udara segar dari laman dan menikmati hidangan sarapan tanpa diganggu oleh mesej-mesej seperti,

Assalamualaikum dan salam mesra.
Semua guru diminta hadir ke bilik mesyuarat jam 2.00 petang ini untuk Mesyuarat Penyelarasan Kokurikulum. 

atau

Bagi guru-guru yang belum lagi mengemaskini data E-Operasi, silalah berbuat demikian selewat-lewatnya pada pukul 4.00 petang hari ini. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada guru data. Harap maklum.


Tapi aku juga kadang-kadang rindu jugak dengan mesej seperti,

Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Dijemput para guru dan staf untuk menikmati juadah makan tengahari di kantin bermula pada pukul 12.00 tengahari. 

Gila tak nak makan free?
Hehe.

Memang cikgu-cikgu kat sekolah aku ni murah hati semuanya. Kalau ada rezeki lebih, macam tu la. Buat belanja kawan-kawan sekerja makan tengahari. Alhamdulillah, semoga rezeki kalian sentiasa dimurahkan Allah swt.

Jadi cuti sekolah ini aku habiskan sepenuhnya bersama Faiq di rumah, selain daripada menghadiri temu janji doktor seperti yang telah dijadualkan. Kadang-kadang aku bawak juga Faiq pergi Giant memandangkan si kecik tu dah addicted sangat dengan logo Giant. 



 Pantang nampak logo ni di mana-mana barang dalam rumah, mesti dia tunjuk dan sebut :-

Ayen.. Ayen.. 

Lepas tu tarik nafas dan sebut :-

Aaaakkkk.....Ggggiiiiiiiiiiiii!

(Giant..Giant... Nak pergi!!!!!)

Bawak la dia pergi mana sekalipun tempat yang classy sikit, huh takde emosi langsung dia.

Tapi bila lalu Giant...
amboi siap melompat dalam kereta duk Aaaaakkk Giiiiii! Aaaakkkkk Giiiiiii!

Huhu. Takpe la Iq, Jimat duit minyak mama, tak payah travel jauh-jauh dan tak payah nak bersiap hijabista sangat. 
Giant je pun.
Plus, tak payah bawak stroller bagai sebab Iq lagi suka naik troli free dari stroller yang mama terpaksa angkut dengan gigih masuk dalam kereta.

Bagus anak mama. 
Memahami.
 ;)


Tapi 2 hari lepas, memandangkan aku memang nak beli barang-barang sekolah
(kata azam baru.. semangat tau jauh-jauh beli barang kat Klang nak bawak balik Terengganu)
aku tidaklah bawa Faiq bersama-sama dengan aku masa tu. Kalau bawak dia, memang tak boleh pilih barang. Duk sibuk Aaaakkk Niiiiiiii... Aaaaaak Niiiiiii je nanti si kecik tu.

(Aaaakkkkk Niiii - Nak yang ini)

Kalau dah jalan sorang-sorang, memang la gatal je tangan nak habiskan duit. Bila aku jalan-jalan dekat Giant lepas dah siap beli barang di Jusco, aku pun lalu la depan kedai jual spek.

Eh, tengok la kejap.
(Nafsu yang pertama memainkan peranan)

Yes miss?
(Staf kedai cuba menghulurkan bantuan a.k.a memasang perangkap untuk aku beli barang dalam kedai dia).

Takpe, I tengok dulu je.
(Akal mula mengingatkan aku)

You nak cari spek macam mana?
(Ayat pancing..Ayat pancing!)

Errr... Spek plastic frame yang besar sikit ada tak?
(Amboi, tadi kau kata nak tengok aje???)

Ada.. Ada.. Kejap aaarr..
(Yes, mangsa dah masuk jerat!)

Staf tu pun tunjuk la spek jenis yang aku request tu.

