Sunday, 24 November 2013

Perubahan

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Actually, I thought of updating about Faiq. Tapi kalau nak cerita tentang Faiq, aku memerlukan masa dan emosi yang tidak boleh diganggu oleh anasir-anasir luar. Maknanya fokus memang kena 100% terhadap post tersebut supaya tak tersasar ayat dan susunannya. 

Ada beberapa perkara yang tentang Faiq yang aku ingin kongsikan. Here and there. In Shaa Allah, aku cuba untuk mencari masa tersebut.

Topik yang terdetik dalam fikiranku sekarang ialah aku sendiri. Gila selfie haha. Tak la. Tapi betul, aku ingin bercerita tentang aku dan perubahan yang aku ingin lakukan terhadap diriku. 

Kalian kenal siapa aku dulu? Memang tak la kan? Aku bukanlah selebriti yang punya gambar posing-posing maut dalam majalah atau blog-blog hiburan. Aku juga bukan pelajar bijak pandai yang mampu menarik perhatian dunia dengan 10-11A+ di dada-dada akhbar. Aku juga setakat ini (alhamdulillah) tidak pernah dikaitkan dengan berita-berita jenayah yang menjadi suspek paling dikehendaki polis. 

Aku hanya seorang perempuan biasa. Seorang anak lalu menjadi isteri dan kini alhamdulillah diberi peluang menjadi ibu. Selama mana? Wallahu'alam. RahsiaNya hanya Allah yang tahu.

Aku asalnya tidak berhijab. Sejak dari tadika sehingga aku tingkatan 1, aku memang bukan seorang hijabis. Cewah. Term orang sekarang hehe. Aku siap pakai pinafore masa Tingkatan 1. Bangga betul pakai skirt pergi sekolah. Lagi pula sekolah aku sekolah perempuan. Memang bertudung itu tidak diwajibkan di sekolah kami. 

Sehingga aku ditegur oleh ustazah yang mengajar di sekolah, bila nak pakai tudung? Bila nak pakai tudung? Naik malu aku dengan ustazah.

Di sekolah aku, keperluan bertudung hanya diwajibkan semasa kelas agama sahaja. Jadi kami yang freehair ni memang kena bawa tudung la pergi sekolah sekiranya hari tersebut ada kelas PAI (Pendidikan Agama Islam). And of course la, pada hari-hari tu kami kena pakai baju kurung. Melainkan kalau kau suka kena denda pakai telekung masa kelas PAI. Mampu? Haha.

Aku jadi bosan setiap kali ustazah perli-perli aku apabila aku cabut tudung aku setelah sampai ke kelas dari surau.

"Tudung dah terbang ke Farrah?"

Sentap tau tak??

Lalu lama aku berfikir. Akhirnya aku pun buat keputusan nak pakai tudung pergi sekolah. Masa tu pertengahan penggal Tingkatan 1. Aku siap ajak member aku yang freehair join sekali. Tapi janganlah readers terpesona dengan kewarakan aku masa ni. Aku pakai tudung bukan sebab aku memang nak pakai sangat. Cuma aku boring dengar ustazah duk bising pasal tudung ni. Untuk memuaskan hati guru-guru di sekolah, aku pun tekad nak pakai tudung. Mama dan abah pulak jenis open masa tu. Tidaklah memaksa aku untuk mengenakan tudung lantaran pada pendapat mereka, biarlah aku benar-benar bersedia untuk berhijab, buka kerana dipaksa mereka.

Lalu, first daya aku pakai tudung rasa..

"Wow! Excitednya!"

Boleh rasa pengalaman lipat-lipat tudung, tiup-tiup tudung supaya tak penyek macam kawan-kawan bertudung aku buat. Aku siap potong plastik cover folio Sejarah untuk dijadikan pengeras tudung. Ala.. kalau sekarang tu macam ala-ala awning tu la. Hehe.

Hoi, penting tau tak kemenjadian tudung tu!

Kalau tudung tak jadi, memang siap la tangan duk meraba-raba tudung sampai jadi! Lambat pergi sekolah pun lambat la.

Kalau kawan tanya,


"Kenapa ko lambat?"

"Tudung buat hal la"



Hah. Tu memang tipikal ayat budak sekolah jaman dulu-dulu.

Ermm..Maybe sekolah aku je kot?

Atau mungkin aku je kot?

Entah. Hehe.


Adakah readers rasa aku telah sepenuhnya berubah?

Anda silap!

Aku masih sayangkan gaya dan fesyen terkini. Mana boleh bergaya kalau pakai tudung. Lalu aku mengambil prinsip memakai tudung hanya di sekolah. Di luar, memang terbang tinggi-tinggi la tudung aku bak kata ustazah.

Selama 4 tahun aku begitu. Memakai tudung di sekolah sahaja. Kadang-kadang aku jadi malu bila ada kawan-kawan yang baru mengenali aku di sekolah mendapat tahu aku masih freehair di luar. Alasannya tipikal - belum sampai seru, belum bersedia, belum macam-macam la!
Kalau hati memang tak nak tu kan..

Selepas melewati fasa persekolahan, barulah aku belajar memakai tudung sepenuh masa. Tapi masih lagi, aku tidak mengerti mengapa aku bertudung. Ya, memang benar, dari dulu lagi aku belajar dan tahu bahawa setiap Muslimah itu wajib menutup aurat. Tapi pada masa ini, aku seakan-akan bertudung tapi hanya kerana mengikut kawan-kawan.

