Sunday, 18 November 2012

Faiq : First Admission

Bismillahirrahmnirrahim.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani.


Ujian Allah itu hadir dalam pelbagai rupa.

Dan buat diri ini, Allah telah sediakan satu tugasan jiwa yang aku perlu hadapi secekalnya.

13 Oktober 2012
Seperti biasa, aku akan melawat Faiq apabila berkesempatan di rumah abah dan mama. Dan kunjungan aku pada kali itu, memperlihatkan Faiq tidak sesihat seperti sediakala. Faiq mengalami selsema dan batuk. Mungkin pada pendapat kalian, batuk dan selsema adalah perkara biasa bagi seorang bayi. Ya, aku juga berfikir sedemikian. Bahkan aku dulu memang selalu diserang virus itu. "Alah, pergi klinik, amik ubat, baik lah dia..." Mungkin ada juga yang berpendapat sedemikian. Ya, batuk dan selsema memang penyakit yang biasa dialami oleh kita semua.

Faiq telahpun dibawa ke klinik swasta pakar kanak-kanak untuk diberikan rawatan. Seperti biasa, Faiq akan diberi ubat-ubatan untuk menyembuhkannya. Namun, keadaan Faiq belum juga berubah. Dan aku juga dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

Untuk Faiq, ini bukan sesuatu yang biasa.


14 Oktober 2012
Aku telahpun pulang ke Terengganu meninggalkan Faiq yang masih belum pulih sepenuhnya dari serangan batuk dan selsema. Namun, petang itu, aku mendapat panggilan dari abah mengatakan Faiq bernafas laju dan abah bercadang untuk membawa Faiq ke hospital. Serasa guruh berdentum dalam hatiku.

Ya Allah....Faiq...

Aku bercadang untuk pulang segera setelah mendapat kelulusan dari Pengetua. Aku harus melihat Faiq! Cuti tu belakang kira. Yang penting, aku mahu pulang ke pangkuan Faiq. Aku pulang bersama AB ke Klang malam itu juga dan kami tiba di Hospital Tengku Ampuan Rahimah kira-kira jam 10 malam. Faiq ditempatkan di wad 6B, Wad Kanak-Kanak.

Sewaktu kakiku melangkah masuk ke dalam wad, aku amati suara halus yang sayup-sayup menyapa gegendang telingaku. Faiq! Aku melangkah laju mengikuti suara itu sehingga aku berada di hadapan katil bernombor 22. Aku melihat mama sedang memujuk Faiq yang sedang merengek-rengek keletihan. Ku lihat Faiq dipakaikan nasal prong pada hidungnya. Enggan minum susu, enggan tidur, enggan segalanya. Aku lantas mendakap Faiq dalam pelukanku. Faiq, Ya Allah, kenapa jadi macam ni sayang?

Malam itu, aku bermalam di wad. Aku belum tahu apa punca Faiq berkeadaan sedemikian rupa kerana doktor pakar hanya akan bertugas pada esok pagi. Aku perlu menunggu sehingga esok untuk mengetahui status keadaan Faiq. Malam itu juga, aku benar-benar dapat menjalankan tanggungjawabku sebagai seorang ibu dengan sempurna. Tugas yang selama ini telah aku pinjamkan pada ibu bapaku. Tugas-tugas asas seperti membancuh susu, mendodoikan Faiq, menukar diapers, menenangkan Faiq, mengusap belakangnya apabila dia mula batuk-batuk. Dan ya, batuknya bukan sekali, bukan dua kali. Tetapi acapkali. Dan setiap kali batuk, dia akan kehilangan rentak nafasnya. Dan setiap kali itulah, nafasnya mula laju dan tercungap-cungap.

Penguin nasal mask. Nurse yang bagi Faiq pakai. Cute kan. 



Ok, ni SpO2 machine. Yang 98 tu ialah peratus oksigen dalam badan Faiq, dan yang 161 tu heart rate dia. Faiq dah kenal mesin ni sejak dia lahir. :)

Faiq perlu guna nebulizer untuk cairkan kahak, seterusnya perlu disedut keluar kahak tu (suction method).

 15 Oktober 2012 - 19 Oktober 2012
Maka bermulalah hari-hari aku dan Faiq menghabiskan masa berdua di hospital yang penuh sesak dengan kanak-kanak dan bayi yang tidak sihat. Bukan aku enggan ke hospital swasta, bahkan, mama dan abah telah pun membawa Faiq ke salah sebuah hospital swasta, tetapi ditolak dengan alasan Faiq bayi pramatang, dan adalah lebih baik jika dia dibawa ke tempat dia dilahirkan kerana di sana terdapat rekod-rekod Faiq sejak dilahirkan. Ataupun mungkin mereka enggan menanggung risiko dalam merawat bayi pramatang? Wallahua'lam.

Doktor pakar membuat rondaan pada sekitar pukul 10 pagi. Doktor pakar yang bertugas di wad 6B itu seorang doktor perempuan berbangsa Tiong Hua, bercermin mata dan berambut separas bahu. Baik orangnya. Setelah meneliti x-ray Faiq yang telah dijalani olehnya semalam, Faiq disahkan menghidap pneumonia. Sejenis penyakit radang paru-paru.

Allahu Akbar. Berat sekali jantungku menerima berita ini. Pneumonia, penyakit yang pernah hampir meragut nyawanya sewaktu awal kelahirkan. Dan ya, Faiq mendapatnya sekali lagi, pada usia 8 bulan.

Susulan daripada penyakit itu, Faiq dibekalkan dengan antibiotik yang bernama Ampicilin dibantu juga dengan nebulizer setiap 2 jam sekali. Dan ya, Faiq amat bencikan nebulizer!

Faiq bencikan nasal prong juga. Habis ditenyeh-tenyeh hidung bila pakai benda ni. So, aku ambil inisiatif untuk mengubah kedudukan nasal prongnya untuk beberapa ketika. Hikhik.