Lebih kurang macam ni la frame dia
(Google Images)

Aku pun dengan confident try.
(Nafsu kedua- "Takpe kau try je bukannya kau beli pun")

Eh, cantik jugak ye!
(Nafsu ketiga - "Haah la cantik pulak kau pakai spek ni, tak kembang sangat tudung. Pakai shawl pun takde masalah. Sesuai dengan kau")

Buat kira-kira sikit dalam otak...
Lepas tu tanya staf tu :-

Berapa ye harga sekali dengan lens?
(Nafsu keempat- "Takpe, kau tanya harga je pun. Bukannya nak beli. Bukannya kena bayar kalau just tanya")

Kalau tengok power you tinggi macam ni, kena pakai Hoya Lens baru nipis sikit. Kalau cermin biasa nanti nampak tebal.. 
(Ayat pancing yang lebih kaw)

I tak mau Hoya lens. I nak cermin biasa je..
(Memandangkan aku baru je buat spek 4-5 bulan lepas, pakai lens Hoya, maka aku tahu harga cermin Hoya memang melambung-lambung. Kononnya kali ni aku nak buat spek harga biasa-biasa je)

Aiyoo kak.. Kalau you ambil cermin biasa tebal sangat la.. You pakai pun tak cantik.. Ambil Hoya lens la, berbaloi. You pakai pun puas hati.
(Memang betul pun cakap staf tu. Aku pun jenis kalau nak beli barang, memang nak yang bagus dan puas hati kalau pakai. Daripada membazir beli barang kualiti kurang, mesti aku tak guna nye. Membazir jugak)

Erm.. Berapa arr? You total tengok..
(Nafsu kelima- Tak pe Fa, duit simpanan kau kan ada lagi.. Pakai yang tu la dulu. Lagipun bulan depan kan kau dapat bonus. Boleh la ganti semula.)

Staf tu pun tekan-tekan calculator dan tunjuk kat aku skrin calculator tu

RM800

Hoi! Mahalnya!
(Akal mula sound aku)

Ni kualiti baik punya. You pakai pun cantik maa.. Cermin pun tahan calar dan tak tebal. Puas hati la.
(Staf tu mula bagi reason-reason yang bernas dan berisi)

Aku dari tadi tak tanggalkan lagi spek contoh tu. Duk telek muka aku dalam cermin dengan frame spek tu.

Akal dan nafsu mula memasang pedang nak berlawan.

Cantik tu memang cantik spek ni. Tapi, aku mampu ke? Perlu ke aku spek ni memandangkan aku baru je buat spek baru-baru ni?
(Rasional cuba memancing aku pulak)

Rasanya macam aku ni watak yang biasa keluar tv tu yang ada angel kat sebelah kanan dan setan kat sebelah kiri. Duk bertelagah nak mempengaruhi aku.

Adoi, macam mana ni??

Staf tu siap dah buka buku resit lagi sebab gaya aku memang betul-betul nak beli.

Lalu, aku ketepikan sekejap diri aku dan cuba fikir semula dalam-dalam.

Duit aku memang ada, tapi banyak lagi perkara lain yang aku boleh buat.
(Akal)

Tapi frame tu cantik Fa! Spek kau yang sebelum ni tak cantik. Muka kau lebar pakai spek sebelum ni. Dengan spek ni muka kau nampak panjang sikit. Kau pakai shawl pun tak jejas tudung. Senang la lepas ni tak payah pakai contact lens dah.
(Nafsu)

Mahal sangat la RM800!! Membazir pulak.
(Akal)

Ala, takpe.. Duit boleh cari. Lepas ni kau susah dah nak jumpa spek yang betul-betul sesuai. Tu la kau, dulu kau taknak pikir habis-habis masa buat spek sebelum ni. Spek tu buat muka kau nampak lagi bulat la.
(Nafsu)

Kejap, kejap. Faiq macam mana? Cukup ke barang-barang keperluan dia? Vitamin dia yang kau kata nak beli tu, dah beli belum? Spek mama yang patah kat rumah tu, kau tergamak ke nengok je?
(Akal)


Terdiam.
Rasanya, ramai lagi insan-insan di sekelilingku lebih memerlukan RM800 tu berbanding aku sendiri.

Lalu, dengan penuh rasa yakinnya, aku berkata:-

Takpe la, saya fikir dulu macam mana. Kalau jadi saya datang semula.
(Ayat penyedap supaya aku tak rasa bersalah sangat nak menolak. Padahal aku memang dah sedar diri dan taknak beli dah)

You sekarang cerita la masalah you, masalah bajet ke apa ke. Nanti kita boleh tolong you. Ada masalah kita bincang la.
(Staf tu memang gigih betul pujuk aku beli spek dia. Adoi, boleh dapat Anugerah Staf Terbaik la macam ni)

Err.. Takpe, takpe. Nanti kalau apa-apa I datang semula. Thank you so much aaarr..

