Bismillahirrahmanirrahim.
Dengan Nama Allah, Tuhan Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
"Farrah pernah baca Tenggelamnya Kapal Van der Wijck?"
Soalan abah petang itu ketika aku khusyuk membaca karya novel anak tempatan. Aku hanya menggeleng. Asing sekali tajuknya. Ada perkataan bukan bahasa serumpun Melayu.
Van der Wijck.
Bahasa Belanda!
"Belum, bah. Best ke?"
"Very nice story. You should read that. Tapi sekarang buku tu susah nak dapat."
Hampa. Benar-benar hampa. Biasanya kalau sesuatu buku itu disyorkan oleh abah sendiri, pasti bagus. Pasti seratus peratus. Ketika itu usiaku dalam lingkungan enam belas ke tujuh belas tahun. Masih terlalu muda. Internet masih belum meluas lagi. Di mana akan aku cari perihal buku tersebut, tidaklah jua aku tahu. Melainkan melewar-lewar di perusahaan buku bertanya-tanya kepada pekerjanya.
"Oh buku tu! Buku tu buku lama dik. Biasanya susah nak dapat kat sini."
Tenggelamnya Kapal Van der Wijck! Aneh sekali tajuknya. Keanehan itu membuatkan aku penasaran mahu mengetahui mengapa buku ini menjadi pilihan abah.
Bertahun-tahun aku mencari. Selama itu jua aku belum menemukan buku tersebut. Awal tahun lalu, aku mendapati salah seorang anak muridku mengemaskini status Facebooknya dengan memuat naik gambar buku tersebut. Edisi lama. Asli. Terus aku bertanya kepada beliau bagaimana untuk aku mendapatkannya.
"Online, cikgu. Cuba cikgu cari kat page ni - Jejak Tarbiah. Banyak jual buku HAMKA"
Setelah berurusan dengan penjual dari page tersebut, beliau memberi jawapan bahawa buku tersebut kehabisan stok. Perlu menunggu beberapa bulan untuk mendapatkannya. Tambahan pula, cetakan dilaksanakan di Indonesia. Mafhumlah aku akan tempoh masa yang perlu diambil.
Kulit buku Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck edisi lama. Sumber : Facebook Ainul Zakirah Humaira |
Pertengahan tahun lalu, sedang aku mencari bahan-bahan untuk hiasan kelas di sekolah di sebuah kedai buku, mataku tertancap pada tulisan itu.
Sebuah Karya
HAMKA
TENGGELAMNYA KAPAL
VAN DER WIJCK
Benarkah?
Lima belas tahun lamanya aku mencari. Lima belas tahun! Akhirnya. Alhamdulillah.
Biarpun wang tunai yang ku bawa ketika itu hanya sekadar mencukupi untuk membeli barang yang telah kurancang, namun ku batalkan sahaja, Buku itu harus aku dapatkan!
Tenggelamnya Kapal Van der Wijck edisi terkini |
Ku kira sudah terlalu lama aku meninggalkan dunia penulisan. Pembacaanku juga berkurangan dek kekangan masa yang melampaui batas senggangku. Permulaan pembacaan Tenggelamnya Kapa Van Der Wijck ku akui amat mencabar. Setelah bergelar pendidik, apatah lagi dengan kesibukanku menguruskan sekolah dan rumahtangga, pemahamanku terhadap mainan bahasa terasa begitu sulit. Sukar sekali memahami gaya bahasa penulisnya.
Hampir beberapa bulan aku tinggal lalu saja buku tersebut. Tidak menyentuhnya kerana aku tahu aku perlu masa yang sesuai untuk menghayati jalan ceritanya.
Lewat cuti baru-baru ini, nekad aku untuk mengkhatamnya. Dan aku harus kerana aku mahu tahu mengapa abah memilih buku ini untuk jadi bacaanku. Dan mengapa berjilid-jilid cetakan habis di pasaran. Sehingga pembaca perlu menunggu berbulan-bulan untuk mendapatkan cetakan terbaru khas dari Indonesia.
Tiga hari aku berjaya menghabiskan pembacaan.
Subhanallah!
Betapa kagumnya aku dengan kemampuan HAMKA bermain bahasa. Seolah-olah aku berada dalam era 1930-an dengan penceritaan yang begitu terperinci. Belum pernah aku ke Indonesia. Namun dengan Tenggelamnya Kapal Van der Wijck, aku dapati rohku terbang bersama-sama ke Makasar, terus ke Padang, Sumatra lalu ke Tanah Jawa. Sinematografinya walau tiada bervisual, namun aku mampu membayangkan keindahan dusun yang dipelopori bangsa Melayu Minangkabau dan nian pesisir pantai Sulawesi Selatan.
Dan begitu jua pemain perannya. Zainuddin, anak muda sederhana. Terbuang dalam jajahan sendiri dek keturunannya yang tidak tentu usul. Lalu apakan daya, kalau jiwanya dipaut oleh pesona Hayati, anak dara Minangkabau jati dari Kampung Batipuh, Padang. Cantik molek dan polos. Tipikal gadis melayu kampung lengkap berselendang berbaju kurung.
Pertemuan itu dalam kehujanan langit membasah bumi. Hayati dan temannya yang sabar menunggu di bawah teduhan kerana tiada berpayung. Lalu tatkala itu, Zainuddin dengan rasa tanggungjawab memberi pinjam payungnya kepada mereka berdua. Kerana tiada tega melihat kedua-duanya lewat pulang ke rumah usai pengajian di pondok.
