Thursday, 28 May 2020

Damailah Umar, Doa Kami Terus Bersamamu.

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Ajal. 

Sesuatu yang misteri, rahsia Allah yang takkan pernah kita tahu sehingga ke hari kejadian.
Menerima berita pilu di awal pagi hari, ketar jari jemari saya membalas kenyataan Whatsapp sahabat saya, seorang guru juga dari SAHUT.


Allahu Akbar... Umar...


Berita hari ini memaparkan Umar Iskandar, 21 tahun lemas di Sungai Terengganu berhampiran Telemong bersama adik-adiknya, Khalif Naim (16 tahun) dan Khairil Firdaus (17 tahun). Setakat entri ini ditulis, Umar Iskandar dan adiknya Khairil Firdaus telah dijumpai oleh pasukan penyelamat. Sama-sama kita doakan agar seorang lagi adiknya, Khalif Naim segera dijumpai. Aameen..


Menjadi seorang guru, saya percaya dengan hubungan hati antara guru dan anak murid. 
Umar Iskandar bin Mohd bukan siapa-siapa dengan saya, tiada pertalian darah. Namun hubungan hati itu ada dan sentiasa ada. 

Umar merupakan pelajar SAHUT pada tahun 2012 sehingga 2016. Saya mengenali beliau ketika beliau masih di Tingkatan Dua. Pertemuan saya dengan beliau adalah asbab saya menjadi Guru Sains kelas beliau ketika itu, menggantikan guru sebelumnya yang bertukar sekolah. Beliau merupakan salah seorang pelajar kelas 2 Unik (2013), kelas yang sangat ceria. 

Ya, ceria, salah satunya kerana kehadiran beliau.

Pada ketika itu, Umar saya sifatkan sebagai seorang anak awal remaja 14 tahun yang periang dan gila-gila, happy go lucky, selalu suka menyakat rakan-rakan, dan selalu tersenyum dan ketawa. Umar yang fizikal kurus tinggi dan merupakan atlet sekolah yang terkenal dengan acara balapan padang.
Ayam tambatan rumah Tok Raja Ri (Kuning). 

Ah, Umar! Siapa saja yang tidak kenal denganmu?

Ada satu ketika, sewaktu kelas Sains, saya melihat Umar tidak senyum seperti sediakala. Mungkin ada sesuatu yang difikirkannya. Tidaklah saya tahu apa sebabnya. 
Saya mendekatinya dan memulakan perbualan secara bergurau,

" Hai Umar.... senyap je hari ni?"

Dia tersentak dari lamunan lantas melihat saya. Menyedari dirinya diperhatikan, dia hanya tersengih dan menggeleng-gelengkan kepala.

"Dokla teacher... "
("Tak lah teacher... ")

Begitulah istimewanya Umar.
Terasa kehilangan apabila dia tidak bersuara seperti biasa.
Tiada Umar di kelas, tiadalah seri.
Diam Umar di kelas, maka suramlah seisinya.

Lalu Umar, bagaimanalah kami mampu menerima apabila dirimu tiada lagi di dunia?


Di hari-hari kebiasaanya, Umar Iskandar merupakan pelajar yang sangat aktif dalam kelas. Kalau disuruh bentangkan isi-isi Sains di depan kelas, dia dulu yang angkat tangan. Penerangannya jelas dan teratur. Ya, anak ini sangat petah berbicara, self-confidence yang tinggi apabila berada di hadapan rakan-rakan.
Saya selalu menggemari penerangan daripada Umar. Rakan-rakan kelasnya juga kelihatan mudah faham dan puas hati dengan penerangan pembentangan beliau.

Saya tidak punya banyak gambar bersama beliau secara amnya. 
Kenangan bersama beliau banyak saya simpan dalam ingatan.

Ada sesuatu yang menggamit perasaan saya. Perasaan hiba kerana anak ini baik orangnya, menghormati guru-guru, sentiasa meminta maaf  sekiranya menyedari gurauanya dirasakan keterlaluan. 

Umar pelajar cemerlang. Nota Umar kemas, cantik tulisannya. Buku Umar yang akan saya pilih untuk disemak dahulu dan dijadikan sebagai contoh semasa menyemak buku rakan-rakannya yang lain. Penampilan Umar kemas. Di tahun akhir persekolahan, Umar juga dilantik sebagai pengawas di sekolah. 

Saya meninggalkan SAHUT pada tahun 2018. Namun kenangan bersama anak-anak SAHUT akan saya kenang sampai ke akhir hayat. Kehilangan Umar Iskandar, seorang bekas pelajar cemerlang SAHUT yang kini juga bergelar mahasiswa di Universiti Malaya disifatkan sebagai suatu kehilangan besar perintis bidang profesional dalam negara.

Saya percaya seluruh warga SAHUT terkesan dengan pemergian Umar.

Tiada lagi ketawa dan senyuman Umar.
Tiada lagi senda gurauan Umar.
Tiada lagi kenangan baru bersama Umar Iskandar. 

Hanya kenangan-kenangan lama sebagai pengubat rindu teacher dengan dirimu, Umar.

Saya agak janggal untuk menggunakan istilah "bekas anak murid". 
Bagi saya, selama mana mereka telah meninggalkan alam persekolahan, mereka akan sentiasa menjadi anak murid saya, sentiasa dekat di hati saya.