Snap gambar untuk meredakan perasaannya.  :)


Ada suatu ketika Faiq langsung tidak dapat menyusu kerana tekaknya penuh kahak. Lalu Faiq terpaksa menyusu melalui tiub. Tiub yang halus itu dipasang melalui lubang hidungnya sehingga mencecah perut. Susu akan dimasukkan ke dalam tiub itu dan akan menuju terus ke perutnya. Aku tak punya gambar Faiq ketika ini. Malah tak sanggup mengambilnya untuk tontonan.

Faiq juga perlu menjalani suction untuk menyedut keluar kahaknya dari kerongkong dan hidung. Untuk prosedur ini, para jururawat yang akan menjalankannya. Dan aku tidak dibenarkan masuk ke bilik rawatan tersebut. Mungkin khuatir dengan keberadaanku di sana, akan mengganggu konsentrasi mereka (dan juga perasaan keibuanku.) Readers pernah melihat bagaimana suction dilakukan pada bayi? Jika pernah, readers akan tahu apa yang saya rasa.

Antibiotik Faiq perlu diberikan melalui jarum yang telah disetkan di tangannya. D an apa yang aku nak kongsikan disini, jarum Faiq perlu disetkan 5 kali sepanjang berada di wad hanya kerana tangannya yang suka mencabut tiub jarum tersebut berulang kali. +_+  Bermaksud Faiq perlu disuntik sekurang-kurangnya 5 kali untuk mendapatkan venanya yang halus. Bukan senang nak dapat urat hijau dia tu!

Setelah 7 hari mendapat antibiotik, suction, dan nebulizer, alhamdulillah, Faiq beransur pulih. Tetapi ada sesuatu yang merisaukan aku, Faiq mula mengalami cirit birit. Mengapa ye? Aku perasan tentang perkara ini sewaktu Faiq diberikan antibiotik Amoxycilin.  Ya, sebelum ini dia dibekalkan dengan antibiotik Ampicilin. Tetapi, setelah 4 hari, doktor telah menukarkan antibiotiknya kepada Amoxycilin dalam bentuk syrup (ubat minum) kerana Faiq sudah mula berselera untuk menyusu. Atau mungkin juga para doktor juga sudah letih untuk set jarum di tangan Faiq kerap tercabut angkara tangannya yang satu lagi tu? Huhu.

Berbalik pada isu cirit birit, aku telah mengusulkan pada doktor pakar. Dan ulasannya melegakanku.

"Effect antibiotic itu mungkin akan menyebabkan anak you cirit-birit. It's normal. The phlegm will be flush out from the lungs through the bowel."

Aku pun mengiyakan sahaja. Mestilah doktor lebih tahu, kan?


20 Oktober 2012
Hari ini hari Sabtu. Faiq telahpun diperiksa oleh doktor pakar. Menurut doktor, Faiq dibenarkan pulang hari ini berbekalkan antibiotik Amoxycilin yang perlu dihabiskan di rumah untuk 5 hari.

Just in case. Saje je letak towel atas kepala, so that nanti masa nurse datang cek demam, insyaAllah, suhu tak tinggi. And it works.

Baru lepas poopoo untuk kesekian kalinya. Haih, penatnya mama asik kena basuh poopoo Aaiq je.. +_+

Garu kepala yang bobo. ;)


Sejujurnya, aku sangat happy bila Faiq dapat juga pulang ke rumah setelah 7 hari di hospital. Pneumonia, hadir sekali lagi dalam hidup Faiq walaupun telah mendapat suntikan Pneumococcal. Sila ambil maklum, Pneumococcal vaccine hanya mencegah pneumonia yang diakibatkan oleh kuman jenis Streptococcus pneumoniae. Mungkin pneumonia yang dialami oleh Faiq adalah kuman dari jenis yang lain, di mana tidak dapat dicegah melalui vaksin ini. Wallahua'lam.

Pose sebelum discharge. 


Kisah Faiq tidak terhenti di sini. Akan ku kongsikan perkembangannya dalam entri seterusnya.

Faiq, perjuanganmu belum selesai, sayang.


Entri sambungan : Part 2










Tuesday, 9 October 2012

Faiq Tahu Tak...?


Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Faiq sayang..

Faiq tahu tak..?
Betapa mama sangat menyayangi Faiq. Sejak Faiq berada dalam kandungan mama lagi, telah mama cambahkan rasa kasih sayang mama pada Faiq. Tak terungkap rasa nikmat serta syukur mama pada Allah Azza Wa Jalla di atas kurniaanNya yang sungguh istimewa ini. Setiap hari mama dan abah berdoa agar kesihatan Faiq dalam kandungan mama berada pada tahap yang terbaik memandangkan mama mengalami pendarahan minor sewaktu awal kehamilan mama.

Faiq tahu tak..?
Bagaimana gembiranya mama bila mendapat tahu Faiq ada dalam diri mama. Bagaimana Faiq membesar dalam tubuh mama, mendengar kata-kata mama, memakan apa yang mama salurkan untuk Faiq, mendengar mama mengalunkan ayat-ayat suci dari Al-Quran, melihat perkara-perkara yang baik dan indah dalam dunia ini untuk tatapan Faiq di dalam sana. Semuanya mama lakukan untuk Faiq. Mama masih ingat, sewaktu Faiq berusia 8 minggu dalam kandungan mama, mama banyak membeli majalah-majalah keibubapaan serta majalah bayi untuk mencuci mata melihat barang-barangan yang sesuai untuk Faiq apabila Faiq lahir kelak. Mama sering berangan-angan mahu itu dan ini, membuatkan abah pening kepala dengan kerenah mama yang kebudak-budakan. Tapi apa yang boleh mama buat sayang? Mama terlalu teruja dengan kehadiranmu kelak!