Kawan pakai tudung, aku pakai. Kawan pakai baju lengan panjang, aku pakai. Tapi aku tidaklah ikhlas sepenuhnya dalam mematuhi syariat ini. Aku mungkin memakai tudung, namun kebiasaannya aku selempang ke belakang. Mungkin aku berbaju lengan panjang, tetapi lengan bajuku hanyalah three quarter daripada panjang tanganku. Aku berseluar panjang namun tidak berstokin. Hanya berselipar ringkas.

Budak U la katakan.

Hello, tak rock ok pakai stokin bagai.

Kalian fahamkan maksud ku? Perilaku aku ketika itu adalah gambaran sebahagian besar muslimah remaja masa kini. Tidak begitu prihatin dengan lengan yang terdedah, dada yang terdedah dan sepasang kaki yang terdedah. Malah bangga kot punya kaki yang bebas dari parut atau kudis. Lantas terus menyarungkan kasut tumit tinggi yang menyerlahkan keseksian kaki tersebut.

Astaghfirullah.

Jahilnya aku.

Sehingga aku berkahwin dan melahirkan Faiq, aku masih lagi begitu. Auratku tidak ditutup sempurna. Masih tersasar di sini sana.

Sehinggalah pada suatu hari, aku membaca tentang kisah seorang pegawai bank yang maut ditembak seorang pengawal keselamatan warganegara Indonesia.
(Alhamdulillah, kes tersebut telah selesai dan penjenayah tersebut dikhabarkan telah dihukum gantung sampai mati. Harap betulkan jika ini adalah khabar angin, aku pun dapat tahu updates ini dari blog-blog lain. Al-fatihah untuk Allahyarhamah)


Aku membayangkan aku yang ditembak. Tanpa ada amaran, tanpa ada peluang untuk bertaubat, tanpa ada peringatan untuk aku menunaikan solat Asar dahulu sebelum nyawaku diambil. Allah, sungguh aku tidak punya pilihan.

Aku tidak tahu bila nyawaku bakal diambil. Namun itu bukan persoalannya. Persoalannya, dengan bekalan yang aku bawa sekarang, cukupkah untukku membela diriku di akhirat kelak?
Bersediakah aku menjawab soalan-soalan yang bakal ditanya oleh Tuhanku?

Solatku.

Auratku.

Amalku.

Dosaku.

Bagaimana?
Aku tidak tahu.

Demi Allah, tiada siapa yang tahu bagaimana keadaan kita di sana nanti. Baikkah? Atau sebaliknya?

Bila nyawaku aku melayang?
Bagaimana?

Semasa aku lengkap berpakaiankah?
Atau mungkin dalam keadaan yang mengaibkankah ?

Nauzubillahiminzalik.

Tak sanggup aku membayangkan.

Tak perlu rasanya aku mentarbiyahkan anda semua terhadap syariat dalam berpakaian. Umumnya masing-masing sudah mengetahui dan memahami. Cuma kita tersepit antara kesediaan mungkin. Aku tak mahu komen tentang itu.

Dan kini, aku cuba memperbaiki diri dari segenap segi. Solat, ibadah, pakaian, aurat, akhlak dan perlakuan. Kalau anda kenal aku yang dulu, mungkin akan perasan terhadap sedikit sebanyak perubahan yang aku cuba (in shaa Allah) terapkan dalam diri.

Tamparan paling hebat pernah aku terima semasa aku hampir kehilangan Faiq. Dan apabila aku mengimbas kembali saat-saat itu, hatiku terdetik, mengapa aku terlalu ego dalam mematuhi perintahNya? Sedangkan Dia telah menolongku di saat orang-orang lain tak mampu berbuat apa-apa.

Sombongnya aku.

Lalu aku tekad, inilah masanya untuk aku berubah.

Berubah dalam ertikata mencari keredhaan Allah, biarpun mungkin kelihatan 'kolot dan kampung' pada pandangan manusia.

Namun padaNya, in shaa Allah, perubahan ini adalah yang terbaik.

Semoga Allah memberikan pendirian yang istiqamah dalam hijrahku.

Semoga aku istiqamah.
(Google Images)



Buat readers di luar sana, aku ucapkan terima kasih kerana terus menyokong aku dan minatku dalam bidang penulisan ini. Semoga kita semua dilindungi Allah dan dilimpahi rahmah dan barakah dalam menyelusuri liku-liku kehidupan yang tak pernah jemu menyinggah untuk menguji ketaqwaan seseorang hambaNya.








Wednesday, 6 November 2013

Kerang Bakar

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
  

Pakar motivasi ada menyatakan fakta bahawa semakin lama sebuah perkahwinan itu dilayari, maka semakin banyaklah usaha yang perlu diterapkan demi mengembalikan kemanisan berkasih sayang. Dan aku akui itu. Setelah lebih 3 tahun melayari bahtera perkahwinan, sedikit demi sedikit aku mula merasai betapa hidup kami penuh dengan rutin kerja yang tak pernah bertepi.

Suamiku yang sibuk dengan tugasan di pejabat dan aku pula sibuk dengan urusan sekolah. Balik rumah pun begitu. Masing-masing sibuk dengan urusan masing-masing tambahan pula Faiq berjauhan dengan kami.

Hingga pada suatu ketika, aku merasakan suatu perasaan yang aneh hadir dalam hatiku. Perasaan yang hiba, sedih dan rasa terpinggir. Sunyi dan sepi walaupun aku tidak keseorangan. 
Aku merasakan hidup ini tidak ada apa yang istimewa selain daripada pergi kerja balik kerja. 

Bangun, kerja, balik, tidur.