Umar, ketahuilah bahawa teacher sentiasa mendoakan Umar, agar Umar ditempatkan dalam kalangan insan beriman dan diredhai Allah. Setiap apa yang teacher sampaikan pada Umar, teacher halalkan. Teacher maafkan segala kelakuan Umar pada teacher sekiranya ada dahulu (percayalah, teacher tak dapat trace apa-apa kesalahan Umar pada teacher, tapi sekiranya ada, teacher dah lama maafkan)


Teacher sayang Umar.
Ayah dan adik beradik Umar sayang Umar.
Guru-guru sayang Umar.
Sahabat dan kawan-kawan Umar sayang Umar.
Semua sayang Umar.
Dan yang paling utama,

Allah paling menyayangi Umar.

Semoga Umar dan adik-adik berada dalam lindungan Allah dibawah lembayung kasih sayangNya.

Orang baik, Allah sayang, Mar..


Damailah Umar dan adik-adik di sana.
Semoga ayah dan ahli keluarga Umar dikurniakan kesabaran dan kecekalan hati insha Allah.
Sulit, tapi perlu diterima.
Pahit namun perlu juga ditelan.
Doa kami sentiasa bersama-sama kalian.


Umar, dua dari kiri sedang menyampaikan presentation Sains kelasnya. Ketika ini beliau masih di Tingkatan Dua (2013).




Umar, berdiri dua dari kiri bersama rakan-rakan sewaktu menolong saya dan Cikgu Madiah mengangkut buku-buku teks ke Bilik SPBT, (2013)




Umar, tiga dari kiri sedang menyiapkan task untuk Explorace Addmath bersama kawan-kawannya. Beliau wakil rumah Tok Raja Ri (Kuning). Ketika ini beliau merupakan calon SPM tahun 2016 (17 tahun).


Ihsan Harian Metro (28 Mei 2020)


Ihsan Harian Metro (28 Mei 2020)

Untuk kalian yang membaca, saya percaya keistimewaan Umar membawa anda ke sini.
Terima kasih yang tak terhingga saya ucapkan kepada semua viewers.



Mohon sedekahkan Al-Fatihah kepada yang sentiasa menjadi anak murid kebanggaan saya,
Yang istimewa, sentiasa disayangi dan terus kekal berada dalam ingatan,


Umar Iskandar bin Mohd
(1999-2020)







Wednesday, 13 May 2020

Bolak Sang Hati

Bismillahirrahmanirrahim. 
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.


Doaku pada hari ini, 
Ya Allah, kuatkan jiwa dan keteguhan fikiranku, berikan aku keteguhan iman yang tidak berbelah bagi.

Bertahun-tahun. Sehingga aku mula memetik papan kekunci untuk satu perkongsian dalam blog pada hari ini. Ya. Bertahun-tahun. Maafkan gaya bahasaku, sudah terlalu lama aku tidak menulis. Haruslah pincang tuturnya di sini sana.

Hari ini mencatat hari ke yang ke -57 Malaysia melalui hari-hari sukar Perintah Kawalan Pergerakan (Bersyarat). Melayari hari-hari seperti hari-hari sebelum ini, aku banyak menghabiskan waktu bersama putera tunggalku, Faiq Aqwa yang juga nadi punca blog ini dimulakan. Mungkin ada yang hadir di sini kerananya. Terima kasih atas sokongan kalian.

Bicara pagi yang hening ini, yang juga menjadi intipati isu entri kali ini, ialah bagaimana sukarnya untuk istiqamah dengan sesuatu yang telah kita putuskan untuk diri kita. Ya, aku merasainya. Dan aku yakin ada di antara viewers juga pernah mengalaminya. Istiqamah untuk menjadi lebih baik dari hari-hari sebelumnya, ini azamku. Namun, keberadaan realiti tidaklah semudah menghantar pesanan ringkas untuk sang hati.
Ada ketika hati terlalu mudah untuk dibela menjadi suci. 

Esok belum tentu.

Godaan media sosial terlalu kuat. Subhanallah. Aku juga tidak terkecuali. 
Kadangkala kita mahukan fame, kita mahukan perhatian dan mahu menunjukkan betapa cool / hipster nya kita di media. 

Namun di akhir waktu , kita bukan siapa-siapa.

Kita mungkin akan dikenang sebagai seorang yang popular di ruangan tertentu. Sana sini memuji kita dengan kelebihan yang kita sendiri tonjolkan. Kita teruja dengan balasan positif rakan-rakan. Kita gain followers. Percayalah, itu merupakan titik tolak keberanian kita untuk show even more.
To expose more. To get more fame.

Perkongsian ini bukanlah suatu bentuk kecaman. Andai ini dianggap sebegitu, ya, aku mengecam diriku sendiri. Aku bercakap dari pengalaman kerana aku pernah berada di situasi itu. Dan aku menyesalinya.

Pada ketika ini, aku dalam fasa mendidik hati untuk menjadi seorang yang sederhana. Seorang yang biasa namun kekal istiqamah. Aku selesa begitu. Ini juga menjawab pertanyaan segelintir yang menunggu entri terbaru blog ini. Mungkin entri selepas ini akan mula ditapis isunya. 
Tiada lagi perkongsian kosong yang syok sendiri.


Sekian lama aku tidak menulis kerana aku benar-benar ingin jelas dengan niatku sendiri.


Apakah aku ikhlas berkongsi?


Atau.... untuk fame?