Dari mata turun ke hati,
Suci cinta Zainuddin lalu diterima Hayati. Berkiriman surat beberapa lama lalu dihidu oleh orang-orang kampung. Terusir Zainuddin dari dusun tersebut bertatah nama adat Melayu pantang diusik. Lelaki dan perempuan tak bisa bergaul. Apatah lagi dia anak dagang. Bukan Minangkabau asli. Ada hati hendak menyunting Hayati, puteri golongan bangsawan.
Janji Hayati di hari pengusiran Zainuddin, bahawa dia akan menunggunya biarpun berapa tahun lamanya. Jika di dunia, Zainuddin tidak tertakdir menjadi suami, biarlah di alam sana mereka mematri janji. Lalu dikirim selendang dan beberapa helai rambutnya yang panjang buat kenangan sepeninggalan Zainuddin.
Hasutan orang. Dunia moden saduran kerajaan Belanda menjadikan hati Hayati mulai goyah. Masakan Zainuddin yang tidak punya apa mahu dijadikan suami? Tiada berharta dan rupa. Sedangkan dia sang gadis jelita. Seolah pipit dengan enggang. Seolah tembaga dan berlian perbandingannya.
Hayati termakan jua cakap-cakap orang. Temannya Khadijah, bahkan menuduh Zainuddin orang kurang siuman. Lantaran lagaknya yang pemenung dan pendiam. Penghulu penjaga Hayati juga begitu. Menjunjung adat Minangkabau, pantang kalau anak jatinya berkahwin dengan anak dagang. Tidak diketahui betul keturunannya. Bimbang jika mereka beranak pinak kelak, lalu di mana anak tersebut hendak dikelaskan keturunannya?
* * * * *
HAMKA, atau Haji Abdul Malik Karim Amrullah.
Kenalkah anak-anak muda sekarang dengan personalia ini? Seorang ulama dan novelis Indonesia yang termashyur dalam lingkungan tahun 1930-an. Karyanya selain dari Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck adalah Di Bawah Lindungan Kaabah, Tuan Direktur dan Merantau ke Deli. Selain novel-novel, HAMKA juga dikenali sebagai ulama yang banyak mengkaji mashaf-mashaf Islami.
Sebagai pembaca, aku sangat terkesan dengan bahasanya. Puitis dan meresap terus ke jiwa. Kebijaksanaannya membawa aku terus ke alam Zainuddin dan Hayati. Tenggelam dalam tulus cinta mereka.
Mahakarya HAMKA ini wajarlah dibeli sebagai koleksi. Dan para pencinta novel akan tahu betapa dangkalnya meterial novel sekarang yang ada di pasaran. Baik bahasanya. Isinya. Kepura-puraan dalam realitinya.
Ah! Kalau si kaya itu perlu tampan. Perlu sempurna sebagai hero.
Aku muak. Muak sekali dengan lambakan novel yang ada.
Jelak dengan bahasa yang cetek. Umpama percakapan harian. Lalu ditambah pula dengan perkataan urban. Kononnya!
Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck adalah buat pembaca yang mahu menyingkap keindahan berbahasa Melayu.
Mengkaji kosa kata yang lama ditinggalkan.
Menyelusuri adat Melayu yang tiada diwar-warkan kini.
Meniti cinta suci antara dua jiwa yang tiada berkesampaian.
Memahami bahawa cinta itu tidak seharusnya memiliki.
"Sudikah engkau menjadi sahabatku, Hayati? Saya tahu saya orang dagang melarat dan anak orang terbuang yang datang dari negeri jauh, yatim dan piatu. Saya akui kerendahan saya, itu agaknya akan mennagguhkan hatimu bersahabat dengan daku, Tetapi Hayati, meskipun bagaimana, percayalah bahawa hatiku baik. Sukar engkau akan bertemu dengan hati yang begini, yang bersih lantaran senantiasa dibasuh dengan air kemalangan sejak lahirnya ke dunia!" - Zainuddin
"Kalau demikian, hari inilah saya terangkan di hadapanmu, di hadapan cahaya matahari yang baru naik, di hadapan roh ibu bapa yang sudah sama-sama berkalang tanah, saya katakan : Bahawa jiwaku telah diisi sepenuh-penuhnya oleh cinta kepadamu. Cintaku kepadamu telah memenuhi hatiku, telah terjadi sebagai nyawa dan badan adanya. Dan selalu saya berkata, biar Tuhan mendengarkan, bahawa engkaulah yang akan menjadi suamiku kelak, jika tidak sampai di dunia, biarlah di akhirat. Dan saya tiadakan khianat kepada janjiku, tidak akan berdusta di hadapan Tuhan, dan di hadapan arwah nenek moyangku"- Hayati
"Demikianlah perempuan, dia hanya ingat kekejaman orang kepada dirinya, walaupun kecil, dan dia lupa kekejamannya sendiri kepada orang lain walau bagaimana besarnya"- Zainuddin
"Di dalam jiwaku ada suatu kekayaan besar yang engkau sangat perlu kepadanya, dan kekayaan itu belum pernah kuberikan kepada orang lain, walaupun kepada Aziz, iaitu kekayaan cinta."- Hayati
Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck adalah buat pencinta bahasa.
Maaf sekiranya anda mahu pembacaan yang galak mempamerkan cinta sebagai suatu cabang nafsu, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck bukan untukmu.
Kerana sepasang Zainuddin dan Hayati mengajar bahawa cinta itu terdorong dengan keikhlasan berpaksikan ajaran Tuhan.
Biarpun bukan di dunia akad dan persandingannya.