Oh, boringnya.


Bagi sesiapa yang belum mengenali suamiku, beliau seorang yang agak pendiam walaupun kadang kala boleh tahan juga sengalnya. Hehe. Dan yang paling utama beliau sangat bijak menyembunyikan perasaan. Aku yang hidup dengannya 3 tahun lebih ni pun tak tahu apa yang sedang dialaminya. Masalahnya, kedukaannya. Sungguh, aku memang tidak tahu, kerana beliau tidak pernah meluahkan.

Apa yang keluar dari mulutnya hanya perkara-perkara cetek dan santai sekadar berbahasa memecah sunyi. Untuk digali perasaannya, aku tahu itu tidak mungkin kerana beliau amat sukar berbicara tentang itu. 

Sikapnya yang satu ini kadangkala menyebabkan aku sering memikirkan yang tidak-tidak terhadapnya. (Astaghfirullah al azim). 

Dia sayang aku lagi tak?

Aku pakai macam ni dia suka tak?

Aku ni cantik tak di mata dia?

Model tu cantik, tinggi lampai. Excited la dia tu.

Dia ni senyaaaaap je, entah dengar ke tak apa aku cakap tadi.


 Soalan-soalan yang macam tu seringkali berlegar-legar dalam fikiranku. Aku khuatir dengan kualiti kasih sayangnya. Masih wujudkah cinta itu? Masih hangat lagikah seperti 3 tahun yang lalu? Aku tak pasti kerana beliau tidak pernah meluahkan. 

Nak menyebut I LOVE YOU pun lepas aku jenuh bertanya, barulah beliau mahu menjawab. 

Haih.

Aku rasa kebanyakan wanita di luar sana akan bersetuju jika aku katakan wanita lebih teruja apabila suami meluahkan perasaannya dengan rela hati dan penuh ikhlas dan bukan kerana faktor 'menjawab sebuah pertanyaan'.

Maka itulah yang aku rasakan dan aku perlu menerima kenyataan bahawa suamiku tak romantik! Aku perlu terima itu dan belajar untuk hidup dengan situasi tersebut. Aku cuba berfikiran positif. 

"Lebih baik dia tak romantik. Kalau lebih-lebih kang orang tangkap cintan pulak dengan dia"

"Baguslah dia tak reti mengayat. Tu tandanya dia bukan jenis yang sebegitu. (In shaa Allah)"


Pulangannya, aku harus akur. Aku tahu suamiku bukan seorang yang bijak bermadah. Suamiku seorang yang praktikal dan ringkas. Tolong belajar menerima, wahai Farrah. 


*    *    *    *    *

Pada suatu hari, sewaktu kami duduk menunggu pesanan makanan kami tiba di sebuah restoran, tiba-tiba seorang pelayan menghampiri kami,

"Bang, ada order kerang bakar tak?"

"Aaa.. ye..ye.. ada"

Lantas pelayan tersebut meletakkan sepinggan kerang bakar di atas meja.

Terpinga-pinga aku dibuatnya. 


"Bila pulak kita order kerang bakar?"

"Kan Fa nak makan dulu. Ingat tak?"


Aku cuba mengingat. Ya, aku pernah menyuarakan aku teringin sangat nak makan kerang bakar. Seingat aku selepas aku melahirkan. Namun kerana sewaktu itu kami sedang sibuk menguruskan perihal Faiq, nampaknya hasrat itu hanya tinggal kenangan. 

Suamiku ingat perkara itu.

Perkara yang aku anggap remeh dan kecil itulah yang beliau tunaikan untukku pada hari itu. 

Di meja itu juga aku menangis kerana sepinggan kerang bakar.

Dan perasaan bersalah dan berdosa bertuju-tuju membedil jiwaku. 

Aku buruk sangka terhadapnya. Aku memikirkan beliau yang bukan-bukan. 
Allah, ampuni aku.


Romantik suamiku bukan pada sejambak bunga ros.
Jiwang suamiku bukan pada kad bermadah berpanjang jela.


Tapi pada keprihatinannya.
Yang mana aku tidak pernah menyedari.
Setiap baris kata-kataku selama ini rupanya ada seseorang yang sentiasa meneliti.

Kerang bakar menjadi saksi.

:)





















Tuesday, 22 October 2013

Working Wife : Pheewww!

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Ya Allah.... banyaknya kerja!
Aku tidaklah bermaksud untuk merungut sama sekali tidak menyesali kerjayaku yang menuntut pelbagai komitmen terbaik dariku.

Cuma, kadangkala, aku rasa stress. Stress memang biasa la kan? Siapa yang tak pernah stress tu maknanya dia la yang sebenarnya sedang mengalami sindrom kecelaruan emosi. Hehe.