Faiq tahu tak..?
Di saat mama baru sahaja pulih dari alahan mengandung, Mama terkejut dan terpana seketika apabila doktor mengesahkan kantung yang Faiq diami dalam rahim mama terkoyak sedikit dan menyebabkan air ketuban pelindung tubuh Faiq mula bocor dari kantung tersebut. Semakin hari, air ketuban yang sangat penting untuk pertumbuhan paru-paru Faiq semakin kurang isipadunya. Setiap hari cecair tersebut akan mengalir keluar dari tubuh mama. Waktu itu, mama hanya mampu menangis dan berdoa supaya Faiq selamat di dalam sana. Hati mama merintih mengenangkan nasib Faiq, bagaimana kehidupan Faiq di dalam sana tanpa air ketuban yang cukup? Mudah terdedah pada jangkitan dan menyebabkan risiko untuk Faiq dilahirkan awal sangat tinggi. Lalu apa pilihan yang mama ada, sayang? Faiq pada waktu itu hanya berusia 16 minggu. Doktor menyarankan mama dan abah mengeluarkan Faiq serta merta pada waktu itu, di mana mama tahu, jika berlaku sedemikian, mama pasti akan kehilangan Faiq. Mama dan abah berdepan dengan dilema yang cukup besar. Kami tak sanggup kehilangan Faiq, sayang. Lalu kami mengambil risiko untuk meneruskan kehamilan ini semata-mata untuk menjaga Faiq. Bukankah Faiq amanah Allah yang terindah dalam hidup mama dan abah?

Faiq tahu tak..?
Sepanjang 4 bulan mama menjaga Faiq seteliti mungkin untuk memastikan Faiq berada dalam keadaan yang terbaik walaupun air ketuban dalam kantung Faiq tidak pernah cukup. malah terlalu sedikit. Hampir tiada air ketuban. Mama masih ingat kata-kata doktor yang sebegitu pada mama. Mama tidak tahu sayang, bagaimana pada waktu itu, mama terus kuat menjalani hari-hari sukar bersama Faiq. Setiap masa cecair tersebut mengalir keluar. Setiap masa, sayang. Mama menangis dan menangis. Mama tak punya kekuatan lagi untuk hadapi semua ini. Tapi apakan daya, mama harus atasi perasaan ini. Demi Faiq. Demi Faiq, anak mama.

Faiq tahu tak..?
Setiap kali mama mempunyai temujanji dengan pakar perbidanan, abah akan mendukung mama naik dan turun dari tangga rumah Tok Ma. Kerana apa? Kerana kami tidak mahu gegaran naik turun tangga akan membahayakan nyawamu, sayang. Setiap kali mama terpaksa menaiki kereta untuk ke hospital atau klinik, mama terpaksa melapik tempat duduk kereta dengan beberapa bantal supaya gegaran dapat dikurangkan. Untuk Faiq, sayang. Setiap kali kereta abah menyusuri jalan yang tidak rata, mama pasti akan memegang perut mama, untuk memastikan Faiq tidak terlalu terkesan dek gegaran itu. Betapa mama sangat risau tentangmu, sayang.

Faiq tahu tak..?
Ketika Faiq dilahirkan dengan penuh debaran dalam bilik pembedahan, mama tak mampu melihat Faiq sejurus selepas itu. Mama tidak tahu bagaimana keadaanmu sewaktu itu. Di sebalik tabir yang dipasang untuk menghalang mama dari melihat prosedur pembedahan itu, sayup-sayup mama terdengar suara halus seakan tersekat-sekat cuba bernafas. Ya, sayang, itu suara mu. Suara pertamamu yang hadir dalam bentuk tangisan yang amat memilukan bagi sesiapa yang mendengarnya. Faiq tak mampu bernafas. Faiq tak mampu. Mama tahu, itu risikonya. Mama amat tahu. Komplikasi yang mama alami sememangnya akan memberikan kesan signifikan terhadap pernafasanmu. Mama amat tahu. Tetapi yang lebih merobek hati mama, mama tak dapat berbuat apa-apa untuk memulihkan diri mama ketika Faiq masih dalam kandungan. Justeru itu, Faiq yang terpaksa menanggung akibatnya apabila dilahirkan ke dunia. Mama merasakan mama yang harus bertanggungjawab di atas keadaan Faiq ketika itu. Mama mohon maaf sayang. Mama telah menyakitimu.

Faiq tahu tak..?
7 jam selepas Faiq dilahirkan, doktor segera menghubungi abah menyatakan keadaanmu yang kritikal pada waktu itu. Jam menunjukkan pukul 5.00 pagi. Di keheningan subuh, abah bergegas ke hospital untuk melihat keadaanmu. Doktor menyatakan Faiq berada dalam situasi yang cukup genting kerana mesin pernafasan telahpun diubah ke tahap maksimum untuk memberikan bantuan sepenuhnya kepadamu. Bantuan sepenuhnya menandakan Faiq langsung tidak dapat bernafas sendiri. Allahu Akbar. Ujian yang maha hebat bagi mama dan abah. Abah lantas terus menuju ke surau hospital menunaikan solat Hajat serta mengalunkan bait-bait suci Yassin sebagai penguat semangat Faiq, dan mengharapkan 100% bantuan dari Allah, Tuhan Yang Maha Besar, Maha Perkasa. Kami hanya mampu mengharapkan keajaiban. Ya sayang, keajaibanNya.