Adat berniaga. Macam tu la. Customer comes, customer goes. 
Staf tu kena la terima keputusan aku. 

Kini, aku rasa lega dan bersyukur sangat aku dapat menepis godaan nafsu yang betul-betul mempesonakan.

Sebab instead of beli spek harga RM800, aku boleh beli ini :-

  • Spek membaca mama yang dah berkurun tak tukar sampai patah dikerjakan si Faiq - RM168
  • Vitamin Faiq untuk meningkatkan sistem imunnya - RM174
  • Vitamin aku sendiri untuk general health aku - RM148

RM168 + RM174 + RM148 = RM490

RM800 - RM490 = RM310

RM310 tu boleh lah aku simpan untuk kegunaan emergency atau masuk dalam saving account.

Sebenarnya, lepas dah kahwin dan ada anak ini, keperluan diri jatuh nombor dua. Atau nombor tiga atau nombor berapa pun tapi bukan nombor satu.

Aku merasainya. 

Memang ada juga rasa terkilan sebab aku memang nak sangat spek tu, tapi aku rasa tak adil untuk ahli keluarga yang lain.

Apalah sangat spek harga RM168 kalau nak dibandingkan dengan pengorbanan mama selama ni?
Apalah sangat harga vitamin tu kalau tu boleh membantu meningkatkan kesihatan Faiq?

Family first.


Inilah kepuasan aku yang sebenar.

Terima kasih, cik Akal.

And Nafsu, maybe next time.
Perhaps.

:)















Monday, 2 December 2013

Faiq: Updates for November 2013

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Mempunyai anak adalah impian semua (hampir semua kot) pasangan yang berkahwin.
Mempunyai anak yang sempurna dan sihat adalah harapan semua ibu bapa.

Kami juga.

Faiq Aqwa.
Dilahirkan awal 2 bulan.
Kisah ini telah aku ceritakan pada anda semua dalam entri-entri yang lalu.

Part 1 : Istimewa Sebuah Pengorbanan
Part 2 : Sayang Mujahidku Sayang

Menyelusuri hampir 2 tahun bersamanya, aku akui Faiq seorang anak yang sangat membahagiakan jiwa keibuanku.

Anak yang petah berkata-kata.
Anak yang pintar.
Anak yang sensitif dan lembut.
Anak yang keras hati.
Anak yang sempurna di mata kami.

Alhamdulillah.

Aku abaikan sahaja kata-kata sinis menyatakan anakku itu dan ini.
Tidak boleh berjalan walau hampir 2 tahun, kecil dan kurus, dan pelbagai lagi. Ada juga yang menggelarkan Faiq OKU (Orang Kelainan Upaya).

Kalau benar, kenapa?

Aku tak punya masalah tentang itu.

Memang anakku tidak dapat berjalan apatah lagi berlari setakat entri ini dikarang. Faiq pada hari ini hanya mampu berdiri dan bertatih dengan sokongan.

Ya, aku bangga dengan kemajuannya.

Tiada sebab untuk mereka-mereka menkonklusikan perkara itu.

Kun Fa Ya Kun.

Apa yang akan jadi, aku terima.
Apa yang aku terima, akan aku redha.

Bukankah aku seorang hamba?  Lalu, berlagaklah seperti hamba.
Usahlah mendabik dada seperti tuan.

Kalau itu yang diberi, maka aku terima.
Aku sudah lama menerima Faiq.

Bagaimanapun dia, akan aku sayang kerana dia sebahagian dari diriku.


Untuk pengetahuan readers, Faiq Aqwa anakku disahkan mempunyai struktur tulang belakang yang tidak seperti yang sepatutnya.

Digelar "kypho scoliosis".

Memang sebelum ini, aku perasan tulangnya agak bengkok. Namun aku fikir itu disebabkan oleh faktor badannya yang kurus.

Setelah aku ajukan kepada pakar tentang perkara ini, dan melalui imbasan sinar -X, didapati memang benar, tulang belakang Faiq tidak lurus.

Kyphoscoliosis ialah suatu keadaan di mana struktur tulang belakangnya yang membengkok ke sisi dan membongkok ke depan. Simptom ini adalah gabungan daripada dua jenis keabnormalan tulang belakang, iaitu kyphosis -tulang yang membongkok ke depan dan scoliosis- tulang yang membengkok ke sisi membentuk huruf S.