Pada ketika ini, aku dituntut untuk menyiapkan :

  • Teks ucapan Pengetua dan Perasmi bagi Majlis Graduasi yang bakal berlangsung hari Sabtu ni. (Serius, aku juga tak pasti kenapa Cikgu Matematik Tambahan/ Sains yang diamanahkan untuk melaksanakan tugas ini. Apa pun, terimalah sebagai suatu cabaran, In shaa Allah boleh. Allah kan ada?
  • Pelan strategik TIMSS dan PISA yang telah bertangguh hampir 3 minggu. (Not a good example ye readers. Harap jangan ikut, please.) Mungkin kerana cuti Hari Raya Haji yang agak lama (5 hari) menyebabkan aku alpa seketika? Hmm.. Boleh jadi. Main dengan Faiq yang hanya ku ketemu 2 minggu sekali. What more can you expect? Haha.
  • Marking exam papers! Yang ni memang lemah sungguh. Setakat ni aku ada 2 kelas Sains Tingkatan 2, 1 kelas Matematik Tingkatan 1, 1 kelas Matematik Tambahan Tingkatan 4 dan 1 kelas Matematik Tambahan Tingkatan 5. Masing-masing ada 2 paper. Haaaa. Cuba darab sendiri.
  • Persediaan untuk menghadiri Kursus Latihan Pembangunan Profesionalisme Berterusan (Continuous Professionalism Development - CPD) selama 5 hari di Kuantan. Bunyi macam best kan. Dan itu bermakna aku perlu menggosok pakaian pejabat husband untuk bekalan selama seminggu! *pengsan*
  • Basuh baju yang bertingkek-tingkek 2 bakul penuh. Satu machine wash, satu hand wash. Tu tak kira proses menjemur dan melipatnya. 
  • Vacuum rumah. Oh, yes. Rumah memang sangat berhabuk ditambah dengan buku sana sini. Maklumlah cikgu. Haha. Takde kaitan.
  • Cuci tandas! Yang ni pun satu hal jugak. Tandas pun dah agak-agak berlumut dah. Errrghh. Mungkin husband sudi menolong. Harap beliau baca entri ni dan menunjukkan wajah kasihan dan menyebarkan simpati sepotong dua. Hikhik.
Siapa kata working wife hanya sibuk di pejabat?
Working wife is made up of two single words - Working and wife.




Working : In my case, it should be teaching and other clerical paper works. Teachers are also known as all-round profession. You can be everything. Even the parking conductor or the cleaner as well.

Wife : A person who manage her family in all ways, including doing laundry, cooking, feeding babies, ironing shirts, cleaning the house, housechores! Housechores everywhere! (unless one is being helped by someone else, for example the... well... pembantu rumah. (I couldn't find other English word that sounds polite for them. I think it's quite harsh to address them as the maid)

Anyway, nampak tak kat situ? There are two major professions for a working wife. (If you are a mother, than it makes THREE major professions. THREE is not just a number. It means a lot. 

A LOT OF WORK, ladies!

Tapi, kita semua akan buat jugak kan no matter how much we babble about it.

Kenapa?


Simple.


It's all about LOVE.

When you love someone, you will sacrifice everything for their happiness. 

Happiness means :-
  • to see your husband is wearing a proper ironed outfit to the office
  • to see your husband and child being fed by home-cooked meal (and yes, definitely it's you who should prepare the dishes)
  • to see the house clean, neat and tidy
  • to see the bathroom in proper condition, at it best cleanliness if I may add! 
  • And.. well.. many more. I just couldn't list them out here. 
Pada masa yang sama, tugas di sekolah /pejabat juga tidak wajar diabaikan. Aku kurang setuju jika ada yang memberi pandangan bahawa kerja di pejabat tidak wajar dibuat sehabis baik. 

"Bukan bawak ke mana pun...."
"Asal dapat gaji sudah..."

Entahlah. Mungkin ada benarnya. Tapi bagiku, apa jua yang aku lakukan adalah atas dasar niat Lillahi Taala.

Bermakna tugas yang diamanahkan kepadaku wajar aku siapkan dengan sesempurna mungkin. Kerana itu mata pencarianku yang akan ku salurkan kepada anakku dan keluargaku. 

Di mana keberkatan itu jika niat kita telah terpesong?

Wallahualam.
Hanya Allah yang tahu.
Hanya Allah yang berhak mengadili.

Ok, dah. Jom sambung kerja. 

:)






Sunday, 20 October 2013

Senaskhah Tafsir Al-Quran Biru

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.



Allahu Allah!

Kadang kala kita takkan faham mengapa Tuhan tidak menjadikan kita sebagaimana yang kita mahukan. 

Tidak kaya. 

Tidak cantik. 

Tidak kurus. 

Tidak gemuk.

Tidak mempunyai anak.

Anak tidak sihat.

Anak tidak sempurna.


Dan segala tidak-tidak yang kita ciptakan sendiri. 


Selagi dinamakan manusia, kita tidak akan lari dengan segala ketidakpuasan hati yang bersarang di minda. Tidak pernah ada yang sempurna di mata kita.

Tidak terkecuali aku.


*    *    *    *    *

AidilAdha tahun lalu (2012, 1433 H) tidak ada rendang dan lemang. Di dapur, mama tidak menyediakan apa jua juadah. Rumahku sunyi dan sepi. Tiada tangisan Faiq. 

Bahkan aku juga tidak menyedari Dzulhijjah telah menghadirkan diri. Rupanya kita sudah berada dalam bulan haji.

Pada waktu itu, aku hanya seorang ibu yang menemani anakku yang berjuang di PHDU.


Readers boleh baca kalau sudi. Itu coretanku tahun lalu. Alhamdulillah, pengalaman yang sungguh berharga. Mungkin bermanfaat untuk ibu bapa di luar sana yang senasib denganku.

Ada suatu kisah yang aku diamkan. Tidak aku ceritakan di sini mahupun di laman sesawang Facebook.

Di saat aku kehilangan punca, di saat Faiq bertarung nyawa, aku lupa seketika tentang kerja. Tentang diriku. Tentang penampilanku. Tentang apa saja. 

Di saat itu, aku sedar aku hanyalah seorang hamba. 

Hamba. 

Tak mampu berbuat apa.
Tak mampu mengarah.
Tak mampu membuat keputusan.