Faiq tahu tak..?
Luka mama belum pulih sepenuhnya dari proses pembedahan namun mama gagahkan diri untuk melihatmu buat pertama kali. Pagi itu, setelah 10 jam Faiq dilahirkan, mama merayu kepada para jururawat untuk menjenguk Faiq, jantung hati mama. Mama tak malu apabila semua mata melihat mama menangis merayu-rayu pada ketua jururawat. Mama tak takut apabila terpaksa melanggar peraturan wad yang melarang ibu yang baru menjalani pembedahan menjenguk anaknya di wad bayi. Mama hanya mahu Faiq, mahu berada disisi Faiq, mahu memberikan Faiq sebuah pandangan keibuan yang selama ini mama impikan. Mama mahu Faiq tahu, mama sentiasa dan sentiasa bersama Faiq. Sentiasa memberikan Faiq kekuatan untuk terus berjuang dalam kehidupan yang kadangkala terlihat seperti terlalu kejam untuk anak sekecil Faiq. Namu, ini ketentuanNya, sayang. Sepahit mana, kita harus belajar menelan. Seburuk mana kita harus belajar menerima.

Faiq tahu tak..?
Mama tidak melakukan rutin pantang sepanjang tempoh berpantang. Rutin mama hanyalah ke hospital, menghantar susu perahan mama untuk Faiq. Ya, Mama tetap merasai kesakitan di bahagian luka pembedahan. Tapi hati mama lebih sakit melihatmu di dalam inkubator berselirat wayar sana sini. Sakit telinga mama mendengar bunyi mesin bantuan pernafasan yang berdecit-decit apabila pernafasanmu tidak stabil. Itu lebih menyakitkan. Sangat menyakitkan. Setiap kali mama ke hospital, mama terpaksa berjalan dari pintu masuk ke tingkat 6, wad NICU. Setiap langkah yang mama ambil umpama duri yang mencucuk-cucuk bahagian luka mama. Sakit sayang. Terlalu sakit. Namun, siapa lagi yang akan menjenguk Faiq kalau bukan mama? Pasti Faiq akan keseorangan di sana. Dan mama juga tak betah tinggal di rumah keseorangan tanpa Faiq. Mama rela sakit asalkan Faiq di depan mata mama.

Faiq tahu tak..?
Susu perahan yang mama kirimkan ke hospital buat bekalanmu, Mama sertakan dengan bacaan selawat dan doa yang benar-benar mengharapkan belas kasihan Allah. Mama mahu Faiq sihat dengan meminum susu mama. Walaupun mama dikategorikan sebagai ibu yang kurang susu, namun Alhamdulillah, bekalan untuk Faiq masih cukup untuk setiap hari. Dan semangat Faiqlah sumber kekuatan mama untuk terus positif dalam penyusuan susu ibu.

Faiq tahu tak..?
Mama tak pasti dimana ia bermula, dan bagaimana ia terjadi. Namun, doktor mengesahkan keadaan Faiq makin pulih dari sehari ke sehari. Namun ketika itu, mama terlalu takut untuk bergembira. Mama juga tidak pernah mengkhabarkan pada sesiapa tentang berita-berita positif yang mama terima. Mama terlalu takut. Mama takut kejadian sebelum ini berulang kembali. Dan mama tidak mahu melaluinya sekali lagi. Mama hanya membiarkan hari-hari berlalu begitu sahaja, tanpa mempedulikan firasat doktor terhadap keadaan Faiq. Apa yang penting bagi mama, mama dapat melihat perubahan-perubahan kecil Faiq sendiri, tanpa perlu menghebahkannya pada semua. Cukuplah mama dan abah sahaja yang tahu keadaan Faiq kerana kami tidak mahu terlalu teruja dengan sebarang berita yang tak pasti. Call me paranoid, I admit I am one.

Faiq tahu tak..?
Setelah genap sebulan Faiq di NICU, berat Faiq telah menjangkau 1.5kg. Faiq dilihat semakin stabil dan akan dipindahkan ke wad biasa. Betapa gembiranya hati mama pada waktu itu. Faiq akan pulih? Mama seolah-olah bermimpi. Masih terngiang-ngiang suara para doktor yang memaklumkan berita-berita negatif Faiq sewaktu awal kelahiran Faiq dahulu. Dan kini? Ya, inilah keajaiban yang mama maksudkan. Mengalir airmata mama ketika dimaklumkan Faiq akan ke wad biasa. Dan perkara yang paling menggembirakan mama, Faiq tidak perlu lagi memakai bantuan pernafasan. :)

Faiq tahu tak..?
Hari berganti hari, mama semakin pulih dari pembedahan. Kini mama sihat dan boleh bergerak seperti biasa. Dan Faiq juga begitu. Faiq kini telah boleh dipindahkan ke cot bayi dan tidak perlu lagi menggunakan inkubator. Faiq seperti bayi normal lain! Faiq juga telah diberi peluang belajar menghisap susu mama. Walaupun sukar untuk Faiq, namun Faiq tidak putus asa. Selama seminggu Faiq belajar menghisap dengan betul, dan Alhamdulillah, Faiq berjaya dalam penyusuan.

Faiq tahu tak..?
Pada tanggal 5 April 2012, Faiq dibenarkan keluar dari hospital dengan berat 1.81kg. Walau bagaimanapun, Faiq harus mengikuti beberapa siri imbasan otak selepas ini memandangkan sejarah Faiq yang mempunyai pendarahan di kepala sewaktu awal kelahiran. Sekali lagi jantung mama berdebar kencang. Mama tak mahu lagi merasakan pedihnya di ambang penentuan nyawa Faiq. Mama tidak sanggup. Tapi, mama harus kuat kan? Untuk Faiq? Lantas sekali lagi mama berserah sahaja kepada Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Hanya Dialah yang menentukan segala apa yang terjadi dalam dunia ini hatta sekecil mana perkara itu. Mama menarik nafas sedalam-dalamnya dan berusaha untuk menikmati saat-saat indah bersama Faiq selepas ini. Lewat petang itu, mama rasakan dunia seolah-olah turut tersenyum pada mama dan hari itulah mama benar-benar dapat merasakan nikmatnya menjadi seorang ibu. Kemanisannya tak terungkap dengan kata-kata. Faiq telah mengajar mama tentang kehidupan. Tentang menerima sesuatu yang tidak kita jangka. Tentang pasrah dengan ketentuanNya. Tentang sakitnya bersabar untuk sebuah kemanisan. Faiqlah guru kehidupan mama.