Aku tidak menjumpai gambar yang sesuai untuk aku muatkan dalam entri ini berkenaan dengan kyphoscoliosis. Plus, aku tidak berdaya untuk melihat gambar tersebut setiap kali entri ini dibaca olehku. Ya, kerana aku seorang ibu. Maaf, aku belum bersedia. Tambahan pula, hati-hati insan sekelilingku harus dijaga.

Aku harap bagi sesiapa yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut berkaitan masalah ini, bolehlah search di Google.

Kini, Faiq sedang dipantau oleh doktor pakar tulang belakang berkaitan masalah ini di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di mana Faiq harus menghadiri temujanji setiap 6 bulan sekali untuk melihat perkembangan tulang belakangnya.

Entri kali ini pendek dan ringkas.

Aku tidak mahu bercerita panjang.
Mungkin juga emosiku tidak begitu stabil dengan ujian ini.

Kuatkah aku untuk menerima?
Aku tidak tahu.

Tetapi melihat senyuman di wajahnya yang ceria, adilkah aku membazir waktu untuk bersedih tatkala bersamanya?

Allah ada.

Kun Fa Ya Kun.

Aku terima Faiq seadanya.





















Sunday, 20 October 2013

Senaskhah Tafsir Al-Quran Biru

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.



Allahu Allah!

Kadang kala kita takkan faham mengapa Tuhan tidak menjadikan kita sebagaimana yang kita mahukan. 

Tidak kaya. 

Tidak cantik. 

Tidak kurus. 

Tidak gemuk.

Tidak mempunyai anak.

Anak tidak sihat.

Anak tidak sempurna.


Dan segala tidak-tidak yang kita ciptakan sendiri. 


Selagi dinamakan manusia, kita tidak akan lari dengan segala ketidakpuasan hati yang bersarang di minda. Tidak pernah ada yang sempurna di mata kita.

Tidak terkecuali aku.


*    *    *    *    *

AidilAdha tahun lalu (2012, 1433 H) tidak ada rendang dan lemang. Di dapur, mama tidak menyediakan apa jua juadah. Rumahku sunyi dan sepi. Tiada tangisan Faiq. 

Bahkan aku juga tidak menyedari Dzulhijjah telah menghadirkan diri. Rupanya kita sudah berada dalam bulan haji.

Pada waktu itu, aku hanya seorang ibu yang menemani anakku yang berjuang di PHDU.


Readers boleh baca kalau sudi. Itu coretanku tahun lalu. Alhamdulillah, pengalaman yang sungguh berharga. Mungkin bermanfaat untuk ibu bapa di luar sana yang senasib denganku.

Ada suatu kisah yang aku diamkan. Tidak aku ceritakan di sini mahupun di laman sesawang Facebook.

Di saat aku kehilangan punca, di saat Faiq bertarung nyawa, aku lupa seketika tentang kerja. Tentang diriku. Tentang penampilanku. Tentang apa saja. 

Di saat itu, aku sedar aku hanyalah seorang hamba. 

Hamba. 

Tak mampu berbuat apa.
Tak mampu mengarah.
Tak mampu membuat keputusan.

Aku tahu aku tak mampu.

Di saat itu juga, aku hanya ada Tuhanku.
Yang biasa aku cari ketika aku susah.
Dan seringkali leka ketika aku senang.

Ketika Faiq diberi rawatan oleh doktor dan para jururawat di PHDU, aku tidak dibenarkan masuk ke bilik tersebut sehingga selesai prosedur.

Lalu bagi menghilangkan rasa resah yang menyesakkan nafasku, aku cuba turun ke tingkat bawah untuk mengambil sedikit angin di luar. Rimas dengan masalahku, aku cuba mencari santai.

Perkarangan hospital menyediakan beberapa booth yang menjual pelbagai barangan runcit untuk kegunaan pesakit dan pelawat yang berkunjung ke sana. Aku tidak berminat dengan semua itu. Hanya sekadar melewati kedai tersebut.