Aku tahu aku tak mampu.

Di saat itu juga, aku hanya ada Tuhanku.
Yang biasa aku cari ketika aku susah.
Dan seringkali leka ketika aku senang.

Ketika Faiq diberi rawatan oleh doktor dan para jururawat di PHDU, aku tidak dibenarkan masuk ke bilik tersebut sehingga selesai prosedur.

Lalu bagi menghilangkan rasa resah yang menyesakkan nafasku, aku cuba turun ke tingkat bawah untuk mengambil sedikit angin di luar. Rimas dengan masalahku, aku cuba mencari santai.

Perkarangan hospital menyediakan beberapa booth yang menjual pelbagai barangan runcit untuk kegunaan pesakit dan pelawat yang berkunjung ke sana. Aku tidak berminat dengan semua itu. Hanya sekadar melewati kedai tersebut.

Booth kedua pula menjual baju dan selendang. Ku sempat memandang diriku yang selekeh berbaju T lusuh, bertudung sarung yang berkedut-kedut, dan berselipar jepun. Ku kerling kerlipan tudung yang dijual. Sempat juga aku membelek. Namun, ketika itu aku merasakan tidak adil bagi Faiq jika aku menghabiskan wang untuk beberapa helai tudung baru sementara dia di atas sedang memerlukan doaku.

Aku lepaskan pegangan tudung tersebut dan menggeleng pada jurujual itu sambil tersenyum menyatakan penolakanku untuk membelinya.

Lalu aku meneruskan langkahku ke booth yang ketiga, yang paling hujung. Menjual buku-buku terpakai, majalah-majalah terpakai dan buku agama.

Tertarik pula untuk menyinggah.

Mataku melilau mencari-cari sesuatu. Ya, sesuatu yang bermakna untuk Faiq. Yang berguna buatnya ketika ini.

Lalu aku jumpa ini.

Senaskhah Tafsir Al-Quran (Mushaf Al- Masar)



Ku amati isi di dalamnya.
Ada panduan tajwid dan makna bacaan yang sangat jelas untuk seseorang yang buta Bahasa Arab sepertiku.

Sekilas bahagian dalamnya.



Panduan tanda mad, tajwid dan waqaf.





Indeks perkara untuk membolehkan kita mencari dalil-dalil penyokong dengan lebih pantas.


Kulihat harganya. 

RM50.00.

Di kocekku kini hanya tinggal sehelai dua not merah dan beberapa not biru tua. 
Tak cukup.

"Encik, berapa harganya?"

"RM50.00 kak, boleh bagi kurang.."

"Berapa?"

"RM45.00"

Ku mencongak-congak dalam otak. 

"Kejap lagi saya datang balik, terima kasih"

Aku terus meluru ke ATM yang terletak sederet dengan kedai-kedai tersebut. Ku keluarkan kad bank dan mula menekan punat-punat di papan nombor. 

Aku harus mendapatkan Tafsir tersebut untuk Faiq. Aku perlu berusaha sehabis daya untuknya. Untuk kekuatan semangatnya, In shaa Allah.

Ku patah balik ke booth tadi dan menyerahkan not RM50 kepada saudara yang menjual. 

"Saya jual ye, ni bakinya."

"Terima kasih, saya beli."


Dalam perjalanan naik semula ke wad PHDU, aku sempat membelek hadiah yang kutitipkan untuk Faiq. 
Hadiah dalam ertikata doa-doaku dalam barisan ayat-ayat suci yang akan kulagukan selepas ini di hadapannya, setiap hari, setiap masa.

Demi anakku.
Demi pejuangku.

*     *      *      *      *

Dengan izinNya, Faiq semakin pulih. 
Alhamdulillah.
Aku tahu, itu bukanlah semata-mata dari kepakaran doktor yang merawatnya.
Namun terdapat suatu kuasa yang Maha Besar yang meluluskan permohonanku untuk menyembuhkannya.

Ya Allah, Kau dengar doaku.
Doa hambaMu yang sentiasa lalai menyelusuri ranjau yang menduga iman dan taqwa.
Malunya aku. Hinanya aku.

Demi Allah yang sangat aku cintai,
Demi Al-Quran yang sangat aku kasihi,

Aku panjatkan kesyukuran ke hadratMu, 
kerana tiada siapa yang menyayangiku sepertimana Engkau menyayangiku.

Tekadku untuk memberi sehabisnya untukMu,
sebagai balasan atas kurniaan nikmat yang Kau hamparkan
kepadaku, si pendosa yang mahu kembali ke pangkal jalan.

*     *     *     *     *

Faiq Aqwa anakku sembuh dengan kekuasaanMu, ya Allah.

Dan sebenar-benarnya, tidak akan wujud kuasa lain yang setanding denganMu.

Itu pasti dan hakiki.


Senaskhah Tafsir Al-Quran biru telah menjadi penyedarku yang leka.
In shaa Allah, akan terus menjadi pedomanku yang sering alpa.

Allahu Akbar.
Laa Ilaa Ha Illallah.


Surah At-Taghabun, Ayat 13



**Tafsir Al-Quran ini masih dalam simpananku. Setiap kali aku menatapnya, setiap kali itu aku akan mengenangkan keagunganNya mengabulkan rintihanku demi seorang Faiq Aqwa.**







Thursday, 19 September 2013

Integriti

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Readers yang disayangi. Apa khabar? Harap anda sihat. 

*

*

*

*

Mukadimah yang membosankan?
Ahah. Memang pun. 

I was not really in the mood to write today but since I have something to share about, so I think I should voice this issue out.