Faiq tahu tak sayang?







Sunday, 7 October 2012

Kuantan, Here I Come!


Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani.

Waaaaaahhhhh! Memang penat + happy sangat hari ni sebab aku baru je balik dari Kuantan, since AB ajak aku ke sana. Beliau ada tugas kat sana, so he thought about taking me there, sambil-sambil boleh jalan-jalan sekali. Aku pada mulanya memang agak reluctant jugak nak pergi. Masa AB ajak tu aku macam, " Errmmm..nanti Fa pikir dulu?"

Aku bukan apa, aku rasa tak sedap hati keluar berjalan-jalan tanpa Faiq. Adakah aku dikira sebagai ibu yang tak awesome sebab bercuti tanpa Faiq? Tapi kalau aku bawak dia, takut akan menjejaskan kesihatan dia. Mana nak? Ke tak payah keluar? Bila AB buat kerja beliau sorang-sorang? Ishh.. rasa macam tak patut pulak kan..

Setelah mendarab, membahagi, menambah dan menolak (ikut teknik BODMAS ye, murid-murid) aku fikir..Hmm.. Why not? Pergi la sekali sekala. Lagipun memang lama sangat aku tak keluar jalan-jalan. Tentang Faiq, Insha Allah aku akan bawak dia sekiranya keadaannya mengizinkan. Insha Allah, aku tak pernah lupakan Faiq.

So, pada 5 Oktober 2012, aku dan AB bergerak ke Kuantan pada pukul 6.30 pagi dari Kuala Terengganu. Sepanjang perjalanan aku asyik tido je. Eheh, haruslah kan kalau tak drive. Memang ngorok je la kerjanya. AB la setia bawak kereta sensorang. Aku ke Kuantan dengan kereta aku, since aku nak tukar tayar kereta yang memang dah lama botak, cuma aku je buat tak tau. Haha. Nak tak nak, aku kena jugak tukar!

Kami sampai Kuantan pukul 10.30 pagi, terus ke workshop area Kuantan. Semasa AB melakukan tawar-menawar harga yang sememangnya takkan aku amik port, aku pun telah menyelambakan diri untuk menyenap gambar semasa di kerusi workshop tu.

Credit to Smashing Scarves for this very exquisite shawl.

Selepas berjaya mendapat tayar baru, Oyen pun meluncur laju menuju ke Bandar Kuantan. Kami check in di Hotel Seasons View, yang memang locate kat tengah-tengah Kuantan tu. Budget hotel for a budget couple like us. :)

Entrance Hotel Seasons View, nice!

A larger view. Masa ni dah malam. Actually, masa aku sampai tu tengahari. Lupa nak snap masa mula-mula sampai. :)

Masa tu aku ada jugak berjalan-jalan sekitar East Coast Mall, Berjaya Megamall dan Kuantan Parade. Tapi, aku tak snap la gambar-gambar kat dalam shopping complex tu. Semua pun sama je kan? Alah, macam la korang tak pernah gi shoppping complex. Haa, sama je la kat dalam tu kedai-kedainya. Eheh. Cover, sebenarnya lupa nak amik gambar. ^_^

Tapi walau bagaimana pun, kalau korang benar-benar nak tahu macam mana ghupanya shopping complex-shopping complex tu, ni la, aku upload dari Google. Huh.

East Coast Mall, Kuantan. Credit to the blog address above. Thanks for the picture. :)
(Google Images)
Berjaya Megamall, Kuantan
(Google Images)

I can't get any other better picture, so I guess this is the best?
Kuantan Parade, Kuantan.
(Google Images)

Gaya itu penting walaupun berlokasikan basement dan bercerminkan cermin kereta. 

Lepas berjalan-jalan tapi tak beli apa-apa, kami pun bercadang nak ke Pantai Teluk Chempedak, Kuantan. Ala, pantai yang banyak batu-batu besar tu? Kalau korang tengok cerita Ali Setan, scene akhir tu diorang shoot kat pantai ni la. Awww! Kantoi ku gemar cerita retro. :D Tapi, memang, the beach is beautiful. Batu-batu besar tu yang buat pantai tu unik sebenarnya. :)

Saya lah si gergasang pantai. Muahahaha,
Serius, macam besar gila aku dalam gambar ni.

Apa?? Awak kata saya gemuk?? Saya marah ni!
Apa pun tak boleh (Part I)

Apa pun tak boleh (Part II)

Apa pun tak boleh (Part III)

Dating boleh tak boleh..Hehe.

Rasa macam aku kembali ke alam dulu. Masa aku baru baru-baru kahwin. Kami pun memang pernah bercuti ke Kuantan sebelum aku mengandungkan Faiq. Dan ni adalah sebahagian dari memori-memori dahulu.

OMG! Betapa berbezanya aku. Ya, dunia kita berbeza. Waaah! Mencik tau!
Kuantan, December 2010.

Masa ni pun kurus jugak. Double mencik!
May 2011. 

Ala-ala malu gitu. Waaah, rindunya! *rindu zaman kurus ye, bukan rindu AB, AB ada je ni ha.*

Sekali lagi, aku ulang, gambar-gambar tersebut adalah gambar dulu-dulu. Gambar sekarang tu haaa, yang kat atas tadi. Korang pun boleh beza kan yang mana dulu dan sekarang. Jangan tipu dengan mengeluarkan kenyataan " Ala, Fa...sama je aku tengok" atau "Ala, Fa..ok la macam ni dari dulu, kau kurus sangat..." JANGAN! Aku tau tu semua dusta je. Eheh. Very the jaga hati korang ni. I terharu tau.... :')

Lepas tu, mana lagi kami pegi ekk.. Oh, masa tu dah nak malam, so lepas solat maghrib, kami terus menuju bersama Oyen yang setia ke Restoran Ana Ikan Bakar Petai, Tanjung Lumpur, Kuantan. Sebabnya kami dah lapo bebeno, aku pun lupa nak amik gambar signboard restoran ni. Tapi, aku ada upload dari Google Image khas untuk kamu-kamu readers yang sangat awesome. 