Booth kedua pula menjual baju dan selendang. Ku sempat memandang diriku yang selekeh berbaju T lusuh, bertudung sarung yang berkedut-kedut, dan berselipar jepun. Ku kerling kerlipan tudung yang dijual. Sempat juga aku membelek. Namun, ketika itu aku merasakan tidak adil bagi Faiq jika aku menghabiskan wang untuk beberapa helai tudung baru sementara dia di atas sedang memerlukan doaku.

Aku lepaskan pegangan tudung tersebut dan menggeleng pada jurujual itu sambil tersenyum menyatakan penolakanku untuk membelinya.

Lalu aku meneruskan langkahku ke booth yang ketiga, yang paling hujung. Menjual buku-buku terpakai, majalah-majalah terpakai dan buku agama.

Tertarik pula untuk menyinggah.

Mataku melilau mencari-cari sesuatu. Ya, sesuatu yang bermakna untuk Faiq. Yang berguna buatnya ketika ini.

Lalu aku jumpa ini.

Senaskhah Tafsir Al-Quran (Mushaf Al- Masar)



Ku amati isi di dalamnya.
Ada panduan tajwid dan makna bacaan yang sangat jelas untuk seseorang yang buta Bahasa Arab sepertiku.

Sekilas bahagian dalamnya.



Panduan tanda mad, tajwid dan waqaf.





Indeks perkara untuk membolehkan kita mencari dalil-dalil penyokong dengan lebih pantas.


Kulihat harganya. 

RM50.00.

Di kocekku kini hanya tinggal sehelai dua not merah dan beberapa not biru tua. 
Tak cukup.

"Encik, berapa harganya?"

"RM50.00 kak, boleh bagi kurang.."

"Berapa?"

"RM45.00"

Ku mencongak-congak dalam otak. 

"Kejap lagi saya datang balik, terima kasih"

Aku terus meluru ke ATM yang terletak sederet dengan kedai-kedai tersebut. Ku keluarkan kad bank dan mula menekan punat-punat di papan nombor. 

Aku harus mendapatkan Tafsir tersebut untuk Faiq. Aku perlu berusaha sehabis daya untuknya. Untuk kekuatan semangatnya, In shaa Allah.

Ku patah balik ke booth tadi dan menyerahkan not RM50 kepada saudara yang menjual. 

"Saya jual ye, ni bakinya."

"Terima kasih, saya beli."


Dalam perjalanan naik semula ke wad PHDU, aku sempat membelek hadiah yang kutitipkan untuk Faiq. 
Hadiah dalam ertikata doa-doaku dalam barisan ayat-ayat suci yang akan kulagukan selepas ini di hadapannya, setiap hari, setiap masa.

Demi anakku.
Demi pejuangku.

*     *      *      *      *

Dengan izinNya, Faiq semakin pulih. 
Alhamdulillah.
Aku tahu, itu bukanlah semata-mata dari kepakaran doktor yang merawatnya.
Namun terdapat suatu kuasa yang Maha Besar yang meluluskan permohonanku untuk menyembuhkannya.

Ya Allah, Kau dengar doaku.
Doa hambaMu yang sentiasa lalai menyelusuri ranjau yang menduga iman dan taqwa.
Malunya aku. Hinanya aku.

Demi Allah yang sangat aku cintai,
Demi Al-Quran yang sangat aku kasihi,

Aku panjatkan kesyukuran ke hadratMu, 
kerana tiada siapa yang menyayangiku sepertimana Engkau menyayangiku.

Tekadku untuk memberi sehabisnya untukMu,
sebagai balasan atas kurniaan nikmat yang Kau hamparkan
kepadaku, si pendosa yang mahu kembali ke pangkal jalan.

*     *     *     *     *

Faiq Aqwa anakku sembuh dengan kekuasaanMu, ya Allah.

Dan sebenar-benarnya, tidak akan wujud kuasa lain yang setanding denganMu.

Itu pasti dan hakiki.


Senaskhah Tafsir Al-Quran biru telah menjadi penyedarku yang leka.
In shaa Allah, akan terus menjadi pedomanku yang sering alpa.

Allahu Akbar.
Laa Ilaa Ha Illallah.


Surah At-Taghabun, Ayat 13



**Tafsir Al-Quran ini masih dalam simpananku. Setiap kali aku menatapnya, setiap kali itu aku akan mengenangkan keagunganNya mengabulkan rintihanku demi seorang Faiq Aqwa.**