Readers tau tak apa itu integriti?

Menurut Kamus Dewan DwiBahasa keluaran 1985, integriti bermaksud kejujuran dan ketulusan, kesempurnaan dan keutuhan. (Adakah korang membayangkan aku sedang membelek kamus sekarang? Korang salah kerana dalam rumah ini satu jenis kamus pun tak ada. Buat malu kaum je kan. Haha. Jadi blogger harus ada sensasi pengetahuan tinggi sikit walaupun kau hanya Google je)

Al-kisahnya aku pergi balai polis petang tadi untuk tuntut laporan penyiasatan kemalangan. 
Haa.. Tu fikir la tu siapa pulak yang accident kan.. Yes, it was me indeed who involved in an accident in about 3 weeks ago. Malas je aku nak update kat blog. Bertemu, berpisah, berlanggar sesama sendiri, biasalah. Lumrah kehidupan. Kami dan pihak yang terlibat dah pun bersetuju untuk selesaikan di balai polis memandangkan aku nak claim insuran atas kerosakan kereta aku. Hoi, banyak jugak tau yang rosak. Menangis aku kat situ lepas accident tu, dah la kena marah sebab bawak laju ditambah pula apabila melihat keretaku yang cedera parah.

But whatever it was, aku rasa aku berada di pihak yang benar sebab mereka-mereka tak sepatutnya memotong di jalanraya yang mempunyai simbol double line. Basically jalan ceritanya aku simplify dalam bentuk gambar rajah supaya senang korang nak view dan tafsirkan.


I was on my way back home when a vehicle crossed and blocked my way. And, BANG!
( Ignore the labels. I wrote it when I was furious and annoyed.)

 

Selepas berbincang dan berurusan di balai, menghantar kereta ke bengkel, pihak bengkel meminta aku menyertakan sekali dokumen laporan penyiasatan untuk urusan claim insurance. Laporan tu tak siap on the spot, so aku kena tuntut semula on the next few days.

Laporan penyiasatan tersebut bukan free tau. So kerani tu maklum aku kena bayar RM12.00 untuk laporan tersebut. Seriously aku tak sangka kena bayar. Masa dia cakap kena bayar tu, muka aku macam confident je angguk dan selak handbag cari purse. Padahal otak tu pikir cukup ke tak duit aku nak bayar. Berpeluh jugak lah. Mau tak malu kalau dia tau aku tak cukup duit. Cikgu ni pakai smartphone gedabak tapi 12 ringgit pun tak mampu. Terus kena cop aku ni golongan biar papa asal bergaya. Uhuk.

Selak purse Sembonia yang dah seasoned, aku cari jugak duit-duit kertas kot-kot ada terselit di sebalik resit-resit bank yang melambak-lambak. Paham-paham je la orang tak de kereta ni, nak pergi bank cocok duit pun susah. Ya Allah, merah kot muka masa tu cari duit kertas. Yang aku confirm ada duit syiling sebab aku dengar bunyi dia. 

Gali punya gali, jumpa la duit 10 ringgit. Alhamdulillah, ada pun! Haha. Aku masih kayo! (Tak sedar diri lagi tu, tadi je insap kejap).

Aku pun menghulurkan duit RM10 kat kerani perempuan tu, diikuti dengan duit kertas RM1 seterusnya duit syiling 50sen, 20 sen 2 keping, 10sen sekeping. Cukup-cukup RM12. Alhamdulillah. Mujur!

Sekali tiba-tiba ada seorang pegawai ini melontarkan suara,

" Amboi berkiranya! Hulur la 30 ringgit ke..."

Pada masa tu aku tak pasti ayat yang aku dengar ini ditujukan pada aku ke pada kerani perempuan tu. Atau aku yang salah dengar. Maklumlah akak ni  tak de la tajam sangat pendengaran. Tapi bila aku fikir dan kaji dalam-dalam ayat dia (buat kajian teks KOMSAS pun tak camni), terutamanya ayat terakhir, aku pasti ayat tersebut ditujukan pada aku.

Aku hanya sengih dan ucap terima kasih. Dan berlalu dari situ.

RM 12.00 tetap RM12.00 
Takkan jadi RM30.00

Dan aku hanya akan bayar dengan harga yang telah ditetapkan. Tak lebih dan tak kurang.

Maaf, aku lebih mengutamakan integriti dalam profesionalisme.
Lebih penting lagi, mengharapkan barakah dariNya terhadap apa yang aku usahakan.

Sungguh, ketika ini aku masih lagi memikirkan hal tersebut dan bertanya pada diri sendiri, 

Di tahap mana integriti kita?





Tuesday, 27 August 2013

Dia Anakku yang Cekal

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Bagi readers yang mengikuti blog ini dari awal, anda akan mengetahui kisah puteraku. Sejujurnya blog ini diwujudkan untuk aku berkongsi rasa dengan readers tentang perjuangannya. 

Ku kira sudah terlalu lama aku membiarkan blog ini sepi tanpa berita mengenai Faiq. Terlalu banyak cerita barangkali sehinggakan aku bingung ingin memulakan dari mana. Untuk entri kali ini, aku hanya ingin berbicara secara ringkas perihal mujahidku yang terkini.


We have been together for 1 year 6 months.

Itulah gambar terkini Faiq. Faiq yang nakal dan ceria. Faiq yang sentiasa membuat hatiku teruja setiap kali aku punya peluang pulang ke Klang. 
Faiq yang.... segala-galanya.

Mungkin jika readers melihat gambar berkenaan, terdetik dalam hati readers...