Sekali lagi, credit to the blog address above.
Thanks for the picture. :)
Walaupun gambar ni hanya aku copy dari Google, tapi senario dia memang tak jauh beza dengan apa yang aku alami. Memang peeee...nnuuuuuuhhhh.... orang! *tarik nafas*

Sampai-sampai je dah pukul 9.00 malam. Memang confirmla berduyun-duyun orang datang menikmati hidangan dinner. Ada sekali tu nak terbeliak biji mata aku, sekali sampai mau dekat 20 orang. Mana nak sumbat pun tak tau. Memang penuh sangat! Masa tu kami dah blur.. Aku pun macam berdiri je la kat situ control-control malu. Eheh. Mana ni, takde ke orang yang siap makan... Adui...lama pulak korang makan ..

"Bang, atas ada tempat lagi bang...."

Suara tu muncul di saat-saat kami sedang terkial-kial cari meja kosong. Oh, ada lagi tempat kat atas? Maak aii, besar betul restoran nih! Ada dua tingkat! So, kami pun berbunga-bunga la naik tangga menuju  ke atas seperti yang ditunjukkan oleh brader tadi.

Sampai kat atas, tengok-tengok punya la banyak selipar-selipar dan kasut-kasut, macam kat masjid pun ada. Ohhh, ada ruang bersila kat atas rupanya..Tapi penuh sangat-sangat. So, kami amik keputusan turun semula. Nak balik la, cari kedai lain..Tapi, tiba-tiba AB panggil, ada meja kosong!! Happy! Happy!
Ada rezeki kami nak makan kat sini malam ni.

Lepas order, ni lah hasil pengisian masa lapang aku sementara tunggu makanan sampai.

Abom Boiiikkk yang tak berapa sihat.. Syian die.... Tapi selera makan dia tetap sihat walafiat. :P

"Malam ni sit up 100 kali baru tido."
Ah, nampak memang tipu sangat la kan?

Perut : Tau tak aku tengah nyanyi Oppa Gangnam Style sekarang?? Boleh senyum plak dia.



Mana satu nak ngap dulu, tomyam ke air?

Ketam!!!! Dah lama sangat aku nak makan ketam. Sejak preggy lagi. Ni baru dapat makan. :)

Tuuuu diaaaaaa.... Ikan Bakar Petai. Dibakar bersama-sama petai. Ikan apa dia guna tidaklah pula aku tahu.

Yang menariknya restoran ni memang islamik, ada doa makan, ada mural konsep Makkah, ada surau kat tingkat atas. Aku tak snap la satu-satu, memang nampak kepochi sangat la kalo aku duk terkial-kial dengan kamera time orang berasak-asak nak makan kaannn..


Haaa...baca doa tu..Senang je kan. Lepas tu baru boleh makan. Bismillahirrahmanirrahim. Hmm...sebenarnya, aku terharu sangat dengan husband (AB) aku sebab aku tak tau pun dia nak order ketam. Aku ingatkan dia order ikan bakar je. Kira surprise jugaklah untuk aku. Dari aku mengandung dia janji nak belanja aku makan ketam. Kira waktu tu mengidam la. Tapi tak sempat nak makan, aku ada complication dulu. Huhu..Baru sekarang dapat merasa. Haha, ada juga bau-bau romantik AB nih! 


Tolong abaikan apa yang ada atas meja ye, fokus muka aku je!

Sembunyi di celah-celah makanan.

Serius, aku memang tak sangka aku dan AB yang makan semua ni.

Waaa...bukan aku yang makan semua nih!!! Bukan! Bukan!

Dan pengakhirannya kami balik dengan tak dapat menghabiskan makanan yang ada. Ada lagi baki isi ikan aku ingat lagi, tapi waktu tu memang dah terlalu kenyang sampai aku tengok ikan pun dengan perasaan berbalam-balam (ayat BM skema, sila rujuk Cikgu BM anda). Macam rugi pun ada jugak, kalau la ada baki ikan tu depan mata aku sekarang ni, mau aku habiskan. Eheh. Moralnya, orang tamak selalu rugi. Haha, tak la. Kami tak tamak pun. Kami gelojoh sahaja. :P

Dah kenyang, apa lagi?

Haruslah balik kan? (Mana janji sit up 100 kali kau Fa oii?)

Buka pintu!!! Kami dari pejabat agama.... ^_^

"Tak abis-abis gambor!" kata Faizol kepada Farrah Falina.

Dan malam itu, aku terus tido tanpa memikirkan sit up 100 kali. Tapi aku gosok gigi tau!

*     *     *     *    *

Esoknya, kami akan berangkat balik ke Terengganu. Dan sebelum kami bertolak :-

Breakfast dulu! Teka, mana satu aku punya? 

Lepas makan, amik gambar lagi. Haih....(penat kononnya padahal suka enterprem tau aku ni..)

Memang takde gaya lain ha aku ni, peace tu jugak la yang aku buat.

Fine, fine..Ni gambar last. Muak dah kan tengok gambar aku. Huuuu..

Overall, I had a good time with AB. Memang seronok. Dah lama sangat kami tak keluar berdua. Emm...
Berdua?


*




*




*




*




*

Tapi lagi seronok kalau Faiq ada....




Sorry, Faiq.. Mama janji akan bawak Faiq jalan-jalan dengan mama dan abah kalau keadaan Faiq mengizinkan. Insha Allah sayang ye. 