"Kurusnya...."

Ya, Faiqku memang kurus. Berat terkininya ialah 6.5kg pada usia 1 tahun 6 bulan. Telah dikategorikan sebagai Bayi Kurang Berat Badan oleh pihak hospital. Sedang menjalani pemantauan dari pakar dietatik dan doktor kanak-kanak.

Faiq pernah menjalani ujian urin dan darah untuk memeriksa sama ada masalah ini berpunca dari masalah-masalah lain yang tidak diketahui. Setakat entri ini ditulis, alhamdulillah, alhamdulillah, alhamdulillah, Faiq tidak mempunyai masalah kesihatan yang serius.

Faiq bakal menghadiri temujanji seterusnya dengan doktor kanak-kanak Hospital Tengku Ampuan Rahimah tiga bulan dari sekarang.

Kalau dulu Faiq dikurung dalam rumah 24 jam, kini Faiq telah mula mengenali keindahan dunia di luar sana. Kami mula membawanya bersiar-siar. Ke taman permainan, ke shopping complex, ke mana sahaja. Mungkin ada juga mata-mata yang memerhatikan. Aneh barangkali dengan Faiq. Fizikal yang kecil seperti bayi namun lincah meneroka seperti seorang kanak-kanak!



Faiq pada usianya kini sudah mula pandai merangkak. Ya, hanya pada usianya 1 tahun 6 bulan, Faiq mula merangkak. Suatu jangka masa yang cukup panjang dan cukup menuntut kesabaran kami. Kini Faiq juga mampu memanjat, dan mencuba untuk berdiri dengan sokongan. Namun masih lagi belum mampu untuk bertatih. In Shaa Allah sayang, mama sentiasa mendoakanmu. :')

Faiq juga amat berminat dengan i-Pad, laptop, dan handphone. A tech-minded child I could say!






Cuma... naluri keibuanku agak tersentuh apabila ibu-ibu di luar sana gemar mempersoalkan perihal Faiq. Ada juga yang membandingkan anak mereka dengan Faiq. Berat anak mereka dengan Faiq, perkembangan anak mereka dan Faiq. Namun aku cukup memahami keprihatinan mereka terhadap perkembangan anak masing-masing. Ya, aku seorang ibu dan aku mengerti itu.

Aku tidak pernah malu dengan Faiq. 
Dengan tubuhnya yang kecil dan kurus.
Dengan perkembangan psikomotornya yang lewat.
Aku terima Faiq sebagaimana dia dikurniakan kepadaku.

Mereka tidak pernah merasa apa yang telah kami rasa.
Mereka tidak pernah tahu sakitnya penerimaan kami pada awal kelahirannya.
Mereka tidak tahu apa-apa.

Kehadiran Faiq bersama kami merupakan segala-galanya. 
Kami tidak pernah meminta lebih.
Kami tidak pernah mendesaknya untuk seiring dengan kanak-kanak normal.
Kami mahu dia menjadi dirinya sendiri. 
Seiring dengan kemampuannya.
Hanya doa dan usaha yang tidak pernah bertepi dapat kami berikan untuknya.



Anakku Faiq seorang yang istimewa.
 Dan kami sangat berbangga dengan kecekalannya.






















Tuesday, 20 August 2013

Dugaan Sebuah Kehidupan

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Aku mulakan dengan lafaz syukur ke hadratNya. Dalam entry kali ini, aku titipkan sebuah kisah yang benar-benar meruntun hatiku. Naluri keibuanku.

Sudahkah kalian mendapatkan naskhah terbaru dari majalah Seri Dewi dan Keluarga edisi September?

Cover hadapan ialah selebriti Nurul Syuhada, Syura dan Eja.

Sudah terlalu lama diri ini tidak membaca. Seingat aku sejak aku mengandungkan Faiq aku hilang keseronokan membaca kerana terlalu memikirkan keadaan kandunganku ketika itu. Kalau dulu, buku, majalah, novel, cerpen, bagi lah apa saja bahan bacaan pasti akan ku belek berjam-jam lamanya.

Naskhah terbitan Karangkraf ini aku dapatkan petang tadi setelah selesai membeli sedikit barang keperluan di pasar. Entah mengapa, hari ini aku ingin membaca. Aku ingin tahu perkembangan semasa. Mungkin juga untuk meredakan tekanan kerja yang aku alami hampir setiap hari di sekolah. Membaca merupakan terapi yang terbaik untuk diriku. 

Setelah selesai membersihkan diri, aku duduk di sofa sambil mengunyah biskut raya yang masih bersisa. Majalah tadi ku ambil dan ku belek satu persatu. Segmen hadapan. 

Fesyen tudung. 
Fesyen jubah.
Fesyen lilitan tudung.

Typical.
Perkara-perkara biasa yang harus ada dalam majalah kewanitaan.
Tidak menarik minatku kali ini.

Lalu aku belek helaian demi helaian. Aku mencari sesuatu yang menarik untuk dibaca sehingga mataku tertancap pada artikel ini.

 " Irfan Derma Diri Selamatkan Adik"


Okay, ini menarik. 
Lalu aku membaca dengan teliti sambil menatap gambar-gambar yang dipaparkan.

Keluarga yang mempunyai 3 orang anak lelaki yang pada awalnya dilahirkan normal. Anak sulung mereka, Muhammad Nur Aiman kelihatan normal seperti  bayi lain dan sangat aktif sehingga pada umurnya 3 tahun, didapati perkembangannya lambat. Sendinya juga mengeras secara tiba-tiba. Pada mulanya doktor tidak mengesyaki sebarang keabnormalan, sehingga pada suatu hari seorang pakar kanak-kanak di sebuah hospital mengesyaki Aiman menghidap penyakit Hunter Syndrome.


Kita mungkin biasa dengan kes Down Syndrome. Tetapi Hunter Syndrome ini penyakit yang bagaimana?

Hunter Syndrome merupakan sejenis penyakit keabnormalan genetik yang serius. Kebiasaannya ibu merupaka pembawa genetik ini dan akan menurunkan kepada anak lelaki yang dilahirkan. Sindrom ini secara khususnya adalah disebabkan oleh kehilangan atau kegagalan fungsi enzim yang diperlukan untuk memecahkan molekul  Glycosaminoglycansa (GAG).

Readers boleh baca lebih lanjut tentang Hunter Syndrome di sini.

Apa yang telah ku baca, Hunter Syndrome ini menyerang kanak-kanak lelaki. Simptomnya tidak akan kelihatan pada awal kelahiran namun ciri-ciri tersebut akan lebih ketara apabila si manja meningkat usia 2 ke 3 tahun. Simptom awal penyakit ini seperti selsema dan jangkitan telinga juga tidak begitu ketara kerana simptom ini juga kerap dialami oleh kanak-kanak normal. Ketiadaan enzim untuk memecahkan molekul GAG ini juga memungkinkan fungsi kardiak dan pernafasan terjejas memandangkan kebanyakkan molekul GAG yang tidak dapat dipecahkan ini akan berkumpul di injap jantung.

Di samping itu, seperti Down Syndrome, Hunter Syndrome juga mempunyai suatu ciri fizikal khas yang mudah dikenali kerana golongan istimewa ini mempunyai wajah dan rupa yang seakan-akan sama. Mereka disifatkan mempunyai dahi yang luas dan jendul (prominent forehead), batang hidung yang rendah (flattened bridge nose), dan lidah yang lebar (enlarged tougue).



Di sini aku kongsikan beberapa gambar kanak-kanak Hunter Sundrome untuk pengetahuan bersama.




Tiga orang kanak-kanak yang tidak mempunyai pertalian darah yang mengalami Hunter Syndrome. Readers perasan tak wajah mereka seakan-akan sama?


Berbalik pada artikel yang telah aku kongsikan tadi, Aiman yang kini berusia 9 tahun tidak dapat menguruskan dirinya sendiri kerana kelainan upaya yang dialaminya. Lebih memilukan, adik bongsu Aiman, Muhammad Nur  Aqmal (1 tahun 2 bulan) juga disahkan menghidap penyakit ini. 

Allahu Allah.

2 orang cahaya mata dengan kelainan upaya yang dimiliki semestinya meluluhkan mana-mana hati seorang ibu. Termasuk diri ini.

Ibunya, Puan Mardzita, pasti merupakan wanita yang sangat cekal dalam menghadapi ujian Allah yang maha hebat ini. Berbekalkan semangat dan usaha yang tidak putus-putus, Pn. Mardzita dan suami bersepakat untuk merawat Aqmal sebelum keadaan menjadi terlalu lewat seperti abangnya. 

Menurut doktor, rawatan Hunter Syndrome ini adalah melalui pemindahan sum-sum tulang. Memandangkan sum-sum tulang Pn. Mardzita tidak sepadan dengan Aqmal, anak kedua beliau, Muhammad Nur Irfan (6 tahun), yang disahkan normal dan bebas dari penyakit ini tampil menawarkan diri untuk memberi bantuan sum-sum tulangnya.

Tulus kasih seorang abang dizahirkan apabila anak kecil berjiwa besar ini sanggup menjalani pembedahan pemindahan sum-sum tulang demi kesihatan adiknya. Pembedahan perlu dijalankan segera sebelum usia Aqmal menjangkau 2 tahun atau sebelum otaknya mengecut. 

Ralat hati seorang ibu melihat ujian yang dihadapi oleh anak-anaknya. Aiman cekal menjalani hidup dengan keadannya. Irfan berkorban nyawa untuk kesihatan adiknya dan Aqmal pula terus kuat melawan penyakitnya berbekalkan sum-sum tulang abangnya. 

Aku dapat merasakan apa yang dialami oleh ibu yang tabah ini. Mungkin ada sedikit kekesalan di hati beliau kerana tidak mengetahui keadaan Aiman lebih awal. Mungkin Aiman dapat dirawat sebagaimana Aqmal dirawat jika keadaannya dikesan sebelum itu. 

Ya, itu semua mungkin.

Aku lebih sensitif apabila didedahkan dengan coretan-coretan sebegini. Benar-benar mengusik perasaanku memandangkan aku juga punya anak lelaki. Semoga Allah merahmati anak-anak kita, diberikan kesihatan yang terbaik dan sentiasa berada dalam redhaNya.

Sungguh, ketika ini aku sangat merindukan Faiq yang berada jauh di mata. Membaca artikel seperti ini juga mengembalikan paranoidku yang selama ini telah lama aku hapuskan dari kotak fikiran.

Coretan kali ini menyingkap salah satu sisipan kehidupan duniawi.
Misterinya tiada siapa yang tahu. 

Perjalanan yang panjang dan sentiasa berliku.

Rahsianya hanya digenggam Allahu Rabbi.


Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim,
Kau berikanlah yang terbaik untuk keluarga ini,
Berikan kekuatan untuk ibu bapanya,
Berilah kesihatan yang terbaik untuk anak-anaknya.

Ameen.