Mungkin entri ini nampak santai dan seronok, tapi hakikatnya aku tetap memikirkan Faiq yang jauh nuuuuuunnn di sana. Harap sangat suatu hari nanti Faiq akan melakar dan mewarna dunia ini bersama-sama kami.

In shaa Allah. :')




































Wednesday, 26 September 2012

Semurni Kasih Abah

Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Aku cukup sensitif kalau berbicara tentang ibu bapa. Bahkan sifat sayangkan ibu bapalah yang sentiasa aku terapkan kepada pelajar-pelajarku. Supaya tidak mensia-siakan mereka, hargai mereka, menggembirakan mereka serta mendoakan kesejahteraan mereka.

Aku belajar dan bercakap dari pengalaman. Sesungguhnya aku bukanlah dilahirkan dalam keluarga yang kaya raya. Abah bekerja di sektor swasta dan mama tidak bekerja. Aku anak tunggal. Hidupku sederhana. Tidak terlalu susah dan tak juga terlalu senang.

Abah sukakan muzik. Pernah beliau bercerita kepadaku yang dahulunya semasa kecil, beliau sangat mengagumi anak orang-orang kaya yang boleh belajar muzik, belajar biola, belajar piano dan sebagainya. Sebagai anak yang hidup dalam serba kekurangan, Abah hanya mampu mengintai harapan itu dari jauh. Lalu disebabkan itu, abah tekad menghantar aku ke kelas piano supaya aku dapat meneruskan impiannya untuk belajar muzik. Sanggup memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk aku belajar sesuatu yang unik kerana pada ketika itu tak ramai anak Melayu mahu menghantar anak mereka ke kelas-kelas sebegitu.

Aku menurut sahaja. Ya, usiaku hanya 4-5 tahun. Apalah yang aku tahu ketika itu? Abah suruh belajar, belajarlah aku.

Setiap kali kelas, guruku akan berleter memandangkan aku langsung tidak lancar bermain piano. Lalu sudah berapa kali dia menyatakan bahawa setiap pelajar piano harus mempunyai sebuah piano di rumah! Dan sudah berapa kali juga telah ku usulkan itu pada abah. Harga piano ketika itu bukanlah calang-calang. RM6000 ke RM 7000 untuk sebuah piano baru! Dan aku tahu, pada waktu itu, keluargaku tidak mampu. Hanya selepas 4 tahun kemudian, abah mampu membelikan sebuah piano terpakai yang berharga RM1000+ yang dijual di sebuah kedai alat muzik berhampiran rumahku. Hanya selepas 4 tahun. Bayangkan betapa susahnya abah mengumpul wang untukku.

Namun lama-kelamaan, aku mula malas. Tahun berganti tahun, aku merasakan piano sangat membosankan! Hari-hari kena practise! Hari-hari kena main lagu! Aku malas practise. Aku lebih suka tengok tv, bermalas-malasan dalam bilik, tidur. Ini menyebabkan aku selalu dimarahi oleh guru pianoku. Aku juga malas menyiapkan homework teori muzik yang diberikan olehnya. Hati aku mula memberontak.

"Kenapalah aku kena belajar semua ni?" 

"Kenapa? Aku tak minat semua ni!!"

Lalu aku usulkan pada abah, aku mahu berhenti belajar piano. Abah mulanya agak keberatan. Lama juga beliau berfikir, dan berusaha memujukku untuk meneruskan pengajian sehingga ke peringkat tertinggi. Namun aku tetap dengan keputusanku, aku mahu berhenti! Darah muda. Usiaku pada waktu itu hanya 15 tahun. Ku lihat abah berfikir panjang. Diam di situ. Lalu abah pun menurut dan mengalah. Yes, tak payah belajar muzik dah! Bosan! Hati ku bersorak.

Pernah suatu ketika, sewaktu umurku mencecah 23 tahun. Abah usulkan supaya aku meneruskan pengajian ke peringkat Master. Pada waktu itu, aku telahpun menamatkan First Degree ku dengan Kepujian Kelas Kedua Tinggi. Aku mengabaikan usul abah kerana aku mahu bekerja dan mahu berkeluarga. Pada waktu itu, aku telahpun berkenalan dengan suamiku dan serius tentang hubungan kami. 

Ku katakan pada abah, aku mahu bekerja. Aku mahu berkeluarga. Master tu boleh ambil lepas kawin, bah. Masihku ingat kata-kataku itu padanya. Benar kata orang-orang lama, hati kalau dah kemaruk bercinta, cakap la apa pun, ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. 

Masihku ingat riak muka abah sewaktu aku bersungguh-sungguh mahu berkahwin. Mahu membina kehidupan sendiri. Ada kesuraman di wajahnya. Riak kesayuan yang jelas terpancar. Entah mengapa, wajah kesedihan itu langsung tidak meninggalkan bekas di hatiku. Masih pentingkan diri dan degil mahu kehendakku diturut. Lama abah berjeda. Panjang beliau berfikir. Namun tiada kata yang diluahkan. Lama juga aku menunggu sehingga aku merajuk memencilkan diri. Lalu, abah turutkan juga kemahuanku dalam keterpaksaan. Bimbang aku hilang pertimbangan diri andai hajatku tidak ditunaikan. Dengan berat, abah melepaskan aku untuk aku berkahwin dengan pilihan hati. Sesungguhnya, pada waktu itu, aku rasakan dunia ini hanyalah milik aku.

*    *    *    *    *
"Faiq....Faiq buat apa hari ni...."
"Sayang Faiq...Sayang Faiq...."

"Ok...ok...meh kat Tok Abah meh..Nape nangis ni?"

"Ok..ok..Faiq...Faiq... nape ni..ok..ok..jangan nangis ye..."

"Ok...nanti Faiq tido dalam cot Faiq ye...Tok Abah ulik Faiq ok...Faiq nak tido, sebab tu Faiq nangis..."

"Fa, hari ni Faiq nangis lagi tak? Perut dia macam mana, kembung lagi tak?"

"Pampers Faiq ada lagi tak? Abah beli spare ye?"

"Nah, tadi abah singgah kedai, ingat Faiq abah beli ni..."
(mainan muzik baby) 

"Takpe la, Fa gi tido..biar abah ulik Faiq...."

Readers, itu adalah sebahagian dari dialog-dialog harian abah sewaktu aku masih tinggal dengan mereka menjaga Faiq sewaktu awal kelahirannya. Sedia maklum, aku mengambil cuti panjang selama 6 bulan menjaga Faiq yang dilahirkan pramatang 32 minggu.

Ku rasa hidup ini mentertawakan aku yang mula sedar dari bayang angan-angan keseronokan sehingga mengabaikan perasaan abah suatu ketika dahulu. Dan kini lihatlah! Lihat lah Farrah! 

Siapa yang membantumu menjaga Faiq pada malam hari?

Siapa yang membantumu mendodoikan Faiq sewaktu kau terlelap dek keletihan menjaga Faiq siang hari?

Siapa yang menghadiahkan Faiq bermacam barang untuk keperluannya?

Siapa yang terus memberikanmu semangat untuk meneruskan kehidupan yang penuh dugaan sewaktu kau hiba apabila mengetahui Faiq bakal dilahirkan pramatang?

Siapa Farrah? Siapa??????

Ya, aku tahu.. Aku tahu siapa. Aku benar-benar kenal siapa. Malu hatiku tidak terkira kepada seseorang yang sangat menyayangiku walaupun aku acapkali meruntun hatinya. Mengabaikan perasaannya. Tidak mengendahkan impiannya. Hancurkan harapannya. Aku lah anak yang pentingkan diri sendiri itu. Ya, aku.

Andai dapatku ulang semula putaran dunia ini, sungguh, akanku bahagiakan abah sepertimana yang sepatutnya. Namun, apakan daya? Apa pilihanku? Sesalan yang aku rasai adakah berbaloi? 

Abah, Fa tak dapat putarkan masa kembali untuk menunaikan harapan abah yang selama ini Fa dah leburkan. Fa juga malu dengan diri Fa, malu dengan abah sebab Fa dah banyak menyusahkan Abah. Abah tak pernah berkira dengan Fa, walaupun Fa banyak kali menyakitkan hati Abah. Hanya dengan lafaz terima kasih tidak mampu untuk membalas budi abah pada Fa sekeluarga. Fa mohon ampun dan maaf bah, sebab Fa seorang anak yang degil. Tak mendengar kata. Tak mahu mengikut kemahuan Abah. Fa pentingkan diri. Fa tak fikirkan perasaan Abah. Fa minta maaf, abah. Fa janji akan menebus segala kesalahan Fa yang dulu.


*    *    *     *     *
Suatu hari, sewaktu aku berehat di rumah bersama abah.

"Abah ada satu cerita untuk Fa, nak dengar tak?"

Aku mengangguk dan tersenyum.

Begini cerita abah :-

Pada zaman dahulu, ada seorang budak lelaki yang mempunyai sikap panas baran. Ayahnya telah memberikan dia sebungkus beg berisi paku dan berkata, 

"Wahai anakku, setiap kali kamu berasa marah terhadap seseorang, maka hendaklah kamu memaku sebatang paku dari uncang ini di pagar kayu itu," kata ayahnya sambil menunjukkan sebuah pagar kayu di luar rumah mereka.

Lalu, pada hari pertama, budak lelaki itu memaku 37 paku pada pagar kayu itu menandakan dia telah menyakiti hati orang lain sebanyak 37 kali. Minggu berganti minggu, akhirnya budak lelaki itu berjaya mengawal kemarahannya dan jumlah paku yang dipaku pada pagar tersebut semakin berkurangan dari sehari ke sehari. Dia merasakan adalah lebih mudah untuk mengawal kemarahannya berbanding memaku paku pada pagar yang sangat keras itu.

Akhirnya pada suatu hari, budak lelaki ini berjaya mengawal kemarahannya sepenuhnya dan langsung tidak perlu memaku paku pada hari itu. Lalu, budak lelaki ini mengkhabarkan pada ayahnya berita tersebut. Ayahnya hanya tersenyum dan berkata, 

"Kalau benar katamu, maka dengarkanlah nasihat ayah. Bagi setiap hari kamu berjaya mengawal kemarahan, hendaklah kamu mencabut semula satu paku yang telah kamu paku dahulu dari pagar itu."

Hari berganti hari, lama kelamaan, budak tersebut berjaya mencabut kesemua paku-paku yang pernah dipakunya pada pagar kayu itu. Dan dia mengkhabarkan semula berita itu pada ayahnya.

Ayahnya membuka bicara,

"Wahai anakku, sesungguhnya kamu telah lakukan hasil yang menakjubkan!"

Lalu menarik tangan anakknya menghampiri pagar kayu yang dipenuhi dengan lubang bekasan paku yang dicabut.

"Lihatlah, anakku, lihatlah pagar ini. Pagar ini tidak lagi kelihatan sama seperti mula-mula kamu melihatnya. Pagar ini penuh dengan bekas lubang paku yang telah kamu cabut. Begitu juga dengan hati manusia. Sekiranya kamu memarahi dan menyakiti hati orang lain, hatinya akan meninggalkan bekas luka dek perbuatan kamu. Tak kiralah betapa banyak maaf yang kamu lafazkan, tetapi luka itu masih ada. Seperti juga bekas lubang paku ini. Ia tidak akan hilang."

Anak itu tertunduk malu.

*



*



*


Dan begitu juga diriku.






 Terima kasih abah untuk segalanya, untuk menyedarkan anakmu yang seringkali alpa dalam meniti arus kehidupan...

Fa sayang abah.